Tuesday 10 February 2009

Kalau diikutkan rasa hati dan gesaan nafsu, memang hidup ini akan punah ranah. Zahirnya kita mungkin nampak gembira, tapi jiwa kita semakin lama pastikan

Biarpun sebiji kurma...

Rupa-rupanya kelak di padang mahsyar, ketika kita semua sibuk menghitung amal kebaikan dan pahala yang kita telah kumpul, pahala sebiji kurma akan menjadi amat berharga. Matawang di 'sana' nanti adalah matawang pahala, yang telah kita kumpul ketika hidup seketika di dunia ini.

Hari ini bersedekah dengan sebiji kurma bukan amalan terhormat, malah manusia akan memandang kita dengan pandangan sinis lagi menghinakan. Ada ke sedekah sebiji kurma? teruknya orang ni. Begitulah agaknya terjemahan daripada pandangan mata mereka.

Di saat pahala kita dihitung, semua amal kebaikan akan tampak bernilai dan berharga, biar manusia menilainya picisan belaka. Sebiji kurma lah perumpamaan yang diberi. Aku yakin di zaman Rasulullah SAW lagi, sebiji kurma ini melambangkan nilai yang kecil dan hampir tidak berharga. Tapi inilah nilaian amal kebaikan sekecil sebiji kurma. Berharga sekali.

Berapa biji 'kurma kebaikan' dan amal yang mampu kita lakukan di saat dan waktu ini? Berapa banyakkah luang masa dan lebihan rezeki yang terkumpul percuma? Sedang bekal pahala kita masih sedikit berbanding dosa dan pelanggaran kita. Kita harapkan syurga, tapi amalnya tak sepertinya.

Pahala adalah satu-satunya matawang yang boleh digunakan untuk menebus dosa-dosa kita. Pahala yang boleh datang daripada pelbagai saluran dan jalan ketika kita hidup di muka bumi ini. Seperti mana kita perlu berusaha dan bekerja untuk mendapat matawang dunia, iaitu wang ringgit buat membeli keperluan harian kita, begitulah sepatutnya pemahaman kita tentang pahala. Kita perlu berusaha dan bekerja untuk mendapatkannya.

Marilah kita sedekahkan 'kurma-kurma' kebaikan ini, walaupun sebiji semata. InsyAllah ia akan menyelamatkan kita di sana. Amin

Jangan pandang rendah pada amal kebaikan, biar sekecil manapun!

Allahua'lam

9.49pm - Selasa (
Usrah cancel)

Monday 9 February 2009

Maharnya sepadan impian kita...

Apabila kita bercakap tentang perjuangan, kita sebenarnya bercakap tentang perkara yang akan membawa kita jauh daripada kesenangan dan keselesaan. Memang, insyAllah, bila kita dapat kejayaan, ia menjanjikan kesenangan dan keselesaan, tetapi bukan sebelumnya.

Setiap kejayaan menuntut mahar dan 'bayaran'. Tiada kejayaan akan datang tanpa pengorbanan yang ikhlas dan berterusan. Pengorbanan ini pula merupakan rempah-ratus perjuangan. Lihat dan kajilah apa bentuk perjuangan pun di muka bumi ini, ia pasti ada penegak-penegaknya yang bersungguh, biar nyawa mereka menjadi taruhan. Inilah sunnah atau tabiat alam aturan Ilahi.

Semakin tinggi matlamat dan tujuan perjuangan kita, semakin hebat cabarannya. Semakin jauh dan gersang pula kita daripada padang ketenangan dan keseronokan. Tetapi inilah maharnya yang kita mesti sanggup bayar.

Impian dan cita-cita kaum muslimin muttaqin di akhir zaman ini amat jelas. Kita ingin sangat untuk hidup di bawah naungan syariat dan ketetapan Allah SWT. Kita merindukan agar kehidupan ini dinaungi oleh redupnya mukjizat Al-Quran dan indahnya susun atur Sunnah Rasul. Kita ingin agar manusia semuanya benar-benar mengabdikan diri kepada penciptanya. Kita ingin agar kita berpagi-pagi nya beriman sampailah mahu melelapkan mata kita di malam nanti, juga di bawah lembayung rahmat keimanan.

Dek kerana cita-cita inilah, pengorbanan yang dituntut amat besar. Maharnya menjanjikan kesempitan, kepayahan dan kelelahan. Mahu sahaja kita berehat seperti orang lain. Tetapi, kerinduan kita kepada syurga Allah SWT sentiasa menghalang kita.

