Monday 9 February 2009

Maharnya sepadan impian kita...

Apabila kita bercakap tentang perjuangan, kita sebenarnya bercakap tentang perkara yang akan membawa kita jauh daripada kesenangan dan keselesaan. Memang, insyAllah, bila kita dapat kejayaan, ia menjanjikan kesenangan dan keselesaan, tetapi bukan sebelumnya.

Setiap kejayaan menuntut mahar dan 'bayaran'. Tiada kejayaan akan datang tanpa pengorbanan yang ikhlas dan berterusan. Pengorbanan ini pula merupakan rempah-ratus perjuangan. Lihat dan kajilah apa bentuk perjuangan pun di muka bumi ini, ia pasti ada penegak-penegaknya yang bersungguh, biar nyawa mereka menjadi taruhan. Inilah sunnah atau tabiat alam aturan Ilahi.

Semakin tinggi matlamat dan tujuan perjuangan kita, semakin hebat cabarannya. Semakin jauh dan gersang pula kita daripada padang ketenangan dan keseronokan. Tetapi inilah maharnya yang kita mesti sanggup bayar.

Impian dan cita-cita kaum muslimin muttaqin di akhir zaman ini amat jelas. Kita ingin sangat untuk hidup di bawah naungan syariat dan ketetapan Allah SWT. Kita merindukan agar kehidupan ini dinaungi oleh redupnya mukjizat Al-Quran dan indahnya susun atur Sunnah Rasul. Kita ingin agar manusia semuanya benar-benar mengabdikan diri kepada penciptanya. Kita ingin agar kita berpagi-pagi nya beriman sampailah mahu melelapkan mata kita di malam nanti, juga di bawah lembayung rahmat keimanan.

Dek kerana cita-cita inilah, pengorbanan yang dituntut amat besar. Maharnya menjanjikan kesempitan, kepayahan dan kelelahan. Mahu sahaja kita berehat seperti orang lain. Tetapi, kerinduan kita kepada syurga Allah SWT sentiasa menghalang kita.

Marilah kita biasa hidup dengan kepayahan agar nanti kita bisa hidup dengan keselesaan di sana. Kita takut Allah SWT bagi kita kesenangan dan keselesaaan di dunia sebagai persediaan kepayahan dan azab di akhirat nanti. Kita berdoa agar bukan inilah asbab senangnya hidup kita kini. Kita doakan, insyAllah, hidup kita di sana akan lebih baik lagi. Amin.

Marilah kita sediakan mahar untuk kemanisan di akhirat sana. Medan perjuangan menanti kita semua. Apa lagi yang kita nantikan??

Ayuh! Allahu Akbar!!!

6.11 petang. Isnin

No comments:

Post a Comment