Wednesday 11 March 2009

Anugerah satu amanah - diTanam untuk diTuai

Kita mendapat kejayaan adalah atas anugerah daripada Allah SWT. Ada orang yang selalu terlupa akan hakikat ini. Mereka sangka atas kudrat mereka semata kejayaan datang menggolek. Mereka sangka itu dan ini, tapi semua berkisar pada 'kehebatan' dan 'kekuatan' diri masing-masing semata.
Mereka lupa kita ini amat daif lagi faqir. Yang kaya hanya Allah SWT. Yang boleh berdiri sendiri, hanyalah Allah Azza wa jalla. Tiada yang lain.

Setiap anugerah membawa amanah dan tuntutan. Ia ujian kesenangan dan keselesaan. Ia alat untuk kehidupan di dunia, tapi kesannya akan menyampaikan kita ke akhirat. Dunia ini jambatan akhirat. Yang ditanam di sini, akan dituai di sana. Jika di dunia kita pandai dan rajin me'nanam' amal, maka di akhirat nanti, insyAllah, banyaklah 'tuaian' kita. Inilah hakikat yang bukan rahsia, tapi amat dimaklumi oleh mereka yang ada sekelumit iman dan ilmu di dada dan minda mereka.

Kita hebat dan kelihatan hebat, bukan di sebabkan oleh unsur zahir. Bukan kerana wajah dan harta. Kita hebat di sisi makhluk, dan dipuji oleh Maha Esa, oleh kerana kekuatan hati dan sinarnya yang amat berkilauan. Hati ini satu organ yang begitu penting. Hati ini sama sifatnya seperti organ tubuh manusia yang lain. Ia perlukan riadah dan kegiatan. Tapi bagaimana me'riadah' hati?

Melalui jalan zikir dan taubat. Melalui jalan rukuk dan sujud. Melalui jalan Al-Quran dan As-Sunnah. Melalui jalan berfikir dan beramal. Melalui jalan mujahadah dan muraqabah. Melalui jalan istiqamah dan sabar. Hati yang hidup, pasti akan menerangi jalan dan langkah kita. Hati lah yang utama. Jagalah hati, kata mereka.

Bahagia manusia apabila hatinya bahagia. Sempit dan sengsara manusia apabila hatinya resah dan beku. Lihatlah hati kita masing2. Jika kita ingin kenal bahagia, maka kenallah hati kita. Jika tidak bahagia pastinya bukan milik kita.

Allahua'lam

Dah malam - 11.50pm

No comments:

Post a Comment