Friday 9 October 2015

Penat...

Jika diikutkan memang terlalu banyak kerja yang perlu disiapkan. Dan kerap kali kerana timbunan kerja yang tak nampak kesudahan ini, kita terus buntu untuk berbuat apa-apa. Terkadang kita bersemangat untuk melaksanakan tugas itu tetapi kita tidak keruan yang mana perlu didahulukan. Terkadang sedang kita berusaha untuk mengecilkan timbunan sedia ada, timbunan baru telah muncul di sudut sana pula. Inilah kehidupan dan dunia yang tidak pernah penat untuk menuntut perhatian daripada kita. Semakin kita kejar dunia, semakin terbeban kita dengan tuntutan dan harapan oleh orang lain kepada kemampuan kita. 

Memang tidak dinafikan ada tuntutan itu adalah hasil daripada rakus, alpa dan ghairahnya kita di dalam memastikan akan mendapat habuan dunia. Masa dan tenaga semakin tersisa, sedang amanah, tuntutan dan tanggungjawab semakin rencam dan bermacam rupa di atas meja. Inilah aku disepit oleh dunia yang ku-cari dan sekarang tercungap-cungap berasa bungkam kerana terasa tidak mampu lagi untuk membuat segalanya. Ya, apa pilihan yang ada. Jika mahu keselamatan di SANA nanti, aku tidak ada pilihan melainkan menyempurnakannya segala tugas sebaik mungkin. Ya, memang penat. Inilah sifat dunia yang amat memenatkan. Jika kita tidak punya sumber daya, tenaga dan bekalan kekuatan semangat, maka semuanya akan rentung di lebuhraya kehidupan. Sumber kekuatan dan modal adalah Tuhan Pencipta alam ini - Allah Rabbul Jalil. Apabila kita tidak alpa menjaga hubungan denganNYA, maka dunia tidak akan dapat menipu dan memenatkan kita. Ya, kita penat kerana jiwa kita tenat. Kita lelah kerana ruh kita sudah hampir kalah. Kita kecewa kerana kita alpa kepada mengingat kepadaNYA. Kita ini manusia yang akan hancur dan dipersoal segala2!!!


Thursday 1 October 2015

Jerebu...

Fenomena jerebu ini adalah hasil tangan manusia yang lupa untuk mengambilkira kesan dan akibat tindakan yang dilakukan. Mungkin selama ini perlakuan yang sama tidak pun menganggu hidup sesiapa. Dan tiada pun yang benar-benar ambil berat untuk menghalang atau menegur. Apabila asap putih hasil pembakaran telah mula menyesakkan salur pernafasan dan mengaburkan jarak pandangan kita, barulah semua ambil berat dan tertanya-tanya mengapa perlakuan seumpama ini dibiarkan berleluasa. Ya, benar sungguh kata-kata hukama, bahawa manusia ini hanya akan terasa salahnya kezaliman apabila mereka dizalimi. Yang dizalimi benci kezaliman. Yang melihat kezaliman akan tidak terasa janggal akan kewujudannya sehinggalah mereka sendiri menjadi mangsa dan terkesan dengannya.
Jerebu ini peringatan bahawa perbuatan yang salah walaupun tampak kecil akan menyesakkan hidup semua apabila ia menjadi kebiasaan. Dulu memang biasa para peladang membakar tetapi tidak ramai yang terlibat. Kini, peladangan adalah industri yang besar, dan melibatkan orang dan kawasan yang amat luas. Kini pembakaran bukan lagi kecil, ia sudah menjadi amat besar. Kesannya juga telah jadi besar, di luar kawalan semua pihak. Kini semua merasa kesannya. Kita tertanya-tanya mengapa ini boleh terjadi. Jawapannya adalah apabila kezaliman dan kesalahan kecil dibiarkan lama kelamaan akan membawa kerosakan kepada semua.

Ini pengajaran yang utama bagi saya. Terima kasih Jerebu!

Thursday 17 September 2015

Fikirlah!

