Showing posts with label Antologi Sajak. Show all posts
Showing posts with label Antologi Sajak. Show all posts

Saturday, 11 September 2010

Sepinya sunyi

Ketika sunyi ini menjelma lagi

Aku tercari-cari apa jawapannya

Kepada sepi yang begitu mencengkam

Dan ruang yang terasa menyempit

Ketika fikiran melayang jauh

Kepada kenangan manis pahit hayat

Gelak ketawa, sedih hiba

Dalam ujian dunia yang tidak pernah alpa

Ketika teringat senyum manismu

Dan masamnya jebik kemarahanmu

Aku menjadi teramat rindu

Kepada segala tingkah laku itu

Ya, sepi dan sunyi duniaku kini

Baru aku sedar pentingnya mereka

Mengisi ruang-ruang lompong dalam hidup

Dalam lelah-lelah nafas yang semakin singkat

Wahai sayangku

Bilakah kita dapat bertemu?

Menghilang rindu, memupuk kasih

Supaya sepinya sunyi tidakkan kunjung datang lagi...

1.29pm, LIRMM – Montpellier

Khamis – hari akhir Ramadhan 2010

Bila aku boleh membaca..

Di dunia asing ini

Barulah aku dapat menginsafi

Ketika aku mula belajar membaca

Ketika aku mula pandai mengenal

Di papan iklan

Di dada majalah

Di paparan televisyen

Di nota-nota pendek

Aku terus membaca

Apa yang sebenarnya terlalu biasa

Bagi mereka

Tetapi amat mengujakan bagi aku

Ku cari yang sering muncul

Ku buka makna yang dikandung

Oh, itu maknanya

Oh, itu maksudnya

Di bumi asing ini

Barulah aku dapat mengingati

Ketika aku mula mengenal huruf

Ketika aku mula menulis nombor

Menariknya ilmu ini

Sedikit yang tahu

Tapi terbuka medan ilmu

Terus terang benderang apa yang kelam

Sekarang ia memberi erti

Sedang dulu aku tidak ambil peduli

Inilah kuasa ilmu yang hakiki

Mengeluarkan jahil meninggikan abdi

1.38pm – LIRMM – Montpellier

Hari akhir Ramadhan – esok raya 2010

Friday, 3 September 2010

Bunga itu...


Bunga itu
Lavender namanya
Cantik rupanya
menghias lorong ini berkawan-kawan

Bunga itu
Lavender namanya
Sekadar hiasan di lorong sunyi ini
Tidak sehebat yang diwar-war orang

Bunga itu
Lavender namanya
Memang bunga tepi jalan di bumi fromage
Menjadi pelik bila dibangga-banggakan

Bunga itu
Lavender namanya
Memang tidak istimewa di sini
Tetapi digilai di sana, bumi asing baginya

Bunga itu
Lavender namanya
Adalah tamsilan kepada kita manusia
Yang biasa tiada istimewa
Yang pelik dikejar-kejar

Manusia dan lavender
nasibnya seolah sama.

Montpellier
3 Sept 2010

Friday, 20 August 2010

Apa saiznya???

Jangan kita remehkan yang kecil

Sebab segalanya bermula darinya


Jangan kita kesampingkan yang sedikit

Kerana yang sedikit bakal menentu nasib


Jangan kita sindir yang ringan

Lantaran ringan dalam dosa amat bermakna


Jangan kita abaikan yang kurus

Justeru ia mudah untuk menjadi lurus


Jangan kita malukan si kenit

Mana tahu peranannya besar


Jangan kita sia-sia apa juga skalanya

Ia ada makna dan erti yang tersirat


Setiap amal sekecil zarah

Baik buruk akan ditayang


Maka, sedarlah wahai hamba

Kita pasti lupa, tapi di dalam kitab amal, tetap ada.


Hotel Seri Malaysia

Bertam, 22 Mei 2010; 9.06am

Thursday, 12 August 2010

Bagaimana agaknya kali ini?

