Monday 27 September 2010

I RESIST therefore I EXIST!

Perjuangan rakyat Palestin merupakan perjuangan umat Islam sejagat. Kini perjuangan ini telah menjadi satu perjuangan umat manusia sejagat. Sekiranya keadilan itu tidak mengenal batas agama, bangsa, keturunan, kedudukan dan sebagainya, maka begitulah juga dengan kezaliman. Kezaliman dalam apa bentuk pun akan dapat dilihat dan dikenal oleh manusia yang punya hati dan perasaan manusiawi. Hanya manusia berhati binatang sahaja yang akan menafikan rasa gerak fitrah ini.

Penindasan dan kezaliman ke atas rakyat Palestin telah berlangsung sekian lama. Hanya manusia yang dungu dan bebal sahaja yang akan mengatakan keadaan mereka adalah sebaliknya. Ia kenyataan dan kebenaran yang tidak dapat disangsikan. Kezaliman ke atas umat Palestin telah berjalan puluhan tahun lamanya. Bergenerasi mereka hidup dan mati di dalam keadaan penindasan ini. Sekiranya ada negara yang mengamalkan dasar apartheid yang terulung, maka tiada yang lain, hanya Israel. Negara yang duduk dikeliling negara Islam Arab ini telah sekian lama bersikap sombong dan angkuh. Nama, sejarah mengajar kita, keangkuhan dan kesombongan, pengakhirannya adalah penyesalan yang tidak sudah. Israel akan dihancur. Allahu akbar!

Sebenarnya di sebalik nasib yang menimpa umat Islam di Palestin, inilah peluang untuk beramal yang dibuka oleh Allah SWT. Medan amal yang telah sekian lama tersedia untuk umat Islam memanfaatkannya. Medan amal yang menuntut pengorbanan dan penglibatan berterusan. Jika anda jemu dengan permasalahan Palestin, maka sedarlah bahawa umat Islam di Palestin pun tidak meminta mereka ditindas sedemkian. Dan sedarlah, bahawa jika kita tidak membantu, yang rugi bukan mereka tetapi kita. Di akhirat nanti, pasti kita akan ditanya apa yang telah kita perbuat dengan apa yang Allah SWT kurniakan untuk Palestin. Apa? Apa? dan Apa???

Di ketika dan saat ini ada satu gerombolan manusia, Islam dan belum Islam, sedang mengembara dengan bekalan-bekalan untuk Umat Palestin di Gaza. Bumi Gaza yang sebenarnya penjara buatan manusia ini, dikepung dan disekat daripada segenap sudut, sehingga laluan untuk membawa masuk bahan2 untuk meneruskan kehidupan adalah melalui terowong-terowong bawah tanah yang penuh dengan bahaya dan ancaman. Bukan sekali dua terowong-terowong ini dibom dan cuba dimusnahkan. Apa lagi pilihan yang ada? Jika tidak, bagaimana lagi mahu meneruskan kehidupan.


Rombongan VIVA Palestina 5 telah bertolak daripada London beberapa minggu yang lepas. Konvoi dengan jumlah kenderaan mencecah puluhan buah ini mengembara ke pelbagai negara Eropah untuk membawa bekalan berupa makanan, ubat-ubatan, pakaian dan keperluan seharian. Mereka berkonvoi untuk menunjukan solidariti atau kebersamaan manusia yang berbilang bangsa dan agama sama-sama memperjuangkan nasib umat Palestin. Bukan pendek laluan yang perlu ditempoh. Lihatlah pengorbanan mereka di sini >http://aqsasyarif.com/. Segala macam ujian dan cabaran telah dan akan dilalui. Dan yang paling getir nanti adalah di titik akhir di pintu masuk ke Gaza, melalui bumi Misr yang belum tentu akan menyambut mereka dengan tangan terbuka. Tidakkah rasa malu, walau sekelumit, melihat pengorbanan mereka. Apa sumbangan kita? Cukupkkah sekadar meluahkan rasa marah dan benci kepada Israel? Apa yang telah kita buat hari ini, sekarang ini – untuk saudara-saudara kita di Palestin? Apa amal kita?

Masa ini masa untuk amal, bukan lagi untuk kita bercakap dan berbicara semata!

