Tuesday 30 April 2013

Fakta dan Fitnah?

Suasana hari ini, terutama apabila hari mengundi semakin hampir, semakin gawat. Terlalu banyak maklumat yang dihamburkan. Kita sebagai pembaca terkadang menjadi keliru dan semakin kabur dengan hakikat kebenaran. Fakta dan fitnah saling bertaut dan silang-menyilang. Demi mendapat sokongan dan dokongan, tampaknya fakta dan kebenaran perlu juga dihias dengan kepalsuan dan dusta. Fitnah menjadi santapan harian. Pada medan massa tulisan dan bukan tulisan, peristiwa diolah menjadi cerita-ceriti bawaan sang penlipur lara. Rakyat makin keliru dan makin tersesat. Mimpi mendapat kemenangan perlu ada korbannya. Korban yang kesannya tidak akan hilang, malah akan terus meninggalkan bekas pada luka masyarakat. Ya, ahli politik mampu dan sanggup menawarkan apa sahaja. Asal dia mendapat kejayaan dan kemenangan. Dia sebenarnya terlupa bahawa yang akan menjadi mangsa kelak adalah anak cucu dia sendiri. Yang akan menjadi mangsa kepada masyarakat yang rosak dan tandus akhlak serta peraturan. Siapa yang mampu memberi mereka makan, itulah yang akan dipatuhinya. Ya, amat sedih apabila mengenang jahatnya sesetengah gerak dan amal politik politikus-politikus murahan ini. Tidak bolehkah kempen dan seruan dilakukan dengan adab dan akhlak serta fakta dan analisa yang telus dan jujur. Mengapa mesti berbohong?Mengapa mesti memfitnah? Mengapa mesti menggunakan aib orang lain untuk menaikkkan diri kita? Tidakkah kita semua ada aib yang tersembunyi? Manusia hari ini begitu berani membuka aib manusia lain, sehingga ia terlupa bahawa kelak aibnya akan dibuka di hadapan khalayak yang lebih besar lagi. Aib manusia jangan dijulang! Bincangkanlah idea dan tawarannya. Bincangkan praktik atau bagus atau tidak manifestonya! Bukan dibincang tentang aibnya dan betapa jijik serta memualkan kecenderungan peribadinya. Ya, akhlak calon penting, tapi jangan sampai kita yang menjadi orang yang mengorek dan menjaja aib musuh kita. 

Menjadi pemimpin adalah amanah yang berat. Silap congakan kita, ia akan menghumban kita ke dalam neraka yang dalam dan mengerikan. Menjadi pemimpin bisa juga membawa kita kepada syurga yang penuh kenikmatan, dengan syarat kita adalah pemimpin yang adil lagi bertaqwa. Ini suatu marhalah yang hebat, yang tidak ramai pemimpin mampu capai. Ramai yang kecundang. Ya, manakan akan berjaya dengan baik dan sempurna apabila jalan yang diteroka dan dirempuh untuk terpilih penuh dusta, fitnah dan nista. 

Ya Allah...selamatkan kami semua. Amin Ya Rabb.


Monday 15 April 2013

Jemputlah rezeki daripadaNYA!

Semalam ku membaca satu penulisan berkenaan rezeki. Sebuah penulisan yang baik. Di dalam bab rezeki ini, kita sepatutnya menjemput rezeki dan bukan mencari rezeki. Cara kita melihat apa yang dikatakan rezeki itu sepatutnya lebih luas dan jauh, bukan sekadar pada tertumpuknya harta di tangan kita. Ya, rezeki ini semua yang dianugerah, yang memudah, dan membawa kesejahteraan kepada hidup kita. Nilai rezeki menjadi relatif kepada keadaan seseorang. Malah apa sahaja bentuk perolehan materi atau bukan materi, yang membawa kebaikan kepada kehidupan duniawi dan ukhrawi, adalah bentuk-bentuk rezeki yang tidak dapat dinilai. Memang benarlah firman Allah SWT bahawa jika kita hendak menghitung anugerah Allah SWT, tidak akan mampu kita hitung. Apalagi jika kita berfikir-fikir untuk membalasnya, tidak akan mampu terbalas di dalam hayat kita ini. Malah, jika dianugerahkan umur yang amat panjang pun, tidak akan terimbang besarnya nikmat Tuhan. 

Kita menjemput rezeki kerana sumber rezeki itu hakikatnya daripada ALlah SWT. IA yang mencipta kehidupan, dan IA juga yang menebarkan rezeki kepada makhlukNYA. Jika kita mencari dan lupa kepadaNYA, nescaya kita akan kelelahan dan putus asa. Mendapatkan rezeki mestilah kembali kepadaNYA. Perlu mengikut SunnatuLlah, dan mengharap QudratuLlah akan mendahului usaha kita. Usaha yang terkadang tidak berbaloi dengan ganjaran yang dimohon. Meminta syurga di dunia dan akhirat, sedang amalnya sendiri hanya seadanya. Menjemput rezeki mestilah didahului dengan ketundukan kepada Allah SWT. InsyALlah, inilah jalan yang ditempuh oleh generasi awal, dan inilah resepi yang akan menjanjikan ganjaran baik. Baik dan berkat. Berkat kerana ia membawa keselamatan kepada kita di akhirat kelak. Kehidupan yang abadi. Berkat pun perlu yang abadi.

