Friday 3 September 2010

Marilah bermusafir!



Sememangnya apabila kita berada di luar lingkungan kebiasaan kita barulah kita dapat mengukur sejauh mana kemampuan kita yang sebenar. Persekitaran yang rutin acapkali menjadikan kita kurang peka kepada kekurangan dan kelemahan yang ada. Di dalam persekitaran yang rutin ini, kita faham dan tahu bagaimana untuk menjalani hidup seharian dengan halangan yang paling minimum. Kita menjadi bijak dengan mahir untuk menggunakan persekitaran kita. Tetapi dengan biasanya kita itu, kita menjadi semakin alpa kepada apa yang kurang di dalam diri, dan apa yang amat perlu kita perbaiki. Dan, kalaupun kita memang tahu apa yang lemah dan kurang, tiada gesaan atau dorongan untuk berubah, kerana hidup tetap terus berjalan.

Di sinilah hikmahnya apabila sesekali kita tercampak, atau mencampakkan diri di dalam lingkungan yang asing. Lingkungan yang penuh dengan ketidak-pastian. Di situ, barulah kita tahu atau rasai kelemahan yang ada. Di situ, barulah rasa manisnya alam yang telah kita tinggalkan. Alangkah elok atau indah jika kita dapat kembali sahaja kepada rutin harian kita. Alangkah mudah dan selesa. Tidak perlu kepada kerisauan yang tidak menentu, dan tidak perlu juga untuk bertindak yang luar daripada biasa.

Peluang untuk bermusafir ke tempat yang asing memberi banyak pengajaran dan peringatan kepada kita semua. Di medan yang asing ini, kita tidak ada apa-apa keistimewaan. Kita orang luar, yang tidak tahu budaya dan tidak tahu hendak berinteraksi. Gerak dan peri-laku kita asing di mata mereka. Orang luar yang tidak diundang dan tidak diperlukan di dalam kancah mereka. Di sini kita makhluk yang tidak ada peranan mahupun kedudukan. Pandai-pandailah membawa diri. Ada atau tiada, sama sahaja. Dulu pun, kita tidak pernah ada di dalam hidup mereka.

Jika dahulu hidup kita terasa terisi kerana ramainya sahabat taulan dan rakan sepergaulan. Tugas harian yang tidak pernah selesai menyebabkan kita lupa untuk mengintrospeksi diri. Betul kah kita hidup ini terisi? Ataukah ia rasa terisi kerana kesibukan kita dengan manusia lain? Bukannya dengan diri kita sendiri. Apa yang akan terjadi apabila sahabat handai dan rakan taulan tadi menghilang? Dengan siapa akan kita sibukkan diri kita ini, jika tidak dengan diri kita sendiri?

Apabila kita keseorangan, di tempat asing, barulah kita sedar bahawa selama ini jiwa dan hati ini selalu terabai. Sepatutnya di tempat asing ini, kita tidak pernah sunyi, kerana ada Tuhan yang menjadi tumpuan kita untuk mengadu. Jiwa kita penuh dengan kecintaan dan ketundukan kepadaNYA. Kita nampak keseorangan lagi kesunyian, tetapi jiwa kita penuh dengan kegembiraan dan kekhusyukan keimanan. Di tempat yang asing ini, barulah kita berpeluang untuk berbicara lebih akrab dengan diri. Di sinilah, ada ruang untuk mengenal diri. Siapa aku sebenarnya?

Alhamdulillah, Allah SWT memberi aku peluang ini. Hari-hari berlalu dengan aku lebih banyak diam daripada berkata-kata. Aku lebih banyak berfikir daripada meluncurkan suara. Sunyi membawa diam. Diam membawa fikir. Fikir membawa insaf. Harap-harapnya insaf membawa amal. Amal pula membawa ke syurga. Marilah bermusafir!

Allahua’lam

1.30am – 3 September

Kyriad Hotel – Antigone, Montpellier

No comments:

Post a Comment