Sunday, 8 August 2010

6 Wasiat Iman untuk diperhatikan!

Di antara kelebihan hasil daripada tarbiyyah Ar-Rasul SAW terhadap para sahabatnya adalah banyaknya kata-kata nasihat dan wasiat yang telah mereka tinggalkan. Wasiat-wasiat iman ini amat berharga kerana ia adalah hasil kesimpulan dan intisari kepada lamanya mereka di dalam madrasah didikan Rasul SAW. Ia berharga kerana ia peringatan ikhlas dan jujur daripada mereka yang tidak mengharap apa-apa selain daripada rahmat dan redho Allah SWT. Wasiat ini juga adalah tanda rasa kasih mereka kepada umat yang mendatang. Wasiat iman yang tidak ternilai harganya.

Saidina Abu Bakar As-Shiddiq di dalam salah satu wasiat beliau telah menyatakan bahawa hendaklah kita sentiasa perhatikan enam perkara di dalam kehidupan ini. Enam perkara itu adalah:

  1. Sentiasa memerhati waktu-waktu ibadah
  2. Sentiasa memerhati ibadah-ibadah wajib
  3. Tidak putus ada dengan amal kebaikan
  4. Tidak memandang kecil amal dosa
  5. Sentiasa berada di antara perasaan takut dan berharap &
  6. Sentiasa memikirkan berkenaan timbangan amal di akhirat

Semua perkara ini mempunyai implikasi yang besar di dalam kehidupan manusia-manusia beriman. Ia mesti diperhatikan sekarang, ketika kita masih hidup dan berpeluang untuk memilih dan menentukan perjalanan hidup kita seharian. Apalahi ketika usia kita masih remaja dan muda, serta tidak terhalang oleh kekangan kesihatan, masa dan tanggungjawab. Adalah menjadi tabiat manusia beriman untuk sentiasa memikirkan enam perkara ini, di mana sahaja pun ia berada, agar hidup ini sentiasa membawa berkat.

Islam mengajar kita untuk sentiasa melihat hidup ini sebagai satu elemen di dalam rantai kehidupan yang panjang. Setiap amal dan kisah akan kesan dan mengesani satu sama lain. Tiada yang terpisah. Samada amal umum atau amal peribadi. Samada amal duniawi atau amal ukhhrawi, semua terikat dengan satu keyakinan bahawa ada yang mencatat perilaku tersebut.

Bilamana seorang manusia beriman itu peka kepada waktu-waktu ibadah, maka yakinlah bahawa urusan dunianya pun akan terus terancang. Begitu juga sebaliknya. Urusan akhirat yang terbiar, akan menatijahkan urusan dunia yang serabut dan tidak terarah. Dan, kalau pun ia semacam terarah, tujuannya adalah tujuan yang palsu. Maka, mahu disiplin di dalam waktu anda? Jagalah waktu-waktu ibadah. Hidup tenang lagi berkat.

Islam juga mengajar kita untuk tahu meletakkan nilai dan kedudukan suatu amal. Yang wajib mesti didahulukan daripada yang sunat. Yang wajib mesti telah selesaikan sebelum kita sibuk dengan amal sunat. Amal sunat sepatutnya menjadi penguat amal wajib, bukannya perencat untuk yang utama. Keupayaan untuk menilai dan melaksanakan amal ibadah wajib ini adalah amat penting. Jika tidak, kita akan terus hanyut di dalam dunia amal yang palsu. Menyangka telah beramal, rupanya semua adalah sia-sia. Jadi, perhatikan dan jagalah amal yang wajib ini.

Seterusnya Allah SWT memberikan nilai kepada amal mengikut kehendaknya, bukan kehendak kita. Tugas kita adalah memastikan semua amal terlaksana di dalam kerangka ikhlas dan batas syarak. Kita tidak pernah putus asa dengan kemampuan amal yang dapat kita laksanakan. Setiap amal bukan diukur kepada zahir, tetapi kepada siapa amal itu ditujukan. Oleh kerana amal ini tujuannya ALLah SWT, maka semua amal besar ertinya. Berkadaranlah dengan kemampuan yang ada pada kita. Setiap kelebihan mesti ada tuntutannya. Jika kita kaya, ertinya infak perlu berkadaran. Jika kita bijak, umat mesti dapat manfaat. Jika kita rajin, maka ringan tulang kita dalam membantu yang lain. Begitulah seterusnya. Kita tidak pernah putus asa dengan balasan daripada ALLah SWT di atas amal kita tadi, biarpun kecil di mata manusia.

