Monday, 25 October 2010

Tiada keputusan yang terlepas…

Kejayaan hari ini adalah natijah daripada keputusan yang telah diambil pada suatu masa yang lepas. Begitu juga sebaliknya. Kegagalan juga adalah hasil keputusan silam. Memang tidak dinafikan banyak faktor yang mengesani hasil pada hari ini. Faktor-faktor luar kawal yang menatijah kegagalan hari ini. Tetapi, dalam banyak keadaan keputusan yang kita ambil pada hari ini menentukan atau meninggikan kemungkinan kejayaan yang akan digenggam kelak. Seolahnya, keputusan ini seperti simpang tiga di dalam perjalanan hidup. Kita mesti membuat keputusan simpang mana yang mahu diambil. Maka, keputusan ini akan menentukan destinasi yang akan kita singgahi kelak.

Tidak dinafikan kegagalan memberi pengalaman terbaik untuk mendekatkan diri kita kepada kegagalan. Malah, para bijak pandai mengatakan, orang yang tidak pernah gagal, tidak akan berjaya mengecap kejayaan sebenar. Kita mesti gagal untuk berjaya. Ya, ada benarnya pandangan ini, tetapi adalah terlalu kurang bijak jika kita sengaja mencari gagal, kerana yakin bahawa dengan gagal baru kita akan berjaya. Sebenarnya, yang dimaksudkan oleh kata-kata bijak pandai itu adalah, hendaklah kita mengusahakan kejayaan dengan kaedah dan jalan yang terbaik. Jika gagal juga, maka kita akan menjadi semakin matang dan bijak dalam menetapkan langkah seterusnya. Ini maksudnya. Mengusahakan kejayaan sebaiknya, bukan merelakan gagal dengan langkah-langkah yang tidak dirancang atau dinilai terlebih dahulu.

Membuat keputusan dengan pelbagai pilihan yang ada, amat penting kepada nasib dan corak hidup kita di masa hadapan. Terkadang kita merasakan keputusan kita tiada erti kepada kita, tetapi yakinlah ia ada kesan. Bila kita berfikir sedemikian, bukan bermakna kita lupa kepada qada dan qadar Allah SWT. Dan, seolahnya kita boleh menentukan segalanya dengan keputusan kita semata. Bukan, bukan ini yang dimaksudkan. Tetapi kita menginsafi bahawa alam ini berjalan di atas sunnah atau ketentuan atau hukum tertentu. Kejayaaan adalah jalan atau laluannya. Begitu juga dengan kegagalan. Lagi pula, yang kita ‘boleh’ kawal atau pilih di dalam hidup ini adalah terlalu sedikit berbanding perkara lain yang di luar kawalan kita. Contoh yang mudah; terkadang kita mampu untuk memastikan kenderaan kita sentiasa berada di dalam keadaan terbaik. Tetapi terkadang kenderaan kita tetap rosak kerana jalan yang terlalu buruk, atau pelanggaran oleh kenderaan lain – ini semua perkara luar kawalan kita. Ya, manusia terlalu lemah. Sedikit sangat yang mampu kita tentukan. Justeru, dalam perkara kecil inilah kita jangan persiakan. Buatlah keputusan yang terbaik.

Keputusan yang diambil seeloknya biarlah bersih daripada unsur kezaliman, penindasan, penipuan, penyelewengan atau yang melanggar batas Allah SWT. Kita membuat keputusan di dalam batas kejahilan dan kelemahan. Maka, hendaklah kita sentiasa berpada. Semakin adil, sejahtera dan benar keputusan yang diambil, maka semakin sejahtera jugalah hasilnya nanti. Keputusan yang zalim dan berunsur fasik, tidak mungkin akan menatijahkan kebaikan dan kejayaan hakiki. Ini sunnah yang mudah dan tidak akan dimungkiri selamanya.

23 Oktober 2010, Sabtu

Baling – lepas isya’

Sunday, 17 October 2010

Sifat Dakwah??

