Sunday, 21 November 2010

Maka Berkatalah...

Maka berkatalah seorang penceramah, katanya berdasarkan satu hadis Nabi SAW, intipati maksudnya; “Kesukaran seseorang menghadapi sakratul maut, adalah berkadaran dengan kadar kelazatan dunia yang telah beliau nikmati”. Aku yang sedang melangkah keluar daripada masjid kerana telah selesai solat berjamaah, dan nak bersegera berbuat sesuatu, tiba-tiba rasa tersentak. Terutama bila mengingat semula ayat “...berkadaran dengan kelazatan yang dinikmati..”. Apa benar wujud hadis ini? Tidak pernah kudengar hadis sepertinya. Ini kurasakan bukan kerana ilmu ku menimbun-nimbun, tapi akibat ilmu yang amat dangkal.

Katalah hadis tadi benar-benar wujud. Maka apakah ertinya? Adakah Allah SWT memberi nikmat yang melimpah ruah kepada hambaNYa, dan terus menetapkan bahawa hambaNYA ini akan menghadapi sakaratul maut yang amat sukar? Aku amat-amat meragui hakikat ini. Kenapa? Kerana terfikir ia bertentangan dengan sifat adil dan pengasih Allah SWT. Yang benarnya, sukar atau mudahnya sakaratul maut seseorang adalah berkadaran dengan amal soleh yang telah beliau tunaikan selama hidup di dunia yang sementara ini. Hidup yang baik, insyAllah, pengakhirannya pun baik. Amin.

Katalah seseorang itu kaya-raya seperti Abu Bakar RA dan Khadijah Al-Khuwailid R.A, tetapi kekayaan ini digunakan untuk menegakkan agama dan menguatkan perjuangan, maka apakah golongan hartawan ini pun akan terikat dengan sakaratul maut yang sukar? Sukar untuk diterima akal. Sukar pula untuk dibuktikan dengan hujah an-nahjus sahih. Maka kenapakah penceramah tadi berkata-kata sedemikian?

Oh ya, mungkin untuk mengingatkan kita bahawa kelazatan dunia yang terlalu banyak menyelimuti kita bakal menyusahkan kita dalam melakukan ketaatan kepadaNYA. Mungkin juga untuk mengingatkan kita bahawa sesuatu yang lazat nanti payah untuk ditinggalkan. Seolahnya makanan yang lazat, akan terus dikenang-kenang, dan payah nak dilupakan. Hatta urusan solat pun boleh tertangguh dek kerana makanan lazat tadi. Dunia yang disayang, maka sakratul maut mungkin tidak kita sukai. Hatta, akan menjadi sukar. Ya, melalui hujah ini, ada logiknya.

Apapun, setiap kelazatan dunia ini akan dipersoalkan dan ada pertanggungjawabannya. Ia tidak diberi percuma. Namun, di dalam perjuangan untuk menegakkan risalah, kekuatan duniawi (baca: material) tidak kurang pentingnya. Walaupun, kekuatan ruh adalah yang lebih mendasar. Mukmin yang kuat lebih disukai daripada mukmin yang lemah. Ini maksud hadis Rasul SAW. Jadi, dunia dan kelazatannya ada tempat dan peranannya. Cuma, pastikanlah dunia tidak kita terlalu cintai, mati pula jangan kita takuti.

Allahua’lam

7.04pm – Rue De La Vieille Intendance, Mplr

Friday, 19 November 2010

Kuliah MASAF (1): Islam Penyelamat Dunia; Adakah ia penyelamat anda?

Peranan Islam di dalam pembangunan tamadun dunia sejak ia diwahyukan oleh Allah SWT adalah perkara yang telah dicatat di dalam lembaran sejarah. Perkara ini dipersetujui oleh jumhur ahli sejarah, yang Islam dan bukan Islam. Ia fakta bukan mitos. Tamadun dan konsep kehidupan yang dibawa Islam telah menjadi contoh dan benih kepada tamadun moden hari ini. Walaupun tamadun moden hari ini telah lari jauh daripada matlamat asal ditegakkan Islam itu sendiri.