Marilah kita biasa hidup dengan kepayahan agar nanti kita bisa hidup dengan keselesaan di sana. Kita takut Allah SWT bagi kita kesenangan dan keselesaaan di dunia sebagai persediaan kepayahan dan azab di akhirat nanti. Kita berdoa agar bukan inilah asbab senangnya hidup kita kini. Kita doakan, insyAllah, hidup kita di sana akan lebih baik lagi. Amin.

Marilah kita sediakan mahar untuk kemanisan di akhirat sana. Medan perjuangan menanti kita semua. Apa lagi yang kita nantikan??

Ayuh! Allahu Akbar!!!

6.11 petang. Isnin

Bergolaknya kepimpinan..

Sejak dua menjak ini suasana dalam negara terasa huru-hara dan tidak keruan. Mana tidaknya, apabila kebenaran dinafikan dan kepalsuan dinobatkan. Perkara kepalsuan ini tidak mudah untuk diselindung. Yang benar pula tidak semudah itu untuk ditekan. Pasti ada pejuang kebenaran akan muncul, sepastinya ada penegak kepalsuan di dunia ini.

Sebagai marhaein yang melihat lakonan para aktor (dan aktres) pentas politik ini, kita amat sedar dan peka akan siapa benar dan siapa salah. Mereka boleh terus bersandiwara dan berusaha untuk mengelabui mata rakyat, sedang hakikatnya lakonan mereka tampak kaku dan tidak 'real'. Walaupun 'prop' untuk lakonan telah begitu banyak dan sedia untuk digunakan. Itulah buktinya mereka ini manusia-manusia durjana yang akan terbongkar jua kepalsuannya di akhirat nanti.

Mengukur kejayaan kepimpinan bukan boleh dibuat dengan umur manusia, tetapi mesti diukur dengan hayat ummat. Hari ini tampaknya dia gagal, tetapi ummat sebenarnya beruntung yang amat sangat. Khalifah Umar Bin Abd Aziz memerintah kerajaan Islam tidak lebih dua tahun, tetapi kehebatan kepimpinannya disebut orang sehingga ke benua ini dan ke hari ini. Kepimpinan akan dinilai dan dihukum oleh massa. Pelik tapi inilah kebenarannya.

Setiap kita akhirnya akan dinilai berdasarkan amal kita dan sejauh mana amanah yang terbeban di pundak kita laksanakan sebaiknya. Pujian manusia akan menjadi laknat sekiranya kita tidak memimpin berlandaskan ketaqwaan dan keimanan kepada ALlah SWT. Berapa ramai nanti sahabat karib di dunia yang akan mencerca dan memusuhi rakannya di depan Allah dek kerana bersahabat kerana dunia, bukan Allah yang Esa.

Dakwah (Seruan kepada Allah dan Rasul dan Islam) tiada kekuatan tanpa Jamaah. Jamaah tiada haluan tanpa Qiadah (kepimpinan), dan Qiadah tiada makna tanpa Taah (ketaatan) para pengikut. Namun, barang diingat, ketaatan mesti diraih (earn) bukan dituntut (not ask for). Pengikut akan taat sekiranya kepimpinan benar dan tulus. Taat akan lahir sekiranya perjalananan hidup dilandas atas keadilan, kesaksamaan dan kebenaran.

Kehidupan ini akan terus berjalan, menghabiskan sisa-sisa umur dunia yang berbaki. Apapun setiap amal kita akan kita tatapi kembali. Berilah makna kepada kehidupan ini. Tinggalkan bekas-bekas amal di dunia ini, kerana inilah bukti ketundukan dan ketaatan kita kepada Ilahi kelak.

5.53 petang. Isnin

Monday 2 February 2009

Sasaran dan matlamat yang menggiurkan..

Sasaran dan matlamat adalah komponen penting di dalam kehidupan. Mustahil manusia boleh hidup dengan sebenarnya tanpa tujuan. Hatta jiwa kita akan amat cepat bosan sekiranya kita membuat sesuatu kerja TANPA ada tujuan atau matlamat tertentu.

Sasaran dan matlamat adalah dorongan untuk kita bekerja, walaupun susah dan payah. Walaupun nafsu kita mendesak untuk kita berhenti dan berehat. Kita tidak pedulikan apa juga masalah dan halangan, kerana sasaran dan matlamat mulia kita terus2an memangggil kita.

Semakin besar sasaran dan matlamat kita, maka semakin besarlah mahar yang sanggup kita bayar. Jika mahu gaji besar, kena mahu kerja keras dan bersungguh. Biarlah sampai larut malam pun. Kena sanggup korbankan masa rehat sebab nak siapkan tugas yang penting itu. Biar lewat makan atau tidak tidur, asalkan kerja kita dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.Itu baur sasaran duniawi.

If you are willing to sacrifice, success is surely within your reach.

