Saturday 31 January 2009

Kemarau di sana, Tengkujuh di sini...

Pagi ini anakku jatuh daripada katil :-) buat kali pertama sejak sekian lama. Tak menangis, tapi kelihatan terpinga-pinga. Semuanya bermula dengan pertanyaan "Tasneem mana...?"

----------------

Sememangnya adalah hak Allah SWT untuk meninggikan dan menurunkan sesuatu bangsa dan kaum. Negara bangkit dan jatuh dengan izin Allah SWT. Dengan menyediakan sebab2 yang sepatutnya, mana2 bangsa atau kaum boleh naik atau jatuh.

Datangnya musibah selalunya akan meninggikan satu pihak dan menjatuhkan satu pihak yang lain. Satu mendapat musibah, satu lagi mendapat ghanimah (untung). Satu pihak kesedihan, satu pihak mendapat kegembiraan. In time of change, there is always opportunity. Di sini kemarau, di tempat lain hujan. Begitulah adilnya Allah SWT dalam membahagikan rezeki di bumi ini.

Setiap perkara yang mendatang adalah di luar kawalan kita semua. Atas sebab itu kita perlu menyediakan diri kita semua. Ada perkara yang di dalam kawalan kita. Pada masa yang sama banyak lagi perkara yang di luar jangkauan pancaindera kita. Kerana hakikat ini, amat penting untuk kita ada Tuhan, dan menyedari Tuhan memperhatikan kita. Semua perkara adalah baik untuk kita. Semuanya ada hikmah, sekiranya kita mahu melihat dan merenung.

Semakin tinggi cita-cita dan keinginan kita, makin besarnya pengorbanan yang dituntut dan cabaran yang menanti. Inikan mengidamkan syurga Allah SWT. Pastinya dugaan untuknya tidak mudah dan senang. Lihat sahaja pada kehidupan para nabi dan rasul. Lihat dan lihat...

Kita boleh 'cepat' dewasa dan matang sekiranya kita mahu belajar daripada perjalanan hidup orang lain. Di hadapan kita terbentang kisah untuk iktibar. Jangan lupa untuk memanfaatkannya.

Berhenti sebentar..9.39am



Friday 30 January 2009

Kesempurnaan yang dikejar...

Kesempurnaan di dalam hidup adalah idaman semua manusia. Mendapat segala yang dihajati adalah perkara yang kita dambakan. Walaupun segala yang kita mahukan itu tidak pasti lagi akan membawa kebaikan kepada kita. Ukuran zahir memang boleh menipu. Yang putih menjadi putih kerana tiada yang hitam padanya. Yang hitam tampak kehitamannya kerana ia gelap tanpa cahaya. Indah yang pastinya relatif.

Ukuran apa yang hendak kita gunakan untuk membeza? ukuran nafsu, ukuran aqal atau ukuran hati? Ukuran nafsu sentiasa membawa kita ke jurang kehancuran, jika tidak di kawal. Ukuran aqal memerlukan ilmu dan pengalaman. Ukuran hati pula akan mungkin jika hati itu bersih dan tidak kotor dengan maksiat dan pelanggaran. Maka ukuran apa lagi yang tinggal?

Bagaimana dengan ukuran Rabbani, atau ukuran Allah SWT? Bagaimana pula dengan ukuran Sunnah atau ukuran Rasul SAW? Ini lebih boleh dipegang dan dipercayai. Sekurangnya ukuran ini sempurna dan membawa keuntungan, di dunia dan di akhirat. Sekurang-kurangnya ukuran ini punya contoh pengamalnya. Ukuran yang tidak reput di makan zaman, dan tidak kering oleh kemarau. Ukuran hakiki lagi teruji.

Ukuran Rabbani ini sumbernya Al-Quran. Ukuran Sunnah sumbernya Rasul SAW. Sayap Rabbani dan Sunnah ini akan membawa kita terbang tinggi di langit. Meninggalkan karat-karat beban dunia yang dulunya merangkul kita. Terbang tinggi di langit keimanan dan ketaqwaan. Terbang menuju pencipta kita, dengan gah dan perkasa.