Islam adalah agama fitrah. Ia didatangkan daripada Allah SWT (minALlah), kehidupan ini didasarkan kepada Allah SWT (Ala Allah) dan kehidupan ini dituju kepada Allah SWT (iLa Allah). Islam satu cara hidup yang paling sempurna untuk manusia. Ia tidak menuntut atau meminta kecuali apa yang mampu dilaksana oleh manusia juga. Semakin kuat kita memeluk risalah Islam, semakin selamat dan sejahtera kehidupan ini. Ini kerana akar Islam ini adalah kebenaran. Kebenaran hakiki pula hanya daripada Allah SWT. Jadi Islam yang diwahyukan Allah SWT ini pasti mendekatkan penganutnya kepada kebenaran dan kejayaan.

Kejayaan hakiki adalah kejayaan dunia dan kejayaan abadi di akhirat kelak. Semua makhluk menuju kebinasaaan, sebelum menghadapi kehidupan yang kekal abadi. Tetapi, ada manusia yang dijanjikan dengan kebinasaan hakiki sejak di dunia lagi. Apa guna kebahagian dan kejayaan sementara di dunia jika di akhirat kita tidak selamat. Semua manusia tahu hakikat kehidupan ini, ia akan mati dan bertemu dengan penciptanya. Tetapi, mengapa ramai yang tidak mempersiapkan apa-apa bekalan?

Islam adalah satu risalah kehidupan yang penuh dengan erti dan pembawaan hidup yang sempurna. Daripada segi lafaz, erti Islam itu ada lima:

i. Islam Al-Wajh (Menundukkan wajah) (Q4:125)

ii. Al-Istislaam (Berserah diri) (Q3:83)

iii. As-Salaamah (Suci, bersih) (Q26:89)

iv. As-Salaam (Selamat/Sejahtera) (Q6:54)

v. As-Silm (Perdamaian) (Q47:35)

vi. Sullam (Tangga)

Makna-makna lafaz perkataan Islam ini memberi makna bahawa seorang manusia yang mengimani risalah Islam ini adalah mereka yang sentiasa menundukkan wajah atau kepatuhan mereka kepada Allah SWT. Di samping penyerahan diri yang total terhadap perintah dan larangan Allah SWT. Islam menjadikan kehidupan mereka ini suci, bersih dan selamat/sejahtera daripada musibah dan bala bencana. Ia juga membawa perdamaian kepada mereka. Islam juga adalah agama yang menuntut perubahan secara berperingkat-peringkat (tadarruj). Ia bertangga atau bertahap di dalam membawa perubahan. Ini dicontohkan Allah SWT yang mencipta alam dalam enam hari, walaupun pada hakikatnya Allah SWT boleh mencipta alam ini dalam sekelip mata. Ini pengajaran untuk kita.

Manakala kalimah Islam itu sendiri mengandung beberapa maksud. Islam adalah Ad-Deen – cara hidup. Ia bukan satu agama semata. Islam datang untuk mengatur kehidupan manusia agar mereka selamat di dunia dan akhirat, di dalam kehendak dan ketentuan Allah SWT. Ayat Allah SWT dalam Surah 3: 85;

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”.

Berikut adalah beberapa maksud kalimah Islam:

i. Sikap seorang Islam adalah sikap seorang yang Al-Khuduu’ (tunduk). Mereka tunduk atau berserah diri kepada Allah SWT. Ini akan menjanjikan kemenangan kepada mereka.

ii. Panduan Islam pula adalah berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Wahyu Ilahi ini adalah amat sesuai dengan makhluk manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Isme-isme lain kehidupan hanya akan mendatangkan kemelaratan dan kemusnahan kepada manusia.

iii. Daripada sudut risalah Islam, ia adalah Deen Al-Anbiya Wa Al-Mursalin (Deen para nabi dan rasul). Intipati risalah mereka semua sama. Yang berbeza hanya pada syariat atau peraturan kehidupan sahaja (Q2:138).