Ramadhan

Bagaimana agaknya kali ini?


Ku tahu hebat tawaranmu

Ku sudah maklum barakah yang kau kandung

Ku ingat manisnya umur lalu bersamamu

Ku sedari tentang peluang yang kau gendong


Tapi

Bagaimana agaknya kali ini?


Apakah engkau akan berlalu begitu sahaja?

Sedang aku masih lagi dirantai pada amal yang lagha

Apakah engkau akan menjadi saksi?

Kepada hamba yang terlalai pada laut untung yang tersedia


Ya

Bagaimana agaknya kali ini?


Semoga Ramadhan ini membawa makna.

Sunday, 8 August 2010

Sekelumit Pengalaman Musafir - Varanasi


Rumah tanah liat

Di tepi ladang yang nampak kekeringan

Walau tumbuhan masih subur

Di tengah-tengah debu yang berterbangan


Pondok kayu kecil

Semacam tempat jualan bahan makanan

Untuk si miskin dan keluarganya

Bukan sahaja tempat jualan malah mungkin itulah kehidupan


Rumah-rumah kayu dengan pangkin lusuh

Sepanjang laluan dan jalanan yang sibuk

Kulihat ada keluarga yang sedang asyik

Memasak, berborak dan menyemai peluh


Seorang anak perempuan dengan baju buruk memikul ketulan batu di atas kepala

Kulihat ayahnya (mungkin) memberi arahan lanjut

Menampal lompong-lompong besar

Di tengah jalan di kota Varanasi


Ramai orang berkumpul di satu sisi jalan

Semakin dekat baru ku sedar, ada kematian rupanya

Mayat dipikul untuk dibakar

Itulah adat dan caranya mereka mengucapkan selamat tinggal


Lembu yang berkuasa di sini

Sihat dan besar pula makhluk ini

Di tepi dan terkadang di tengah jalan tempat mereka

Berehat-rehat sambil menikmati darjat yang dianugerah manusia


Sungai hitam itu nampak biasa bagiku

Bersambung terus dengan anak-anak tangga

Untuk segelintir manusia yang mahu

Menyuci diri pada air yang terus akan menghina mereka


Patung-patung batu

Menjadi sembahan manusia

Mengharap keselamatan di dunia

Mendamba kejayaan, tapi hakikatnya sia-sia dan akan mengundang binasa


Bau kehinduan itu ada dimana-mana

Pada udara dan pada manusia

Tetapi semakin lama aku di sini

Bau itu semakin tidak kurasa, semakin lali agaknya


Memang negara ini ini terlalu berbeza

Miskin mereka amat tegar dan ketara

Kaya mereka juga tampak berbeza

Jika ingin tengok apa itu miskin – boleh datang ke sini

Jika ingin tahu apa itu kaya – boleh juga datang ke sini


NPL Guest House, New Delhi,

6 Disember 08 – Sabtu, 12.13pm

Tuesday, 3 August 2010

Kota Varanasi 1


Semalam ketika mata ku liar
Melihat gelagat manusia di luar sana
Di celah-celah debu yang berterbangan
Seorang anak kecil duduk bersimpuh di tanah

Lantas aku teringat pada anakku
Yang mungkin tidak jauh beza umurnya
Dengan anak kecil tadi
Air mata kering, baju lagi lusuh

Sedang si bapa sedang menjamah selera
Di atas pangkin yang mungkin sedikit selesa
Dengan kotoran yang ada di mana-mana
Inilah kehidupan harian mereka semua

Kereta yang kunaiki terus berlalu
Menjadi saksi kepada tamadun manusiawi yang pelik
Di mata ku dan juga di hati ku
Sedang di kepala ku semakin sakit

Pengalaman menelusuri kota Varanasi
Bukan seperti yang aku khayalkan
Pengalaman mengenali manusia di sini
Mengajar aku erti bersyukur dan kesyukuran

NPL Guest House
New Delhi
6 Disember 08 - Sabtu
9.14am