Seterusnya, manusia beriman ini tidak pernah pula memandang kecil dosa yang dilakukan. Ia merasa amat berdosa bila perlakuan bercanggah dengan gessan Allah dan RasulNya. Apabila pelanggaran berlaku, ia cepat-cepat bertaubat dan mengikut amal dosa dengan amal pahala. Ia tidak pernah lihat kecil amal dosa kerana maklum besarnya amal itu di sisi ALLah SWT. Besar atau kecil dosa ini terletak di sisi ALLah SWT. Tetapi tugas kita adalah mengelakkan perlakuan dosa. Bukannya memilih dosa mana yang lebih ringan untuk dilaksana.

Sikap manusia beriman sentiasa berada di dalam keseimbangan takut dan harap. Ia takut kepada azab dan balasan buruk neraka ALLah SWT yang telah diceritakan oleh Rasul SAW. Ia takut kerana amal dosa yang melayakkan diri nya untuk dicampakkan ke dalam neraka yang menyala-nyala itu. Di ketika itu, beliau berharap pula kepada rahmat dan pengampunan ALLah SWT. Beliau memohon keampunan dan mengharap agar ALLah SWT memaaf semua keterlanjuran dirinya. Rahmat ALLah SWT itu lebih besar daripada murkaNYA. Kita mesti hidup di dalam keseimbangan ini. Jika terlalu takut atau terlalu berharap, kedua-duanya boleh membawa mudarat kepada kita di akhirat nanti.

Dan pesanan yang terakhir, adalah agar manusia beriman ini sentiasa memikirkan tentang saat timbangan amal di akhirat nanti. Bagaimana nasib kita nanti? Apakah amal kebaikan kita nanti akan lebih berat? Atau sebaliknya. Jika di dunia kita selalu menghitung-hitung kerja buat kita agar sentiasa baik dan bernilai, mengapa untuk nilaian akhirat kita mengambil ringan? Bukankah saat timbangan ini yang lebih utama?

Demikianlah butir-butir wasiat iman daripada Khalifah As-Rasyidin yang pertama. Sayangnya kepada umat selepasnya. Butir-butir pesanan ini amat berharga. Jika kita mengambil faedah dan panduan daripadanya, insyAllah kita akan berjaya. Amin.

Allahua’lam

Tuesday, 3 August 2010

Kota Varanasi 1


Semalam ketika mata ku liar
Melihat gelagat manusia di luar sana
Di celah-celah debu yang berterbangan
Seorang anak kecil duduk bersimpuh di tanah

Lantas aku teringat pada anakku
Yang mungkin tidak jauh beza umurnya
Dengan anak kecil tadi
Air mata kering, baju lagi lusuh

Sedang si bapa sedang menjamah selera
Di atas pangkin yang mungkin sedikit selesa
Dengan kotoran yang ada di mana-mana
Inilah kehidupan harian mereka semua

Kereta yang kunaiki terus berlalu
Menjadi saksi kepada tamadun manusiawi yang pelik
Di mata ku dan juga di hati ku
Sedang di kepala ku semakin sakit

Pengalaman menelusuri kota Varanasi
Bukan seperti yang aku khayalkan
Pengalaman mengenali manusia di sini
Mengajar aku erti bersyukur dan kesyukuran

NPL Guest House
New Delhi
6 Disember 08 - Sabtu
9.14am

Monday, 2 August 2010

Orang sakit dan hospital!

Ada satu persoalan yang ditanya: Mengapakah orang yang paling giat dan bersungguh untuk bertaubat dan yang menyesal akan amal maksiat mereka adalah orang-orang yang memang sudah baik? Para alim dan para abid yang selalunya akan merintih dan bermunajat untuk mendapat pengampunan, sedangkan ahli-ahli maksiat adalah mereka yang paling kering air mata mereka, dan paling lupa untuk berdoa untuk diberi ampun.

Jika kita perhatikan di masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu, yang hadir itu pun adalah mereka yang sudah baik, atau secara umumnya memang dah ok. Ke mana perginya orang yang paling perlu kepada kesedaran dan ilmu? Ke mana perginya orang yang paling "sakit" rohnya? Bukan ke mereka ini yang sepatutnya berada di masjid dan majlis ilmu ini? Yang dah baik pula yang ramai. Ehmm, memang menarik.

