Showing posts with label Tazkirah Satu Minit (TAZAM). Show all posts
Showing posts with label Tazkirah Satu Minit (TAZAM). Show all posts

Tuesday, 1 February 2011

Sumbu perjuangan

Semua insan mahukan keamanan. Hanya dengan keamanan dalam hidup akan memungkinkan kebahagiaan yang sebenar. Apabila keamanan yang diidamkan diambil dan dinafikan maka tidak ada jalan lain melainkan keamanan perlu diambil kembali. Tetapi tidak semua yang sanggup membuat pengorbanan di atas keamanan yang mahu diambil semula. Ada insan yang telah lama mengambil sikap menerima seadanya dan lebih rela untuk hidup dalam kehinaan.

Bagaimana dengan kita? Apakah hidup kita mulia atau sebaliknya?

Kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir adalah manifestasi naratif penghinaan kehidupan oleh pemerintah yang telah lama lupa hak rakyat dan tanggungjawab pemimpin. Akhirnya penghinaan dan penindasan selama ini tidak lagi tertanggung, maka kebangkitan rakyat ini adalah perkara yang tabi'ie.

Perjuangan hidup adalah usaha untuk memastikan maruah dan harga diri terpelihara. Inilah peranan pemimpin. Mereka wujud untuk membela rakyat, bukan rakyat menjadi hamba.

Inilah titik perubahan yang akan terus berjalan. Apabila sampai ketikanya tiada siapa yang dapat menghalang. Jadikanlah semangat dan kesungguhan para pejuang di Tunisia dan Mesir sebagai sumbu penyala perjuangan di dalam diri kita. Lebih baik mati mulia dari hidup terus terhina. Lebih baik berputih tulang dari berputih mata.

Tuesday, 7 December 2010

TAZAM 3: Hari yang terbaik?

Assalamualaikum wrth.


Bagaimana nak memastikan hari ini akan menjadi antara hari yang terbaik di dalam hidup kita? Jawapannya adalah amat mudah. Bayangkanlah hari ini hari terakhir didalam hidup kita.

Apabila kita bangun di waktu pagi dan melihat ke dalam cermin, maka katalah pada diri kita;

Seandainya hari ini adalah hari terakhir di dalam kehidupanku, apakah yang akan aku lakukan?

Pastinya kita akan melakukan perkara terbaik yang mampu kita lakukan. Pastinya kita tidak akan mencemarnya dengan sifat pentingkan diri, tamak, hasad dan sifat-sifat buruk yang lain.

Pastinya kita akan tercari-cari peluang untuk membuat amal baik terakhir sebelum kita meninggalkan dunia ini buat selamanya.

Pastinya kita akan mendakap dan melihat dengan pandangan kasih sayang kepada semua yang dekat dengan diri kita.

Pastinya diri kita akan amat mudah untuk memaafkan kesalahan dan kesilapan orang lain.

Pastinya kita akan memilih-milih amal supaya yang tidak penting dan tidak membawa apa-apa manfaat akan kita tinggalkan.

Pastinya kita akan mula merenung dan mengingat semula semua hutang dan janji kita, supaya kita dapat menunaikannya semaksima mungkin, atau semuanya.

Pastinya kita akan teringat apa yang akan tinggalkan untuk mereka yang masih ada selepas kita pergi.

Pastinya hari yang terakhir ini, kita akan menjadi manusia terbaik yang kita pernah idam-idamkan dahulu. Sebab hari ini hari terakhir dan kita semua mahu pergi dalam keadaan terbaik.

Bijak sungguh Ar-Rasul SAW apabila baginda mengatakan bahawa orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati. Ya, apabila tidak lupa kepada kematian, semua hari kita adalah hari yang terbaik.

InsyAllah. Seandainya inilah hari terakhirku, inilah juga hari yang terbaik untukku.

Allahu'alam

Mardi, 7th Dec. 2010 - Mplr - Fr.

Wednesday, 1 December 2010

TAZAM 2: Menyesal kerana apa?


Adakah manusia akan menyesal atas perkara yang telah dilakukan di dalam hidup? ataukah mereka akan menyesal kepada perkara baik/soleh yang tidak sempat dilakukan?

Menyesali perkara silap atau salah yang telah dilakukan adalah satu kemestian untuk mendapat taubat yang hakiki - atau kesempurnaan taubat nasuha. Mesti ada unsur kekesalan.

Meyesali perkara soleh atau amal baik yang tidak sempat atau dapat dilakukan adalah lebih perit lagi. Kesempatan dan nikmat yang Allah SWT berikan berlalu secara sia-sia. Menyesalnya tak sudah.

Apabila umur, kesihatan dan masa telah terlalu sesak, maka kita menyesal kerana tidak memanfaatkan peluang/kesempatan yang diberikan.

Jadi semasa umur dan kesempatan masih ada, rebutlah peluang untuk beramal soleh. Nanti, takut kita akan menyesal di kemudian hari.

Allahua'lam


Saturday, 27 November 2010

TAZAM 1: Tarbiyyah bukan brainwashing


Setiap orang sentiasa di dalam pencarian untuk mencari ilmu dan meningkatkan kefahaman.

Tentang agama, tentang kehidupan, tentang masa hadapan dan pelbagai tujuan lain.

Jangan kita jemu mencari ilmu dan menjadi pengemis ilmu. Ilmu makanan minda. ZikiruLlah makanan qalbu.

Pencarian ilmu mesti menggunakan aqal dan qalbu. Proses pembinaan dan pembaikian diri adalah proses pendidikan/tarbiyyah yang berterusan. Tarbiyyah bukan proses indoktrinasi atau brainwashing.

Proses Brainwashing memang tidak berkehendakkan aqal yang berfikir atau qalbu yang merenung.

Tarbiyyah mestilah melatih aqal untuk berfikir dan menilai, dan qalbu untuk menghayati dan menjiwai.

Inilah hasil tarbiyyah yang kita mahu > peribadi yang berfikir dan menjiwai perjuangan atas dasar ilmu dan kefahaman, bersama keikhlasan yang tidak mudah digugat.

Allahua'alam.