iv. Islam juga adalah AhkamuLlah (hukum-hukum Allah). Keadilan kepada manusia adalah pada perlaksanaan hukum Allah SWT. Hak menentukan hukum hanyalah Allah SWT sahaja.

v. Risalah Islam ini adalah As-Sirath Al-Mustaqim (Jalan yang lurus). Hanya Islam yang menjanjikan jalan yang lurus kepada mendapat rahmat dan kasih Allah SWT di dalam kehidupan ini.

vi. Dan, yang terakhir, Islam juga adalah Salamaah Ad-Dunya Wal Akhirat (keselamatan dunia dan akhirat). Hanya melalui jalan Islam, seseorang akan mendapat keselamatan di dunia dan di akhirat. Tiada jalan atau pilihan lain.

Apabila disimpulkan kesemua erti Islam itu sendiri, maka terlihatlah satu cara hidup yang amat hebat dan menyeluruh. Islam tidak menerima perlaksanaan secara juz’i atau bahagian-bahagian. Ia menuntut perlaksanaan menyeluruh, barulah akan mendapat natijah terbaik daripada risalah Islam ini. Ia datang untuk menyelamatkan manusia, bukan untuk menyusahkan atau memudaratkan manusia. Dengan ini barulah kita dapat menghayati kalimah “Islam itu tinggi dan tiada kerendahan di dalamnya”. Begitulah juga mereka yang benar-benar memeluk risalah Islam itu sendiri.

Persoalan yang kita ingin fikirkan adalah:

i. Adakah Islam yang kita anuti akan menyelamatkan kita nanti?

ii. Adakah amal Islami yang ada pada kita telah mencukupi untuk menjadi hujah di hadapan Allah SWT?

iii. Apakah Islam telah tertegak dengan sempurna?

Sememangnya Islam penyelamat dunia dan sekalian manusia. Ia datang untuk memastikan manusia akan hidup di dalam batas kehendak Allah SWT, dan mendapat kebahagiaan di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal abadi. Kehidupan ini hanya akan sejahtera apabila Islam menjadi landasannya. Tidak pernah selamat mereka yang mengabaikan risalah Islam. Islam cuma akan menjadi penyelamat jika risalahnya diamal dan dilaksana di dalam kehidupan. Ia tiada unsur magik, melainkan kudrat usaha manusia dan keizinan Allah SWT.

Saturday, 13 November 2010

Kejutan demi kejutan...

Sering di dalam perjalanan hidup ini kita dikejutkan dengan peristiwa-peristiwa yang tidak disangka-sangka. Samada kisah sedih atau gembira, kedua-duanya adalah kejutan, yang datang secara tiba-tiba, dan di luar jangkaan kita. Kejutan yang mengesani jiwa, perasaan dan perjalanan hidup seterusnya. Sepetang tadi aku menziarahi kematian seorang saudara jauh. Umurnya masih muda. Keluarganya pun muda. Kematian datang secara tiba-tiba. Entah mengapa hati aku terasa amat sedih. Biarpun insan yang terkujur di hadapan ku ini bukannya betul-betul aku kenali. Pelik, tapi ini perasaan manusiawi yang normal. Kematian dipasang dengan kesedihan.

Seolah aku melihat yang terkujur itu aku. Bagaimana agaknya nasib aku nanti? Di keliling kelalang sanak saudara duduk bersimpuh membaca al-Quran kepada yang sedang terkujur. Suasana muram durja ini amat terasa. Si anak yang tidak mengerti berlari-lari di laman seolah pesta yang tiba-tiba hadir. Orang-orang tua mungkin tertanya-tanya mengapa bukan aku yang terbaring di situ. Rakan-rakan taulan mungkin terkenang-kenang saat sembang dan santai yang dirasa baru sedetik lalu dinikmati bersama. Pak imam dan jamaahnya mungkin sedang menunggu di ruang balai masjid kampong ini. Kematian disambut bersama, kerana ia mengingatkan semua bahawa masa kita masing-masing pun akan tiba.