Jika kita tamsilkan seperti pesakit dan hospital, maka orang sakit sahaja yang ramai di hospital. Lagi kritikal sakitnya, lagilah lama dan intensif pengubatannya. Lagi kronik sakitnya, lagi pakar doktor yang terlibat. Dalam keadaan ini barulah logik suasananya. Mereka yang sakit yang paling utama diberi ubat. Bukan yang sihat.

Tetapi rupanya "sakit" natijah amal maksiat ini amat berlainan keadaannya. Lagi tegar mereka di dalam amal maksiat itu, makin jauh dan terasing mereka daripada sumber penawarnya. Ini sunnah yang ditunjukkan oleh sejarah manusia. Mereka yang suka kepada amal dosa, tidak akan menjadi semakin sedar, tapi semakin pekat di dalam amal dosa tersebut. Ertinya, dihijab oleh daripada penawar "sakit" itu.

Di sinilah kita hendak mengambil pelajaran. Ahli dakwah, jika tidak akrab dengan Allah SWT, maka kerja dakwahnya akan mudah hilang punca, dan tersasar daripada tujuannya. Terhijab daripada jalan kebenaran dan kejayaan, walaupun terasa sedang beramal dengan amal terbaik. Jadi, jagalah hubungan dengan Allah SWT. Kita tidak ada pilihan lain - jika syurgalah matlamat akhir kita.

Allahua'lam

Buah-buahan yang ranum!

Persoalan yang utama untuk kebanyakan kita hari ini adalah persoalan ilmu dan amal. Semestinya amal yang sahih adalah natijah daripada ilmu yang benar dan tepat. Kita perlu menggali sebanyak mungkin ilmu, agar nanti barulah datang kefahaman. Iman menuntut kita untuk mempunyai ilmu. Ilmu pula menuntut kita untuk beramal. Iman, ilmu dan amal. Amal yang ikhlas akan memantapkan iman, dan mengukuhkan ilmu. Ini kitarannya.

Namun, ada satu jenis ilmu yang cuma akan diperoleh apabila kita beramal dengan ilmu yang telah sedia ada. Ilmu membuahkan ilmu. Perkara seumpama ini tidak dapat diajar dan ditulis di dalam kitab, kerana ia adalah ilmu melalui pengalaman dan mungkin kesilapan. Atas sebab itu lah ada kata berkaitan kata-kata "Semangat Orang Muda & Hikmah Orang Tua". Hikmah ini tidak dapat digarap oleh orang muda yang cetek pengalaman. Melainkan ada ruang dan peluang untuk merapati para syuyukh (orang alim, lama atau tua) yang ada di sekitar mereka.

Hikmah boleh sahaja kita perolehi, tetapi kebiasaannya melalui jalan yang pedih dan memeritkan. Atau boleh sahaja kita genggami dengan ber"muamalah" dan saling merujuk kepada orang yang telah berpengalaman. Jadi, di dalam hidup ini, tidak cukup kita bersemangat, tapi mesti dikejar unsur hikmah juga. Siapa kata orang lama tiada tempat di dalam perjuangan? Sejarah selalunya berulang. Apa yang hendak dihairankan? Memang sudah menjadi tabiat dan sunnah alam.

Ilmu membuahkan ilmu. Ilmu terhijab dengan dosa yang kita lakukan. Diukur Allah SWT bukan pada gedung ilmu yang ada pada kita, tetapi amal yang terhasil olehnya. Amal akarnya ilmu. Hikmah pula memandu amal. Kaitan ini akan terus2an wujud selama ada matahari dan bulan, insyAllah.

Amal juga membuahkan amal. Amal yang besar dapat digarap apabila amal yang kecil telah menjadi tabiat. Membina menara yang hebat bermula dengan susunan bata yang kecil. Lihatlah pada anai-anai yang kecil. Batang tubuh anai2 ini amatlah kecil - malah nampak lembut sekali, tetapi kita semua faham gigitan-gigitan kecil merekalah yang boleh menumbangkan pokok yang besar.

Pengalaman juga membuahkan pengalaman yang baru. Kita tidak akan pernah berhenti daripada belajar. Belajar daripada pengalaman dan peristiwa yang menimpa. Mereka yang berjaya ini sifatnya. "Minal Mahdi Ilal Lahdi", InsyALlah.

Saturday, 31 July 2010

Mahukah anda bermusafir??

