Thursday 28 August 2014

Musim Haji telah tiba lagi...

Musim haji tiba lagi. Sejak semalam telah banyak penerbangan ke tanah suci dilakukan oleh para hujjaj. Pejam celik telah setahun berlalu sejak aku dan isteri menjadi tetamu ALlah SWT di bumi haram. Kenangan selama kurang lebih 50 hari di sana akan terus terpahat di sanubari dan menjadi kenangan selama hidup ini berdenyut. Alhamdulillah berpeluang dan Alhamdulillah juga dipanjangkan usia dan diberi pelbagai nikmat untuk membuktikan segala ikrar dan penyaksian setahun lalu di bumi haramain. Ya, betapa indahnya hidup ini apabila hari-hari yang dilalui disibukkan dengan ibadah dan usaha beribadah kepadaNYA. Hidup yang seolah terpisah dengan realiti seharian yang kini dilalui di tanahair sendiri.

Memang sifat tetamu ini ia diberi keistimewaan untuk dimuliakan oleh yang menjadi penerima tetamu tadi. Dihidangkan dengan pelbagai juadah qalbu yang memberi seribu satu pengertian. Ya, menjadi tetamu ALlah SWT ini amat istimewa perasaannya. Kita berpeluang menapak di bumi gersang dan kontang yang dahulunya adalah saksi kepada perjuangan suci menegakkan yang hak dan meletakkan manusia sebagai manusia, iaitu hamba kepadaNYA. Tetamu yang akan sentiasa merindu jejak dan tapak di subuh hari menyahut seruan sang bilal dan pulangnya beramai-ramai di malam hening yang membahagiakan. Ia rutin harian yang tidak akan dapat dilupakan. Betapa masa berlalu begitu pantas, dan kini aku menjadi saksi pula kepada tetamu-tetamu yang terpilih kali ini.

Satu persoalan besar yang sering bermain di minda adalah adakah Haji ku Haji yang mabrur? Haji yang diterima sepenuhnya dan diganjari dengan keampunan ke atas semua dosa. Jika ya, apakah natijah kepada Haji yang mabrur di dalam kehidupan yang masih berbaki ini? Apakah tanda-tanda haij yang lepas itu adalah benar-benar mabrur @ baik? Allahua'lam. Hanya Allah SWT sahaja Maha Tahu hakikatnya. Yang jelas, ibadah yang baik dan diredhoiNYA pasti akan membawa kebaikan dan manfaat kepada pelakuknya. Seperti solat dan puasa yang kita lakukan, tampak jelas manfaat dan kebaikannya apabila ia dilakukan dengan sewajar dan sebaiknya. Semua perkara akan meninggalkan parut atau kesan. Cuma, baik atau buruk. Itu persoalannya.

Alhamdulillah dan tahniah kepada semua yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini. Jika berkesempatan, sampaikanlah salam kami kepada junjungan besar, kekasih Allah SWT, Ar-Rasul - Muhammad SAW. Ketika anda berlalu di tempat baginda berehat di Masjid Nabawi, ingatlah betapa mulia dan hebatnya makhluk yang sedang kamu ziarahi itu. Bukan semua manusia berpeluang untuk bertemu dengan Nabi SAW. Ketika hayatnya dan ketika setelah wafatnya. Berpeluang berziarah ke maqam baginda juga satu kemuliaan kepada kamu. Ya Rasul, kami rindu kepadamu. Moga satu hari nanti, ketika hayat masih ada ini, akan berpeluang aku untuk menziarahimu. Ziarah dengan membawa seribu satu macam penyesalan atas peluang yang dipersia. Menziarahimu dengan dosa-dosa yang berselirat di jiwa. Malunya aku kepada mu, tetapi aku tetap rindu.

Ya Allah, berilah aku peluang lagi...

Wassalam



Wednesday 27 August 2014

Kisah CINTA!