Namun itu masih tinggal sebagai harapan dan impian. Kita masih hidup di bumi. Kita masih memerlukan segala yang manusia bumi perlukan. Oleh itu segeralah berlari ke pada telaga Rabbani dan Sunnah yang tersedia sekian lama.

InsyAllah menjadi insan kamil mutakammil bukan mustahil. Yang penting sempurnanya kita di 'mata' Allah, bukan di sisi manusia.

Apa lah sempurnanya dunia ini?

Wassalam
Menanti azan dan khutbah Jumaat Al-Mubarak


Sambung lagi:

Pagi tadi sempatlah aku bertemu dengan beberapa pelajarku untuk slot pagi Jumaat. Ku peringatkan mereka tentang hakikat kehidupan ini. Setiap sesuatu ada permulaan dan hujungnya. Setiap kegembiraan tidak akan kekal, begitu juga segala bentuk kesedihan. Ia akan bermula dan ia akan berakhir. Hidup ini begitu juga. Tapi yang bezanya, kita akan hidup semula, dan tiada lagi hujungnya. Hidup yang tiada lagi kenal kematian. Bersediakah kita semua?

Petangnya, aku bertemu dengan rakan sejawat. Kuperingatkan diriku dan mereka akan indahnya syurga dan ngerinya neraka. Ayat 25 - 37, surah Al-Baqarah menjelaskannya. Kisah Nabi Adam A.S yang digoda oleh Syaitan LaknatuLlah dan dikeluarkan daripada syurga. Dunialah tempat ujian dan perjuangan untuk kembali ke syurga semula. InsyAllah minggu hadapan, kami berjanji untuk mentelaah 3 ayat Surah Al-Mulk. Pendinding azab kubur.

Malamnya aku bersama para remaja, anak2. Bertanya tentang kalimah syahadah dan ertinya. Kerapnya kita ucapkan kalimah ini setiap hari, tapi samada kita fahami tuntutannya, satu hal lain. Anak2 tahu perkara ini. Mereka tahu ertinya. Aku telah tahu ertinya, tapi belum pasti aku menunaikan segala tuntutannya. Anda bagaimana?

Kemudian kami semua sama2 menyaksikan kartun "Syukur dan Kufur" - episod akhir, dalam bahasa Indonesia. Interesting.. Kemudian sambung pula dengan kartun "Surga di bawah kaki Ibu" - kisah Al-Qamah. Ini pun berhenti tengah jalan - sambung minggu hadapan. Ini nak pastikan anak2 akan datang minggu hadapan. Seronok buat program ini. Terisi malam jumaatku. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Andainya hari2 ku sedemikian, alangkah manisnya kehidupan ini. Biar berbakti itu menjadi rutin harian kita semua. Apa lagi yang nak buat di dalam hidup ini jika tidak membawa manfaat dan kebaikan? Tak puas lagikah kita memenuhkan kehendak perut dan hawa kita?

Ya Allah hidup dan matikanlah aku di jalan jihad dan perjuangan. Amin...


Thursday 29 January 2009

Hebatnya pertempuran ini...

Sejauhmana kita mampu untuk menetapkan diri kita di atas jalan kebenaran, jalan ketundukan dan jalan ketaatan adalah satu anugerah daripada Allah SWT. Pastinya kita sendiri ingin agar kita taat dan patuh kepada segala perintahNYA. Kita mesti sentiasa berdoa dan berusaha agar kita mampu untuk mengawal diri kita sendiri.

Musuh sekiranya berada di luar diri kita, insyAllah mampu kita atasi dan kalahkan, tetapi apabila musuh utama mengalir sentiasa di dalam tubuh kita, maka ia akan menjadi dugaan besar untuk kita. Sentiasa.