Menjemput rezeki mesti melalui jalan taat dan menepati SunnahtuLlah. Tiada jalan lain. Apapun mesti kita mulai azam dengan niat yang betul. Rupanya niat yang betul dan tepat, akan menentukan hasilan yang kita bakal perolehi. Kita dapat apa yang kita niatkan. Jadi berhati-hati dan luruskan niat kita apabila menjemput rezeki. Kaya harta apabila didahului dengan kaya iman dan taqwa, akan membawa keamanan dan kesejahteraan. Ini yang pasti. Ini yang haq.

Menjemput rezeki ini mesti kita usahakan dan kita giatkan dengan Doa, Ikhtiar, Usaha dan Tawakal @ DUIT...ini yang ku dengar semalam di Televisi. Melalui jalan D.U.I.T ini insyAllah kita akan mendapat duit dan lain-lain yang kita idamkan. Yang penting semua rezeki yang hadir singgah di dalam kehidupan kita mesti dimanfaat untuk pelaburan akhirat. Ada yang mengatakan yang sebenarnya milik kita adalah makanan yang telah kita makan, pakaian lusuh yang telah kita pakai dan harta yang telah kita sedekahkan. Yang lain, belum tentu dah sah milik kita. Ya. Inilah langkah-langkah kita untuk menjemput rezeki daripadaNYA. Kita hanya makhluk yang lemah dan tidak berdaya, melainkan hanya ada apa-apa yang diberikanNYA.

Jemputlah rezeki daripadaNYA!


10.56 USM N.Tebal

Sunday 14 April 2013

Tidak sia-sia...

Kita semua mempunyai keupayaan yang tersendiri. Potensi yang terpendam ini jika dimanfaatkan sesuai dengan suasana, akan menghasilkan natijah yang terbaik. Potensi yang dimaksudkan ini adalah bakat atau keupayaan yang wujud secara semulajadi dan yang terbentuk melalui pengalaman kita di dalam kehidupan. Semua masukan pengalaman ini menjadi asas untuk pembinaan kekuatan dan jatidiri. Tidak Allah SWT jadikan atau berikan pengalaman, samada manis atau pahit, melainkan supaya ada manfaatnya kepada kita, dan kehidupan kita seterusnya. Kita perlu sedar dan akur akan kemampuan serta bakat yang Allah SWT anugerahkan. Semua kita boleh memberi manfaat dan semua kita juga boleh memilih untuk tidak membawa mudarat. Apa yang berlaku atas perkara di luar kawalan, adalah ketentuan Ilahi yang perlu kita jadikan iktibar. Ya, memang kita terlalu kerdil untuk mengawal segalanya, apalagi menentukan hasilan amal yang kita lakukan. Kita mampu tanamkan niat dan tumpahkan usaha, dan terus berdoa agar kejayaan akan menjelma.

Setiap daratan, bukit, gunung, lembah, dan muara mempunyai potensi masing-masing di dalam sistem alam yang luas dan indah ini. Di dalam sistem ekologi yang stabil dan lengkap, setiap perkara atau unsur perlu melaksanakan tugas dan skop peranan masing-masing. Ada ketika kita akan menerima masukan daripada sumber-sumber yang lain, dan pada ketika lain, hasilan kita akan menjadi makanan bagi sistem atau unsur yang lain pula. Tindakan dan natijah amal semua sisi akan mengesani antara satu sama lain. Yang utama adalah kesedaran dan keinsafan bahawa gerak laku dan amal kita boleh memberi impak dan mempunyai erti kepada sistem alam yang luas ini. Di dalam sistem ekologi kitar makanan di lautan, ikan paus yang besar itu akan pupus sekiranya udang kril yang dalam begitu kecil itu tidak wujud di dalam kuantiti yang besar. Rantai makanan di dalam laut apabila terkesan, kelak akan mengesani pula rantai makanan di darat. Semuanya saling berkait. Semuanya memainkan peranan yang telah ditetapkan Tuhan agar kesejahteraan bersama akan wujud. Kita semua saling memerlukan.

Di dalam kita asyik untuk bekerja mengubah dan membina masyarakat, semua pihak ada peranan yang mesti dimainkan. Jika ada pengabaian, maka akan wujud cacat cela kepada proses perubahan yang diidamkan. Kita mesti akur bahawa setiap orang boleh menyumbang dan ada tempatnya di dalam proses pengislahan umat. Mungkin tampak kecil, tapi mereka tetap boleh menyumbang. Terkadang kita dapati urusan-urusan besar telah selesai, tetapi yang merencatkan pencapaian sasaran besar adalah masalah-masalah kecil yand tidak diselesaikan dengan segera dan tuntas. Kita perlu hargai peranan dan sumbangan semua. Tiada yang sia-sia. Dan, semuanya punyai makna.

11.36am TBP



Saturday 13 April 2013

Pegangan agama akan menguruskannya!