Islam menyuruh dan amat menggalakkan umatnya untuk bermusafir, dalam konteks untuk mengambil iktibar pada nasib umat sebelumnya. Bacalah gesaan Allah SWT agar kita memperhatikan nasib kaum Ad, Tsamud dan Bani Israel, contohnya. Gesaan untuk melakukan permusafiran ini adalah untuk tujuan mendapatkan peringatan ruh dan jiwa untuk keselamatan kehidupan, di dunia dan akhirat. Bukan sekadar untuk suka-suka, bila kita mendapat peluang untuk melihat-lihat dunia selain sekitaran biasa kita.

Musafir ini adalah satu bentuk sahutan kita kepada seruan Allah SWT. di dalam Al-Quranul Karim. Seerah Rasul dan kisah perjalanan hidup para sahabat Rasul tidak pernah lekang daripada jaulah dan musafir mereka ke daerah asing semata-mata atas tujuan menegakkan risalah agama, dan juga mengambil iktibar daripada pengalaman mereka untuk manfaat umat. Inilah cantiknya Islam, ke mana pun ia tersebar, ia membenihkan kehidupan kepada penganutnya dan sasaran dakwahnya.

Kita perlu bermusafir kerana gudang pengalaman hidup kita perlu diperkaya. Kekhilafan orang dan umat sebelumnya kita garapi, supaya kita lebih matang melalui nasib mereka.Inilah jalan pintas untuk mendapat hikmah, melalui kesilapan orang lain. Bukannya belajar tentang kehidupan melalui kegagalan. Aset pengalaman penting kerana umur kita terlalu singkat untuk kita lalui semuanya sendiri. Umur kita menjadi beratus tahun lamanya bila nasib umat sebelumnya diambil peduli.

Tapi tidak semua orang mampu untuk bermusafir, merantau ke serata tempat. Ia perlukan wang dan masa yang banyak. Tidak semua orang ada keduanya. Jadi apa pula yang boleh kita lakukan? Pilihan yang lebih murah adalah untuk membaca pengalaman orang lain yang telah bermusafir. Melalui pembacaan pun, pengalaman boleh dimantapkan. Tapi seperti juga di dalam penggalian ilmu. Ada ilmu jenisnya "ilmul yakin", ada pula "Ainul Yakin", dan ada pula "Haqqul Yakin". Menggarapkan pengalaman melalui pembacaan ini adalah setakat "Ilmul-yakin". Walaupun ada gambar mungkin disertakan, ia tidak cukup untuk mewakili keadaan sebenar. Bila kita benar-benar berada di tempat tersebut, boleh keyakinan tersebut adalah jenis "Al-Haqqul Yakin".

Kita bermusafir bukan untuk bermusafir, tapi untuk memastikan musafir hakiki di dunia ini akan menepati saranan dan tujuan pencipta kita.

Maka, marilah ambil peluang untuk melihat-lihat suasana yang baru, dan luar kebiasaan kita. Barulah kita kaya pengalaman dan kaya juga pengetahuan.

Allahua'lam

Sunday, 25 July 2010

Modal yang dipersia?

Modal umur dan masa yang ada pada kita kenapa selalu persiakan? Di dalam maksud satu hadis Rasullulah SAW, antara lain memperingatkan bahawa dua nikmat yang sering dipersiakan oleh manusia adalah nikmat kesihatan dan masa lapang. Dua nikmat yang cuma akan disesali apabila ia telah hilang. Jika tidak percaya, tanyalah kepada mereka yang sedang menanggung sakit, dan juga tanyalah kepada mereka yang terkejar-kejar dengan masa yang semakin suntuk.

Umur adalah modal yang akan terus berkurang. Seperti hari sejumlah 24 jam yang akan terus berdetik, tanpa menghiraukan apa amal manusia. Manusia yang hebat dan manusia yang gagal semuanya atas anugerah 24 jam ini. Diguna ia habis. Tidak diguna pun ia akan habis. Berlalunya masa itu pasti. Bermanfaatnya masa dan ruang itu belum pasti. Rupanya cara tanggap orang berjaya dan yang gagal terhadap nikmat masa ini berbeza sama sekali.

Kata pujangga, kita hidup diantara tiga hari, iaitu semalam yang telah berlalu, hari ini yang sedang kita tempuhi, dan esok yang belum pasti. Ada pula yang mengatakan hidup ini di antara dua nafas; nafas naik dan turun. Dan pelbagai lagilah falsafah yang bertujuan untuk menginsafkan kita semua bahawa masa ini terlalu sempit dan terhad untuk dipersiakan.