Ya, usia dan kehidupan ini sedang berlalu dengan pantas. Ia datang sarat dengan peristiwa dan ketetapan Ilahi. Kehidupan ini hadiah berharga buat ditebus dengan ketaatan dan kepatuhan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa. Kehidupan memang sarat dengan kejutan buat semua kita. Namun, keimanan yang hakiki dan pemahaman bahawa semua perkara datang daripadaNYA dapat membuatkan kita tenang, insyAllah. Apalagi yang dapat kita lakukan selain menenangkan jiwa dan perasaan kita. Dan, berserah diri kepadaNYA. Inilah yang terbaik. Mencari tenang dengan jalan mungkar adalah ubat yang penuh dengan racun dan kepalsuan. Sifat tenang adalah natijah iman dan ketaqwaan. Ya, inilah hakikatnya.

Sedetik tadi, insan yang telah terbujur itu dibawa pergi. Pergi juga bersamanya semua amal yang telah terkumpul selama ini. Anak-isteri, keluarga tercinta sekadar dapat menemani sehingga ke pintu lahad. Itu had yang tidak mungkin, dan mustahil untuk dilangkau. Berlalu episod kehidupan seorang di muka bumi ini. Terbaring jasad di situ bersama nasib yang telah ditentukan, menanti saat panggilan malaikat nanti, apabila hari tiba hari kebangkitan kelak. Penantian yang boleh jadi sebentar, atau mungkin juga terasa bertahun, malah berzaman. Untunglah mereka yang menanti di salah satu taman-taman syurga, dan rugilah mereka apabila tersepit di salah satu lubang-lubang neraka. Ya Allah, Ya Rabb, selamatkanlah kami.

Nampaknya masa kita masih berbaki. Baki yang tidak diketahui jumlahnya ini mesti dimanfaatkan. Ada orang yang dengan melihat kematian semakin insaf dan menginsafkan. Ada orang telah terhijab akal dan fikirannya, malah hatinya untuk mengambil apa jua iktibar. Kematian tidak lagi mengejutkannya. Ia telah lali dan basi dengan cerita kematian ini. Baginya kematian ini hanya proses biasa dalam kehidupan. Apa yang hendak direnung-renungkan. Ya, mungkin ada benarnya. Kematian orang lain tidak lagi mengejutkannya. Tapi, kematiannya sendiri PASTI menjadi kejutan yang tidak disangka-sangka.

Ya Allah, jadikanlah kami insan yang tidak jemu mengambil pelajaran dan iktibar daripada lembaran peristiwa dan kisah kehidupan. Ya Allah, kepadaMU kami berserah. Amin

13 Nov 2010, Bukit Palong.

Risalah yang barakah

Dosa yang amat Allah SWT murkai adalah dosa syirik atau menyekutukanNYA. Dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa kemurkaan ini dek kerana manusia yang engkar ini apabila diseru kepada tauhid dan keimanan kepada Allah SWT, wewenang sahaja mereka menolaknya. Dibawa pula kitab yang membenarkan semua seruan tersebut pun, dinafikannya. Di buktikan bahawa risalah tauhid ini benar, dikesampingkan begitu sahaja. Walau apabila diberikan hujah dan bukti kebenaran, tidak mampu disangkal oleh mereka. Malah, tetap ditolak dan dinafikan seruan tersebut. Yang memurkakan Allah SWT adalah apabila manusia ini diseru kepada kebatilan dan kepalsuan, walau tiada bukti dan hujah, diterima pula. Diajak kepada kemungkaran, disambut tanpa rasa bersalah, malah diperjuangkannya. Inilah sebesar-besar lambang keengkaran.