Sifat dakwah adalah usaha yang membawa manusia semakin hari semakin dekat dengan Allah SWT. Dan semakin meningkat kefahaman kepada agama fitrah, iaitu Islam, semakin jauhlah manusia tersebut daripada perlakuan maksiat dan noda. Semakin dekat jugalah jiwa manusia tersebut kepada hakikat kejadiannya. Fitrah manusiawi yang tidak pernah mengingkari akan wujudnya pencipta, dan lemahnya makhluk yang bernama manusia.

Sifat dakwah juga adalah pendekatan memperbanyakkan maslahat atau kebaikan, dan mengurangkan mafsadat atau kemudaratan. Pendakwah dan risalah dakwahnya adalah benih-benih kebaikan yang sedang disemai di batas-batas hati, jiwa dan pemikiran manusia. Adalah menjadi matlamat dakwah iaitu untuk menyelamatkan manusia daripada musibah atau kemudaratan yang paling besar. Yang dimaksudkan adalah tergolongnya manusia di dalam kelompok penduduk neraka buat selama-lamanya. Dakwah datang untuk menyelamat, bukan menyekat dan menghilangkan ghairah kepada kehidupan.

Sifat dakwah adalah untuk memastikan kehidupan kelompok manusia ini berjalan berdasarkan perintah Allah SWT dan gesaan Ar-Rasul SAW. Risalah Islam membentuk manusia beriman, membentuk barisan pentadbir bumi yang akan mentadbir bersesuaian dengan kehendakNYA, bukan sekadar kemahuan dan rasa-hati semata. Manusia makhluk utama, kerana dengan tangan manusialah bumi ini boleh makmur atau sebaliknya. Ya, semestinya dengan izin Allah, penciptaNYA.

Sifat dakwah ini sebagai wadah penyelamat tamadun manusia dan alam jagat ini. Wadah penyelamat yang hakiki ini ada ahlinya. Ahli dakwah atau juru-dakwah. Ia bukan pilihan manusia, tapi terhasil daripada tapisan dan pilihan Allah SWT. Tamsilannya adalah seperti pemilihan para nabi dan rasul. Mereka golongan manusia terpilih, begitu juga dengan ahli dakwah. Mereka ini, pada hakikatnya, telah disaring dan dipilih oleh Allah SWT, untuk memikul amanah yang mulia ini. Bukan calang-calang orang. Namun, kita mesti berazam dan berusaha, untuk bersama golongan ini.

Sifat dakwah adalah penjelas kepada kekeliruan manusia di akhir zaman ini. Akhir zaman adalah waktu yang penuh dengan fitnah serta kesamaran. Di waktu inilah usaha dakwah menjadi semakin penting. Tidak kurang pentingnya dengan perkara yang asasi di dalam hidup manusia yang normal, seperti air dan oksigen yang dihirup setiap hari. Jika kerja dakwah tidak berjalan, maka fitnah akan semakin tebal, dan manusia selamanya akan tenggelam di dalam kabut pengingkaran kepada penciptanya. Allah SWT telah menjanjikan akan ada golongan dakwah yang dibangkitkan sehingga kiamat muncul. Tidakkah kita mahu menjadi di dalam golongan bertuah ini?

Sifat dakwah adalah seruan kasih sayang. Kita menyeru manusia kerana kasihnya kita. Manusia yang diseru mungkin tidak melihat sedemikian, tetapi inilah niat dan tujuan kita yang sebenar. Tiada tujuan lain. Dakwah tanpa kasih sayang amat memenatkan. Kerana dakwah bukan hanya nak memenangkan hujah, tetapi juga untuk memenangi hati dan jiwa manusia. Inilah hakikat dakwah Ar-Rasul SAW.

Pastinya sifat dakwah ini amat luas, seluas dimensi dan kepelbagaian manusia yang menjadi sasarannya. Dakwah bukan medan yang jumud dan kaku, malah ia begitu rencam dan dinamik geraknya. Jadi, yang beku dan kaku bukan medan dan relung dakwah, tetapi ahli-ahli dakwah dan gerombolan manusia yang bergelar jamaah dakwah. Jangan sesekali kita terkeliru. Medan dakwah akan selamanya luas dan bebas, dan cabaran untuk mengubahnya pun semakin hari semakin getir dan payah. Siapa kata syurga itu murah maharnya???

