Sunday 19 September 2010

Hutang oh Hutang...


Di dalam kehidupan ini kita punyai banyak kehendak dan keperluan. Dalam banyak keadaan, kita merasakan apa yang ada tidak mencukupi, ataupun setidaknya kita merasakan kita sepatutnya boleh menikmati apa yang dinikmati oleh orang lain. Walaupun latarbelakang dan keadaan sosio-ekonomi kita kebiasaannya terlalu berbeza dengan orang yang kita cemburui itu. Bila ini berlaku maka amatlah mudah untuk kita mula berhutang.

Berhutang ini bukan suatu yang diharamkan, malah satu kebiasaaan di dalam kehidupan yang normal di dalam mana-mana kehidupan manusiawi. Atas sebab ini di dalam Islam tidak diharamkan berhutang, tetapi dinyatakan kaedah atau adab atau disiplin di dalam berhutang. Untuk yang berhutang dan yang memberi hutang. Ia dibenarkan, tetapi mesti dipatuhi peraturannya, supaya unsur penindasan dan kezaliman tidak berlaku, terhadap kedua-dua belah pihak.

Berhutang bererti kita membuat perbelanjaan terhadap pendapatan masa hadapan. Kita menggunakan pendapatan masa hadapan untuk membeli keperluan hari ini. Sebaik kita berbelanja menggunakan duit masa hadapan ini, maka hutang ini telah menjadi realiti, bukan lagi angan-angan. Sedangkan pendapatan masa hadapan tadi masih lagi di alam impian dan alam pengharapan. Ia belum pasti. Atas sebab ini di dalam Islam, bila berhutang, mesti ada akadnya. Ia mesti ada unsur penyaksian dan tempoh. Dan, mesti ditulis urusan ni. Ini bukan saranan, tapi perintah Allah SWT. Silalah rujuk ayat 182 - ayat terpanjang di dalam Al-Quran - berkenaan hutang dan urusan berkaitan dengannya.

Sebaiknya di dalam urusan harian, kita mengelakkan berhutang. Ini kerana amal boleh tertahan dek kerana hutang yang tidak dilangsaikan. Dalam hukum Islam, bab hutang ini bukan boleh dipermain-amainkan. Hutang boleh mengganggu ganjaran amal jihad. Jadi, hutang ini mesti kita sentiasa perhatikan. Jangan dibiasakan berhutang. Ini lebih selamat.


Keperluan manusia, ada berbentuk darurhiyat atau asasi (di satu sisi), dan ada pula berbentuk lebihan atau perhiasan di sisi yang lain. Apabila berkaitan dengan perkara asasi/daruri, maka jika terpaksa berhutang, maka mungkin ada hujahnya, tetapi, jika berhutang untuk menunjuk-nunjuk atau untuk merasa satu nikmat yang selayaknya bukan untuk kita, maka eloklah dielakkan. Hawa nafsu memang tidak akan puas. Lagi kuat usaha untuk memuaskan, maka lagi besar lah kehendaknya. Baiklah hidup dengan sederhana. Live within our means. Atau lebih baik, live below our means. Biar hidup sederhana, tapi hati selesa. Daripada hidup nampak kaya, tapi hati serabut tak tentu hala.

Perhatikanlah pesanan-pesanan Rasulullah SAW berikut:

Abdullah Ibnu Umar Radliyallaahu 'anhu berkata: Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam membaca doa: "(Artinya = Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari bahaya hutang, bahaya musuh, dan kemenangan para musuh)". Riwayat Nasa'i. Hadits shahih menurut Hakim.

Rasulullah bersabda, “Akan diampuni semua dosa orang yang mati syahid, kecuali hutangnya (yang belum dibayar).” (HR Muslim).

Semoga Allah SWT memudahkan kita dalam urusan hutang ini. Amin

No comments:

Post a Comment