Memang sifat mukmin ini mesti boleh berfikir. Ini kerana iman seseorang itu tidak sah jika dia beriman tanpa kefahaman dan mengetahui apa yang ia imani. Maknanya ada unsur fikir dan sedar di dalam tindakan. Tidak beriman pada hakikatnya jika kita sekadar beriman ikut-ikutan dan melakukan ibadah kerana orang lain membuatnya. Perlu ada kefahaman bahawa kita beribadah ini kerana perintah Allah SWT dan sebagai satu bentuk pembuktian keimanan bahawa kita ini hamba kepada Allah SWT. Kita patuh kepada perintahNYA kerana kita ini makhluk di muka bumi yang fana ini. Kita berfikir dan bertambah iman kita dengan banyak berfikir yakni melihat kepada ayat-ayat Allah SWT yang bersifat pegun dan bergerak. Mentadabbur tanda-tanda kebesaran Allah SWT pada kejadian yang berlaku. Menyaksikan kebesaran dan kekuatan Allah SWT ketika Allah SWT mendatangkan musibah dan bencana yang besar. Menyaksikan kebijaksanaan Allah SWT apabila melihat kepada bintang yang berjuta masing-masing berjalan pada orbitnya. 

Ya, manusia beriman itu manusia yang berfikir dan boleh berfikir, lantas menterjemah iman kepada amal melalui jalan ilmu dan kesedaran.

Anda muslim dan mukmin, maka anda makhluk yang berfikir!

Tuesday 15 September 2015

Janji mesti dipenuhi!

Antara sifat seorang muslim adalah kesungguhannya untuk menunaikan janji. Memang janji ini mudah kita lafazkan selalunya ketika kita tersepit dan kita melihat hanya dengan jalan berjanji kita akan dapat melepaskan diri kita ketika itu. Janji itu memang telah melepaskan kita daripada satu kesempitan yang nyata, tetapi ia juga telah mengikat kita dengan satu keadaan yang tidak zahir atau nyata di hadapan mata kita cuma ia mungkin lebih payah dan perit. Ia tidak nyata lagi di mata kita, maka ia seolah-olah tiada. Janji ini amat mengikat dan mengingkari janji adalah satu perkara yang membawa kehinaan pada makhluk bumi dan yang di langit sana. 

Apabila berjanji hendaklah kita menyedari bahawa kita telah menyempitkan pilihan dan menambah beban di atas pundak kita. Melaksanakan janji adalah satu kewajipan dan bukannya pilihan. Jadi, amat penting untuk kita berhati-hati ketika melafazkan janji. Ia akan terus menghantui jika kita tidak meletakkan usaha untuk melaksanakannya. Janji itu ikatan yang tidak nyata tetapi amat ketat bagi yang berjanji. Mengabaikannya akan membawa rosak kepada jiwa dan membawa hina pada mata manusia. Biar miskin harta jangan jadi pendusta.

Janji mesti dipenuhi!

Wednesday 9 September 2015

Menukar naratif

Setiap insiden yang berlaku di dalam kehidupan mempunyai naratif tersendiri yang menjelaskan sebab dan punca kepada insiden berkaitan. Kita juga memahami alam ini melalui pemilihan naratif tertentu yang menjadikan kita lebih mengerti lagi memahami. Sekurang-kurangnya itulah tanggapan kita apabila kita "berjaya" menafsir sesuatu peristiwa dan memperjelas hubung-kait insiden tertentu dengan insiden2 yang lain. Penghujahan yang rasional dan realistik ini mengikat kita untuk terus memastikan andaian2 kira sebelum ini semuanya tepat dan betul. Ya, memilih naratif menjadi suatu kebolehan yang penting. Kemampuan menukar naratif yang negatif kepada super positif adalah suatu ketrampilan yang bukan calang-calang.

Semuanya terikat dengan naratif dan sudut pandang kita kepada sesuatu perkara yang berlaku di dalam pengetahuan kita. 

Ya, tukarlah naratifnya, maka akan bertukarlah natijah semua usaha. 

Monday 7 September 2015

Sederhana!