Tegakkan Keadilan!!!


Menegakkan keadilan adalah satu bentuk perjuangan yang bersifat universal. Keadilan begitu dekat dengan jiwa manusia kerana ia membangkitkan rasa tenang dan sejahtera, membuang rasa ditindas, ditipu dan dizalimi. Tiada tamadun yang mencapai puncaknya tanpa di galang oleh sifat keadilan membawa kesamarataan. Sejarah tamadun yang hancur adalah kerana keadilan dikesampingkan, dan kezaliman tidak disekat dan dihalang. Malah, adalah dimaklumi bahawa erti kezaliman, adalah apabila sesuatu tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Tamadun Rom yang hebat itu hancur, kerana ketika di kemuncaknya nyawa manusia tiada lagi harga, malah menyaksikan manusia di berlawan dan berperang, menjadi hiburan terhebat. Malah sehingga hari ini jika kita ke bandar Rom di Itali, kita boleh menyaksikan Coliseum, iaitu satu gelanggang pertarungan yang menjadi kebanggaan Tamadun Rom. Ya, mereka bersorak apabila satu pihak membunuh pihak yang satu lagi. Tamadun yang mengambil ringan urusan kezaliman, tidak akan panjang hayatnya. Begitu jugalah hukum atau sunnah alam yang akan hinggap kepada mana-mana tamadun yang telah dan akan wujud di muka bumi ini.

Menegakkan keadilan ini urusan melawan hawa nafsu. Manusia bukan tidak tahu ia sedang berlaku zalim, tetapi ia berusaha melenyapkan rasa bersalah ini dengan ketaatan yang tinggi kepada saranan hawa nafsu. Apalagi hawa nafsu ini dikobarkan lagi dengan bisikan-bisikan syaitan jin dan manusia. Ganjaran hawa nafsu yang dekat melalaikan manusia daripada azab berat di akhirat nanti. Nikmat yang sementara ini jugalah menyebabkan nikmat yang abadi semakin menjauh daripadanya. Malang sekali apabila nikmat yang kekal kita gantikan dengan nikmat yang amat sementara sifatnya. Menegakkan keadilan adalah satu amanah yang bersifat mikro dan makro. Maksudnya ia bermula daripada diri individu sehinggalah susuk satu masyarakat, negara dan hubungan sesama negara. Jika ada pengabaian berkaitan urusan keadilan ini di mana-mana peringkat pun, pasti ia akan menatijahkan masalah dan menjadi sumber konflik yang berterusan. Sehinggalah yang empunya hak diberi haknya kembali. Lihatlah kepada semua konflik yang tercetus di sekitar kita. Ia semua mempunyai ciri hilangnya hak yang empunya hak. Tiada keadilan atau keadilan yang terabai.

Allah SWT amat adil kepada semua makhlukNYA. Diberi kehidupan dan semua keperluan untuk hidup. Semua keperluan manusia untuk menjalani kehidupan yang sejahtera, ada disediakan. Cuma, setiap kita mesti berusaha dan terus bekerja. Didatangkan rezeki dengan sebab dan usaha. Inilah yang kita fahami dalam urusan kehidupan ini. Allah SWT Maha Sempurna. Atas sebab ini kita memahami satu hakikat. Kesempurnaan menjadi sumber keadilan. Apa yang didatangkan Allah SWT kepada manusia berupa wahyu dan teladan para Rasul/Nabi-NYA adalah perkara yang mendorong kepada keadilan. Semakin jauh kita daripada sumber Ilahi, semakin jauh kita daripada perlakuan yang adil, yang melahirkan keadilan. Di ketika itu, kita semakin dekat di jurang kezaliman dan permasalahan yang akan dicetuskannya. Maka, marilah kita segera kembali kepada Allah SWT dan ajaran RasulNYA. Kita tiada pilihan.

Berlaku adil-lah kita. Walaupun secara zahirnya, kita mengira kerugian yang tinggi pasti menimpa kita. Berlaku adil dan berlaku benarlah. InsyAllah, kita akan untung di akhirat nanti. Ini janji Allah SWT. Perhatikanlah ayat-ayat Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat (6-8):

(6) Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.

