Monday 3 November 2014

Yang baik-baik

Sememangnya telah diperingatkan oleh Rasul SAW bahawa ALlah itu Maha Baik, dan tidak Allah SWT terima melainkan yang baik. Apapun pemberian atau perlakuan yang kita harapkan ada ganjaran daripada Allah SWT, mestilah sifatnya baik. Baik daripada sudut tujuan dan kaedah perlaksanaan. Baik pula pada perlaksana yang menyempurnakan sesuatu amal itu. Yang zahir dan nyata adalag perlaksanaan amal. Semua dapat menyaksikan samada ia menepati syara' ataupun tidak. Yang terlebih sukar adalah memastikan ia telah bermula dengan si pelaku tidak memakan benda yang haram atau yang dibenci ALlah SWT. 
Yang baik dan halal akan menatijahkan perkara yang baik dan halal.
Yang buruk dan haram akan menatijahkan perkara yang buruk dan haram.
Yang syubhah pula akan menatijahkan yang seumpamanya. 

Hendaklah kita hidup dengan membawa dan menyebarkan kebaikan.

Amin. Ya Rabb, Ya Rabb, Ya Rabb, Ya Rabb.

Friday 24 October 2014

Luahan rasa di hari jumaat.

Saya merasa dengan penuh kesedaran bahawa seseorang hanya patut bersuara apabila ia telah punya kefahaman dan landasan ilmu yang matang. Pengalaman yang dikutip semasa membesar sebagai seorang penuntut ilmu sewajarnya membantu untuk mendewasakan kita di dalam menetapkan pandangan serta bersikap kepada peristiwa. Silap luahan dan langkah kita bukan sahaja boleh mencacatkan citra diri kita tetapi terlebih malang dapat mengundang fitnah yang berantai kepada ummah yang tercinta ini. Kesan silap percaturan ini tidak akan dapat diukurkan lebar dan dalamnya. Hanya di akhirat nanti mungkin kita dapat menyaksikan akibat perbuatan tangan dan mulut kita. Ya, semua tindakan kita, baik yang kecil apalagi yang besar, akan ada impak serta bekasnya. Lagaknya seperti sang pemaku yang memaku di wajah yang licin, pasti akan meninggalkan parut yang dapat dikenal.

Asas ilmu dan adab ini wajar menjadi garis panduan sebelum kita berani untuk melontarkan pandangan. Sekali kita menghiris rasa dan hati saudara kita, tak pasti berapa lama dan modal untuk mengubatnya. Kita perlu ambil tanggungjawab sebagai rakan dan warga yang bertata-susila. Tidak kita meluka dengan sengaja, dan tidak pula kita mencerca sebagai matlamat di dalam berbicara. Niat yang baik akan menzahirkan amal dan gerak yang serupa. Walaupun tidak dinafikan masih lagi boleh disalah-tafsir niat kita, itu bukan lagi di dalam kawalan manusiawi yang kita empunya. Kita berniat sebaik mungkin dan beramal setepat mungkin dengan kehendak syarak dan saranan sunnah. Kita tidak mampu mengawal atau menentukan natijahnya, hanya mampu merancang dan beramal seadanya. Kita ini makhluk yang terlalu lemah. Semuanya kita gantungkan kepada Allah Rabbul Jalil.KepadaNYA lah kita berserah - untuk hidup dan mati kita.


Tuesday 21 October 2014

Wahai pemuda..belajarlah adab!

Pada hakikatnya kita semua ini terhutang budi kepada generasi awal. Generasi awal yang mendahului kita telah mengorak jejak dan meninggalkan legasi serta khazanah ilmu yang tidak terkira luas dan dalamnya. Ya, menjadi satu kewajipan untuk kita beradab kepada mereka yang telah lama meninggalkan alam yang fana ini. Dan, pastinya untuk kita semua menjadikan mereka teladan di dalam berinteraksi dengan ilmu dan tradisi keilmuan. Ini satu perkara pokok yang tiada sesiapa pun yang masih bernafas pada hari ini wajar nafikan.

Pada masa yang sama lakaran sejarah ini mesti kita tanggapi dengan sikap yang adil. Bukan tujuannya supaya akal kita terbelenggu dan tidak berkembang. Bukan pula untuk kita mengikuti membabi-buta apa yang telah golongan terdahulu tampilkan. Bahkan tujuannya supaya kita menjadikan ilmu dan tradisi ilmu yang telah dibangunkan sebagai batu loncatan untuk meneroka lebih jauh di dalam lautan ilmu. Mustahil untuk kita bermula semula daripada kosong. Khazanah ilmu yang ada patut menguat dan bukan melemah semangat dan keazaman kita semua.

Malangnya hari ini terlalu ramai pemuda yang begitu angkuh dan berani untuk memperlekeh dan memandang kecil tradisi keilmuan yang telah dibina. Keangkuhan ini begitu terasa dengan kata-kata yang sinis dan penolakan yang nyata kepada pandangan dan ijtihad terdahulu. Terkadang kita akan terasa seolahnya ceteknya ilmu barisan ulama terdahulu, terutama apabila membaca ulasan-ulasan 'ilmiah' para pemuda gelojoh dan lupa daratan ini. Bukan salah para pemuda, tetapi salahnya pada pemuka-pemuka yang kononnya pemuka ilmuan dan pemecah kebuntuan ummah. Ya, salahnya pada mereka ini. Ini mungkin kesimpulan yang samar, tetapi siapa lagi nak kita campakkan kesalahan jika bukan kepada mereka ini.

Ilmu ini punya tradisi dan "nyawa"nya sendiri. Ia tidak boleh dipaksa untuk segera besar dan dewasa. Pembinaan ilmu dan ahlinya mesti melalui proses yang sewajarnya. Jika tidak yang lahir adalah para pemuda yang punya rasa mereka orang berilmu sedangkan pada sudut adab mereka telah lama gagal.
Malang sungguh umat ini. Mereka mahu menbina dengan menghancurkan diri mereka sendiri.

Allahu Rabbi.

Manusia hari ini.

Hari ini ramai orang yang tampak bijak dan serba tahu. Terkadang kita jadi hairan dan takjub dengan betapa luas serta hebatnya pandangan serta luahan fikir yang ditulis di laman maya. Kita rasa bertambah hairan kerana seolahnya barisan alim ulama terdahulu tampak kecil pada mereka. Kitab-kitab turath tampak tidak bererti buat golongan ini. Ya, mereka pemecah kebuntuan umat. Merekalah, katanya, suara dan gerak yang akan membangunkan umat daripada lena. Ya, mereka lah suara penggoncang tradisi yang akan mengeluarkan umat daripada belenggu kelesuan dan kekeliruan. Ya, itulah agaknya rasa mereka. Jika salah pun, itulah yang ditampilkan mereka. Malang sungguh umat ini.

Kehebatan hari tidak akan ada tanpa barisan manusia yang tidak pernah jemu mewakafkan diri dan kehidupan mereka untuk kelangsungan ilmu. Kitab demi kitab ditulis. Ilmu yang benar digali dan dicari, lantas diwacana dan dihujah-balas. Lalu, yang manis-manis, yang baik-baik, yang bersih lagi bermanfaat ditulis di dalam ratusan malahan ribuan kitab-kitab yang masih ada hingga ke hari ini. Ya, merekalah manusia-manusia yang telah membina tapak ilmu kepada semua penuntut, pengajar dan pengamal ilmu. Jasa mereka tidak terbalas oleh manusia. Hanya Tuhan sahaja yang akan membalasnya.

Manusia hari ini terlalu sedikit ilmu yang dihasilkannya. Ilmu yang membina jiwa, bukan sekadar membina menara dan prasarana. Ilmu menjadikan manusia ini manusia telah diungkapkan ratusan tahun lamanya oleh barisan ulama dan ahli ilmu yang tidak pernah apa-apa balasan melainkan balasan syurga. Manusia hari ini ramai yang telah lupa adab dan lebih parah lagi mereka cepat merasa ajaib lagi takjub dengan sejemput yang telah mereka ada. Ya, manusia hari ini tidak merasa jengkel atau bersalah ketika kata-katanya menghina ulama dan para alim sebelumnya. Manusia hari ini merasa hebat sedang mereka tidak ada apa2. Manusia dahulu merasa mereka kosong tidak berbuat apa-apa, sedang amalnya hidup sehingga ratusan dasawarsa. 

Di dalam menanggapi pandangan ulama dan pemikir terdahulu, biarlah kita dahulu kan dengan adab dan pertimbangan. Mereka berpandangan dengan zaman mereka. Salah di dalam memanfaatkan pandangan mereka adalah salah kita, bukan mereka. Lembaran ilmu peninggalan ulama terdahulu adalah hadiah berharga buat kita semua. 

Rasa hormat akan menghidupkan jiwa manusia. Rasa diri hebat dan melihat yang lain hina akan mematikan dan menjadikan jiwa seolah bangkai yang pasti membusuk lagi mencemar dunia.

Hormati tradisi keilmuan dan belajarlah utk merendah diri. Tidak rugi melainkan untung belaka.

Allahua'lam

Tuesday 14 October 2014

Kita memerlukan keberanian untuk maju ke hadapan. Sejarah kemanusiaan dan ketamadunan amat sarat dengan kisah manusia yang berani. Menongkah arus dan menolak tepi halangan untuk maju ke hadapan. Ada yang bersikap sedemikian kerana terpaksa. Tetapi tidak kurang juga yang berani kerana inilah pilihan atau jalan hidup yang hendak ditegakkan. Keberanian jalan seiring dengan penegak kebenaran untuk manusia, apalagi kebenaran yang dituntut Tuhan. Manusia pejuang adalah manusia yang berani untuk meletakkan diri di jalan kepayahan dan kesusahan. Matlamat yang suci di hadapan sana menuntut para penegak dan pejuang yang berani. Berani adalah santapan harian yang mesti dimuntahkan untuk kebaikan manusiawi. Ya. Semua pejuang yang tulus mesti berani. Berani ada harganya. Terkadang luka dan pedih. Terkadang nyawa pula menjadi galang ganti. 

Tunjukkan keberanianmu wahai pejuang. Jika engkau pengecut, maka berakhirlah nasib sesuatu bangsa itu. Islam membenci para penakut dan pengecut. Islam adalah rumah si pemberani. Asal sahaja yang ditegakkan adalah seruan Tuhan, tidak takut melainkan Tuhan juga.


Monday 13 October 2014

Medan medan...