Sang pencinta akan melakukan apa sahaja untuk yang dicintai. Ini adalah satu hukum alam yang tidak terkekang oleh spesis atau fasa kehidupan. Cinta bisa membutakan manusia kepada hujah dan penjelasan. Cinta jika tidak diperhati, akan menjadi tabir yang tebal yang pasti menghalang selain darinya untuk masuk ke hati dan jiwa manusia. Akal pun mampu tertewas oleh cinta. Ya, cinta itu buta. Namun, ke"buta"an ini adalah unsur utama yang menggerakkan manusia akan terus berjuang di dalam hidup.
Bergantung kepada jenis dan tahap cinta seseorang, ia boleh mengubah orang yang biasa-biasa kepada orang yang luar-biasa. Bukan luar kebiasaaan atau tidak tabie, luar biasa atau hebat kualitinya. Dengan dorongan cinta, manusia sanggup melakukan pengorbanan demi pengorbanan, walau tidak jarang terjadi, pengorbanan sudah yang terhebat, namun nilaian hakikat atau erti perlakuan itu menjadi sifar. Ini gara-gara terburu-buru di dalam bercinta sehingga akal menjadi tidak berguna. Ia "buta" dan di"buta"kan.

Yang pasti cinta kepada yang kekal akan membawa kepada kelangsungan rasa dan natijah cinta selamanya. Cinta kepada yang sementara, akan menatijahkan kematian yang semakin mendekat. Atas dasar ini, semua luahan dan rasa cinta mestilah didahului dengan kecintaan kepada yang Maha Esa, Allahu Rabbul Jalil. Cinta kepadaNYA akan memastikan kelangsungan cinta yang lain. Perintah dan laranganNYA menjadi batu aras yang membataskan tahapan cinta kepada makhluk. Melihat kepada zahir makhluk tetap menampakkan hakikat ketuhanan. Ini semua milik DIA yang Maha Agung dan Maha Hebat.

Cinta, bercinta dan mencintati adalah unsur nafsu dan syahwat. Tetapi ia menjadi suci dengan naungan iman serta taqwa kepada Allah SWT. Dorongan cinta yang sebenar sentiasa membawa empunya diri kepada ketundukan dan ketaatan kepadaNYA. Cinta hakiki adalah perjalanan menempuh jalan yang berliku dan beronar, namun sentiasa bernaung di bawah lembayung rahmat dan ehsannya. Ya, cintalah Allah SWT dan mereka yang dicintai olehNYA.

Ini jalan penuh keselamatan dan penuh dengan maunah daripada NYA.

Wassalam

Tuesday 26 August 2014

Merdeka! Merdeka!! Merdeka?

Belum rasa merdeka itu bukan satu kepalsuan. Ia satu hakikat perasaan yang diikat kuat dengan kebenaran. Merdeka kita terbatas dengan kelemahan-kelemahan yang melingkungi hidup kita. Pada jasad, minda dan jiwa kita ini punya terlalu banyak kelemahan yang mengikat dan mengekang apa sahaja yang kita benar-benar mahu lakukan. Ya, jika kita mengukur kepada merdeka atau tidaknya seseorang itu dengan pemaknaan yang ringkas dan mudah, kita semua telah merdeka. Namun, berlaku jujur dalam penilaian akan membawa kita kepada satu hakikat bahawa kita ini selamanya hamba dan akan mempunyai Tuan dalam banyak keadaan. 

Sebagai manusia, kita ini pastinya hamba kepada Sang Pencipta - Allah SWT. Tidak akan mampu untuk kita keluar daripada lingkungan ini. Ini kerana kita selamanya berharap kepada ALlah SWT untuk kelangsungan hidup. Di ketika Allah SWT menghentikan rahmat dan nikmat anugerahNYA, maka hayat dan nyawa kita pun akan terhenti langsung. Kita ini terlalu lemah dan tidak berdaya untuk berdiri sendiri dengan sebenar-benarnya. Oleh itu di dalam urusan hubungan hamba dan Tuhan, kita ini memang akan menjadi hamba, samada terpaksa atau rela. Ini semua untuk kebaikan. Malah tidak menjadi hamba membawa kepada kemusnahan yang pasti.

Di dalam hubungan sesama manusia, kita ada ruang dan peluang untuk mengeluarkan diri kita daripada menjadi hamba, iaitu dengan menjadikan hukum Tuhan atau batas-batas ketentuanNYA sebagai penentu sesuatu tindakan. Ini bermakna hukum manusia tidak mengekang kita, hanya hukum Tuhan. Lantas, kita tetap mampu menjadi hamba dan manusia merdeka pada masa yang sama. Ini suatu hakikat yang tidak mustahil dan sewajarnya menjadi sasaran atau target kehidupan. Hamba kepada Tuhan akan menghidupkan. Hamba kepada manusia akan mematikan kemanusiaan. 

Di dalam suasana menyambut merdeka ini, marilah kita benar2 memerdekakan diri dan menuju deras kepada kehambaan hanya untukNYA.

Selamat Hari Merdeka!