(7) dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; -

(8) (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Semoga kita akan sentiada berlaku adil. InsyAllah.

Kepemimpinan: Tugas Siapa???


Tugas kepemimpinan bukan satu tanggungjawab yang mudah. Apalagi bagi yang memegang tampuk kepemimpinan dakwah. Dakwah ini kerja besar. Orang yang nak memikul beban dakwah ini juga mesti mampu menanggung beban yang besar. Ia mesti cekal, tabah dan tidak jemu dengan segala bentuk halangan. Bertambah berat lagi untuk yang mengemudi bahtera dakwah. Ia jadi beban di atas beban. Beban ini berat – ya betul. Tetapi, ganjarannya pun maha hebat. Jadi, tidak ada ketidakseimbangan dalam aspek ini. Ia selaras atau berkadaran. Allah Maha Adil kepada hambaNYA.

Apabila kita menanggapi para masulin dakwah ini, iaitu para qiadah atau barisan kepimpinan, jangan kita merasa terlepas daripada tanggungjawab kepimpinan dakwah. Kita jangan merasakan tidak perlu berfikir tentang dakwah dalam konteks amal jamaie. Kita jangan rasa berlepas tangan dengan masa hadapan jamaah. Kita jangan merasa tidak perlu memberatkan kepala dengan masalah dan kekangan jamaah. Kita juga jangan terfikir, oleh kerana telah terlantik mas’ul dan barisan kepimpinan, biarlah mereka yang berfikir dan menyelesaikan masalah yang sedang ditanggung. Ahli-ahli jamaah dakwah tidak sewajarnya bersifat sedemikian. Ia semestinya berasa belas dan ambil berat dengan apa jua kemelut dakwah dan jamaah. Ia adalah pemimpin dakwah dalam konteks untuk memastikan seruan dan amal dakwah berjalan selancar-lancarnya. Betul, kita mungkin bukan pemimpin terlantik di dalam jamaah, namun selamanya kita adalah pemimpin dakwah, di mana pun kita berada.

Sifat ambil berat dan bersedia berkongsi beban dakwah dalam konteks amal jamaie ini amat penting disebar luaskan di dalam saf dakwah. Setiap ahli jamaah adalah pemimpin. Ia mesti mengambil usaha dan langkah untuk menguatkan saf jamaah. Ia sentiasa merasakan terpanggil untuk menghidupkan suasana amal dakwah yang sihat. Bicaranya adalah mencari maslahah bukan masalah. Gesaannya adalah mendatangkan faedah bukannya mafsadah. Kenapa hari ini ramai yang seakan gerun untuk menjadi pemimpin di dalam saf jamaah? Mungkinkah kerana risaukan beban yang perlu ditunaikan? Sedang jika tidak memegang amanah masuliyah, jiwa tenang, otak lapang. Benarkah? Mungkin ya, mungkin tidak. Yang pasti ramai ahli jamaah amat cenderung menolak amanah kepimpinan ini. Ini hakikat yang kita semua dapat rasakan. Bolehkah keadaaan ini berubah? Agar kelak semua ahli jamaah tidak gerun lagi untuk memimpin, kerana di mana pun ia berada, ia tetap wajib memimpin.

Ya, dakwah hari ini ketandusan pemimpin. Ramai yang lebih rela mengikut daripada mempelopor. Ada yang cenderung setuju, dengan syarat bukan empunya diri yang akan terbeban. Dakwah ini tidak akan hidup jika sifat kepimpinan tidak meluas. Dakwah ini pasti semakin menguncup jika sifat kepimpinan tidak subur. Action-oriented dakwah memang tampak hebat, tetapi ia mesti akhirnya menghasilkan generasi pemimpin. Logiknya amat mudah. Dakwah ini kerja mengajak manusia. Kerja mengajak manusia ini adalah satu bentuk pimpinan atau memberi panduan. Jika kita ketandusan jiwa pemimpin di dalam anggota-anggota saf dakwah, bagaimanakah manusia yang ramai itu dapat dipimpin??? Maka, marilah kita berusaha untuk melahirkan pemimpin-pemimpin di dalam saf dakwah yang tercinta ini. Kita lahirkan benih-benih penguat ummah masa hadapan. Ar-Ruhul jadid yang mengalir subur menggugah jahiliyah. InsyAllah.