Memang berbeza dunia bercakap atau menulis berbanding dunia beramal dan bekerja. Mereka yang indah-indah bait kata-katanya belum tentu lagi seindah itu di dalam nyata. Medan amal yang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit teramat sering menjadi medan saringan mereka yang benar atau mereka yang berlagak benar. Terkadang medan kata ini menjadi hujah ampuh untuk mengalas kemalasan sang daie. Apabila Sang Daie telah terhinggap penyakit malas dan alpa, maka alasan usaha kata dan cakap seperti sudah lebih daripada cukup untuk menyelamatkan diri masing-masing. Ya, tidak pasti mengapa akhirnya medan amal juga yang menjadi penapis dan pembuktian sebenar. Iman ini bukan dengan angan-angan dan ungkapan-ungkapan indah semata. Sejak di awal Islam lagi, iman ini dibuktikan dengan kerahan tenaga, titisan peluh dan aliran darah. Ia tidak terhenti dengan ikrar, janji dan sumpah. Ia bermula dengan ikrar, janji dan sumpah. Ia menuntut pembuktan. Dan pada pembuktian inilah kita akan diasingkan. Yang benar dan yang palsu.


Tuesday 7 October 2014

Umur oh umur...

Kehidupan ini adalah anugerah yang sering kita persiakan. Sememangnya kita tidak lagi boleh menyalahkan orang lain kerana mengambil masa dan ruang yang ada pada kita. Ini kerana kebanyakan daripada masa iaitu umur ini berada di dalam pengawalan kita. Ya, pengawalan dan keberhasilan yang terikat dengan keinginan yang lahir di ketika dan saat tersebut. Umur tidak akan pernah bertambah walau sesaat. Ia datang dan berlalu pada ketika yang telah ditentukan. Pada gabungan pelbagai unsur dan keadaan yang ada, kita perlu membuat keputusan samada mahu melakukan amal kebaikan, membiarkan ia kosong tanpa terisi atau memenuhkannya dengan amal yang bertentangan dengan apa yang Tuhan tetapkan serta perintahkan.

Semua tersimpul di tangan kita. Ya, walau masih sebenarnya di dalam apa yang Allah SWT telah bekalkan buat kita semua. Kita ambil keputusan dan kita laksanakan. Kelak, semua keputusan yang membuahkan amal itu akan menentukan nasib kita di akhirat kelak. Ada orang yang hanya melihat hasilan dan kelazatan di dunia tanpa memikirkan apa yang menantinya selepas melalui gerbang kematian. Di alam barzakh, ketika kita menanti saat akhir pun, kita pastikan akan merasa nasib akhir kita kelak. Ketika di dunia akan ditampilkan cerminan nasib di akhirat, apalagi selepas melalui fasa ajal maut. Kita pasti akan menyesali. Tidak banyak pun, pasti akan menyesal sedikit kerana kita telah persiakan peluang yang mendatang.

Apabila kita merenung amal yang kita sangka sebagai kebaikan pun kita akan merasa risau kerana kita telah dapat melihat kelompongan atau kecacatannya begitu melata. Kita merasa amal baik itu tidak sebaik yang dihasratkan. Malah, kita pula mula gerun kerana risaukan amal itu akan menjadi kebalikannya, iaitu amal jahat atau amal maksiat, yang membawa si pelakunya ke neraka Allah SWT. Ya, kita risau pada amal baik. Bagaimana pula dengan amal yang kosong dan masa yang terluang tanpa terisi. Apa pula nilaiannya? Bagaimana pula kita hendak menanggapi amal kerja buat kita yang nyata lagi jelas membawa atau mengundang murka ALlah SWT. Di mana hendak kita dapatkan ubat penawar kepada azab yang bakal menanti? Apa jalan keselamatan yang ada untuk kita lagi? Masa dan umur buat beramal semakin sempit. Anugerah fizikal juga semakin lesu. Jadi, apa agaknya nasib kita di sana? Kepada Allah SWT sahaja kita mampu berserah dan berharap agar kita kini diampunkan. Ya, mengharap ampun sedang kini kita masih berpeluang untuk memanfaat nikmat yang ada. Sebaiknya kita segera insaf dan terus beramal. Hidup ini terlalu singkat untuk kita persiakan.

Ya Allah bantulah kami semua. Kami sedar amal kami terlalu sedikit untuk menimbal-balik dosa2 yang telah kami lakukan. Ya Allah, ampunkanlah kami....

Tuesday 30 September 2014

Wahai Ibu dan Ayah!

Ibu bapa merupakan contoh atau qudwah bagi anak-anak. Pencontohan ini berlaku secara rela atau terpaksa. Anak-anak melihat dan menjadikan ia sebagai contoh perlakuan. Memang tiada pertimbangan samada ia baik atau buruk. Segala yang datang daripada ibu dan ayah adalah baik. Jika tidak pasti mereka tidak melakukannya di hadapan anak-anak. Tabiat mencontohi perlakuan ibu dan bapa serta adik beradik yang berada di lingkungan anak-anak kecil ini berlaku secara semulajadi dan tanpa paksaan. Ini lah hakikat yang kita perlu terima, samada kita setuju atau tidak. Anak-anak adalah cerminan sikap dan perlakuan ibu dan ayahnya. Setidak-tidaknya cara interaksi dan respons anak-anak adalah norma yang sering ia perhatikan wujud di dalam persekitarannya. Bergantung di mana anak-anak ini meluangkan masa di dalam sehari. Jika di rumah pengasuhnya, maka itulah gambaran suasana dan akhlak di sana. Jika di rumahnya sendiri, ya, itulah cerminan apa yang ia perhatikan berlaku. Anak-anak ini amat jujur. Mereka tidak tahu untuk berbohong. Dan jika ingin berbohong pun pastinya bukan dengan cara meniru perlakuan ibu dan ayah.

Yang paling menjadi contoh samada ibu atau ayah, adalah yang paling kerap dan rapat dengan anak-anak. Apabila kita kerap bersama mereka, perlakuan kita itu akan diulang-tayang berulang-ulang di mata mereka, lantas menjadi kekal di dalam minda dan jiwa anak-anak itu. Secara sedar atau tanpa sedar, anak-anak menjadi perlakuan ibu dan ayah sebagai tanda-aras atau kayu-ukur kepada perlakuan yang sewajarnya di dalam situasi yang sama. Memek muka, tona suara dan lenggok tangan, semuanya menjadi ikutan anak-anak. Ya, sering kita ketawa keriangan melihat keletah anak-anak yang meniru cara dan gaya kita. Bijak benar anak-anak ini, kata kita. Namun, harapnya kita juga sedar bahawa inilah "hadiah" yang telah kita anugerahkan kepada anak-anak. Akhlak yang mulia atau yang sebaliknya. Gerun apabila memikirkan hakikat ini. Ibu dan ayah, patut ambil berat tentang hakikat ini. Sekali tersilap, kita akan menyesal. Berkali-kali tersilap, sesal pun tidak berguna lagi. Semuanya telah terlambat. Doa kita kepada Allah Rabbul Jalil agar kita ini Ibu dan Ayah yang cemerlang akhlaknya. Ia memberikan yang terbaik agar anak-anak memperoleh yang terbaik juga.

Ingatlah wahai para Ibu dan Ayah!

Monday 29 September 2014

Pembaca buku-buku..

Pembacaan buku adalah satu usaha harian yang menjadi makanan akal dan jiwa. Input ilmu adalah baja-baja yang akan menyuburkan minda serta menyegarkan jiwa yang kelesuan. Akal ini tugasnya untuk menimbang dan memperhalusi nilai sesuatu perkara. Penilaian ini tidak boleh berlaku tanpa ada baja atau asas ilmu serta pengetahuan. Rasa tahu yang mengikat apa yang tercatat di dalam buku dan apa  yang terpamer melalui pengalaman kehidupan. Pelantar ilmu yang kukuh dan mantap serta tersedia akan dapat memungkinkan penilaian yang terbaik kepada apa jua yang sedang dihadapi. Namun kita amat maklum penilaian tentang letak duduk sesuatu perkara hanyalah sebahagian daripada bahan untuk keluar daripada kemelut yang ada. Penilaian akan membantu keputusan akhir yang akan dizahirkan. Unsur rasa atau gerak hati akan menatijahkan keputusan, samada baik atau tidak pada pandangan orang lain.
Pembacaan buku ilmiah dan bukan ilmiah yang berstruktur akan juga membantu strukur pelantar ilmu yang dibina terbangun dengan benar dan mantap. Membaca secara tidak tersusun atau tangkap-muat boleh membawa akibat yang sebalik daripada yang dihasratkan. Ini kerana ilmu itu tidak difahami dengan asas dan perspektif yang tepat. Perkara yang benar pun, jika tidak difahami dengan disiplin ilmu yang tepat dan berkadaran akan merosakkan pemahaman yang secara langsung akan merosakkan penilaian dan tindakan. Ya, biarlah kita membaca secara berhemah dan berdisiplin. Sebagai penuntut ilmu, hendaklah kita jangan mudah terpedaya dengan kehebatan diri dan apa yang kita rasa telah kita kuasai dan fahami. Mungkin di sana ada lagi lompong-lompong asas yang longgar dan perlu diketatkan. Kesombongan dan keegoan sering merosakkan manusia, walau seikhlas dan sebenar mana pun niatya berkelana di lapangan ilmu. Ya, membaca pun disiplin. Apatah lagi jika kita ingin bermuzakarah tentangnya.

Pembacaan buku adalah tabiat spatial yang memberi kesan langsung kepada psikologi manusia. Tabiat memegang dan membelek buku memberi kesan pengikat daya ingatan, dan memungkinkan lahirnya ikatan maknawi antara pembaca dan yang dibaca. Interaksi fizikal ini amat penting kerana ia mengikat unsur jasmai, rohani dan minda pembaca. Kita seorang pembaca buku yang reaktif, aktif dan interaktif. Biarpun buku itu tidak mampu berbicara dan membalas keghairahan kita, interaksi pembaca dan buku adalah amat bermakna.

Teruskan membaca dan mencari erti di dalam kehidupan ini!

Thursday 28 August 2014

Musim Haji telah tiba lagi...

Musim haji tiba lagi. Sejak semalam telah banyak penerbangan ke tanah suci dilakukan oleh para hujjaj. Pejam celik telah setahun berlalu sejak aku dan isteri menjadi tetamu ALlah SWT di bumi haram. Kenangan selama kurang lebih 50 hari di sana akan terus terpahat di sanubari dan menjadi kenangan selama hidup ini berdenyut. Alhamdulillah berpeluang dan Alhamdulillah juga dipanjangkan usia dan diberi pelbagai nikmat untuk membuktikan segala ikrar dan penyaksian setahun lalu di bumi haramain. Ya, betapa indahnya hidup ini apabila hari-hari yang dilalui disibukkan dengan ibadah dan usaha beribadah kepadaNYA. Hidup yang seolah terpisah dengan realiti seharian yang kini dilalui di tanahair sendiri.