Kehidupan seharian kita dipenuhi dengan pelbagai urusan. Ada yang bersfat peribadi dan tidak kurang pula yang melibatkan orang lain. Terkadang ia mesti dan perlu dilakukan kerana ia kewajipan dan amanah yang perlu pelunasan. Pengabaian akan mengundang pelbagai masalah dan suasana yang tidak diingini. Ya, kita keluar daripada satu urusan dan akan masuk pula satu urusan dan perihal lain. Inilah hakikat kehidupan, penuh dengan gerak laku menyempurnakan tanggungjawab. Ia kitaran amal yang berterusan sehinggalah ajal menjemput kita. Ya, ajal akan menjadi pemutus semua perkara, baik yang lazat, termasuk juga yang tidak menyenangkan. Apabila tiba masa itu, urusan yang lebih besar dan hebat menanti kita semua. Urusan yang tidak lagi di dalam genggaman tangan kita. Urusan yang dilaksanakan oleh pembawa dan pemikul amanah yang jujur lagi setia. 

Sekiranya kita disibukkan dengan urusan akhirat, dan penyempurnaannya, maka beruntunglah kita. Ya, urusan akhirat ini pertanggungjawabannya amat berat jika terabai. Penyesalan yang abadi menanti kita. Sekiranya kita disibukkan oleh urusan dunia, yang terputus langsung dengan matlamat akhirat, maka teramat rugi lagi kita semua. Pada hakikatnya semua urusan yang dilakukan oleh manusia adalah sisi akhirat dan penilaian yang abadi. Tiada yang terlepas daripada dua pencatat yang amat setia. Apalagi tiada yang terlepas daripada pandanganNYA yang menembus semua perkara. Atas sebab ini niat di awal gerak laku kita amat penting. Niat akan menentukan hala tuju dan hasil akhir yang kita dambakan. Kita mahukan yang terbaik untuk akhirat, nescaya yang Maha Esa akan memberikan yang terbaik juga untuk dunia kita. Terbaik diukur daripada sudut pandangan akhirat dan bukannya perkiraan materi semata. Semua urusan adalah urusan akhirat, samada kita iktiraf atau tidak. Semuanya akan menyumbang kepada neraca timbang kita kelak.

Apabila urusan yang diamanah bersangkut dengan hak orang lain, maka terlebih berat lagi gesaan untuk kita tidak mensia-siakannya. Kita mungkin selesai bab urusan fardhi, tetapi tersangkut pula pada tanggungjawab kepada orang lain. Ya, jangan sesekali kita memandang kecil amanah yang diletakkan di atas pundak kita. Apatah lagi apabila amanah kita terhasil atas kehendak dan permintaan kita jua. Amanah yang dipersia juga tanda kurangnya iman seseorang, dan jika tidak kena gaya boleh menjadi hujah untuk kita dihumban ke dalam An-Nar. Berhati-hatilah kita apabila diberi amanah, laksanakan. Apabila berjanji, tunaikan. Apabila berkata, sentiasa benar. Dan, apabila berbalah, tidak melampaui batas. Kita bukan munafiq. Kita manusia punya iman dan taqwa. Dan, semua kita lakukan keranaNYA.

Apa kesimpulan perbincangan ini? Jalan keluar kepada semua urusan kita di dunia ini adalah pegangan kepada agama. Apabila kita berpegang kepada agama, maka semua urusan akan diuruskannya!

5.47pm
Taman Bukit Panchor

Thursday 11 April 2013

Rebutlah peluang!

Kehidupan inilah peluang bagi kita. Apabila kita melihat peluang, maka akan ada akhirnya orang yang untung dan ada pula orang yang rugi. Ada orang yang tidak pernah wujud di dalam dirinya keperluan untuk mencari peluang. Samada peluang untuk beribadah, menambah rezeki  atau punca pendapatan, menambah ilmu atau sebarang keberuntungan lain. Hidupnya hanya menerima datang dan perginya hari. Ia hidup seadanya, tiada usaha dan tekad untuk berubah ke arah lebih baik. Ia pasrah. Jahil dan menyesatkan adalah kata-kata yang sesuai untuk pilihan hidup seumpama ini.

Ada orang memang telah ada tekad untuk berubah dan mendapatkan yang terlebih baik. Ia sudah kenal dan tahu apa yang ia perlukan. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang dan kesempatan untuk perubahan. Ia sentiasa mendoakan suasana akan menjadi lebih beruntung baginya. Ia menanti dan terus menanti dengan sabar, satu hari nanti peluang itu akan muncul. Sementara itu, kehidupan terus berjalan seperti biasa. Biasa-biasa sahaja, tiada apa yang istimewa. Akhirnya, peluang itu tiba-tiba terbuka, dan si fulan ini pun berusaha untuk memanfaatkannya, namun malang kerana tempoh peluang yang singkat dan ketidak-upaya diri merebut peluang, menjadikan hasilnya hampa dan jauh daripada apa yang dicita-cita. Ya, apa yang kurang? Yang kurang adalah persediaan untuk merebut peluang. Tidak bersedia, walaupun kehendak sudah lama membuku di dada.