Inilah erti kehidupan…

Sememangnya matlamat untuk mendapatkan cinta dan redho Allah SWT menuntut mahar yang bukan sedikit. Ramai yang berusaha, tetapi bukan sedikit yang kecundang di tengah jalan, atau yang lebih malang ketika sudah hampir ke titik penamat. Dan, pastinya ada yang telah berjaya. Di bumi inilah medan pertempuran dan pembuktian mahar tadi. Rasullullah SAW dan para sahabat telah membuktikannya. Begitu juga dengan barisan mujahidin sepanjang catatan perjuangan menegakkan agama mulia ini. Pengkisahan hidup mereka yang pelbagai tetapi akhirnya bersatu untuk berjuang menegakkan risalahNYA adalah contoh yang mesti kita garapi. Bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk diambil contoh teladan yang tersurat dan tersirat. Rujuk Surah Ali-Imran, ayat 31.

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Apapun amal manusiawi di bumi ini, akhirnya samada menambah timbangan pahala atau timbangan dosa. Amal yang terbaik adalah yang memberatkan timbang kebaikan. Kerugian yang besar adalah hayat menjadi korban, tetapi sekadar memberatkan timbang amal keburukan. Inilah realiti amal kita semua. Maka, setiap aset atau harta yang Allah SWt kurnikan kepada kita mesti kita usahakan agar ditukar ganti dengan yang lebih baik di akhirat nanti. Inilah perniagaan yang bijak. Yang diutamakan adalah untung di akhirat, walau tampak rugi di dunia. Ya, inilah peniaga ‘dunia’ yang paling pintar. Ini kerana kita menukar barangan dunia yang hakikat tidak bernilai untuk suatu yang tidak terbanding nilainya. Renungilah Surah Al-Lail: ayat 4.

Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya.

Begitulah di dalam kesibukan kita menguruskan urusan duniawi kita yang tidak pernah putus ini, beringat-ingatlah kita bahawa setiap amal ini tidak akan berlalu begitu sahaja. Ia akan ditanya dan dipersoalkan. Ada ketika kita terlalai dan terlepa, maka marilah kita banyakkan beristighfar di atas kekhilafan kita. Kita ini manusia yang pasti akan melakukan dosa, samada kita sedar atau tidak. Namun, keimanan kita kepada Allah SWT juga menjadikan kita tidak pernah putus asa kepada rahmat dan pengampunan Allah SWT. Ditambah lagi bila kita berada di dalam saf dakwah, maka bertambah lagi tekanan secara sedar atau bawah sedar kepada dosa dan pelanggaran yang kita lakukan. Jangan putus asa, segeralah kita kembali kepada Allah SWT. Kita berada di dalam saf bukan bermakna kita akan tiba-tiba menjadi suci atau maksum. Tetapi, lebih sedar, peka dan bersegera untuk bertaubat. Keberadaaan kita di dalam saf dakwah memudahkan kita untuk kembali kepada Allah SWT. Dan, suasana yang wujud di dalam keluarga dakwah menjadi benteng yang mengawasi jiwa dan gerak kita. Fikirkanlah ayat 24 di dalam surah Anfal:

Wahai orang-orang Yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara Yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu Dengan (pekerjaan) hatinya, dan Sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

Akhirnya kita akan mendapat syurga bukan atas timbangan berat amal kita semata, tetapi amal yang mendapat anugerah cinta dan redho daripada daripada Allah SWT. Inilah kejayaan yang paling besar dan abadi. Tiada siapa tahu apa nasib masing-masing, tetapi yang boleh kita usahakan adalah mencari sebab-sebab sebanyak mungkin untuk melayakkan diri kita. InsyAllah, tidak Allah SWT sia-siakan amal hambaNYA. Amin.

Wednesday, 6 October 2010

Song Sang!