Akal manusia waras mana yang rela menggantikan kebenaran dengan kepalsuan? Kebahagian dengan kesengsaraan? Nikmat abadi dengan azab yang abadi pula? Akal dan hati sedemikian pastinya telah beku dan keras dengan amal maksiat dan penentangan kepada perintah Allah SWT. Tidak dapat dibezakan lagi antara yang benar dengan yang palsu. Di dalam Al-Quran ada dinyatakan bagaimana Allah SWT menutup hijab dan mewujudkan halangan kepada pandangan zahir dan rasa hati seorang manusia. Tidak nyata dan jelas lagi bukti-bukti kebesaran Allah SWT di dalam peristiwa kehidupan. Tanda-tanda kebesaran Allah SWT tidak lagi dilihat olehnya. Ia terhijab daripada mengambil pedoman dan pengajaran. Ia buta, pekak dan bisu kepada tanda-tanda penciptanya. Pada zahirnya ia tidak buta, pekak dan bisu. Tapi, pada sudut iman-nya, ia memang telah lama buta, pekak dan bisu. Inilah keadaan yang paling malang.

Risalah tauhid dan kebenaran ini adalah rantai yang amat panjang. Ia tidak pernah terputus sejak daripada titik asal Nabi Adam A.S, sehingga kepada Nabi Muhammad SAW. Semua nabi dan rasul membawa risalah yang sama. Ya, syariat-nya berbeza, sesuai dengan zaman dan manusia yang ada di dalamnya, tetapi seputar paksi kebenaran yang sama. Risalah unggul ini bukan ciptaan manusia zaman ini, tetapi merupakan rantaian panjang yang jelas dan penuh barakah. Jadi, manusia yang menafikannya, sebenarnya menafikan rantaian panjang para nabi dan rasul yang mulia. Seolahnya mereka mengatakan semua manusia mulia ini berdusta, dan telah mengorbankan diri mereka untuk perjuangan yang sia-sia. Malah, dia yang betul dan tidak rugi selamanya. Seolahnya telah ada perjanjian antara dia dan penciptaNYA. Apabila manusia menafikan kebenaran yang seterang mentari ini, maka keengkaran ini menjadikan ia sesat selama-lamanya.

Jadi pilihlah jalan kehidupan kita ini. Hidup dunia hanya inilah sahaja. Tiada dua atau tiga. Kita lemah dan tiada upaya. Maka, apabila kita beriman dan menjadikan Allah SWT dan Rasul SAW sebagai tujuan utama, maka insyAllah, kita akan bahagia. Amin. Ya Rabbil Alamin.

1.00 am : 12 Nov: Sabtu : Bukit Palong

Friday, 29 October 2010

Amalan Hati vs. Amalan Zahir?

Di dalam usul ke 17, daripada kumpulan 20 usul tulisan Imam As-Syahid Hassan Al-Banna ada dinyatakan bahawa “Aqidah adalah asas semua amalan. Amalan hati lebih utama daripada amalan anggota badan. Mencari kesempurnaan antara kedua-duanya adalah dituntut. Namun, hendaklah setiap amalan mempunyai keutamaan dan kedudukan tertentu berbanding amalan yang lain”. Begitulah lebih kurang usul ini. Mungkin tidak tepat 100% ungkapan ini, tetapi ruh usul 17 ini adalah sedemikian.

Al-Imam Hassan Al-Banna nak mengingatkan kita bahawa setiap amal itu hanya akan diterima jika aqidah atau pokok amal itu benar. Bab aqidah mesti selesai, barulah bab lain boleh dipertimbangkan. Sekiranya seseorang itu kufur, maka semua amalan akan menjadi debu yang berterbangan. Ia mesti diikat dengan paksi iman dan penghambaan kepada Allah SWT. Amal baik yang berkoyan-koyan, jika ia tidak dilandas di atas paksi iman, nanti akan menjadi barang yang tidak bernilai di sisi Allah SWT.

Aqidah adalah asas atau pokok semua amalan. Dan, aqidah adalah kerj-buat hati. Ia ikatan maknawi yang tidak dapat dilihat dan diukur dengan mata kasar. Ia urusan hati nurani seorang manusia.
Justeru itu amalan hati ini lebih utama daripada amalan zahir. Ertinya tawakkal, ikhlas, redho (contohnya) adalah lebih utama daripada zikir, sedekah, kata2 yang baik (contohnya). Amal hati yang tepat dan betul PASTI akan menatijahkan amal zahir yang baik dan tulus juga. Jika amal zahir dipentingkan, tetapi amal hati diabaikan, takut2 penat lelah beramal, hanya dapat penat dan dahaga. Ini bukan bermakna amal hati sahaja mencukupi. Oh tidak. Amal zahir sama penting. Malah, amal zahir PASTI berlaku bila selesai bab amal hati.