Maknanya peluang ini mesti dimanfaatkan dengan persediaan yang secukupnya. Apabila tingkap peluang terbuka, kita sudah bersedia untuk memanfaatkannya. Tiada lagi ragu-ragu dan ketidakpastian. Kita telah bersedia. Tindakan sahaja tidak mencukupi, jika tidak dengan hikmah dan bijaksana. Tindakan kita yang tepat dan berkadaran dengan skala peluang yang ada akan menjamin hasil yang maksima. Inilah yang sewajarnya, walau di dalam keadaan apapun kita sekarang ini, kita sedar akan hadirnya pelbagai peluang di masa hadapan. Kita sedang mempersiapkan diri, dan apabila masanya kita, insyAllah, kita telah bersedia untuk berjuang sebaiknya.

Peluang akan sentiasa hadir. Ini sunnah alam yang diciptaNYA. Cuma, susuk peluang ini pelbagai bentuk dan rupa. Yang utama, kita tidak mensia-siakan apa jua anugerah yang hadir. Kita rebut dan kita manfaatkan kerana kita penuh sedar bahawa umur kita semakin singkat dan ajal kita pun sudah mendekat.

Mengambil peluang tidak salah, tapi menjadi orang yang mencuri peluang dengan mengambil hak orang melalui jalan seleweng dan noda, tidak akan selamat pastinya.

Biarlah kita hidup berwawasan, berakhlak dan kendiri. InsyAllah inilah sebaiknya.

Allahua'lam

9.30am
Seri Ampangan.

Sunday 7 April 2013

Senarai semakan kehidupan!

Rutin harian adalah perkara yang amat penting untuk kita punyai dan hargai. Rutin yang ditetapkan ini samada untuk urusan ibadah kepada Rabb, urusan keluarga, urusan kerja atau urusan sesama manusia lain akan memudahkan banyak kerja seharian kita. Ia menjadi satu kemudahan juga untuk proses pengukuran dan penilaian masa sehari semalam yang diperuntukkan oleh ALlah SWT. Rutin ini diterjemah ke dalam sebuah senarai semak atau check-list yang bermula seawal pagi dan berakhir di penghujung malam. Sifat manusia apabila ada panduan dan senarai semakan amal, adalah lebih mudah untuk ia terlaksana. Mungkin tidak sempurna semuanya, tetapi insyALlah ia lebih banyak dan baik daripada tiada apa-apa.

Senarai semak ibadah akan memberi semacam galakan atau dorongan untuk kita beramal, untuk memenuhi setiap unsur semak kerja. Kelak, kita juga boleh menghasilkan analisa amal harian, mingguan dan bulanan. Mudahlah kita meyakinkan diri sendiri bahawa banyak lagi yang perlu kita usahakan. Perlu lebih mujahadah dan perancangan untuk beramal. Hakikatnya, untuk urusan yang fardhu serta sunat, telah ada yang mencatatnya. Tidak pernah jemu, baik malam atau siang - dua malaikat di kiri dan kanan kita akan terus mencatat, samada kecil apalagi amal-amal yang besar. ALlah  SWT pula kita imani tidak pernah lekang atau lalai daripada setiap gerak laku dan kerja-buat kita. Tidak ada tempat bersembunyi. Kita harap dengan senarai semakan, berupa yang zahir atau maya, dapat menjadi batu pendorong kita untuk menjadi hambaNYA yang soleh lagi musleh.

Senarai semak keluarga juga penting di dalam memastikan keharmonian keluarga terjamin. Rasa bahagia di dalam keluarga juga dapat dipupuk dan dibelai. Tidak akan berlaku pengabaian terhadap tangggungjawab masing-masing kerana semuanya telah tercatat. Dicatat bukan oleh orang lain, tetapi oleh diri sendiri. Kita pasti ingat tujuan dan alasan sesuatu sasaran diletakkan. Kita yakin ia yang baik dan boleh jadi terbaik untuk kehidupan kita di dunia dan akhirat kelak.

Ya, senarai semakan bukan satu perkara mainan. Ia boleh menyumbang untuk pembangunan diri dan keluarga serta yang lainnya. Kita semak dengan bersungguh. Kita amal dengan sepenuh kudrat. InsyAllah di dunia dan akhirat, kita selamat.

Ya, semak jangan tak semak..


12.24 Noon, USM Seri Ampangan.

Saturday 6 April 2013

Halangan Shahwat dan Shubuhat...

Di antara perkara yang menghalang kita untuk mengenal Allah SWT adalah sifat suka dan cenderung kepada kehendak shahwat dan perkara shubhat atau yang tidak pasti hukumnya. Dua penyakit ini memang telah ada benihnya di dalam diri setiap manusia, cuma ada yang benih-benihnya telah berkembang biak dan menguasai jiwanya, manakala ada yang benih-benih tumbuh terkawal dan sentiasa di bawah pemerhatian iman dan taqwa. Shahwat perlu ada untuk kelansungan kehidupan tetapi hanya sekadarnya. Perkara samar-samar pula adalah realiti kehidupan yang mesti kita tadbir dengan keyakinan, hujah dan panduan syara'. 