Ada satu perkara yang lama kuperhatikan di sini. Seringkali ketika aku berjalan didalam laluan susuk manusia-manusia asing ini, aku seolah tersilap laluan. Rupanya mereka telah dibiasakan dengan aturan tertentu. Di jalanraya Perancis ini, mereka memandu songsang kepada cara kita di Malaysia. Sebenarnya di Eropah, kecuali di United Kingdom, ini cara mereka memandu. Maka, di Malaysia kita memanfaatkan haluan kiri untuk ke hadapan, dan haluan ke kanan untuk ke belakang. Di Perancis ini, ia terbalik atau songsang. Haluan kiri untuk ke belakang, manakala hlauan kanan untuk ke hadapan. Ia bukanlah perbezaan yang kompleks, tetapi rupanya ia boleh jadi rumit kerana di lapangan lain juga ini budaya mereka. Aku selalu tersongsang dengan gerak mereka.

Kesongsangan aku ini tidak bererti aku salah atau sebaliknya. Cuma, aku menjadi seolah tersalah kerana tindakan yang sering kesongsangan tampaknya. Salah di mata mereka semata. Salah betul jika diukur di mata manusia, pastinya akan selalu berubah-ubah. Kebenaran sesuatu mesti dibuktikan dengan hujah dan nas yang hakiki. Tapi, di dalam kehidupan harian di Perancis ini, aku sering kelihatan pelik dan tampak songsang. Ini sesuatu yang memaksa aku melihat kepada sudut lain kehidupan di sini. Contoh seperkara lagi adalah, menjadi budaya untuk mereka berlaga pipi antara rakan atau taulan, ketika bertemu. Tidak kira lelaki atau wanita. Dan, ada jumlahnya pula bilangan lagaan itu. Bukan dilaga sesuka hati. Jabat tangan pun ada, tapi lelaki sesama lelaki. Yang ini, aku boleh hargai, kerana suatu pandangan yang amat songsang jika terlalu kerap melihat lelaki sesama lelaki melaga pipi.

Songsang jika atas hujah tiada masalah. Tetapi jika sonsang kepada hujah, ini yang mengundang musibah. Bagaimana boleh terjadi? Tidak lain, apabila minda dan hati telah dirasakan lebih aula daripada nas Ilahi dan pesanan nabi. Songsang pun tidak dirasa songsang, malah menjadi gah pula dengan perlakuannya. Ini tidak pelik kerana ini kan era akhir zaman. Kiamat dah dekat!, bak tajuk sebuah filem Indonesia yang pernah ku tonton. Ya, walaupun aku sering songsang di laluan, ia tidak menimbul apa-apa bencana lagi. Dan, memang tidak semua perkara songsang ini, bencana muncul beriringan dengannya. Mungkin ia menanti masa dan ketika, untuk memunculkan diri. Ingatan yang perlu diambil adalah, songsang jangan dibiasakan, nanti menyesal.

Dunia akhir zaman ini dunia yang caca-marba. Perkara yang baik nampak pelik, yang nista lagi hina boleh diterima. Bila banyak yang songsang daripada yang hakiki, maka banyaklah masalah dan kerumitan yang mendatang. Musibah namanya. Dicari ubat dan penyelesaian, tapi musibah semakin besar dan kronik. Manakan selesai kerana wahyu Ilahi dikesampingkan. Lihatlah alam dan hidupan selain manusia – mereka hidup sewajibnya, tanpa ada songsangan. Tetapi mereka menanggung musibah hasil kerja tangan manusia. Di sini, dapat kita ambil pengajaran. Apabila kesongsangan dibiarkan, maka musibah nanti dikongsi semua. Tiada yang terkecuali. Jika di dalam masyarakat, maksiat dan pelanggaran tidak diberi kekangan dan halangan, semua akan merasa pedihnya. Ia tanggungjawab kita.

Jadi, jika kita berlaku songsang, berhentilah sejenak, dan periksa asbabnya. Tidak akan rugi untuk berwaspada, dan tidak akan untung mereka yang sering alpa.