Ada orang yang rajin solat, tapi bab tawakkal pada Allah SWT tidak kuat.
Ada orang rajin puasa, tapi bab sabar sekadar gitu-gitu aje.
Ada orang yang rajin zikir, tapi bab ikhlas amat fakir.

Amalan hati ini amat penting. Malah As-Syeikh Fathi Yakan menyatakan di dalam kitabnya bahawa antara memperbaiki amal batin lebih utama daripada amal zahir. Memperbaiki amal ketika bersendiri lebih utama daripada amal di khalayak. Hati ini usul semua perkara.

Amalan hati adalah usul, manakala amalan zahir adalah furu’ atau cabangnya. Jika usul benar, maka yang furu’ akan sempurna. Jika furu’nya cacat, lihatlah usul-nya. Pasti ada kekurangan.

Kedua-dua perkara ini penting untuk keselamatan kita di akhirat nanti. Tapi, pastikan neraca keutamaan kita betul dan sesuai. Jagalah amalan hati. Ia maknawi, tetapi kesannya akan abadi.

Allahua’lam

Jumaat, 11.36am – URRG Lab1

Monday, 25 October 2010

Mahukah kita berubah?

Kehidupan setiap insan di mukabumi ini tidak akan serupa dengan sesiapapun. Nasib yang menimpa dan kehidupan yang dilalui terkadang menyebabkan seseorang tidak terlintas untuk melakukan sebarang perubahan. Menerima seadanya adalah hakikat yang diterima pakai. Halangan yang terbentang di hadapan mereka terasa menggunung dan mustahil untuk ditakluki. Malah, ia pula terkadang menjadi penentang kepada apa jua bentuk perubahan dan usaha.

Nasib manusia mampu diubah. Kita tidak diberi kesempatan dan kemampuan, melainkan untuk berusaha mengubah kehidupannya. Tuhan Maha Adil. Diberikan peluang dan kesempatan agar dimanfaatkan untuk manusia dan hambaNYA yang lain. Kita ambillah peluang ini, dan jangan sesekali bersangka buruk dengan pencipta kita. Siapa yang mahu berubah pasti akan melihat jalan untuk perubahan. Sesiapa yang tidak meyakini perubahan boleh dilakukan, maka nasibnya telah termateri. Ia memilih untuk terus menjadi malang dan tidak bahagia.

Perubahan mesti dimulakan dengan keyakinan bahawa kita mampu dan boleh berubah. Ia bukan perkara yang mustahil. Sikap optimis ini bukannya benda yang baharu di dalam tamadun manusia. Lihatlah betapa optimis dan yakinnya para pembuka kampung dan kota di tanahair kita ini. Dahulunya kampung dan daerah subur ini adalah hutan tebal dan bukit bukau yang sarat dengan tumbuhan dan haiwan liar. Pokok-pokok rimbun dengan perdu yang sepemeluk lebarnya mendiami bumi bertuah ini. Tapi, di perdu kukuh inilah para pembuka kampung dan kota menghayun kapak dan parang mereka. Dengan usaha yang gigih inilah negara ini terbentuk. Siapa kata berubah mesti denga modal yang besar. Kapak dan parang itu bersama tulang empat kerat inilah yang menjadi pemula kepada perubahan.

Setiap hari kita dihadapkan dengan masalah dan kesulitan di dalam hidup. Malah, hidup seolah tidak bermakna jika bukan kerana kemelut yang kita lalui. Dengan masalah dan kekangan ini juga sering lahir tekad dan azam untuk melakukan perubahan. Tekad yang dilandas kepada keyakinan yang penuh bahawa perubahan bukan mustahil. Halangan utama adalah diri kita sendiri. Bukannya yang wujud di luar lingkungan. Kekangan perubahan adalah di dalam diri. Inilah halangan yang paling utama. Jika ini selesai, maka perubahan adalah natijah yang tabie.