Apabila sesorang itu dipimpin oleh hawa nafsu shahwat nya, maka pasti akan lahir banyak sifat-sifat yang buruk lagi aib. Seseorang akan cenderung kepada membawa dan melakukan kerosakan di muka bumi. Ia merasa amat mudah untuk melanggar perintah dan batas yang ditetapkan Allah SWT. Kebiasaannya ia juga amat mudah berlaku zalim terhadap orang lain. Ia merasa tiada halangan untuk mengambil hak dan kepunyaan orang lain. Berdusta pula menjadi santapan harian dan mainan baginya. Ia tidak merasa bersalah apabila melakukan pendustaan. Pastinya jalan kehidupannnya akan dihiasi dengan kesombongan kepada kehendak Allah SWT. Dan apabila dihitung-hitung amalnya, akan dilihat banyak sungguh amal maksiat yang dilakukannya. Malang sungguh manusia begini. Ini semua natijah langsung daripada mengikut kehendak dan runtunan shahwat. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sifat ini. 

Apabila hidup kita ini terlalu kerap bergelumang dengan perkara shubuhat pula, maka pengakhiranya juga tidak baik. Atas sebab kejahilan seseorang amat mudah terjatuh ke dalam perkara shubuhat. Ia mengambil ringan bab hukum, sedangkan sewajarnya ia lebih tegas dan kuat di dalam memastikan hukum sesuatu perkara. Lagi pula, jika tiada keperluan mendesak, elok sangat perkara dan amal yang shubuhat kita tinggalkan. Apabila kita selalu terjebak dengan amal sejenis ini, ia akan langsung menanamkan sikap ragu-ragu di dalam bab hukum. Akibat terlalu biasa mengambil ringan, jiwanya akan mudah terdedah dengan sikap ragu-ragu dan ketidakpastian. Sikap ini bakal membawa dia ke jalan penyimpangan dan kelalaian. Hamba yang wara' adalah mereka yang tidak terlibat dengan perkara yang shubuhat. Mereka memilih untuk tidak terlibat dengannya. Inilah jalan yang terbaik.

Natijah daripada mengikuti Shahwat adalah kemurkaan yang nyata daripada Allah SWT. Apabila Allah SWT murka, maka ke mana lagi yang mahu kita tujui? Malang sungguh nasib. Jalan keluar daripada pengaruh shahwat ini adalah mujahadah dan bersungguh untuk mentaati Allah SWT. Tiada jalan lain selain jalan mujahadah. Buat mereka yang dihinggap penyakit Shubuhat pula yang akhirnya membawa kepada kesesatan, jalan untuk mengubatinya adalah dengan jalan ilmu - iaitu mencari, memahami dan mengamalkan apa yang diperoleh melalui jalan belajar, jalan ilmu dan pengetahuan. Ini lah ubat daripada penyakit jahil, ragu-ragu, penyimpangan dan kelalaian tadi.

Ya. Semoga Allah SWT memudahkan kita untuk mengatasi halangan-halangan ini. Ya Rabb, bantulah kami.

9.35am TBP
Nibong Tebal

Friday 5 April 2013

Ayat-ayat Kasih Tuhan...

Di antara banyak-banyak cabang ilmu, yang paling utama dan aula untuk seorang muslim adalah untuk benar-benar mengenal penciptanya, iaitu Allah SWT - Tuhan pemilik alam jagat ini. Di dalam bab aqidah, tidak dibenarkan kita ikut-ikutan sahaja. Keyakinan serta keimanan mestilah diasaskan di atas hujah yang kita fahami dengan penuh kejelasan. Ibadah yang sempurna dan aqidah yang sahih. 

Allah SWT telah memberikan banyak ayat-ayatNYA di muka bumi ini untuk kita dapat mengenal pencipta kita. Ayat-ayat di dalam bentuk Qauliyah dan Kauniyah. Ayat-ayat Qauliyah adalah ayat-ayat yang wujud di dalam Al-Quran Al-Kareem. Manakala ayat-ayat Kauniyah adalah pada semua makhluk ciptaanNYA di muka bumi ini. Semuanya menjadi masukan atau input untuk kita mengenal ALlah SWT. 

Di dalam Islam, mengenal Allah SWT mestilah melalui jalan dali Naql dan Aqal. Dalil Naql adalah dalil yang bersumberkan Al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Manakala dalil Aqal pula adalah melalui jalan logik dan rasional. Mestilah didahului dengan dalil Naql dan diikuti oleh dalil Aqal, dan bukan sebaliknya. Kita megimani dalil dan mencari hikmat. Dan bukannya mencari ketetapan dengan aqal, lantas mencari apa dalil yang dapat mendokongnya. Ini kaedah songsang.

Apabila keimanan berasaskan dalil Naql dan Aqal, maka ia melahirkan keyakinan. Iman akan lahir di atas tapak keyakinan, yang lahir di atas tapak wahyu dan ilmu.

Di sebaliknya, yang songsang  adalah apabila Tuhan dicari semata-mata dengan Dzan (sangkaan) dan Hawa (nafsu), lantas seseorang akan terus terbelenggu dengan keragu-raguan serta ketidaktentuan. "Keimanan" apabila di atas tapak sangkaan dan ikutan hawa nafsu, akan sentiasa tercangkuk pada tapak keraguan dan ketidakpastian. Bagaimana keyakinan dan keimanan boleh hadir di dalam keadaan sedemikian? Mustahil, dan mustahil. Lihatlah kepada mereka yang mengingkari firman Tuhan. Lihatlah banyaknya sangkaan dan pengaruh hawa nafsu, lantas keinginan untuk menyembah pencipta bukan menbawa kepada kebahagiaan, sebaliknya menempah tempat di neraka jahanam. NauzubiLlah.