Memang sifat tetamu ini ia diberi keistimewaan untuk dimuliakan oleh yang menjadi penerima tetamu tadi. Dihidangkan dengan pelbagai juadah qalbu yang memberi seribu satu pengertian. Ya, menjadi tetamu ALlah SWT ini amat istimewa perasaannya. Kita berpeluang menapak di bumi gersang dan kontang yang dahulunya adalah saksi kepada perjuangan suci menegakkan yang hak dan meletakkan manusia sebagai manusia, iaitu hamba kepadaNYA. Tetamu yang akan sentiasa merindu jejak dan tapak di subuh hari menyahut seruan sang bilal dan pulangnya beramai-ramai di malam hening yang membahagiakan. Ia rutin harian yang tidak akan dapat dilupakan. Betapa masa berlalu begitu pantas, dan kini aku menjadi saksi pula kepada tetamu-tetamu yang terpilih kali ini.

Satu persoalan besar yang sering bermain di minda adalah adakah Haji ku Haji yang mabrur? Haji yang diterima sepenuhnya dan diganjari dengan keampunan ke atas semua dosa. Jika ya, apakah natijah kepada Haji yang mabrur di dalam kehidupan yang masih berbaki ini? Apakah tanda-tanda haij yang lepas itu adalah benar-benar mabrur @ baik? Allahua'lam. Hanya Allah SWT sahaja Maha Tahu hakikatnya. Yang jelas, ibadah yang baik dan diredhoiNYA pasti akan membawa kebaikan dan manfaat kepada pelakuknya. Seperti solat dan puasa yang kita lakukan, tampak jelas manfaat dan kebaikannya apabila ia dilakukan dengan sewajar dan sebaiknya. Semua perkara akan meninggalkan parut atau kesan. Cuma, baik atau buruk. Itu persoalannya.

Alhamdulillah dan tahniah kepada semua yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini. Jika berkesempatan, sampaikanlah salam kami kepada junjungan besar, kekasih Allah SWT, Ar-Rasul - Muhammad SAW. Ketika anda berlalu di tempat baginda berehat di Masjid Nabawi, ingatlah betapa mulia dan hebatnya makhluk yang sedang kamu ziarahi itu. Bukan semua manusia berpeluang untuk bertemu dengan Nabi SAW. Ketika hayatnya dan ketika setelah wafatnya. Berpeluang berziarah ke maqam baginda juga satu kemuliaan kepada kamu. Ya Rasul, kami rindu kepadamu. Moga satu hari nanti, ketika hayat masih ada ini, akan berpeluang aku untuk menziarahimu. Ziarah dengan membawa seribu satu macam penyesalan atas peluang yang dipersia. Menziarahimu dengan dosa-dosa yang berselirat di jiwa. Malunya aku kepada mu, tetapi aku tetap rindu.

Ya Allah, berilah aku peluang lagi...

Wassalam



Wednesday 27 August 2014

Kisah CINTA!

Sang pencinta akan melakukan apa sahaja untuk yang dicintai. Ini adalah satu hukum alam yang tidak terkekang oleh spesis atau fasa kehidupan. Cinta bisa membutakan manusia kepada hujah dan penjelasan. Cinta jika tidak diperhati, akan menjadi tabir yang tebal yang pasti menghalang selain darinya untuk masuk ke hati dan jiwa manusia. Akal pun mampu tertewas oleh cinta. Ya, cinta itu buta. Namun, ke"buta"an ini adalah unsur utama yang menggerakkan manusia akan terus berjuang di dalam hidup.
Bergantung kepada jenis dan tahap cinta seseorang, ia boleh mengubah orang yang biasa-biasa kepada orang yang luar-biasa. Bukan luar kebiasaaan atau tidak tabie, luar biasa atau hebat kualitinya. Dengan dorongan cinta, manusia sanggup melakukan pengorbanan demi pengorbanan, walau tidak jarang terjadi, pengorbanan sudah yang terhebat, namun nilaian hakikat atau erti perlakuan itu menjadi sifar. Ini gara-gara terburu-buru di dalam bercinta sehingga akal menjadi tidak berguna. Ia "buta" dan di"buta"kan.

Yang pasti cinta kepada yang kekal akan membawa kepada kelangsungan rasa dan natijah cinta selamanya. Cinta kepada yang sementara, akan menatijahkan kematian yang semakin mendekat. Atas dasar ini, semua luahan dan rasa cinta mestilah didahului dengan kecintaan kepada yang Maha Esa, Allahu Rabbul Jalil. Cinta kepadaNYA akan memastikan kelangsungan cinta yang lain. Perintah dan laranganNYA menjadi batu aras yang membataskan tahapan cinta kepada makhluk. Melihat kepada zahir makhluk tetap menampakkan hakikat ketuhanan. Ini semua milik DIA yang Maha Agung dan Maha Hebat.

Cinta, bercinta dan mencintati adalah unsur nafsu dan syahwat. Tetapi ia menjadi suci dengan naungan iman serta taqwa kepada Allah SWT. Dorongan cinta yang sebenar sentiasa membawa empunya diri kepada ketundukan dan ketaatan kepadaNYA. Cinta hakiki adalah perjalanan menempuh jalan yang berliku dan beronar, namun sentiasa bernaung di bawah lembayung rahmat dan ehsannya. Ya, cintalah Allah SWT dan mereka yang dicintai olehNYA.

Ini jalan penuh keselamatan dan penuh dengan maunah daripada NYA.

Wassalam

Tuesday 26 August 2014

Merdeka! Merdeka!! Merdeka?

Belum rasa merdeka itu bukan satu kepalsuan. Ia satu hakikat perasaan yang diikat kuat dengan kebenaran. Merdeka kita terbatas dengan kelemahan-kelemahan yang melingkungi hidup kita. Pada jasad, minda dan jiwa kita ini punya terlalu banyak kelemahan yang mengikat dan mengekang apa sahaja yang kita benar-benar mahu lakukan. Ya, jika kita mengukur kepada merdeka atau tidaknya seseorang itu dengan pemaknaan yang ringkas dan mudah, kita semua telah merdeka. Namun, berlaku jujur dalam penilaian akan membawa kita kepada satu hakikat bahawa kita ini selamanya hamba dan akan mempunyai Tuan dalam banyak keadaan. 

Sebagai manusia, kita ini pastinya hamba kepada Sang Pencipta - Allah SWT. Tidak akan mampu untuk kita keluar daripada lingkungan ini. Ini kerana kita selamanya berharap kepada ALlah SWT untuk kelangsungan hidup. Di ketika Allah SWT menghentikan rahmat dan nikmat anugerahNYA, maka hayat dan nyawa kita pun akan terhenti langsung. Kita ini terlalu lemah dan tidak berdaya untuk berdiri sendiri dengan sebenar-benarnya. Oleh itu di dalam urusan hubungan hamba dan Tuhan, kita ini memang akan menjadi hamba, samada terpaksa atau rela. Ini semua untuk kebaikan. Malah tidak menjadi hamba membawa kepada kemusnahan yang pasti.

Di dalam hubungan sesama manusia, kita ada ruang dan peluang untuk mengeluarkan diri kita daripada menjadi hamba, iaitu dengan menjadikan hukum Tuhan atau batas-batas ketentuanNYA sebagai penentu sesuatu tindakan. Ini bermakna hukum manusia tidak mengekang kita, hanya hukum Tuhan. Lantas, kita tetap mampu menjadi hamba dan manusia merdeka pada masa yang sama. Ini suatu hakikat yang tidak mustahil dan sewajarnya menjadi sasaran atau target kehidupan. Hamba kepada Tuhan akan menghidupkan. Hamba kepada manusia akan mematikan kemanusiaan. 

Di dalam suasana menyambut merdeka ini, marilah kita benar2 memerdekakan diri dan menuju deras kepada kehambaan hanya untukNYA.

Selamat Hari Merdeka!

Tuesday 22 July 2014

Hari 24

Manusia ini dapat melihat dunia melalui dua cara. Pertama dengan mata, dan kedua dengan hati. Kedua2 pancaindera ini memerlukan cahaya untuk boleh melihat. Mata yang sihat dan cantik tidak mampu untuk membolehkan manusia, tanpa adanya cahaya yang menerangi kawasan itu. Jadi, kita dapat melihat kerana ada cahaya di samping punyai mata yang elok dan sihat. Cahaya yang menimpa objek dan dipantulkan semula ke mata kita membolehkan kita dapat menyaksi pemandangan di hadapan kita. Begitu juga dengan hati, ia hanya mampu "melihat" apabila ada cahaya iman dan hidayah daripada Allah SWT. Cahaya iman yang menerangi hatinya dan persekitaran itu akan membolehkan hati seseorang itu celik dan tidak buta. Di dalam banyak keadaan buta hati jauh lebih berbahaya berbanding buta mata yang zahir ini. Antara dapat melihat yang zahir dan melihat secara batin, pastinya penglihatan yang jelas tentang hakikat sebenar dunia akan terserlah. Dunia ini sementara tidak kekal. Dunia juga menjanjikan bahagia, sedang semua kebahagiaan itu sifatnya sementara.

Antara celik mata dan celik hati, pastinya celik hati lebih kritikal. Alangkah baiknya jika kita dapat gabungkan antara celik mata dan celik hati ini. Di bulan Ramadhan ini terbuka peluang yang besar untuk kita mengasah penglihatan hati kita. Dengan zikruLlah, sedekah, solat dan ibadah lain, hati kita dapat mengumpul sinar dan menjadi bersinar. Ia menangkap cahaya, dan ia juga mampu menterjemah cahaya tadi kepada kebaikan dan rahmat kepada makhluk lain. Tanpa cahaya iman dan hidayah daripadaNYA, kita akan tersesat dan tersasar jauh daripada landasan hidup yang hakiki. Semakin jauh tersasar, semakin gelaplah suasana. Dan apabila semakin gelap suasana, mana mungkin hendak diketahui jalan kembali kepadaNYA. Ya, kita ini hanya mampu bergerak ke arah keselamatan dengan cahaya yang menerangi jalan. Tiada manusia yang mampu mengawal cahaya ini, melainkan hanya Allah SWT - Yang Maha Besar dan Yang Maha Menghukum. 

Kita semua mahukan kebahagiaan dan keseronokan hidup di muka bumi ini. Rahsianya atau jawapannya bukan terletak di luar sana, di tangan2 para motivator dan tidak juga pada yang zahir. Jawapannya ada di dalam hati, seketul daging yang bernama Qalbu.

Allahua'lam.

Thursday 17 July 2014

Hari 19: Kemanusiaan yang hilang!

Semua yang berlaku di dalam kehidupan adalah merupakan Qada dan Qadar Allah SWT. Tiada sesuatu yang berlaku tanpa kehendak dan keizinanNYA. Sebagai makhluk yang bernama manusia, Allah SWT telah anugerahkan dua taklif atau tanggungjawab kepada kita semua: iaitu menjadi hambaNYA dan menjadi khalifahNYA di muka bumi. Kita diberi juga kudrat dan iradat, walaupun dengan segala keterbatasan, untuk kita mampu membuktikan ketundukan dan mentadbir bumi ini sebagaimana yang dikehendaki olehNYA.