Di mana nak kita dapatkan kekuatan untuk menewaskan musuh dalaman ini? Tidak lain tidak bukan melainkan kita kembali kepada petunjuk Tuhan dan Rasul. Inilah kaedah dan ubat yang terbaik. Jika kita mencari kaedah lain, kita sebenarnya menipu diri sendiri. Kaedah manusiawi tidak akan membantu kita. Hanya kaedah Rabbani akan menjadi penawar terbaik.

Setiap penyakit ada ubatnya. Setiap ubat ada syarat dan kehendaknya. Bila bermasalah, perlulah kita mencari penyelesaiannya. Jangan dibiarkan ia melarat. Takut-takut tidak sempat untuk kita memperbaikinya. Tiada apa yang mustahil di dunia ini jika Allah SWT izinkan kita.

Marilah kita berusaha. InsyAllah usaha kita akan membuahkan hasilnya. Moga Allah SWT membantu kita sentiasa.

Wednesday 28 January 2009

Kematian yang pasti hadir...

Kehidupan di dunia ini sememangnya tidak kekal. Bukti dan contoh bahawa hidup dunia ini adalah sementara ada di hadapan mata kita setiap hari. Apa juga perkara atau kehidupan yang kita lihat akan bertemu penghujungnya. Jika kita tengok sebatang pokok. Ia bermula dengan tunas yang kecil, kemudian ia membesar, semakin lama semakin kuat. Sampai satu ketika, ia cukup besar untuk menaungi kehidupan makhluk lain pula. Tapi akhirnya ia akan rebah ke bumi setelah diserang penyakit atau ditebang oleh manusia. Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Cuma kita tidak tahu bila dan bagaimana sesuatu itu akan berakhir.

Kita mungkin tidak boleh menentukan bila kita akan mati, tetapi kita mungkin boleh membuat pilihan untuk menentukan bagaimana kita akan mati. Akhirnya perkara ini berada didalam genggaman Allah SWT. Jika kita berazam untuk mati syahid di jalan Allah SWT, maka kehidupan ini mestilah hidup sebagai para syuhada'. Jika kita ingin mati dalam keadaan baik, maka hidup ini mesti dijalani dalam keadaan baik. Dunia tamsilan atau cerminan akhirat.

Kita terus bernafas kerana Allah SWT masih ingin memberi peluang kepada kita untuk membuktikan kehambaan dan cinta kita pada NYA. Bukan sebab kita pandai jaga kesihatan, atau kita tidak menghidap apa-apa penyakit, atau segalan sebab yang bersumber daripada perbuatan dan hasil tangan kita. Kita diberi peluang, lagi dan lagi. Inilah bukti cinta Allah SWT kepada kita semua.

Kematian akan membawa pelbagai kebaikan bagi yang tidak lupa padanya. Namun manusia sifatnya mudah lupa dan mudah juga melupakan. Lupa ini ada gunanya, tetapi jika semua kita lupa, akan mengundang mudarat pada dunia dan akhirat kita. Kita perlu kenal dan cintai kematian sebelum kita boleh benar-benar menghargai kehidupan. Sebelum kita benar-benar mati, kenali makhluk bernama maut ini, supaya kita akan sentiasa memberi makna kepada kehidupan yang sementara ini.

Temujanji kita dengan sang maut telah lama ada. Kematian perlu, kerana ia satu-satunya jambatan untuk ke akhirat. Samada ke syurga atau neraka Allah SWT. Sehebat-hebat manusia di dunia ini belum tentu ia ahli syurga, dan sejahat-jahat manusia ini juga belum tentu ia ahli neraka. Dengan syarat ia tidak mensyirikkan ALlah sampai hujung nyawanya. Kehidupan yang sehari lagi ini adalah peluang yang jangan dipersiakan.

Memang kita maklum tentang hakikat kita semua akan bertemu ajal. Tetapi bagaimana pula dengan persediaan kita? Bersediakah kita untuk bertemu Allah SWT, dengan membawa semua amal ibadah kita selama ini. Marilah kita bersiap sedia, agar perjalanan kita bertemu Allah SWT menjadi lancar dan dipermudahkanNYA.