Di dalam ruang masa yang terhad inilah kita hidup. Mencari amal yang sedikit, tetapi yang ada ganjaran yang hebat. Mencari beban yang teringan, tetapi mendamba laba yang tertinggi. Mencari gerak-laku yang terbaik, di celah godaan dunia yang menggiur. Akan berjayakah kita?

Amal yang terbaik pastinya adalah amal para Nabi dan Rasul. Pastinya manusia terbaik hanya membuat amal yang terbaik. Amal yang paling tepat di dalam segala kekangan yang menghalang. Jadi, kita tidak perlu tercari-cari lagi tentang apakah amal yang terbaik. Ia telah dicontohkan dan dihidupkan oleh deretan para anbiya'. Bukalah seerah perjalanan para anbiya' untuk menanggapi amal yang mulia ini.

Ya, Alhamdulillah, akhirnya anda telah memanfaatkan beberapa ketika masa dan umur anda untuk membaca coretan ini. Ini pun, insyAllah, antara amal maa'ruf yang telah kita laksanakan. Memberi peringatan, buat kita semua yang amat memerlukan. Jadinya, pada hari ini, telah ada beberapa saat yang telah tidak dipersia - AlhamduliLlah.

Firman Allah s.w.t:

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dalam keadaan ringan (senang) ataupun dalam keadaan berat (susah); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”(Surah At-Taubah, ayat 41)

Allahua'lam

Wednesday, 14 July 2010

Hidup tanpa Rugi!

Di dalam Surah Al-Haj, ayat 11, Allah SWT menyatakan :

“Dan ada di antara manusia Yang menyembah Allah Dengan sikap dan pendirian Yang tidak tetap, Iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya Dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian Yang terang nyata”

Inilah akibat yang semua manusia ingin elakkan, iaitu mendapat kerugian di dunia dan akhirat. Atau dalam perkataan lain, sentiasa berada di dalam keadaan rugi. Teringat terus kita kepada peringatan di dalam Surah Al-Asr. Semua manusia rugi kecuali mereka yang ada sifat dan gaya hidup tertentu, mengikut perintah Allah SWT.

Tiada siapa yang mahu rugi. Rugi akhirat lebih berat lagi. Rugi dunia tak seperit rugi di akhirat nanti. Rasa-rasanya bagaimana kehidupan kita hari ini? Boleh dan sesuaikah untuk kita katakan kita tidak berada di dalam keadaan rugi? Dan amal kita juga boleh menjadi saksi? Berani dan yakinkah kita?

Bila manusia ragu-ragu di dalam keimanan, kerugian sentiasa berlegar di sekitarnya. Keimanan hakiki tidak berdamping dengan keraguan kepada Ilahi. Keraguan, sebaliknya, sentiasa membawa kepada kerugian. Marilah kita benar dan jujur di dalam keimanan. Allah SWT Maha Mengetahui setiap gerak hati kita. Walau sehebat manapun lakonan kita di mata manusia.

Setiap langkah dan tindakan adalah titik-titik amal yang menghala kepada suatu tujuan. Samada sedar atau tidak, kita akan sampai kepada tujuan tertentu. Yang kita risaukan adalah tujuan tadi jauh daripada Rahmat Allah SWT. Yang kita hendak pastikan adalah langkah dan tindakan sentiasa berada di bawah lembayung hidayah Ilahi.

Rugi atau untung hakiki bukan kerja kita untuk menentukannya. Ia adalah natiah yang berada di luar upaya kita. Yang hendak kita pastikan adalah keikhlasan dan benarnya kita di dalam beramal dan menegakkan kehidupan. Ikhlas semata kerana Allah. Beramal sentiasa di atas landasan syariat dan sunnah.

Hari ini kita dihidupkan lagi. Diberi peluang untuk terus-terusan di dalam tabiat dan resam seharian. Di beri upaya dan pilihan untuk menetapkan langkah. InsyAllah, suatu hari nanti semua amal ini akan membantu atau menyusahkan kita. Tiada yang akan terlepas. Bak firman Allah SWT di dalam surah Al-Zalzalah (Ayat 7 & 8):

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) “ & “Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

Marilah kita hidup di dalam jalan kejayaan. Bukannya kerugian nyata di dunia dan di akhirat sana. Hiduplah penuh yakin dengan keimanan. InsyAllah.