Antara perkara yang mendasar di dalam ajaran Islam adalah penzahiran akhlak yang mulia pada sesama manusia khususnya dan alam ini amnya. Jika muslim berakhlak, ia menjadi agen untuk membuktikan bahawa Islam itu agama indah lagi baik. Islam tidak mengajar umatnya melainkan menjadi yang terbaik. Begitulah sebaliknya, apabila seseorang muslim atau segolongan orang Islam tidak berakhlak, ia secara tidak langsung membawa imej serta konotasi yang buruk terhadap agama. Apakah ini bukan satu kezaliman kepada Islam itu sendiri? Pastinya. Oleh itu setiap kita yang mengaku beriman dengan ALlah dan RasulNYA, hendaklah berusaha mencerminkan kemuliaan dan keindahan akhlak Islam itu sendiri. Ini supaya kita jadi pembantu agama dan bukan peruntuhnya.

Semalam telah tersebar video yang menzahirkan pelampauan adab seorang muslim. Ini dilakukan terhadap seorang warga emas yang tidak beragama Islam. Terasa malu melihat dan mendengar apa yang dibuat serta yang diucap. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya - kata pepatah melayu. Alangkah baiknya jika perkara yang kecil ini dapat diselesaikan secara berakhlak. Tidak susah untuk berlaku baik dan tenang. Yang menggetarkan jiwa adalah usaha untuk menzahirkan kemarahan dan mengucapkan perkataan-perkataan yang kesat lagi mengaibkan. Apapun, yang berlaku telah berlaku. Kita yang menyaksikan insiden itu, melalui pelbagai medium perhubungan hari ini, janganlah cepat menuding jari dan tidak berakhlak pula. Sabarlah dan cuba memahami apa yang berlaku. Dan, jadikan ia pengajaran.

Semalam juga menyaksikan pembantaian rejim haram Israel kepada umat Islam di Gaza. Kini, kanak-kanak pun dibunuh secara sengaja dan penuh sedar. Tidak ada keperluan untuk memberi alasan tidak sengaja atau mereka menjadi mangsa keadaan. Kisah pembunuhan 4 kanak2 di pantai Gaza semalam ada bukti nyata kemanusiaan telah hilang erti dan manusia tidak lagi ada secebis rasa kemanusiaannya, hatta kepada anak2 kecil. Musibah apakah yang menimpa umat manusia akhir zaman ini. Berbunuhan dan tidak merasakan bersalah langsung apabila melakukannya. Manusia telah hilang kemanusiaan. Maka tidak pelik apabila anak2 pun dibunuh. Manusia ini telah berubah menjadi haiwan.

Allah...Allah...Allah...Ya Rabb. Berilah perlindungan kepada anak2 kami Ya Rabb.

Wednesday 16 July 2014

Hari 18: 4 Sifat Ahli Jannah!

Semalam aku berbicara tentang 4 sifat ahli syurga. Ini bermaksud sifat yang ditampilkan di dunia ini, yang menatijahkan mereka layak untuk memasuki syurga Allah SWT. Atau dengan erti kata lain, mereka bersifat sedemikian sehingga layaklah mereka dijemput oleh Allah SWT empunya syurga untuk menjadi ahlinya. Menarik bukan jika kita tahu sifat2 ini dan dapat menjadi ia acuan bagaimana perilaku kita dizahirkan. Pastinya kita semua cuba berusaha mempraktikkannya supaya yang di langit akan memandang tinggi apa jua yang kita lakukan.

Seingat aku, kita semua terlalu biasa diperingatkan dengan 4 sifat orang munafik. Sifat-sifat ini ada dinyatakan di dalam hadis Ar-Rasul SAW. Jika berjanji, ia mungkir. Jika diberi amanah, ia khianat. Jika berkata, ia dusta dan jika bertengkar, ia melampaui batas. Sekiranya kita ada keempat-empat sifat ini, maka kita ini munafik hakiki. Jika ada satu atau dua atau tiga, kita ini menghampiri sifat2 orang munafiq. Balasan orang munafiq ini lebih berat daripada orang yang jelas kafir. 

Empat sifat ahli syurga adalah:

1. Mereka ini golongan yang suka kembali kepada Allah SWT
2. Mereka adalah golongan yang sentiasa menjaga amanah Allah SWT.
3. Mereka adalah golongan yang takut kepada ALlah SWT &
4. Mereka adalah golongan yang datang dengan hati yang suka untuk bertaubat.

Inilah 4 sifat-sifat manusia yang bakal mendiami syurga Allah SWT. Apabila mereka terlanjur melanggar perintah Allah SWT, mereka tidak jemu dan serik dan kembali kepada Allah SWT. Kembali kepada perkara yang dapat menyelamatkan mereka, di dunia dan di akhirat.

Golongan bakal ahli syurga ini juga adalah mereka yang sentiasa berusaha untuk menjaga amanah yang ditaklifkan ALlah SWT di atas bahu mereka. Mereka berusaha sedaya upaya agar tiada amanah yang dipersiakan. Ini memungkinkan mereka kembali kepada Allah SWT dengan hati yang sejahtera.

Mereka juga adalah manusia yang sentiasa takut kepada azab dan balasan yang dijanjikan ALlah SWT untuk mereka yang murka. Ketakutan mereka tidak melahirkan sifat pengecut, tetapi melahirkan keberanian untuk melaksanakan apa yang diperintah olehNYA, dan tidak gentar menempa murka makhluk keranaNYA. Takut yang sepadan dengan ketaqwaan.

Dan mereka juga adalah manusia yang tidak jemu untuk bertaubat kepada ALlah SWT. Sifat manusiawi tidak memungkin mereka maksum. Tetapi atas sebab sifat manusiawi jugalah mereka akur akan kelemahan dan sentiasa bertaubat di atas apa yang terkhilaf.

Inilah 4 sifat ahli syurga. Hari ini, apakah sifat2 ini ada pada kita? Jika telah ada dan sebati. Alhamdulillah. Jika tiada atau tidak sempurna lagi, maka janganlah risau. Nescaya masa masih ada untuk kita perbaiki segalanya. Mulakan dengan niat dan azam. Semaikan amal dan jangan lupa untuk bermunajat kepadaNYA.

Amin Ya Rabb...Amin...

Monday 14 July 2014

Hari 16: Puasa dan Perang

Puasa juga adalah satu bentuk peperangan. Ia peperangan dalaman dan luaran, tetapi hanya berorbit sekitar diri kita sendiri. Secara dalaman, kita berperang dengan nafsu yang telah terbiasa dengan perbuatan-perbuatan yang dimurkai Allah SWT. Jika tidak pun, nafsu telah dibiasakan dengan perbuatan sia-sia yang boleh menghumban kita ke jurang neraka ALlah SWT. Ini peperangan dalaman yang tidak pernah berhenti sejak kita mengenal perkara baik dan tidak baik. Kita berperang dengan kehendak nafsu yang mahukan yang selesa dan lazat, walaupun hal selesa dan lazat ini membawa kita keluar daripada batas ketaatan dan ketundukan seorang hamba Allah SWT. Ya, dengan berpuasa, kita menutup kunci utama masuknya sumber kekuatan nafsu, iaitu melalui makanan yang masuk melalui mulut dan tembolok kita. Puasa adalah sinonim dengan peperangan dalaman. Setahun sekali, kita ambil diperintah untuk lakukan peperangan ini selama sebulan. Dilakukan ia dengan menuruti peraturan dan ketetapan yang ditunjukkan oleh Rasul SAW.

Puasa juga menuntut kita untuk berperang secara luaran. Bukan untuk mengangkat senjata, tetapi untuk berlatih dan bertahan di dalam melontarkan buah-buah peluru lisan dan gerakan anggota fizikal yang boleh membawa kecederaan  serta kesakitan kepada orang lain. Ya. Ini juga satu bentuk peperangan. Ia menuntut kepada kesabaran dan tetap di dalam kesabaran. Mereka yang berjaya menahan daripada membalas, walaupun mampu dan berupaya, adalah jenis manusia yang berjaya di dalam peperangan ini. Kebiasaannya peperangan menuntut kita menggunakan anggota fizikal. Kali ini, peperangan di dalam bulan puasa, dalam konteks individu, adalah kekuatan kita untuk TIDAK menggunakan pancaindera untuk mendatang kemudaratan kepada orang lain. Ini suatu tugas yang bukan mudah dan sering hamba Allah SWT gagal untuk berkekalan di atasnya. Puasa ini jelas-jelas satu peperangan yang berterusan dan kita harap dapat memperkuatkan kita untuk 11 bulan yang mendatang. Kita mesti berlatih menjadi pejuang yang cekal dan sentiasa ingat kepada pelajaran ketika menang dan tewas di bulan Ramadhan. Kita jangan mengulang silap yang sama. Nafsu yang berjaya dikawal selama kurang lebih sebulan berpuasa ini, mesti terus dikendali dengan iman dan batasan wahyu Allah SWT. Kita boleh melakukannya.

Ya, di ketika ini saudara-saudari kita di Palestin sedang diserang oleh Rejim haram Israel. Jumlah yang terbunuh semakin bertambah dari hari ke hari. Mangsa kepada kerakusan rejim haram ini tidak mengenal umur dan status kehidupan. Musuh membunuh tanpa rasa belas dan timbang rasa. Inilah masanya yang setiap saat dipersaksikan bertambahnya golongan yang syahid di jalanNYA. Mereka sedang bergembira dengan semaian amal mereka. Tampak ngeri di mata kita, tetapi amat berbahagia di bawah lindungan rahmatNYA. Istimewa sunggguh saudara kita di Gaza dan di Palestin amnya. Mereka berada di bumi barakah, dan bumi yang sama ini menjadi saksi yang jujur dan benar di atas benarnya iman mereka yang berjuang. Darah yang tertimpa akan menjadi tinta penyataan persaksian. Bumi Palestin adalah saksi hidupnya manusia-manusia yang diberkati Allah SWT. Hidup dan mati mereka adalah di atas jalan Tuhannya.

Ya Allah, bantulah saudara2 kami di Gaza, di Tebing Barat, di Palestin seluruhnya, di Suria, di Mesir, di Iraq, di Myanmar dan di semua tempat yang dihuni mereka. 

Ya Rabb, kepadaMU lah kami berserah.


Tuesday 8 July 2014

Hari 10: Makan dan minum yang halal lagi baik.