Ya..keimanan tidak lahir atas keraguan. Ia akan cuma hadir dengan hujah dan perkara yang mendamaikan fikir dan rasa hati manusiawi.

Marilah kita mengenal PENCIPTA melalui ayat-ayatNYA.

Marilah...

10.05 am. Seri Ampangan
Penghulu sekalian hari.

Thursday 4 April 2013

4 yang bawa BINASA...

Kita semua mahukan kebaikan, kejayaan, keamanan dan kesejahteraan di dalam kehidupan ini. Atas sebab ini, pelbagai yang kita lakukan dan usahakan dengan kudrat yang telah dan terus Allah SWT anugerahkan. Pada masa yang sama ada ramai lagi manusia yang menjadi saingan kita di dalam menggapai impian dan cita-cita ini. Barang yang direbut tidak sebanyak mana, tapi saingannya begitu sengit. Jika tidak difikirkan perihal akhlak dan adab, maka berlaku banyak pelanggaran adab dan pengambilan hak orang lain di dalam keghairahan kita untuk mengumpul ghanimah dunia itu. Ya, amat sering kita lihat manusia sanggup berbalah, malah berbunuhan jika ia dihalang atau diganggu di dalam kerja buatnya itu. 

Hakikatnya, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan akan ada hujungnya. Dunia juga adalah kebun akhirat tempat kita bercucuk tanam amal kepadaNYA. Di akhirat kelak adalah musim tuaian dan musim menikmati hasil. Ada orang yang akan merasa hampa kerana semaiannya tidak menjadi, malah membawa bala dan musibah besar pula kepadanya. Ada orang yang bergembira dengan wajah berseri-seri mengutip tuaian dan menikmati lazatnya ganjaran amal di dunia. Kita semua akan jatuh di dalam salah satu daripada kumpulan  ini. Ada kita yang akan menyesal, dan ada kita yang akan tersenyum gembira. Kita pilihlah!

Imam Al-Jauzi menyatakan bahawa ada 4 perkara yang dapat menghancurkan manusia, dan membawa musibah kepadanya samada di dunia, apatah lagi di akhirat sana. 4 perkara itu adalah kekufuran, bid'ah, ghaflah dan hubbu dunya. Kekufuran pula ada 2 jenis, iaitu kufur atas sangkaan dan kufur yang nyata. Ada orang yang kufur kerana ia tidak yakin atau tidak terjumpa lagi bukti kewujudan yang esa. Bukti yang jelas tidak dikenalnya lagi. Nak benar-benar kufur, ia merasakan mungkin ada benarnya kewujudan Tuhan pencipta sekalian alam. Ia menduga-duga semata-mata. Contohnya Firaun, yang menduga-duga berdustanya Nabi Musa AS, namun di kala nyawa di halkum, mengiktiraf benarnya Tuhan Musa AS. Ada pula yang kufur nyata, iaitu setelah ia melihat bukti kebenaran dan beriman kepadanya, namun akhirnya tetap memilih untuk kufur atau engkar. Bukti yang nyata adalah perlakuan Iblis, seperti yang dirakamkan Allah SWT di dalam Surah Al-Hijr.

Perkara kedua ada perlakuan Bid'ah, atau mengada-adakan perkara baru di dalam urusan ibadah kepada Allah SWT. Ia juga terbahagi kepada 2 iaitu yang membawa kepada kekufuran dan yang membawa kepada penyelewengan. Bid'ah yang asalnya mungkin dibuat-buat untuk membuktikan benarnya iman dan taqwa, boleh akhirnya membawa seseoang kepada kekufuran, atau setidaknya membawa kita jauh daripada landasan kebenaran. Jadi marilah kita berhati-hati dengan urusan bid'ah ini. Marilah kita kuatkan azam kita untuk berpegang kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah.

Perkara ketiga adalah sifat Ghaflah atau lalai. Lalai daripada apa? Lalai di dalam DzikruLlah. Alpa di dalam mengingati Allah SWT. Apabila hati kita ini jauh daripada mengingat Allah SWT, maka mudahlah ia untuk dihasut dan dipenuhi dengan unsur-unsur yang jauh daripada redho ALlah SWT. Apabila hati sudah penuh dengan iman, ia tiada ruang untuk unsur mungkar dan kufur. Apabila hati dan minda alpa daripada DzikruLlah, maka ia pasti menjadi hidangan kepada shahwat dan shubahat. Dua jalan yang membuka kepada murka ALlah SWT dan kesesatan yang pekat.

Perkara terakhir yang boleh membinasakan manusia adalah Hubbu Dunya, atau cintakan dunia. Adalah menjadi satu perkara yang tabie iaitu apabila cinta dunia ini menguasai hati, jiwa dan perasaan, seorang manusia itu akan binasa dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Ia sibuk dengan benda yang sementara dan akan hancur, sedang ia melalaikan dan alpa tentang urusan penyediaan benda yang kekal, iaitu kehidupan akhirat. Dunia ini memang tampak indah lagi mengasyikkan. Ambillah sekadar perlu untuk hidup, dan manfaatkan ia untuk kesejahteraan nanti di sana. 

