Friday 20 December 2013

Nafsu yang ada!

Manusia dikatakan ada 4 jenis nafsu. Unsur nafsu ini menjadi kemestian di dalam diri kita untuk memastikan kelangsungan kehidupan. Tanpa nafsu, kita akan menjadi seperti malaikat yang hidup tanpa nafsu. Apabila terlalu mengikut nafsu, kita akan hancur sifat kemanusiaan dan berlagak seperti binatang semata. Ya, nafsu itu perlu tetapi mesti dikendali BUKAN  mengendali.

Nafsu yang terendah sifatnya adalah nafsu ammarah. Ini nafsu yang bermaharajalela tanpa kawalan. Berbuat maksiat adalah kebanggaan. Mempamerkan maksiat adalah tujuan. Ya, nafsu ammarah tidak akan membawa manusia ke syurga Tuhan, tetapi setiap langkah menempah tempat di nerakaNYA. Nafsu ammarah ini dicela oleh Allah SWT kerana jauhnya ia daripada ketaatan, dan kuatnya salutan keengkaran padanya.

Nafsu yang sedikit kurang celanya adalah nafsu lawwamah. Ini adalah nafsu yang tercela. Ini kisahnya seorang hamba yang bergelumang dengan maksiat, dan sentiasa merasa sesalan apabila berbuat maksiat. Hamba ini tahu dosa itu tercela dan dimurkaiNYA. Justeru ia akan mencela diri apabila berlaku pelanggaran kepada perintahNYA. Nafsu yang mencela diri adalah peribadi yang berdosa, tetapi sedang mengorak langkah untuk mengubah keadaan.

Nafsu ketiga adalah nafsu mulhimah. Atau nafsu yang terdorong atau empunya ilham untuk berbuat taat dan kebaikan. Ia lebih berat kepada ketaatan dan tunduk kepada kehendakNYA. Ia masih berdosa namun daerah taat dan taqwa lebih kerap ia kunjungi berbanding keengkaran.

Nafsu yang terpuji adalah Nafsu Mutmainnah, iaitu nafsu yang tenang. Nafsu yang diredhoi oleh Allah SWT dan membawa empunyanya ke syurgaNYA. Jika kita membaca surah Al-Fajar, maka akan kita temui pujian RAB kepada hamba yang empunya nafsu yang tenang ini. Ia redho dan diredhoiNYA.

Apapun nafsu tidak berpisah dengan perlakuan kita seharian. Di mana pun kita, nafsu akan bersama kita - mendorong dan didorong. Kita dekatkan diri kepada sumber pencipta dan insyAllah selamatlah kita. Semakin jauh kita daripadaNYA, maka semakin kuatlah sang nafsu untuk bermaharajalela. Maka, berjaga-jagalah kita.


Apakah kita akan kecewa lagi?

Hari Jumaat tiba lagi. Masa bergerak begitu pantas dan umur kita pun semakin berkurang. Berkurangnya peluang dan ruang untuk kita beramal untuk negeri abadi. Daerah zahir yang kita diami sekarang terkadang sering melalaikan kita daripada tugas hakiki. Kita terleka dan terlalu asyik dengan kenikmatan dan habuan dunia yang sifatnya amat sementara lagi transien. Kita kecapi dan ia berlalu dengan begitu pantas. Seolah tiada apa yang kita peroleh. Inilah hakikat dunia. Seperti air laut. Semakin diminum, semakin haus dan memeritkan. Namun, kita terus juga mengejarnya.

Begitu ramai yang membaca Surah Al-Kahfi sejak semalam lagi. Fadhilat dan ganjaran besar yang dijanjikan mendorong ramai untuk membacanya saban minggu. Ya, benar. Surah Al-Kahfi punya ganjaran yang hebat. Tapi, apakah kita memahami intipati Surah ini? Memahami dengan erti-kata untuk melaksanakannya di dalam hidup. Surah yang berkisar tentang dugaan dan cubaan fitnah yang pelbagai yang melanda umat Islam hari ini. Fitnah harta, fitnah ilmu, fitnah kedudukan dan contoh-contoh yang realisitik lagi mendekat kepada jiwa kita. Di akhir zaman ini, fitnah seperti hujan. Jika kita tidak basah pun, tempias hujan fitnah ini pasti terkena kepada kita. Maka payung apakah yang kita ada untuk melindung diri daripada hujan fitnah ini? Tidak lain tidak bukan, payung iman dan taqwa kepada ALlah SWT. Marilah kita benar-benar mentelaah dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Kahfi ini, dan tidak hanya berpada atau berpuas-hati dengan dapat membacanya saban minggu. Kita bukan burung kakak-tua. Kita manusia yang dikurniakan aqal, hati dan pancaindera. Berinteraksi lah dengan Surah Al-Kahfi ini, jangan persiakannya.