"We are what we eat". Memang banyak kebenaran kata-kata ini. Kita amat terkesan dengan apa yang kita makan kerana ia adalah sumber tenaga untuk kita melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Menjadi satu kewajipan untuk kita semua memastikan makanan yang masuk ke perut kita adalah makanan yang halal lagi baik. InsyALlah makanan jenis ini apabila dimakan pada kadar yang berpatutan, akan menjadi sumber tenaga untuk amal-amal yang baik dan diredhoi Allah SWT juga. Sumber makanan yang haram dan tidak baik akan menjadi punca dan pendorong kepada pelanggaran hukum Allah SWT. Mungkin ada juga keadaan, makanan itu jenis yang halal tetapi diperoleh ia dengan cara yang haram, maka jadilah ia halal pada sifatnya, tetapi haram pada memakannya. Makanan sejenis ini pun akan membawa kita ke lembah kemaksiatan.
Ketika kita di dalam bulan Ramadhan, kita mendapat peluang untuk mengawal gesaan dan nafsu untuk makan dan terus makan. Kita dihalang untuk makan dan minum pada siang hari, walaupun makanan yang halal lagi baik. Kita disuruh untuk menahan nafsu zahir dan batin demi untuk mendapatkan ibadah puasa yang terbaik. Tiada peluang untuk menipu atau menyeleweng kerana yang menilai adalah Allah SWT yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Makan dan minum tidak lagi menguasai jadual hidup kita. Malah, kini ibadah dan urusan berkaitan yang mengawal jadual aktiviti harian kita. Alhamdulillah. Bab makan dan minum ketika di siang hari. Maka, janganlah kita tewas pula di waktu malamnya. Pengawalan ke atas dorongan untuk memuaskan nafsu ini mesti kita teruskan, demi untuk memastikan kitalah yang mengawal nafsu, bukan sebaliknya. 

Alhamdulillah apa jua yang Allah SWT perintahkan adalah baik untuk kita, samada perintah jenis suruhan atau larangan. Begitu juga pada apa yang dibawa oleh Rasul SAW. Semuanya baik, samada kita faham hikmahnya atau tidak. Inilah ciri aqidah yang jelas dan sahih. Alhamdulillah, sekiranya kita memahami hikmah-hikmah perintah dan larangan, ia lebih baik. Apapun, ketaatan dan ketundukan tetap kita teruskan. 

InsyAllah setiap amal yang dicontohkan oleh Rasul SAW dan para sahabatnya adalah yang terbaik untuk kita contohi. Mereka nyalaan petunjuk yang akan membawa kejayaan kepada kita semua, di dunia dan akhirat kelak. Amin Ya Rabb.

Hari 7: Kisah Adam dan Hawa

Bapa manusia, iaitu Nabi Adam AS dicipta oleh Allah SWT dan diberi tinggal di syurgaNYA. Diciptakan pula Hawa untuk menjadi peneman di taman yang abadi serta serba indah itu. Dan, kita semua pernah mendengar kisah Adam AS dan Hawa diturunkan ke bumi kerana pelanggaran memakan buah daripada pohon larangan Allah SWT. Di dalam banyak nikmat yang antaranya berupa pohon buah-buahan yang pelbagai serta segala bentuk nikmat, Allah SWT menetapkan ada satu pohon yang buahnya diharamkan untuk dimakan oleh Adam AS dan Hawa. Rupa-rupanya pada arahan Allah SWT ini terkandung begitu banyak hikmah untuk kita.

Adalah menjadi salah satu ibrah, bahawa di dalam kehidupan ini, perkara yang halal adalah jauh lebih banyak daripada yang haram. Dan di dalam yang halal itu pun, wujud larangan untuk memakan secara berlebih-lebihan. Yang halal apabila berlebihan boleh menjadi haram pada memakannya, bukan pada sifat buah tersebut. Ada pandangan menyatakan bahawa buah khuldi adalah nama yang diberikan oleh Iblis kepada buah pohon ini. Pada hakikatnya buah ini tidaklah haram dalam erti kata bahaya untuk dimakan. Kebiasaannya larangan haram pada makanan ini banyak pada daging berbanding buah-buahan. Lantas, ada pandangan bahawa yang dilarang adalah memakannya, bukan pada bahayanya buah tersebut. Iblis menjanjikan kehidupan abadi dengan memakan buah khuldi, sedangkan pada hakikatnya Allah SWT menjanjikan kehidupan abadi dengan tidak memakannya. Inilah sifat Iblis dan syaitan di dalam kehidupan. Mereka akan tampilkan perkara yang menyongsang kepada apa jua yang dijanjikan Allah SWT. Sama seperti dajjal yang akan membawa sifat yang sama kepada manusia di akhir zaman ini.

Ibrah kedua adalah perintah pertama kepada manusia oleh Allah SWT adalah di dalam bentuk larangan kepada manusia. Larangan yang berkait dengan anggota mulut iaitu memakan sesuatu. Inilah perkara utama yang perlu dijaga oleh manusia – mulut – ibu kepada nafsu atau lubang atas. Melalui mulut dan apa yang dimasukkan ke dalam mulut, pelbagai jenis amal perbuatan akan terhasil. Menjadi wajib untuk kita memerhatikan apa yang masuk melalui mulut kerana kesannya amat besar. Begitu juga, perhatikan apa yang keluar daripada mulut kerana kesannya juga tidak kurang besar. Nafsu menjadi kuat atau lemah dengan apa yang masuk melalui mulut – lubang atas.

Selepas Nabi Adam AS dan Hawa diturunkan ke bumi, mereka terpisah selama beberapa tahun. Ada sesetengah ulama menyatakan mereka terpisah selama 40 tahun. Dalam rayauan Adam AS dan Hawa, Allah SWT tetapkan mereka bertemu di Jabal Rahmah. Setelah pertemuan ini timbul rasa kasih Adam AS kepada Hawa. Lantas, datang pula perintah kedua daripada Allah SWT yang menetapkan Adam AS mesti menunai mabit di Mudzalifah dan Tawaf sebelum bersama dengan Hawa. Larangan kedua ini adalah untuk memperingatkan Adam AS untuk memperbanyakkan zikir kepadaNYA, dan menyekat perbuatan yang melibatkan anggota kedua, iaitu kemaluan – lubang bawah. Setengah ulama menggelar lubang bawah ini sebagai bapa nafsu. Ia mempunyai pengaruh yang besar kepada manusia. Namun, ia dapat dikekang apabila ibu nafsu (mulut) kita kekang dan sibukkan dengan zikruLlah. Kuncinya terletak pada kawalan kepada mulut kita. Atas sebab ini, para hujjaj ketika di dalam ihram untuk tawaf dan lain-lain, tidak boleh melakukan hubungan suami-isteri untuk memperingati larangan kedua kepada Adam AS dan Hawa. Bagi yang tidak menunaikan haji, Allah SWT anugerahkan bulan Ramadan. Ketika kita berpuasa selama sebulan ini, kita dapat kekang kehendak nafsu untuk makan, dan dapat pula mengekang kehendak nafsu untuk bersama isteri. Ini jugalah sebab mereka yang masih bujang dan tidak mampu untuk berkahwin disuruh untuk memperbanyakkan puasa sunat. Dengan berpuasa sunat, nafsu makan akan dikekang, dan ia juga secara langsung dapat mengekang nafsu-nafsu yang lain.

Ibrah ketiga adalah bahawa wajib kita melatih diri untuk mengawal nafsu dan tidak mengikut kehendaknya supaya kita selamat ketika di mahsyar nanti. Dalam konteks kehidupan ini, supaya nanti kita tidak mengikut kehendak nafsu ketika nazak atau ajal hampir tiba. Apabila manusia terbiasa dengan mengikut kehendak nafsu walaupun halal, maka pasti semakin susah untuk menolaknya dalam keadaan terdesak. Kita terlalu biasa untuk memuaskan kehendak nafsu maka kelak kebiasaan ini akan mencengkam jiwa kita. Pada hari ini juga, kita banyak beramal tetapi beramal di dalam nafsu dan keselesaan yang disukai oleh nafsu. Menjadi kebiasaan untuk kita mencari keselesaan sebelum mahu beramal. Akhirnya, nafsu masih mempengaruhi kita. Jika kita menilai semula kisah Bilal Bin Rabah, ketika disiksa oleh Tuannya. Bilal RA ditimpa dengan batu besar di padang pasir yang panas, namun mulutnya tidak putus berzikir – Ahad! Ahad! Ahad!. Zikir yang lazat sehingga melupakan kesakitan dan ketidakselesaan. Hari ini kita berzikir, dan kebiasaannya akan berhenti berzikir kerana keadaan panas atau tidak selesa. Ertinya, zikir kita belum lazat dan ia tidak dapat memisahkan kita daripada kehendak nafsu. Ada ulama dahulu yang berzikir di dalam liang lahat. Apakah seronok berzikir di dalam keadaan yang sempit, panas dan gelap ini? Pastinya tidak. Tetapi, mereka mahu belajar hakikat zikir yang lazat. Menarik bukan amalan manusia untuk mencapai erti lazat dan nikmat didalam zikir. Apabila ibu nafsu dapat kita kawal dan jaga, insyAllah bapa nafsu pun akan terkekang. Tentera-tentera nafsu yang lain juga akan ikut tunduk.

Ibrah keempat adalah pentingnya kita faham kesan lubang atas dan lubang bawah kepada nasib seorang hamba Allah SWT. Di dunia ini pun, jika kita menjaga kedua pancaindera ini, kita akan selamat. Apatah lagi di akhirat kelak. Kisah Nabi Adam AS dan Hawa adalah kisah melawan nafsu dan memastikan tindakan kita adalah atas perintah Allah SWT, walaupun nafsu tidak suka. Terkadang kita beramal dalam keadaan tidak bersemangat. Inilah keadaan yang payah. Tujuan akhirnya adalah mampunyai sikap bahawa kita beramal atas tujuan menunaikan perintah Allah SWT dan perintah Ar-Rasul SAW. Dan kita akan terus beramal, walaupun kita tidak bersemangat. Beramal di atas semangat akan merosakkan ibadah kita. Kisah Nabi Adam AS dan Hawa sifat dan perlakuan manusiawi yang akan berulang-ulang sehingga ke akhir zaman. Pada skala makro (masyarakat) dan mikro (individu), kitaran hidup ini akan terus diulang-ulang. Kita mesti melatih diri untuk mengawal nafsu. Kita biasakan nafsu dengan kesusahan dan kepayahan, sambil kita sentiasa memastikan kita beramal atas ketaatan, bukan kerana amalan itu tidak menggugah kehendak nafsu serta tidak memayahkan. Nafsu ini mesti dibiasakan dengan penolakan. Takut kelak kita akan tewas dalam permintaannya untuk maksiat dan keingkaran kepadaNYA.


Ini adalah sedutan tazkirah pagi yang ku peroleh daripada seorang ustaz yang tampak amat bersahaja dan tawaduk. Alhamdulillah, begitu banyak isi kepada tazkirah ini. Tidak lain tidak bukan, inilah bukti kepada kealiman sang Ustaz dan keikhlasan beliau. Amin. Ya Rabb.


Thursday 3 July 2014

Hari 3: Ghairah membacanya...