Kesederhanaan tidak akan merugikan sesiapa. Di dalam hidup ini adalah terlebih baik dan menjadi lambang kematangan apabila seseorang menjadi kesederhanaan sebagai falsafah hidup. Mengambil jalan tengah dan seimbang jarang membawa kita ke lembah kebinasaan. Apapun tindakan itu, jika ia perkara yang baik, akan terdorong kita untuk berbuat lebih giat lagi. Jika ia perkara yang buruk, maka akan tergerak kita untuk terus meninggalkannya. Ya, sederhana itu jalan selamat dan tidak terlalu menekan kepada sifat dan kemampuan manusiawi. 
Apapun mengambil jalan sederhana itu pun harus sederhana sifatnya. Ini kerana tuntutan hidup ini adakalanya akan membawa rugi kepada yang alang-alang di dalam tindakan atau perlakuan. Sederhana sering baik tetapi sederhana di ketika ketegasan dan pemutusan perkara perlu dilakukan segera akan mengundang musibah lebih besar. Hendak menjadi sederhana pun menuntut kita berpada-pada. Semua perkara ada masa dan ketikanya. Tidak terpakai untuk semua perkara dan ketika. Menjadi sederhana menuntut kesederhanaan jua.

Apapun baiklah sederhana daripada terlampau.


Wednesday 25 February 2015

The choice is ours!

Kita dijadikan seperti kita hari ini adalah atas takdir Allah SWT. Ini merujuk kepada apa juga anugerah Allah SWT. Potensi kita amat besar, jangan dipersiakan.

Amal dan gerak kehidupan ini kita boleh pilih, samada baik atau buruk kerana Allah SWT telah berikan kita aqal dan garis panduan.

The choice is ours!

Tuesday 24 February 2015

Yang susah dan payah.

Kena dipaksa menulis kerana dengan paksaan amalan yang baik dapat diterapkan dan mendarah-daging. Semua kebaikan ini pasti didahului dengan mahar kepayahan dan pengorbanan. Terasa seolah luar tabie apabila kita mendapat kebaikan tanpa setitik peluh pun yang jatuh. Bulan jatuh ke riba. Durian runtuh - kata orang melayu dulu-dulu. Ya, jika nak sambut bulan yang jatuh kena disediakan riba yang mampu menahan beratnya bulan. Jika nak mendapat durian runtuh perlu ada di tempat dan ketika yang tepat. Ertinya kebaikan ini tidak datang percuma. Ada mahar atau bayaran yang perlu dilunaskan. Jika mendapat kebaikan dan kemudahan dengan senang dan tanpa usaha, pasti tidak punya nilai hal tersebut di mata yang menerimanya. Kerana tanpa apa2 susah, tetap dapat senang. Jadi buat apa menyusahkan diri sendiri. Ya, ini dilemanya.
Yang baik mengikuti hal yang susah dan payah.

Allahua'lam

Monday 23 February 2015

Ego yang memusnahkan...

Ego manusia ini jarang yang membawanya kepada kebaikan. Selalunya manusia yang ego atau terlalu ikutkan perasaan ego atau sombong atau rasa diri hebat ini, akan musnah di atas sikapnya itu. Di jalanraya, di tempat kerja dan di mana sahaja, keegoan mengundang kemusnahan. Yang terlebih berat adalah ego yang membawa mudarat di akhirat nanti. Mudarat di dunia ada penghujungnya. Tetapi jika terbawa ke akhirat, akan pasti membawa penyesalan yang tak sudah. Ini semua kerja hawa nafsu dan merasa diri mulia atau wajar mendapat kemuliaan di atas hakikat kelebihan atau anugerah yang sementara. Manusia yang hidup di atas barang pinjaman ini sering sangat terlupa kepada empunya semua kelebihan. Apabila merasa manusia lain tidak menghormati atau memperlekehkan kelebihan yang ada pada dirinya, maka ia terlalu mudah untuk jatuh kepada rasukan dan pujukan hawa nafsu. Sempadan larangan dan keharaman tidak lagi jelas dan begitu cepat menjadi kabur. Hawa yang membuak perlu dijinakkan dengan pelanggaran kepada hak manusia dan hak Allah SWT. Inilah musibah yang besar. Jauh lebih besar daripada musibah berbentuk fizikal yang ditimpakanNYA. Musibah yang akan membawa kegelisahan yang keracauan di dalam jiwa dan perasaan. 
Ya, benar bahawa perasaan ego dan merasa mulia ini ada tempatnya. Ini kerana tiada yang dijadikan ALlah SWT sia-sia. Tetapi perasaan ego ini perlu dipandu dengan iman dan tali ketaatan kepadaNYA. InsyAllah kita selamat dan jiwa serta hati menjadi tenang. Inilah kekayaan yang hakiki dan abadi. InsyALlah.