4 perkara ini akan terus berlegar di sekitar kita. Selagi kita hidup di muka bumi ini, selagi itulah kemungkinan untuk kita jatuh di dalam salah satu atau mana-mana satu daripada 4 lubang musibah ini boleh berlaku. Berhati-hatilah sahabatku. Mohonlah petunjuk dan pertolongan daripada NYA. Amin Ya Rabb.


9.11am Seri Ampangan.

Wednesday 3 April 2013

Kita berperaturan!

Kita semua tertakluk di dalam peraturan dan susuan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Alam yang hebat dan besar ini pun terikat dengan ketentuanNYA dan tiada hak atau kemampuan berbuat sesuatu yang lain daripada yang ditetapkanNYA. Kita semua terikat dengan kudrat dan iradat Allah SWT. Ini hakikat hidup yang kita semua maklumi, cuma terkadang kita tidak beri perhatian sewajarnya. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sentiasa menyuburkan perasaan taqarub kepada Allah SWT ini. Apabila seorang hamba itu berusaha mendekatkan diri dengan penciptanya, dan tidak jemu dalam mengejar keredhoanNYA, maka hamba itu akan pasti selamat di dunia, dan terlebih lagi di akhirat nanti.

Sebagai hamba yang diberi pilihan untuk taat atau engkar kepada Allah SWT, hendaklah kita insaf dengan kedudukan dan nilai diri kita. Manusia menjadi mulia dengan ukuran taat dan dekat dengan penciptanya. Semakin tunduk dan patuh kepada risalah yang disampaikan melalui jalan para Rasul, terutama Nabi Muhammad SAW, maka semakin dekat lah seorang manusia kepada fitrah kejadiannya. Fitrah yang bersih dan amat mengiktiraf kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Musibah akan hadir apabila kita lari dan jauh daripada landasan fitrah manusiawi dan hamba Allah SWT. Kita tidak ada pilihan selain taat dan sabar, agar kita selamat di dunia dan terlebih selamat di akhirat nanti. Ya, inilah hakikat kehidupan kita semua.

Di dalam kehidupan bermasyarakat, mesti wujud di sana, undang-undang dan peraturan. Ia sistem susun tadbir masyarakat yang wajib ada untuk memastikan masyarakat dapat bermasyarakat di dalam keadaan aman dan sejahtera. Kemudian ada pula unsur pelaksana undang-undang atau kerajaan. Pelaksana undang-undang juga memikul tanggungjawab yang berat di dalam memastikan peraturan hidup bermasyarakat terjaga dan terkawal. Kedua-dua elemen ini mesti wujud, dan mesti hadir di atas semangat keadilan yang sebenar. Bermaksud keadilan itu mestilah suatu keadaan apabila keputusan yang diberikan tidak mencabar hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT ditambah dengan penghukum yang adil. Keadaan yang sukar dan tidak sepatutnya berlaku adalah apabila sudahlah hukumnya tidak adil, si pelaku juga berat sebelah. Malang sungguh mereka yang sedang berhadapan penghukuman semacam ini. 

Marilah bertaqarub kepadaNYA dan hiduplah di dalam ringkup lingkup peraturan dan undang-undang.

Allahua'lam
Seri Ampangan
3 April 2013

Tuesday 2 April 2013

Kisah di awal pagi...

Ada tiga peristiwa kecil yang berlaku pagi ini. Walaupun pada zahirnya ia semua tampak kecil, semakin difikirkan, semakin bermakna semua yang ku lalui pagi ini. Mungkin inilah ibrah kehidupan yang sebenarnya selalu bermain di hadapan mata, cuma kita yang terlalu buta untuk melihatnya.

Kisah pertama adalah berkait satu berita kemalangan jalanraya yang berlaku beberapa hari lepas. Di dalam insiden ini, beberapa pemandu kenderaan yang sedang bersesak-sesak di atas jalanraya ditimpa bahan binaan seberat sekitar 10 tan. Seorang mati manakala ada seorang yang cedera akibat ditimpa bahan binaan tersebut. Katanya ada kren yang jatuh ketika bahan-bahan itu diangkat. Pemandu lelaki yang cedera itu mengatakan bahawa akibat kemalangan itu, ia kini fobia dan merasa gerun apabila melalui kawasan binaan dan jejambat. Terasa seperti akan ditimpa sekali  lagi. Beliau teringat saat kejadian itu apabila tubuhnya terasa dihimpit kuat selepas sesuatu jatuh di atas kepalanya. Yang beliau fikirkan adalah: "Apakah yang akan berlaku kepada isteri dan anaknya yang berlima sekiranya beliau mati?" Ayat ini begitu mengesani aku yang membaca. Ya, sekiranya aku mati hari ini, apakah nasib dan kehidupan yang akan dilalui oleh keluargaku? Apakah nasib aku pula? Benarlah kata Rasul SAW - mengingat kematian dapat membunuh kelazatan!