Keghairahan yang jelas ketika Ramadhan ini adalah bersungguhnya manusia muslim untuk membaca Al Quran. Seolah satu perlumbaan untuk dilihat siapa yang dapat menghabiskan pembacaan seluruh Al Quran untuk Ramadhan kali ini. Pastinya sasaran ini tidak salah dan tidak patut diperlecehkan. Ini kerana sekurang-kurangnya budaya pembacaan ini mendekatkan kita dengan Al Quran, dan memastikan banyak masa kita terisi dengan satu ibadah yang disukai oleh Allah SWT. Yang menjadi kegusarannya adalah sejauh mana kita mendapat manfaat ilmu daripada usaha pembacaan tadi. Ilmu tidak terhasil dengan kita mengulang-ulang ungkapan firman Allah SWT semata. Ilmu dan kefahaman lahir daripada merenung dan mencari erti di sebalik makna-makna ayat2 yg dibaca serta didengar itu. Usaha memahamkan pula tidak akan terzahir dengan sebaiknya tanpa rujukan kepada nukilan dan pengertian para ulama serta salafus soleh. Perlu ada sikap merujuk dan membetulkan pandangan supaya ia sejajar dengan para ilmuan, yang telah mewakafkan diri mereka untuk benar2 memahami ayat2 Allah SWT. Perkara ini bukan permainan, tetapi suatu tuntutan yang mesti dilaksana.
Apa kata kita berlumba untuk membaca dan mengerti makna ayat2 yang dibaca? Satu perlumbaan untuk meningkatkan kefahaman. Lantas daripada kefahaman yang tuntas, akan menzahirkan amal serta gerak kerja yang bertepatan dengan suruhanNYA serta tidak terlepas daripada ruh amal seperti yang dipamerkan oleh Ar-Rasul SAW. Kita mempunyai kewajiban untuk mengembangkan budaya mementingkan kefahaman di atas pembacaan, dan bukan sebaliknya. Al Quran sewajarnya dibaca di dalam keadaan muslim mukmin mahu melaksanakannya, dan bukan sekadar mengharap barakah pembacaan. Lebih malang lagi jika memang tiada niat pun untuk diamalkan, melainkan hanya untuk dibaca dan harap-harap diberikan barakah yang besar oleh Allah SWT. Terlalu pelik pula rasanya pemikiran seperti ini. Ia terlalu asing kepada sikap dan perilaku para sahabat R.A yang amat mementingkan pusat perkongsian maklumat.

Semoga kita semua menjadi Ahlul Al Quran yang hakiki. Amin Ya Rabb.

Tuesday 1 July 2014

Hari 2: Salam Ramadhan. Rebutlah peluang!

Pada hari ke-2 Ramadhan, Alhamdulillah dapat bersolat di sebuah masjid di kampung. Suasana berbuka puasa di kampung memang menyeronokan terutama berbuka bersama kaum keluarga yang ramai. Suasana di kampung juga memberi banyak masa terluang untuk membuat pelbagai perkara. Di sebelah paginya aku diamanah untuk menjaga anak2 yang berdua itu. Memang tugas menjaga anak ini tidak semudah yang disangka. Memang Sang Ibu adalah makhluk istimewa yang dijadikan ALlah SWT mampu untuk menguruskan perihal rumahtangga yang melelahkan, terutama apabila melibatkan anak2. Kelelahan yang dilaksanakan dengan kasih sayang dan kerinduan. Tapi sebentar sahaja kerana isteri pun telah selesai dengan urusannya dan kami bersiap untuk pulang ke kampung. Berbuka puasa hari pertama di kampung. 

Aku sedar bahawa setiap orang ada matlamat yang berbeza. Terkadang ia tampak sama, tetapi sebenarnya amat berbeza. Apapun cita-cita dan keinginan kita, hendaklah kita pastikan ia sentiasa berada di dalam batas-batas yang diizinkan oleh ALlah SWT. Kenikmatan sementara janganlah sampai membutakan mata dan hati kita daripada hakikat perintah dan laranganNYA. Semua yang dilarang oleh ALlah SWT itulah yang terbaik buat kita, di dunia dan di akhirat. Ladang dunia ini cuma dapat disemai dan diusahakan sebagaimana yang diperintah Allah SWT. Bulan Ramadhan pun menetapkan kaedah dan wasilah terbaik untuk mendapat hasil yang terbaik. Semua amal ada percontohannya. Kita tidak perlu terlalu kreatif di dalam daerah ini. Malah, tidak sepatutnya kita bersikap kreatif dan inovatif dalam hal berkait ibadah, terutama yang fardhu, termasuk juga yang sunat. Templat atau acuan amal terbaik telah dipertonton dan ditampilkan tanpa sembunyi. Jika kita ingin yang terbaik daripada Ramadhan, tidak ada pilihan lain, melainkan mengambil dan mengulang guna acuan yang sama, sedekat dan setepat mungkin.

Namun pasti, acuan itu pada zahirnya. Pada batin dan penghayatannya, kita perlu usahakan sendiri. Tentang bagaimana untuk melahirkan khusyuk dan menetapkan fokus. Tentang perihal yang ghaib, memang langsung terus di perhati dan dinilai ALlah SWT. Kita ini insan yang dimuliakan apabila kita dipertemu dengan Ramadhan. Apatah lagi, kita akur dan amat sedar akan hinanya dan betapa bergelumangnya kita dengan dosa dan pelanggaran. Yang berdosa masih juga dijemput. Kasihnya Allah SWT kepada kita semua.

Salam Ramadhan. Rebutlah peluang!

Hari 1: Rebutlah Ramadhan ini!

Pada malam 1 ini kami diberi ingat bahawa Ramadhan ini adalah bulan yang istimewa. Di dalamnya kita berpuasa kerana melaksanakan perintah Allah SWT seperti yang difirman olehNYA di dalam ayat 183, Surah Al-Baqarah. Jadinya, puasa ini pun istimewa. Ia perintah langsung daripada Allah SWT dengan janji ganjaran yang amat hebat. Amal ketika Ramadhan pun tidak boleh diganti di bulan lain. Apabila terlepas, maka kita akan rugi selamanya. Memang secara hukumnya, puasa yang tidak terlaksana boleh diganti dengan puasa dan juga fidyah, tetapi daripada sudut fadhilatnya, kita tidak menjumpai ganti yang seumpamanya. Ia kekal tidak sama. Maka, Ramadhan ini mesti direbut di ketika ini, bukan ditangguh ke waktu dan kelapangan yang lain. Ramadhan adalah peluang untuk kembali kepada Allah SWT. 

Hari pertama juga adalah hari untuk menanam niat dan azam. Ramadhan yang bagaimankah kali ini? adakah Ramadhan ini akan berbeza ataukah ia menjadi salah satu peluang dan kesempatan yang tersia? Kitalah yang akan menjadi pemilih kepada penghujung ini. Allah SWT telah memberi izin kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan dan ini adalah satu anugerah yang hebat. Tidak kurang manusia yang ajalnya tiba sebelum masuk Ramadhan. Tinggal beberapa jam lagi sebelum Ramadhan, maka nyawa mereka diambil. Mereka tidak ditakdirkan untuk bertemu Ramadhan. Kita pula bagaimana? Apakah setelah terpilih untuk menjadi tetamu bulan berkah ini akan kita persiakan ia sahaja? Malanglah jika ini yang menjadi sikap kita. Pembuktian sikap adalah dengan penzahiran amal. Zahirkan kesyukuran kita dengan melakukan taat dan patuh kepada apa yang disukaiNYA dan bukan sebaliknya. 

Pada kesempatan ini, waktu pertukaran amal yang memberi kesan serta pengaruh yang tidak sedikit kepada ruh, minda dan jasad, hendaklah kita mempunyai sikap - biar amal itu sedikit, tetapi berterusan. Jangan terlalu ghairah, sehingga membawa lelah. Lelah yang membuat kita rugi dan mezahirkan penyesalan yang tidak akan ada penyudah.

Rebutlah Ramadhan ini!

Monday 28 April 2014

Kaki aku memijak lagi bumi ini..

Hari ini aku mencecah kaki di bumi UK lagi. Suasana mendung dan sejuk menyambut kedatangan aku ke bumi yang menyaksikan banyak sejarah tercatat di dalam kehidupan awal muda ku. Kali ini aku datang sebagai orang yang ingin mencari peluang-peluang untuk membawa ilmu baru ke negara tercinta dan mencari peluang bagaimana boleh membawa kekuatan dan kepakaran atau kemampuan ke medan antarabangsa. Aku akan berada di sini hampir seminggu dan ini memberi, insyAllah, banyak masa untuk aku menulis, memikir dan merancang gerak di masa hadapan yang tidak pasti lagi ini.

Ya, bumi UK ini memberi peluang untuk aku berfikir dan melihat semula semua gerak laku ini selama ini. Semoga aku kembali menjadi orang yang jauh lebih baik lagi. InsyALlah. Amin

Thursday 13 March 2014

Kaya dan Faqir!

Kekayaan dan keagungan Allah SWT tiada tolong bandingnya. Sehebat manapun kita, manusia, kita tidak akan mampu untuk menilai dan menentukan sejauh mana hebatnya Allah SWT. Persoalan ini amat mudah untuk difahami. Contohnya, apabila kita ditanya seluas manakah alam ini? Tentunya kita tidak akan mampu secara pasti untuk menentukan keluasannya. Seolah-olahnya langit di atas atau di luar sana tiada tepinya. Yang pastinya langit pun ada hujungnya atau sisinya. Atas andaian ini kita dapat menganggar luasnya galaksi kita ini umpamanya. Jika langit yang dicipta ini pun hampir tidak mampu untuk kita membayangkan luasnya, apatah lagi Allah SWT yang mencipta langit itu. Pasti tidak terjangkau di minda kita ini akan betapa luasnya kekayaan dan keagungan Allah SWT. Semua yang disifatkan kepada Allah SWT, pasti Maha Hebat. Tidak terumpama dan tiada pesaing, keran IA yang mencipta segala-galanya.

Jika kekayaan dan keagungan Allah SWT tidak terbanding, maka kefakiran dan kehinaan manusia tanpaNYA juga tidak terbanding. Manusia ini tidak punya nilai tanpaNYA. Manusia ini punya nilai apabila dipercik sedikit daripada kebesaranNYA. Manusia ini tidak empunya, melainkan dipinjamkanNYA buat tempoh seketika. Manusia ini terlalu bergantung kepada Allah SWT sehingga hampir2 ia mati apabila ia ditinggalNYA. Malah, pasti lah kematian itu untuk manusia apabila manusia hidup tanpa Allah SWT. Begitu kuat pergantungan kita kepada Allah SWT. Daripada perkara sekecil-kecilnya, apa lagi perkara yang besar-besar dan lebar kesannya. Manusia itu sentiasa faqir lagi memerlukanNYA. Wahai manusia, dengan kefakiran ini, insaflah engkau dan yakinlah hanya kepada Allah SWT terletak semua harapan dan jalan keluar.