Ahad, 26 Sept. 2010

Monday 20 September 2010

Sarrazin vs. The Saracens


Di dalam majalah "The Economist" bertarikh 1 Sept. 2010, telah diterbitkan satu artikel bertajuk "Sarrazin vs. The Saracens". Ia berkisar kepada satu buku yang telah ditulis oleh Thilo Sarrazin, seorang ahli ekonomi yang merupakan ahli kepada lembaga Bundesbank (spt. Bank Negara Malaysia) di Jerman. Buku beliau telah menjadi bestseller bukan kerana kandungannya yang hebat, tetapi hipotesis di dalam buku beliau yang begitu kontroversi terhadap masa hadapan negara Jerman.

Secara mudahnya beliau menyatakan bahawa wanita terpelajar Jerman mempunyai anak yang terlalu sedikit, sedangkan golongan yang tidak terpelajar (ditujukan kepada muslim) mempunyai anak yang ramai. Beliau menyatakan ini akan membawa kepincangan kepada masyarakat Jerman, kerana tahap intelektual atau kepandaian masyarakat akan menjadi cair atau diluted. ItalicAndaian ini menjadi kontroversi kerana sasaran beliau adalah punca masalah ini, adalah kerana ramainya anak yang lahir di kalangan masyarakat Islam (atau Saracens - jika digunakan terminologi zaman salib dahulu). Trend ini membawa kepada kecairan kepada kekuatan masyarakat Jerman.


Perkara ini mendapat bangkangan dan cercaan daripada banyak pihak kerana andaian tangkap muat yang tidak adil kepada masyarakat Islam. Seolahnya mendapat ramai anak adalah satu kesalahan. Ditambah pula andaian beliau bahawa kaum wanita Islam rata-rata tidak berpelajaran dan hanya tertumpu untuk melahirkan anak. Berbanding wanita Jerman yang bukan Islam. Ini satu andaian yang tidak adil, tetapi kontroversi ini berjaya melariskan buku beliau.

Persoalan yang menjadi pengajaran untuk kita, adakah wanita-wanita muslim ini tugasnya hanya melahirkan seramai anak yang mungkin? Sudah pasti tidak.

Ya, Nabi berbangga dengan ramai bilangan umatnya. Tetapi biarlah ramai tetapi membawa manfaat dan bukannya membawa beban kepada semua.

Kita pun perlu membina persepsi yang tepat dan betul terhadap umat Islam. Umat Islam sepatutnya menjadi umat contoh. Agaknya selama ini persepsi umat contoh ini tidak pernah ada. Malah yang sebaliknya yang ketara. Maka, jika kita nak salahkah musuh-musuh Islam, maka marilah kita melihat bagaimana sebenarnya rupa dan susuk umat Islam yang ada pada hari ini.

Allahua'lam

20 Sept. 2010
1.53am
Mplr - Fr

Viva PALESTINA!!!


Isu pendudukan haram Israel keatas bumi palestin yang masih berpanjangan adalah bukti bahawa umat Islam masih belum melakukan yang secukupnya untuk saudara mereka di Palestin. Selama itu jugalah umat Islam di Palestin ditindas dan dipaksa hidup di dalam keadaan yang amat dhaif. Tidak cukup dengan itu, perjalanan kehidupan seharian juga sering diancam dengan tindakan ganas tentera haram yahudi, juga penduduk haram yahudi yang menempati kampung-kampung umat Islam.

Jika hendak dikatakan umat Islam tidak tahu akan nasib umat Islam Palestin, ia adalah alasan yang mustahil. Telah lebih 40 tahun mereka menderita, dan terus tabah di dalam berjuang, mustahil hakikat ini tidak difahami oleh umat Islam di tempat lain. Amanah mempertahankan masjid Al-Aqsa dan bumi suci anbiya ini dipikul mereka dengan penuh keazaman dan ketabahan. Biar telah bergenerasi ditindas, namun perjuangan rakyat Palestin tidak pernah luntur.

Perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin adalah peluang untuk beramal yang dihadiahkan oleh Allah SWT untuk kita. Marilah kita membantu sedapat dan semampu mungkin ke arah pembebasan bumi suci Palestin ini.


Baru-baru ini telah dilancarkan konvoi darat, VIVA Palestina, yang telah bertolak daripada United Kingdom, dengan sejumlah hampir 40 kenderaan, membawa pelbagai barang-barang keperluan untuk ke Gaza, Palestin. Ini bukan kali pertama usaha dibuat untuk memecahkan tembok kepungan ke Gaza. Dalam beberapa bulan lepas, kapal Flotilla, Mavi Marmara, untuk ke Gaza telah diserang oleh komando Israel di perairan antarabangsa, di dalam usaha yang sama. Seluruh dunia telah sedar akan kejamnya kepungan terhadap Gaza. Kini konvoi darat telah bermula. Marilah kita berdoa semoga mereka semua selamat sampai ke Gaza. Konvoi ini simbolik kepada mandul-nya dunia kerana membiarkan Gaza dikepung, dan sejumlah besar penduduknya tersiksa secara beramai-ramai. Jika dunia hanya membiarkan sahaja, biarlah konvoi ini yang akan menghantar apa yang diperlukan oleh Gaza dan penduduknya.