Ya Rabb, maaf dan ampunkan diriku.

Ya Rabb.

Wednesday 18 February 2015

Islam jalan sejahtera...

Hari ini agak memenatkan kerana memikirkan banyak hal. Hal dunia yang tidak pernah habis dan hal akhirat yang lebih besar lagi kesannya. Masa di dalam kehidupan ini sememangnya tidak akan dapat mencukupi bagi manusia. Angan-angannya terlalu banyak, sedangkan kudrat dan kemampuan amat terhad. Yang dikejar terlalu besar, sedang yang menanti jauh lebih besar perlu diutamakan. Rakan taulan dan sahabat adalah pembantu di dalam kehidupan ini. Jika mereka baik dan benar maka selamatlah kita. Jika tidak, bantuan yang dicurah bakal membawa rebah dan penyesalan. Banyak sesalan kelak. Ya, sesalan kerana kesempatan yang terabai.

Bagaimana hidup ini membawa keselamatan dan sejahtera? Apakah kita mampu menggapainya? Ya, insyAllah. Apabila Allah SWT menjadi yang utama. Dan yang lain mendorong kepadaNYA. Ini jalan sejahtera.

Islam jalan sejahtera.

Tuesday 17 February 2015

Tengah bulan.

Hari ini telah masuk bahagian kedua bulan Februari 2015. Terlalu cepat masa berlalu, sedangkan amal semakin mendesak dan harapan semakin sulit rasanya. Apapun inilah yang kita ada dan telah menjadi sebahagian takdir Allah Rabbul Jalil. Kita perlu belajar untuk menerima seadanya dan berusaha untuk mencorak kehidupan masa mendatang di dalam kerangka keimanan kita kepada qada dan qadar Allah SWT. Inilah sifat hamba yang At-Tafaul atau optimis terhadap hidup dan kehidupan. Sentiasa merasa syukur dengan apa yang dianugerahkan dan bersangka-baik di dalam apa jua kurniaNYA kepada kita. Terkadang ada amal buruk yang dilakukan dengan penuh sedar yang ditegur dengan ditimpa musibah atau kesulitan yang tidak kita minta. Tarbiah langsung melalui pengalaman hidup. 

Deria yang dianugerah Allah SWT wajarnya merasa dan peka dengan pesanan dan usikan2 alam serta suasana yang begitu dinamik di keliling-kelalang. Objek2 statik apabila kita bergerak juga memberi tanda ingat bahawa kita bertukar-tukar peranan di dalam hidup. Saling kesan dan mengesani. Semuanya juga adalah saksi-saksi Tuhan yang akan menjadi syuhada' kepada gerak laku kita di muka pengadilan nanti. Gerak dan lintasan hati yang tidak lagi tersembunyi. Ditampil dan dinilai olehNYA. Terasa rencam pasti lagi penuh gundah dengan apa yang akan dilalui. Apakah yang mampu menjadi penyelamat kita? Ya, itulah amal abdi dan ketundukan yang tulus ikhlas kepada Allah SWT.

Masa-masa di dalam kehidupan ini adalah potensi berharga yang perlu dijarah dengan bijak dan hikmah. Apa yang ada itulah modal yang akan membawa bencana atau yang akan menyelamatkan kita. Ya, kitalah nakhoda yang akan membelah lautan kehidupan. Nafas ini datang dan pergi. Kita juga pernah datang, dan kelak akan pergi!