Kisah kedua adalah berkait seorang lelaki yang tidak dikenali yang menyapaku ketika ia berselisih denganku di jalan, di sisi keluar kedai roti canai yang ku kunjungi. Aku pernah melihatnya sebelum ini. Seingat aku, lelaki ini seperti tidak siuman dan lagaknya tidak dipeduli orang lain. Sebaik melihat aku, dia pun berkata - "Alhamdulillah, sihat"..sedang aku belum pun bertanya soalan yang ingin ku ucapkan iaitu; "Apa khabar?". Jawapannya mendahului soalan ku. Menarik betul peristiwa ini, seolah terlalu kerap beliau ditanya soalan ini. Atau seolah memang itulah soalan yang biasa ditanyakan orang lain. Mungkin tiada keikhlasan pun, sekadar bertanya - itu sahaja. Rupanya hubungan manusiawi ini jangan kita ambil ringan. Di dalam ungkapan, mesti ada hasrat dan niat yang luhur dan benar. Bukannya sekadar ingin bertanya dan tampak mesra, walau di dalam hati tidak sedemikian. Aku terkedu. Tiada terkata apa-apa. Yang lebih menarik lelaki itu berkata lagi:"Saya dulu pun keluar 40 hari"...Ehmm..mungkin dia menyangka dengan janggut dan perawakan ku, itulah perkara yang sama antara aku dan dia. Menarik sungguh firasat lelaki itu.

Kisah ketiga adalah apabila aku melihat seekor kura-kura yang sedang sabar menanti di tepi jalanraya yang sibuk dengan kenderaan. Kelihatannya ia mahu melintas jalan itu. Keretaku melintas berdekatannya, dan ia pun memasukkan kepada ke dalam karung kerasnya. Pastinya nanti kepala itu akan keluar semula, menghitung-hitung samada saat untuk bergerak melintas jalanraya yang lebar boleh dimulakan. Ya, nanti ketika tiada kereta atau kenderaan yang mendekat. Aku terfikir beberapa kemungkinan sang kura-kura dapat mengatasi dugaan ini. Pertama, tiba-tiba tiada langsung kenderaan yang lalu di jalanraya itu, dan kura-kura dapat melintasnya dengan lenggok jalannya yang tersendiri. Kedua, ada orang yang membantu mengangkatnya ke seberang sana, atas ehsan makhluk kepada makhluk yang lain. Ketiga, ia digigit musuhnya dan dibawa merata, cuma nyawanya mungkin terhenti kemudiannya. Atau yang terakhir, ia mencari laluan lain, seperti longkang atau terowong air yang lalu di bawah jalan itu. Ya..setiap masalah ada banyak cara untuk menyelesaikannya. Cuma, kura-kura perlu berfikir dan menimbang sebaiknya. Kita dan kura-kura seolah tidak berbeza. Hidup ini penuh dengan jalanraya yang sibuk dan berrisiko, sedang kita masih termangu-mangu di tepian, tidak pasti ke mana haluan.

Allahua'lam

9.07am Seri Ampangan

Monday 1 April 2013

Malu yang menghidupkan!

Manusia secara umumnya akan merasa malu jika ia sedang dan telah berbuat maksiat. Malu teramat jika perbuatannya itu diketahui manusia. Apalagi dirakam dan diulang papar untuk menjadi bahan gurauan serta jenaka. Terasa tebalnya muka dengan peristiwa itu, walaupun terkadang maksiat atau perbuatan songsang yang dilaksana adalah sipi-sipi ukuran dosanya. Malu kerana amalan itu dicela disisi manusia, walau mungkin tidak ada apa-apa pemberatnya di sisi Pencipta. Ya, manusia merasa malu itu terkadang melangkaui malu kepada Sang Pencipta. Musibah apa gerangannya ini? Malu itu baik. Tetapi, malu tidak bertempat itu sia-sia pastinya.

Pandangan Ilahi tidak pernah terhijab. Malu teramat patut hadir apabila dosa sudah menjadi santapan harian dan tidak lagi menggugah perasaan. Malu kepada manusia sewajarnya tidak menjadi kerisauan. Sebaliknya menjadi pendorong untuk lebih taat dan lebih malu kepada Pencipta kita. Ya, bukankah telah sampai ketika dan waktunya untuk kita insafi hakikat ini? Bahawa malu yang sebenar adalah pada Ilahi dan Rabb yang tidak pernah alpa pada semua tingkah laku dan amal gerak kita. Ya, malulah kita padaNYA. Malu yang membawa dan menggerak amal. Malu yang melahirkan keikhlasan dan jujurnya seorang manusia. Walau ketika itu perasaaan dan nafsu menyeru sebaliknya.

Malu kerana takut2 aib kita diulang-tayang dan disaksikan oleh semua manusia dan makhluk ciptaanNYA kelak. Malu yang menggerak amal. Malu yang menghidupkan. Malu yang bermakna. 

Apabila kita malu kepada manusia, pastinya malu kepada manusia akan hadir pastinya. Ya, marilah kita malu kepadaNYA. Ya Rabb - ampunkan aku....


Seri Ampangan
5.37pm Isnin