Peluang masih terbuka untuk membantu rakyat Palestin. Mereka kini berterusan di bawah cengkaman dan kepungan rejim Israel. Marilah kita menyumbang sedaya mampu kita. Jika bukan kita, siapa lagi? Dan jika bukan sekarang, bila lagi?

Viva, Viva Palestina! Hidup, Hidup Palestin!

20 Sept. 2010
1.29am
Mplr - Fr.

Sunday 19 September 2010

Bunuh diri??



Sejak beberapa ketika ini, semakin banyak kes-kes bunuh diri di kalangan umat Islam berlaku. Dalam sehari dua ini, telah ada dua kes di Malaysia yang disebut oleh akhbar-akhbar utama negara. Kita pun masih ingat lagi kes dua orang yang mati tertembak atau ditembak baru-baru ini. Polis menyatakan ia kes bunuh dan bunuh diri. Seolahnya bunuh diri ini jalan pintas untuk menghilangkan kesengsaraan. Seolah agama tidak ada halangan untuk tindakan seumpama ini. Teringat terus kita kepada aksi "hara-kiri" di jepun, yang merupakan aksi terhormat dan disanjung oleh masyarakat. Masyarakat Islam tidak pernah mengenal tindakan bunuh diri sebagai mulia, apalagi dibenarkan.

Apakah hak kita untuk mengambil nyawa yang Allah SWT berikan kepada kita? Kita tiada hak walau sekelumit pun. Semua yang kita punyai adalah pinjaman semata dan akan dikembalikan kepada empunyanya. Apakah ideologi daripada sumber luar Islam telah meresap masuk ke dalam jiwa umat ini sehingga merasakan aksi bunuh diri ini perkara yang kecil atau dimaafkan oleh Allah SWT? Kita merasa amat pelik dan risau dengan trend yang semakin menjadi-jadi ini. Apakah selepas ini bunuh diri menjadi suatu yang biasa dan tidak lagi menjadi kepelikan kepada masyarakat Islam. Nau'zubiLlahu min zalik.

Satu perkara yang menjadi pemerhatian ahli psikologi adalah suatu amalan yang dikeji itu mula menular apabila ada yang memulakannya. Ini bermakna dahulu, membunuh diri ini bukan satu jalan keluar atau opsyen yang dipertimbangkan, kerana ia perlakuan atau tindakan yang tidak pernah terfikir boleh dan patut dilakukan. Tetapi, apabila semakin ramai di kalangan umat Islam yang telah melakukannnya, maka ia mula menjadi salah satu pilihan atau opsyen bagi mereka yang bermasalah ini. Inilah kerisauan kita. Bunuh diri menjadi opsyen yang dipertimbangkan. Ya Allah, selamatkanlah kami daripada musibah ini.


Satu penjelasan atas perlakuan ini adalah kerana lemahnya keimanan kepada wujudnya hari akhirat dan pembalasan/penghukuman di sana. Seolahnya mereka yang membunuh diri ini merasakan inilah titik akhir kehidupan, dan mereka akan lepas bebas daripada segala derita. Malang, derita akan bertambah, bukan semakin berkurang. Di mata manusia, mereka ini insan hina, di sisi Tuhan, azab yang besar menati kerana mengundang kemurkaan. Ya Allah, selamatkanlah kami.

Kesalahan membunuh diri merupakah satu kesalahan yang terlalu besar. Orang yang membunuh dirinya akan diazab di akhirat kelak sebagaimana dia membunuh dirinya di dunia sepertimana dijelaskan oleh Nabi S.A.W.

Abu Hurairah R.A. meriwayakan dari Nabi S.A.W. Maksudnya:

“Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)


Daripada Thabit bin Dhohak R.A. (ثابت بن الضحاك), sabda Nabi S.A.W.: Maksudnya:

“Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Jundub bin Abdillah R.A. (جندب بن عبد الله), katanya Nabi S.A.W. bersabda: Maksudnya:

“Dahulu dikalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah S.W.T.: “Tergesa-gesa hambaku kepadaKu (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Memang mengerikan. Jadikanlah ini peringatan, dan marilah kita semua berdoa agar umat ini diselamatkan daripada musibah ini. Amin

Ahad - 19 Sept.2010
1.10pm - Mplr -Fr

Hutang oh Hutang...