Kita mesti sentiasa berusaha ke arah menjadikan diri kita lebih baik daripada semalam. Ini seruan yang sering sangat kita dengar. Persoalannya adakah kita akan mula melakukan perubahan. Dunia ini amat sarat dengan mereka yang berazam, tetapi masih menanti saat untuk memulakan langkah perubahan itu. Azam semata tidak akan membawa apa-apa makna. Namun, dunia juga tidak kering dengan mereka yang berani untuk melakukan pengorbanan, agar perubahan yang diinginkan tidak lagi sekadar berlegar di alam khayal. Alam khayal amat murah dan mudah. Namun, alam khayal hanya nyata di minda, bukan di mayapada.

Perubahan adalah modal untuk mengecap kejayaan. Mahukah kita berubah hari ini?

Baling, 23 Oktober 2010

Sabtu, 6.13pm

Bila melontar, fikirkan yang hendak menangkap!

Terkadang apabila kita berbicara, kita merasakan sewajarnya tiada halangan untuk sesiapapun memahami apa yang kita ingin sampaikan. Bagi kita, ayat yang disusun dan kata yang dilafaz adalah yang terbaik untuk hasrat yang ingin disampaikan. Andaian ini menyebabkan kita segera untuk bertolak ke noktah yang seterusnya tanpa terfikir untuk mengolah semula kata-kata yang telah dilontar. Apa lagi, kita terlihat wajah-wajah yang seolahnya mengesahkan andaian kita. Ya, hebat sungguh kita rasanya.

Pernahkah kita terfikir bagai keliru dan terasingnya perasaan para pendengar di hadapan itu. Pernahkah kita terasa bagaimana tingginya harapan mereka agar kita dapat mengambil tumakninah. Berhenti sebentar untuk memikirkan tentang diri mereka. Para pendengar yang sedang merasa sesak dengan lontaran kata-kata yang tidak difahami apalagi untuk dihayati. Ya, inilah salah dan silap kita, yang sedang bercakap. Mudah berasa lega, dan tinggi andaian kepada para pendengar. Kita meletakkan mereka di tahap kita. Kita yang telah berkorban masa dan tenaga untuk mempersiapkan ucapan yang dirasa hebat. Sehingga kita lupa bahawa mereka sebenarnya berbeza.

Bahasa cakap dan bahasa dengar terkadang tidak sama. Ini kerana bahasa cakap hanya melontar, bahasa dengar kerjanya cuba menangkap. Ada tangkapan yang kemas, ada pula tangkapan yang longgar dan terlucut. Jadi, yang melontar mesti mengambil kira yang mahu menangkap. Jangan terlalu laju, dan jangan pulak terlalu asing gaya lontarannya. Biar yang biasa, dan mudah nak diteka. Maksudnya, ambil kira perasaan dan penerimaan si pendengar. Kita bercakap untuk menyampaikan isi. Bukan untuk menunjuk kehebatan diri beraksi. Kita mahu memahamkan, bukannya mengelirukan. Ini amanah yang jangan dipersia. Apa guna berkata-kata, jika ia hanya memekakkan telinga, dan menyesakkan minda. Jadi, beringat-ingat kita, yang sering melontar ini.

Manakah yang lebih baik: Sedikit bercakap, tapi isinya sampai, berbanding panjang berjela, tapi semuanya akan dilupa? Pastinya ia tergantung kepada tujuan asal kita berkata-kata. Akhirnya, ini semua adalah urusan hendak menyampaikan hasrat. Jika hasratnya murni, maka usahakanlah agar kaedahnya pun murni. Jika tidak, maka yang berkata-kata dipersia, yang mendengar kecewa. Ehmm, malangnya nasib kita semua.

23 Oktober 2010, Sabtu

Baling