Di dalam hidup ini terlalu banyak kekecewaan yang dilontarkan kepada kita. Kita kecewa kerana merasakan kita lebih berhak kepada yang lebih baik. Kita merasa apa yang kita telah laksanakan berhak diganjari dengan lebih saksama. Kita kecewa kerana orang lain tidak bertindak seperti yang kita mahukan. Kita kecewa kerana harapan kita dimusnahkan oleh orang lain tanpa pertimbangan yang wajar. Kita kecewa kerana terasa sumbangan dan kudrat kita tidak diberi nilail. Ya, memang pada hakikatnya kita kecewa kerana kita berbuat untuk manusia. Bukan untuk yang Esa. Maka, padanlah dengan apa yang kita rasa. Berbuat untuk manusia, tapi mengharap ganjaran daripada yang Esa. Berbuat untuk yang Esa, insyAllah manusia pun akan berbuat ehsan kepada kita. InsyALlah. Ini benar!

Hari jumaat ini akan pergi lagi. Panjang umur kita akan berjumpa hari jumaat sekali lagi. Apakah kita akan berubah? apakah kita semakin mendekat kepadaNYA? Apakah kita akan kecewa lagi?




Thursday 12 December 2013

Kisah Haji 1

Tahun ini aku diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah Haji di BaituLlah. Alhamdulillah pengalaman tinggal selama kurang lebih 51 hari di tanah suci merupakan pengalaman yang tidak ternilai. Kesibukan di sana setiap ketika adalah di sekitat Masjid dan ibadah di dalamnya. Ketika di Madinah, Masjid Nabi menjadi tempat ulang kunjung daripada pagi sehingga malam. Saat-saat terluang antaranya adalah untuk merehatkan badan dan mencari barang-barang jualan untuk dijadikan kenangan. Namun, pergerakan sentiasa disibukkan untuk mengejar awalnya hadir di masjid. Qiyamulail di masjid menjadi satu keghairahan yang tidak tertahan. Masa-masa dibelanjakan untuk memikir bagaimana untuk dapat masuk ke Raudhah dan beribadah di dalamnya. Pagi, petang, di tengah malam, Raudhah sentiasa penuh dengan pengunjungnya. Maqam Rasul SAW dan dua rakan karibnya, terbentang kaku di tepi daerah ini. Ya, Rasul SAW amat gembira apabila umatnya menjadi masjid sebagai pautan hatinya. Oh, rindunya aku kepada Masjid Rasulku.

Di Mekah yang penuh kemuliaan, masa-masa banyak dibelanja di Masjid Al-Haram. Begitu banyak pengalaman dan didikan yang kuperoleh. Sayang aku tidak mampu memahami secara langsung bahasa Al-Quran. Jika tidak, nescaya banyak lagi ilmu dan mutiara wahyu yang dapat dikutip di taman-taman syura yang tidak putus-putus lagaknya. Ya, beruntunglah mereka yang menguasai bahasa Al-Quran. Alangkah indahnya memahami peringatan-peringatan Allah SWT dan Rasul SAW secara langsung, tanpa perlu diterjemah. Dengan menikmati lazatnya lenggok bahasa dan dalamnya kata-kata, lantas ingatan-ingatan itu menusuk ke jiwa dan membentuk penzahiran yang diredhoiNYA. Memang ternyata beruntunglah mereka yang beramal penuh dengan asas ilmu dan kejelasan perintah. Bumi Mekah Al-Mukarramah telah mendidik jiwa dan sanubari-ku tidak terkira hebatnya. 

Oh, rindunya aku kepada tanah haram yang dua ini...

Allahu Rabbi.