Allahua'lam 

Wednesday 12 March 2014

Kata-kata mesti diperhatikan...

Apabila kita berani berkata sesuatu, ini bererti kita telah berani untuk memikul akibat daripada kata-kata tersebut. Ini adalah natijah yang tidak dapat ditolak. Jika kita tidak mahu memikul amanah ini, maka janganlah berkata-kata perkara yang kita tiada pengetahuan, apa lagi sengaja berkata-kata untuk membawa kerosakan atau kekeliruan. Atas sebab ini, Ar Rasul SAW menyatakan berkatalah yang baik atau diam. Perkataan yang diucapkan boleh membina dan menghancurkan peradaban. Manusia boleh berubah dengan satu perkataan sahaja. Kesannya jangan diambil mudah.

Melalui perkataan yang dilontarkan akan tergambar emosi, makna dan hasrat yang ada di dalam sanubari dan fikiran kita. Kata-kata ini boleh menjadi amat tajam sehingga ia dapat menggerakkan umat untuk mengubah nasib yang menimpa mereka atau ia boleh menjatuhkan semangat dan kesungguhan sehingga manusia boleh redho dalam keadaan yang menghinakan. Kata-kata ini boleh membawa kepada kehidupan, dan ia juga dapat membawa kepada kematian. Kehidupan dan kematian kepada jiwa terutamanya. 

Di dalam surah As-Saff, ayat 2 dan 3, Allah SWT memperingatkan kita tentang amanah atau taklif yang wujud apabila kita berkata-kata. Mestilah kita berkata-kata juga kerana ini kaedah untuk menyampaikan risalah. Bukannya suruh kita membisukan diri. Tetapi berhati-hati. Di dalam ayat 33, surah Fussilat, Allah SWT memuji mereka yang berkata-kata pula. Cumanya kali ini, kata2 itu adalah kata2 yang mengajak dan menyeru manusia kepada Allah SWT. Lantas inilah rupanya ukuran kata2 yang selamat. Ia mesti mengajak manusia kepada Allah SWT.

Allahua'lam.

Monday 10 March 2014

Apabila musibah menimpa...

Musibah adalah satu fenomena kehidupan yang mesti hadir di dalam hidup sesiapa jua. Persoalannya hanya pada waktu, saat dan sebesar mana skala musibah tersebut. Musibah atau bala bencana yang menimpa adalah perkara yang mematangkan dan mendewasakan jiwa manusia. Melalui musibah itu juga manusia dapat menginsafi bahawa hidup ini punya pencipta, dan hidup ini di luar kawalannya. Musibah juga menjadi satu ingatan bahawa sehebat manapun manusia hari ini, ia tidak akan mampu untuk mengelakkan diri daripada diuji dengan ujian bala dan permasalahan.

Persoalan utama adalah bukan bagaimana kita boleh menghapuskan kemungkinan untuk ditimpa musibah, tetapi bagaimana sikap yang wajar kita tampilkan di saat musibah melanda. Ya, benar, dengan segala apa yang Allah SWT kurnikan kepada kita, akan kita usahakan untuk merancang dan melaksana semua tindakan dengan sebaik serta seselamat mungkin. Ada musibah yang boleh mendatang akibat perbuatan yang nyata. Ini boleh kita ikhtiarkan untuk dielakkan. Ada pula musibah yang hadir dengan tiba-tiba, dan jauh sekali daripada kita mampu untuk mengawalnya. Ya, faktor luaran ini memang di luar jangka. Yang boleh kita persiapkan adalah diri kita sendiri. Bagaimana kita wajar dan sepatutnya menangani musibah dan bala bencana?

Musibah boleh menjadi baja kehidupan kepada masa hadapan yang lebih baik, atau ia juga mampu mengundang musibah yang lain pula. Musibah mengundang musibah! Ini yang ingin kita elakkan. Ia semua bertitik-tolak kepada bagaimana cara kita menangani musibah yang menimpa. Sekiranya apabila musibah hadir, kita dahulukan reaksi kita dengan sabar dan pasrah kepadaNYA, maka insyALlah musibah ini akan membawa pelbagai hikmah dan kebaikan yang di luar jangkaan kita. Apabila musibah kita tangani dengan sumpah seranah, putus-asa, kecewa dan lupa diri, maka musibah ini akan mengundang musibah lain, yang mungkin lebih mudaratnya. Inilah musibah yang mungkin membawa kita ke neraka ALlah SWT. Apabila kita mempersoalkan kasih sayang Allah SWT. Apabila kita menolak takdir dengan rasa marah dan putus asa kepada Tuhan yang Empunya segalanya. Ya, inilah reaksi seperti ini akan mengundang musibah yang berganda lebih besar lagi. Musibah apa? musibah masuk atau dicampak ke dalam neraka Allah SWT. Ya, ini yang menggerunkan kita semua.

Apabila kita menerima musibah dengan rasa redho. Ertinya kita terima ketentuan dan takdir ALlah SWT, maka kehidupan kita di masa hadapan akan semakin baik dan bererti. Hubungan kita dengan ALlah SWT menjadi amat erat. Maka, apabila ALlah SWT sayang akan hambaNYA, maka inilah kemenangan yang besar di atas musibah yang menimpa. 

Musibah biarlah mengundang barakah, dan bukannya menjemput musibah yang memusnah!

Allahua'lam.

Thursday 6 March 2014

Kerana terpaksa...

Budaya "conformity" atau menyesuaikan diri pada suasana atau tekanan sekeliling semakin terasa. Daripada anak-anak yang menuntut di Tadika sehinggalah tok-tok ayah yang sering berkunjung ke masji dan surau. Masing-masing merasai tekanan untuk "conform" atau menyesuaikan diri dengan norma-norma dan tekanan suasana. Perkara ini boleh jadi baik, tetapi ia boleh juga membawa kepada tekanan yang tidak perlu sebenarnya. Anak-anak kecil pasti lebih berat tekanannya. Apabila guru atau pendidik di sekolah meminta para anak-anak untuk berbuat sesuatu, yang pada zahirnya tidak wajib atau mesti, anak-anak merasa berkewajipan dan perlu mengikutnya. Yang tertekan anak-anak. Ya ditekan kelak adalah ibu-bapa. Di dalam bab kewangan terutamanya, acap kali anak-anak membawa surat pungutan derma atau sumbangan untuk pelbagai tujuan. Itu belum termasuk surat saranan pembelian barangan makanan, pakaian atau bahan-bahan pembelajaran. Ia tidak diwajibkan, tetapi anak-anak menanggapinya sedemikian. Sudah hampir pasti bahawa anak-anak yang tidak mampu meyakinkan ibu-bapa untuk bersetuju menyumbang, akan terasa terasing dan ber"dosa". Apalagi melihat rakan-rakan lain tiada masalah untuk berbuat apa yang diminta. Ya, ini suatu bentuk tekanan yang tidak perlu sebenarnya. Mengapa pihak sekolah dan pendidik berbuat sedemikian terhadap anak-anak? Kasihan mereka. Yang tertekan juga adalah para ibu-bapa yang kehairanan atas sikap dan perilaku para pentadbir. Dunia ini sudahnya menjadi terlalu materialistik. Yang kaya dan berada tiada masalah untuk "conform". Bagaimana pula nasib dan rasa-hati mereka yang tidak seperti mereka?

Yang pasti, tiada siapa yang boleh memaksa atau menjadikan ia suatu kewajipan. Ia tetap pilihan dan bersifat opsyenal. Jika mahu kita ikuti. Jika tidak, kita sabar dan lalui sahaja akibatnya. Ada seperkara lagi yang kita tiada pilihan. Yang ini mesti kita "conform" atau usahakan untuk menyempurnakannya. Kewajipan ini adalah untuk "conform" kepada peraturan dan kehendak Allah SWT. Apabila kita melalaikannya, kesannya wajib menimpa kita. Persoalannya samada cepat atau lambat, dan bentuk ganjarannya. Malangnya ramai manusia yang tidak perasan hakikat ini. Kewajipan untuk "conform" kepada kehendak dunia dan nafsu sering mengatasi kehendakNYA. Mungkin kita tidak nampak apa azab yang menanti kita. Sedangkan, kita amat akur kepada kesan manusiawi yang bakal berlaku kepada diri kita. Ya, semua ini permainan hidup yang cuma akan berhenti apabila nyawa kita terhenti. Ya, kita mesti jelas dan tahu keutamaan di dalam bertindak. Keutamaan ketika hidup. Mengutamakan yang utama, dan bukan menganggap semuanya sama belaka. Antara "conformity" kepada Alllah SWT dan makhlukNYA, pastilah keutamaan yang pertama adalah kepadaNYA. Kita perlu yakin bahawa apabila ini menjadi falsafah hidup kita, semuanya akan sejahtera, walau sepahit dan sekelat manapun pengalaman hidup yang sedang kita hadapi. Yang utama adalah memenuhi perintahNYA, bukan berusaha menyukakan hati-hati manusia yang kita utamakan. Kita disuruh mengabdi. Maka, pengabdian menuntut "conformity" makhluk kepada Tuhannya.


Wednesday 26 February 2014

Hairan dan kagum...

Al Imam As-Syahid Hasan Al-Banna pernah memberi taujihat kepada anak-anak didiknya bahawa setiap keberhasilan itu mesti diawali dengan keikhlasan. Niat yang benar kerana ALlah SWT dan dikukuhkan dengan keikhlasan di dalam beramal, tanpa dicemari dengan rasa ujub, takabbur dan sifat-sifat yang dimurkaiNYA. Inilah sifat penggerak Ikhwanul Muslimin, gerakan Islam yang paling besar, paling tersusun dan paling thabat di dalam memberi khidmat kepada ummah. Ya, kekaguman yang acap kali lahir daripada bibir-bibir manusia samada yang menyokong atau yang memusuhinya. Kerja dan amal mereka telah cukup untuk berkata-kata. Ungkapan dan ucapan kosong bukan mainan dan kerja buat Ikhwanul Muslimin. Mereka adalah roh baru di dalam umat ini. Mereka hidup untuk orang lain dan bukan untuk diri mereka sendiri. Ini dilakukan semata-mata kerana kasih dan sayang kepada umat. Tiada tujuan lain selain membuktikan keimanan melalui pembawaan manfaat dan kebaikan kepada alam di sekitar mereka ini. 