Di dalam kehidupan ini kita punyai banyak kehendak dan keperluan. Dalam banyak keadaan, kita merasakan apa yang ada tidak mencukupi, ataupun setidaknya kita merasakan kita sepatutnya boleh menikmati apa yang dinikmati oleh orang lain. Walaupun latarbelakang dan keadaan sosio-ekonomi kita kebiasaannya terlalu berbeza dengan orang yang kita cemburui itu. Bila ini berlaku maka amatlah mudah untuk kita mula berhutang.

Berhutang ini bukan suatu yang diharamkan, malah satu kebiasaaan di dalam kehidupan yang normal di dalam mana-mana kehidupan manusiawi. Atas sebab ini di dalam Islam tidak diharamkan berhutang, tetapi dinyatakan kaedah atau adab atau disiplin di dalam berhutang. Untuk yang berhutang dan yang memberi hutang. Ia dibenarkan, tetapi mesti dipatuhi peraturannya, supaya unsur penindasan dan kezaliman tidak berlaku, terhadap kedua-dua belah pihak.

Berhutang bererti kita membuat perbelanjaan terhadap pendapatan masa hadapan. Kita menggunakan pendapatan masa hadapan untuk membeli keperluan hari ini. Sebaik kita berbelanja menggunakan duit masa hadapan ini, maka hutang ini telah menjadi realiti, bukan lagi angan-angan. Sedangkan pendapatan masa hadapan tadi masih lagi di alam impian dan alam pengharapan. Ia belum pasti. Atas sebab ini di dalam Islam, bila berhutang, mesti ada akadnya. Ia mesti ada unsur penyaksian dan tempoh. Dan, mesti ditulis urusan ni. Ini bukan saranan, tapi perintah Allah SWT. Silalah rujuk ayat 182 - ayat terpanjang di dalam Al-Quran - berkenaan hutang dan urusan berkaitan dengannya.

Sebaiknya di dalam urusan harian, kita mengelakkan berhutang. Ini kerana amal boleh tertahan dek kerana hutang yang tidak dilangsaikan. Dalam hukum Islam, bab hutang ini bukan boleh dipermain-amainkan. Hutang boleh mengganggu ganjaran amal jihad. Jadi, hutang ini mesti kita sentiasa perhatikan. Jangan dibiasakan berhutang. Ini lebih selamat.


Keperluan manusia, ada berbentuk darurhiyat atau asasi (di satu sisi), dan ada pula berbentuk lebihan atau perhiasan di sisi yang lain. Apabila berkaitan dengan perkara asasi/daruri, maka jika terpaksa berhutang, maka mungkin ada hujahnya, tetapi, jika berhutang untuk menunjuk-nunjuk atau untuk merasa satu nikmat yang selayaknya bukan untuk kita, maka eloklah dielakkan. Hawa nafsu memang tidak akan puas. Lagi kuat usaha untuk memuaskan, maka lagi besar lah kehendaknya. Baiklah hidup dengan sederhana. Live within our means. Atau lebih baik, live below our means. Biar hidup sederhana, tapi hati selesa. Daripada hidup nampak kaya, tapi hati serabut tak tentu hala.

Perhatikanlah pesanan-pesanan Rasulullah SAW berikut:

Abdullah Ibnu Umar Radliyallaahu 'anhu berkata: Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam membaca doa: "(Artinya = Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari bahaya hutang, bahaya musuh, dan kemenangan para musuh)". Riwayat Nasa'i. Hadits shahih menurut Hakim.

Rasulullah bersabda, “Akan diampuni semua dosa orang yang mati syahid, kecuali hutangnya (yang belum dibayar).” (HR Muslim).

Semoga Allah SWT memudahkan kita dalam urusan hutang ini. Amin

Sunday 12 September 2010

Jika Al-Quran dibakar?

>>>>>>

Peristiwa 9/11/2001 atau pengeboman menggunakan dua kapalterbang terhadap bangunan World Trade Center di New York telah disambut ulangtahun kejadiannya semalam di Amerika Syarikat. Acara mengingati peristiwa hitam ini dipenuhi dengan kontroversi isu pembinaan masjid berdekatan dengan ground zero atau tapak World Trade Center dan juga paderi Jones yang ingin mengadakan majlis membakar Al-Quran. Nak dijadikan cerita, sambutan Eidul Fitri pula jatuh sehari sebelum acara peringatan ini. Jadi bercampur-baur isu-nya. Hampir 3000 mangsa telah terkorban di dalam kejadian ini, termasuk 60 mangsa yang beragama Islam.