Mardi, 5 Oktober 2010, LIRMM – Montpellier, Fr

Da’i pun manusia biasa…


Perjalanan alam ini adalah tetap pada putaran dan jejaknya. Ia mengikut ketetapan yang telah ditakdirkan. Sunnah alam mesti difahami, untuk kejayaan mendekati. Tidak mungkin sunnah atau tabiat alam boleh berubah, kecuali atas sebab yang khusus. Pengalaman manusia dan golongan yang berjaya dan juga yang gagal adalah amat terikat dengan muamalah atau interaksi yang sebaiknya dengan tabiat alam.

Di dalam dakwah, tabiat alam atau kehidupan juga mesti kita garapi. Jika kita meletakkan niat, tindakan atau matlamat dakwah ini di luar tabiat alam atau fitrah manusiawi, maka kegagalan adalah hampir pasti. Dakwah adalah usaha untuk membawa manusia kembali kepada fitrah – tunduk patuh dan taat kepada perintah Ilahi. Ia bukan gesaan untuk manusia melakukan sesuatu yang berada di alam impian atau di luar batas kemampuan.

Di dalam usaha dakwah, kita ada bahan dan kita ada penzahiran bahan tersebut. Bahan atau modal dakwah ini sememangnya lengkap dan amat memotivasikan kita untuk beramal. Tetapi penzahiran bahan adalah seni yang tidak mudah untuk dikuasai. Ia bukan sekadar cukup dengan dihafal dan dihujahkan. Ia seni yang hidup. Penzahiran bahan dakwah seringkali merupakan halangan atau unsur yang ketandusan di dalam dakwah yang sebenar.

Dakwah adalah urusan interaksi sesama manusia, dan juga kepada alam. Ia bukan perkara baku yang cukup dengan modul dan huraianya. Ia bersifat dinamik atau ‘hidup’. Dakwah dalam aspek ini yang menuntut banyak kesabaran dan hikmah. Penzahiran bahan dakwah ini adalah unsur yang amat penting. Jika ia terabai, maka biarlah bersusun manusia-manusia ‘hebat’ ini, ia tidak akan membawa apa-apa makna kepada perubahan di dalam masyarakat. Ilmu dakwah adalah ilmu yang dapat digarap dengan pengetahuan dan interaksi nyata. Ia mesti diuji di medan amal. Ia mesti diselarikan dengan tabiat alam. Ia tidak boleh songsang.

Bahan dan penzahiran bahan masih lagi tidak cukup di dalam konteks lahirnya barisan du’at yang mantap. Proses penyampaian dan pencernaan bahan kepada golongan du’at juga menjadi faktor penting. Ini kerana jika pencernaan bahan tidak sempurna, maka tidak akan lawas nanti hasilnya. Ia tersekat-sekat, dan ia bakal hilang arah. Du’at juga ada tabiat, binaan jiwa serta penerimaan yang berbeza. Maka du’at yang telah diberikan bahan dakwah melalui proses dan wasa’il yang sebaiknya, akan meningkatkan kemungkinan untuk dakwah-nya menjadi amat berjaya. Apalagi tahap penzahiran bahan menjadi semakin baik, kerana tidak jemu dan tegalnya da’i di medan amal dakwah. Kesilapan menjadi guru yang paling berguna. Apabila langkah dakwah ini berjalan di atas landasan keikhlasan, kefahaman dan kesedaran, maka musim-musim menuai buah kejayaan telah semakin hampir, insyAllah.

Apapun kita mesti sentiasa menginsafi bahawa da’i adalah manusia biasa, yang ada kekuatan dan kelemahan. Jika kita mendambakan da’i yang sempurna sifatnya, maka kita akan kecewa. Da’i menyampaikan setakat kemampuan yang ada. Begitu juga sebaliknya, ia juga terdorong untuk mengejar habuan dunia dan gesaan hawa nafsu. Yang menyelamatkannya adalah keterlibatan di dalam amal dakwah – dan wasail-wasail tarbiyyah yang tidak jemu membentuk hati, minda dan zahirnya. Dai’i pun ada tabiat yang tidak layak baginya. Ia sedang berusaha memadamkan semua itu. Bantulah dia kerana kesungguhan kita adalah ubat terbaik baginya.

Semoga da’i akhirnya akan berinteraksi yang sewajarnya. InsyALlah.

Mardi, 5 Oktober, LIRMM – Montpellier, Fr