Ada sasaran dan matlamat itu kita memang letakkan secara sedar. Ada yang diberikan kepada kita. Ada juga sasaran dan matlamat hakiki yang terabai pula oleh kerana kejahilan kita sendiri. Ada juga sasaran dan matlamat yang kita terlepas pandang.

Kita perlu sentiasa melakukan penilaian semula (re-evalaution of our goals) dan pembaikian berterusan (continous improvements) terhadap sasaran kita, kerana ia lah rumah api (light house) yang akan memberi panduan dalam kemelut kita seharian.

Untuk mencapai sasaran ini, kita perlukan segala kekuatan yang ada. TAPI jangan lupa kepada pertolongan ILahi. Inilah pertolongan dan bantuan yang paling kita dambakan. Bila Allah SWT membantu kita, pasti kejayaan milik kita.

Sasaran yang terhebat adalah bila mana dasarnya adalah ketundukan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Bukannya untuk kesombongan atau sumber untuk berbangga-bangga di kalangan manusia. Secepat atau selambat atau sebanyak mana pun usaha kita, sasaran atau kejayaan itu boleh Allah SWT tarik sekelip mata.

Jangan lupa, semua perkara datang daripada Allah SWT, dan akan kembali kepadaNYA.

Letakkkan sasaran anda. Biar ia hebat dan tinggi. Kemudian berusaha dan berusaha dan jangan lupa berdoa padaNYA.

Semoga anda dan saya akan berjaya! Amin

Dalam kehidupan ini mesti ada sasaran atau target yang hendak kita capai. Kita mahu sasaran tersebut tercapai kerana dengan itu kita akan mendapat banyak lagi kebaikan di dalam hidup ini.

Sunday 1 February 2009

Di mana hujung perjalanan? Mulia atau Hina...

Bila kita merenung kehidupan manusia ini, amat jelas sekali betapa manusia sentiasa mengharapkan kemuliaan dan ketinggian. Sesetengan daripada kita sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapat pujian dan pandangan tinggi daripada manusia lain. Hatta pengorbanan harta, masa dan terkadang maruah boleh sahaja dilakukan asal sahaja pangkat dan kemuliaan manusia diperoleh.

Namun manusia ini nilaiannya cepat betul berubah. Hari ini kita dipandang mulia, esok mungkin kitalah manusia yang paling hina pernah mereka kenali. Rasa kemuliaan dianugerah oleh orang kerana bakti dan budi yang kita curahkan. Bakti dan budi ini mungkin berbentuk sementara, tapi itulah hakikatnya yang mereka mahukan. Perkara yang fana dan akan hancur.

Atas sebab itu, hari ni, sang perompak mulia kerana mereka ada wang. Si pembesar mulia kerana mereka ada pangkat. Si penyanyi mulia kerana suara mereka yang merdu. Si ratu mulia kerana wajah dan tubuh yang menggoda. Tapi semuanya atas sebab yang sementara. Tiada yang kekal. Semuanya akan hancur.

Hak memberi mulia dan hina, hakikatnya pada Allah SWT. Allah SWT boleh menaikkan darjat seseorang dan juga menjatuhkan mereka hina. Di dunia dan juga di akhirat nanti. Kita mulia dan hina sebenarnya anugerah daripada Allah SWT. Yang penting nilaian Allah SWT, bukan makhlukNYA. Tidak penting apa nilaian manusia. Kalau pun kita mulia di sisi manusia, tapi hina di sisi ALlah, kita tetap rugi. Apatah lagi jika kita hina di mata manusia dan di sisi Allah SWT. Malang sungguh kita.

Kalau kita boleh marah dan suka semata-mata kerana Allah SWT. Hebatnya kita. Biasanya kita mudah marah jika orang lain hina diri kita, atau apa yang ada pada kita. Macamana pula kalau orang hina agama kita? Marahkah kita? Terbakar tak jiwa kita? Mahu kah kita pertahankan kemuliaan agama ini?

Yang pasti nya untuk mendapat kemuliaan, marilah kembali kepada Allah SWT. Nescaya kemuliaan dan ketinggian akan datang berlari. Marilah kembali kepada Sunnah Rasul SAW, jika kita ingin mencapai kemuliaan seumpama baginda dan para sahabat RadiAllahuanhum.

Jalan-nya berliku dan dugaannya pelbagai.

Biar kita miskin harta, tapi kaya jiwa

Biar kita kecil hina di mata manusia, tapi Allah kasih dan redho pada kita.

Biar mereka leka nikmati lazatnya dunia, tapi kita mendapat nikmat syurga.

Hidup berjuang, dan terus berjuang!

Wassalam