Isu 9-11 ini telah menjadi hujah yang amat kuat untuk pihak kerajaan Amerika untuk menggerakkan mesej war on terror mereka. Dengan isu 9-11 ini mereka telah mempunyai seolahnya open-cheque untuk menyerang atau berperang dengan mana-mana negara yang mereka rasakan menepati sifat negara terorist bagi mereka. Makanya, Syria, Iran, Korea Selatan, Cuba adalah antara negara yang menjadi ahlinya axis of evil ini. Perkara ini membolehkan Amerika Syarikat membuat unilateral decision untuk membuat tindakan militer, walaupun ia tidak dipersetujui oleh semua negara di dunia. Kekuatan ketenteraan dan kekayaan negara menyebabkan mereka merasa tidak perlu kepada negara lain untuk mengambil tindakan seumpama ini. Keadaan dunia yang terlalu unipolar sifatnya menyebabkan keadaaan sedemikian berlaku.

Pada tanggal 11 September 2010, maka telah berlangsunglah upacara peringatan kepada mangsa-mangsa peristiwa 9-11 ini. Sebagai manusia dan umat Islam, kita pun sama merasai kesedihan dan perasaan ahli keluarga mangsa. Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku, walau bagaimanapun kita hendak menghalalkannya. Ya, sedih kita sama2 boleh kongsi. Tetapi bagaimana dengan ribuan lagi mangsa serangan Amerika dan sekutunya terhadap negara-negara umat Islam. Bagaimana pula dengan kehancuran yang bukan sekadar kehilangan beberapa orang ahli keluarga, malah satu negara hancur. Contoh terbaik adalah keadaan negara Iraq ketika ini. Ya, di penghujung tahun 2010 ini, tentera Amerika akan mengundurkan diri selama rasmi daripada Iraq, dan Iraq diserahkan kembali kepada rakyatnya. Tetapi apa yang ditinggalkan oleh Amerika, jika tidak akan kesan-kesan dan saki-baki kemusnahan. Perkara ini teramatlah perlu diingati dan sepatutnya menjadi pengajaran/peringatan untuk dunia.

Peristiwa 9-11 juga memperingatkan umat Islam supaya lebih banyak berdialog dengan masyarakat bukan/belum Islam. Interaksi yang positif akan dapat membuang banyak prasangka yang kurang tepat dan membetulkan persepsi yang ada. Persepsi yang selalunya menyangka Islam adalah agama keganasan dan kezaliman. Sehinggakan Al-Quran pun hendak dibakar. Biarlah jika mereka mahu membakar Al-Quran kerana Al-Quran ini ada penjaganya. Kalau kita nak menghalang boleh, tapi akhirnya jika mereka mahu membakarnya, terbakar juga Al-Quran itu. Ya, kita sedih kerana Al-Quran yang kita cintai tidak dihormati, malah mahu dibakar. Tetapi sedarkah kita, Al-Quran bukan meminta untuk dihormati, ia menuntut untuk diamalkan. Al-Quran menuntut untuk dijadikan sumber rujukan dan sumber kehidupan. Jika Al-Quran dihormati dan sekadar menjadi hiasan semata, maka samalah seperti kita membakar. Ini kerana di akhirat nanti, takut2 kerana abaikan Al-Quran, kita yang akan dibakar Allah SWT, di dalam nerakanya. Pelik manusia ini, yang akan menyelamatkan mereka dibakar, tetapi yang akan menghancurkan pula yang disanjung.

Umat Islam menjadi hina kerana kita mengabaikan Al-Quran dan tuntutannya. Kita dihina manusia kerana sibuk mencari kemuliaan dunia. Kita tinggalkan agama sebagai mahar, galang-ganti untuk mendapatkan dunia. Akhirnya, kehinaan juga mendamping kita semua. Jika mahu keluar daripada kemelut ini, maka marilah kita hayati, faham dan amalkan Al-Quran. Ketika itu, jika dibakar pun Al-Quran, maka Al-Quran pada hakikatnya sedang berjalan bertebaran di muka dunia. Amin. InsyAllah.

12 September 2010, Ahad.
Paderi Jones tak jadi bakar Al-Quran
3.47pm Montpellier, France.