Indahnya jika kita bertemu Maut dengan lidah kita basah memujinya. Indahnya jika kita bertemu Maut dengan badan yang penat dan lelah dengan usaha menegakkan dakwah Islam di muka bumi ini. Dan indahnya maut sekiranya kita disambut dengan keredhoan dan rahmat Allah SWT di sana.

Persiapkanlah dirimu, Maut sedang mengintaimu!

Allahua'lam
Shang-Ri-La Hotel Putrajaya
4.47pm

Saturday 24 January 2009

Kejayaan ini ada maharnya...

Kejayaan yang kita impikan di dalam hidup ini tidak akan dengan sebegitu mudah. Setiap orang mahukan dan harapkan mendapat kejayaan. Sebab bila berjaya maknanya hidup akan bahagia, seronok, gembira dan senang sentiasa. Bila berjaya, semua orang suka, kawan pun makin ramai, hati pun rasa lapang lagi ceria. Tapi hendak mendapat perkara dan keadaaan sehebat ini pasti ada maharnya. Ada benda yang perlu dikorbankan. Ada "give and take". In order to take/get something, what are you willing to give in return.

Ada orang cuma ada kederat fizikal, ada orang ada kehebatan idea/minda. Ada orang ada masa dan kesihatan, untuk dijadikan mahar. Yang pasti, di dalam hidup ini, tiada kejayaan datang percuma. Lagi besar gred kejayaan, lagi besar maharnya. Lagi banyaklah tuntutannya ke atas diri kita. Sepertinya jika kita diberi gaji RM500 sebulan, maka kerja kita pun sepadan dengan jumlah itu. Tidak sama tugas dan beban kerja kita, jika kita bergaji RM5000 atau RM50000. Pastinya beban dan tanggungjawab semakin meningkat. Masa dan tenaga banyak itu juga, maknanya perlu pandai dan tahu bahagi-bahagi masa dan keutamaan dalam hidup kita.

Nak Syurga - takkan cukup dengan buat ala kadar. Mesti ada keseriusan dan kesungguhan. Nak syurga Allah, maharnya amat besar. Mahar yang paling besar adalah nyawa kita. Jika Allah SWT pilih untuk kita syahid di medan juang, maka kita telah membayar harga syurga dengan nyawa - titisan darah kita di medan juang. Terus kita ke syurga Allah SWT. Yang menjanjika segala kenikmatan dan puncak kejayaan. Kalaupun kita tidak syahid di medan perang, tetap boleh untuk kita 'wakafkan' hidup kita untuk Islam dan Allah SWT. Ini ada kesamaan dengan mengorbankan nyawa juga, iaitu bukan dengan titisan darah, tetapi dengan kehidupan ini dijadikan tanda penghambaan dan ketundukan kita kepada Allah SWT.

Rehat dan terus membuang masa tanpa tujuan adalah tanda kita semakin jauh daripada mendapat kejayaan. Dalam apa bentuk jua pun, syurga dunia atau syurga akhirat. Kedua-duanya tidak akan dicapai melalui jalan rehat dan buang-masa. Jalan yang telah dilalui oleh mereka yang telah berjaya, adalah jalan kelelahan, keletihan dan kepayahan. Membuat kebaikan tidak mudah kerana yang menanti di jalan usaha ini adalah para tentera syaitan dan iblis yang telah bersumpah untuk menyelewengkan kita semua. Belum lagi ditambah dengan pujukan dan bisikan hawa-nafsu yang selamanya mahu kita rehat-rehat dan jangan menyusahkan diri untuk berjuang dan yang seumpamanya. Hidup senang, apa lagi nak dibuat? rehat lah. Agaknya begitulah dialog dalam jiwa kita bila sudah merasai sedikit kerehatan daripada kelelahan.

Niat yang tepat/ikhlas + Usaha yang berterusan + Tawakkal kepada Allah SWT = Kejayaan hakiki (dunia & akhirat)

Inilah sedikit catatan ku di pagi hari Sabtu - 24 Januari 2009. Semoga bermanfaat.

Gaza masih terbakar! Free Palestine!