Di dalam dunia moden ini, tidak ganjil untuk perbuatan baik dan amal kebajikan di salah erti sebagai umpan untuk mendapatkan sokongan dan manfaat bagi yang mengerjakannya. Daripada satu sudut, benar sekali, bahawa penggerak-penggerak Ikhwanul Muslimin pun punyai motif yang sama. Mereka adalah kepentingan peribadi. Namun, yang mereka mahukan bukan diambil daripada tangan2 manusia TETAPI yang dijanjikan oleh Tuhan yang Maha Esa - iaitu keredhoanNYA dan Syurga Firdausi. Inilah motif amal dakwah Ikhwanul Muslimin, yang sering mendambakan akhirat. Apabila syurga di hadapan mata, apa lagi nilai dunia. Atas sebab ini, terkadang ada yang masih mencurigai motif manusia2 pendakwah ini. Ada juga yang masih terus-terusan bersangka tidak baik terhadap mereka. Apa lagi bukti yang mahu diberikan. Biar amal sahaja yang berbicara. Mereka mengorbankan segalanya. Dipenjara buat puluhan tahun. Namun, mereka tetap tenang dan berusaha untuk kebaikan umat. Kerana Ikhwanul Muslimin bukan hidup untuk dirinya tetapi hidupnya untuk meng"hidup"kan ummah yang tercinta.

Ya, manusia akan terus kagum dan hairan dengan susuk Ikhwanul Muslimin ini. Mereka seolahnya berbuat sia-sia, sedangkan pada hakikatnya mereka melihat syurga dan sedang membayar maharnya.

Allahu Akbar!!!


Thursday 20 February 2014

Cetus-cetusan...

Sejak daripada malam cetus-cetus fikir tentang hidup ini timbul dan tenggelam. Betul masa dan umur ini akan terus bergerak tanpa henti sehingga titik akhir yang ditetapkanNYA. Terkadang soalan tentang erti dan makna kepada kehidupan datang mengetuk pintu fikiran dan dinding rasa. Apa yang telah dilakukan sebelum-sebelum ini seolah satu mimpi yang telah berlalu dan semakin dilupakan. Garis-garis halus telah lama hilang daripada ingatan. Yang tinggal cuma garis-garis kasar kenangan yang terkadang terkesan juga dengan suasana dan perasaan. Mungkin inilah sifat manusiawi yang sebenarnya menyelamatkan kehidupan manusia itu sendiri. Terlalu mampu mengingat semua perkara  yang telah berlalu akan pastinya mengganggu gerak hidup untuk ke hadapan. Tidak semua perkara perlu diingat, dan kita pun sebenarnya bersyukur yang kita lupa akan sesetengah pengalaman. Yang memalukan, menyakitkan, melukakan, menyedihkan, merendahkan dan mengaibkan: Alhamdulillah telah hilang daripada ingatan. Setidak-tidaknya telah ALlah SWT benarkan untuk tersimpan kukuh di sudut sepi kotak ingatan kita. Ya, ini kuasa ALlah SWT yang Maha Penyayang kepada semua makhlukNYA. 

Bayangkan jika kita tidak dapat melupakan kisah sedih atau sekiranya hikayat malang itu terus-terusan bermain di minda dan perasaan, boleh hilang akal dan kewarasan dibuatnya. Inilah juga hikmah terus-terusan kita istiqamah di atas jalan ibadah kepada ALlah SWT. Solat, zikir dan selawat ke atas Nabi yang mulia, dapat menimbulkan dan mengekalkan rasa tenang di jiwa. Apabila jiwa tenang, hidup rasa bahagia. Walau pada zahir tampak tidak bercukupan. Apabila jiwa kacau, hidup rasa terhimpit, sempit dan derita. Walau pada zahir tampak kaya tidak terkira. Ya, ingatan ini mesti dimanfaatkan dan dilihat dengan kaca-mata yang benar. Apabila kaca-mata melihat kita betul, apa pun ingatan, samada pahit apalagi manis, menjadi penawar kepada kehidupan kita yang ini, yang semasa. 

Sejak daripada malam sehingga pagi ini, telah menjadi saat-saat tafakur yang bermanfaat. Ia memaksakan satu tindakan untuk memerah minda dan rasa hati supaya sedar bahawa ini semua anugerah daripadaNYA. Ya, kita ini hamba yang sentiasa berada di dalam lingkungan ilmu dan rahmatNYA.

Allahua'lam 

Wednesday 19 February 2014

Antara kefahaman dan kepekaan...

Saya sering memikirkan apa kaedah terbaik untuk seseorang itu meningkatkan kefahaman dan kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Alam yang bersifat dinamik dan sentiasa berubah ini sebenarnya tidak berhenti melontarkan persoalan dan cabaran kepada manusia-manusia yang hidup di dalamnya. Ya, kita yang sejak daripada asal diamanahkan menjadi pentadbir sementara di alam maya ini mesti mampu untuk menggarap semua perubahan dan cabaran yang dilontarkan demi kelangsungan kehidupan itu sendiri. Alam memang hanya mengikut sunnah yang telah ditetapkan untuknya. Sebenarnya kita pun begitu, tetapi Allah SWT berikan kesempatan kepada kita untuk berikhtiar dan berusaha untuk bergerak daripada satu takdir kepada takdir yang lain. Ya, memang kita tidak tahu apa yand disediakan untuk kita. Cuma, bagi kita semuanya takdir daripadaNYA. Allah SWT yang mengetahui segala-galanya.

Bagi menambah kefahaman, tiada jalan lain melalui jalan ilmu. Satu jalan yang penuh dengan halangan, kelesuan dan terkadang kejemuan. Namun, kita gagahi juga apabila kita mengenangkan manisnya faham dan segarnya udara bebas daripada kemelut fikir dan kesesatan nafsu. Ya, ilmulah jalan kebebasan untuk kita. Menguasai ilmu kini dapat kita lakukan melalui pelbagai cara. Dengan teknologi, kita dapat memahami sesuatu melalui lebih daripada satu cara. Apapun kaedahnya, banyak bergantung kepada diri kita. Contohnya, kekuatan dan kemampuan untuk mendengar dan menghadam apa yang didengar. Ini satu kekuatan. Hari ini kita kurang mendengar, dan lebih gemar berkata-kata, samada yang lisan atau yang bukan lisan. Dek kerana mulut, badan binasa - benar sungguh pepatah melayu lama ini. Hari ini terdapat begitu banyak kursus untuk bercakap di depan manusia. Katanya, dengan kemampuan untuk berkata-kata, kita akan jadi lebih yakin dan lebih gah di mata manusia. Malah, pemimpin jika pandai berkata2, dianggap seorang pemimpin yang hebat. Namanya dijaja ke sini sana, sehingga diulang-ulang lagi di dalam lipatan sejarah. Tetapi, yang lebih hebat sebenarnya adalah kemampuan untuk menjadi pendengar yang baik. Orang yang boleh mendengar dengan baik, akan dapat memahami sesuatu perkara dengan baik. Ia garap ilmu dan dapat kaitkan ia dengan audiens. Pemimpin yang mampu mendengar dengan hebat, cuma perlu berkata sedikit2 yang perlu sahaja. 

Bagi menambah kepekaan, kita perlu turun ke lapangan dan keluar daripada dunia kita sendiri. Kita perlu mempamer sifat empati terhadap insan dan makhluk Allah SWT yang lain. Kita mesti ambil berat dan rasa ehsan terhadap yang berada di sekitar kita. Kita sebenarnya sebahagian daripada sistem ekologi sosial masyarakat. Mahu tidak mahu, kita boleh terkesan atau memberi kesan. Manusia yang hebat tidak pernah jemu untuk peka terhadap persekitarannya. Ia merasa rugi jika tidak tahu apa2 yang berlaku. Sifat kepedulian ini akan memberi pulangan kepada dirinya, cumanya cepat atau lambat sahaja. Sifat peka ini pula tidak boleh dibuat-buat. Ia mesti dilatih dan terus dilatih. Apabila kita peka, tindakan kita pun tidak terlalu mementingkan diri. Kita sedar bahawa sejahteranya hidup kita terikat dengan sejahteranya umat di sekeliling kita. Di akhirat nanti, pasti tidak sejahtera nasib kita jika apa yang kita pentingkan adalah kita, kita dan diri kita sendiri. Pemimpin mesti ada sifat kepekaan yang tinggi. Jika tidak, kehadirannya tidak lagi diperlukan. Buat apa punya pemimpin yang sering terlupa bahawa dia perlu meneladani dan bukan diteladani.

Marilah kita terus meneroka apa jua cara untuk kebaikan kita semua di dunia dan akhirat. Hidup ini tidak lama, maka tidak wajar dipersia.

Allahua'lam.

Tuesday 18 February 2014

Sinopsis Iman & Kehidupan

Oleh kerana kita beriman iaitu mempercayai dan meyakini wujudnya pencipta kepada alam jagat ini, dan pencipta atau Tuhan itu adalah Allah SWT dengan sifat-sifatnya yang digambarkan di dalam Surah Al-Ikhlas; maka kita wajib juga mengimani bahawa tidak Allah SWT sesuatu melainkan ada tujuan. Allah SWT dengan sifat kemuliaannya tidak mencipta apa-apa pun dengan sia-sia. Ertinya tanpa apa-apa tujuan dan peranan. Samada makhluk berbentuk jisim atau tidak, semuanya bawa pengertian dan sarat nilai. Sebagai manusia kita mampu untuk menanggapi dan menggarap nilai-nilai yang ada ketika tersurat dan selalunya tersirat. Dengan anugerah pancaindera dengar, lihat dan rasa, kita dapat masukan2 atau input kepada apa yang berlaku di sekitar medan penderiaan kita, samada yang zahir atau batin. Manusia ini ciptaan yang hebat kerana penciptanya pun adalah yang Maha Hebat. 

Dek kerana manusia ini hebat, peranan atau taklif yang dipikulkan ke pundaknya pun yang terhebat di alam maya ini. Ia adalah hamba dan khalifah Allah SWT pada ketika yang sama. Cumanya hamba kepada Allah SWT, dan khalifah kepada ciptaan Allah SWT di muka bumi ini. Ia perlu hidup dan selaraskan kehidupannya di dalam kerangka ini. Apakah cara atau contoh terbaik untuk ini mampu dilaksanakan? Tidak ALlah SWT biarkan kita terkontang-kanting memikirkan caranya melainkan ALlah SWT telah mengutuskan para Rasul A.S ajmain untuk membimbing manusia, dan memberik contoh yang hidup. Bukan sekadar kata-kata tetapi contoh yang dijelmakan di dalam kehidupan seharian - sebagai manusia yang pernuh sifat kemanusiaannya, bukan pula sebagai manusia malaikat yang hidup dengan keajaiban.

Kemurahan Allah SWT diperkuatkan lagi dengan diberikan kitab Al-Quran - mukjizat sepanjang zaman, yang merupakan kalamNYA. Al-Quran bukan kalam atau kata-kata manusia. Padanya terkandung risalah untuk kejayaan dunia dan akhirat. Padanya juda tersirat mukjizat dan keajaiban yang menjadi penawar dan jalan selamat bagi kita semua. 

Ya, diberi kita kehidupan dengan segala nikmatnya. Dan diberi juga peluang untuk menjadi yang terbaik di sisiNYA. Ya, dunia ini medan untuk kita membuktikan iman kita. Di akhirat medan balasan dan ganjaran. 

Selamatkah kita nanti? Allahua'lam.