Monday 20 September 2010

Viva PALESTINA!!!


Isu pendudukan haram Israel keatas bumi palestin yang masih berpanjangan adalah bukti bahawa umat Islam masih belum melakukan yang secukupnya untuk saudara mereka di Palestin. Selama itu jugalah umat Islam di Palestin ditindas dan dipaksa hidup di dalam keadaan yang amat dhaif. Tidak cukup dengan itu, perjalanan kehidupan seharian juga sering diancam dengan tindakan ganas tentera haram yahudi, juga penduduk haram yahudi yang menempati kampung-kampung umat Islam.

Jika hendak dikatakan umat Islam tidak tahu akan nasib umat Islam Palestin, ia adalah alasan yang mustahil. Telah lebih 40 tahun mereka menderita, dan terus tabah di dalam berjuang, mustahil hakikat ini tidak difahami oleh umat Islam di tempat lain. Amanah mempertahankan masjid Al-Aqsa dan bumi suci anbiya ini dipikul mereka dengan penuh keazaman dan ketabahan. Biar telah bergenerasi ditindas, namun perjuangan rakyat Palestin tidak pernah luntur.

Perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin adalah peluang untuk beramal yang dihadiahkan oleh Allah SWT untuk kita. Marilah kita membantu sedapat dan semampu mungkin ke arah pembebasan bumi suci Palestin ini.


Baru-baru ini telah dilancarkan konvoi darat, VIVA Palestina, yang telah bertolak daripada United Kingdom, dengan sejumlah hampir 40 kenderaan, membawa pelbagai barang-barang keperluan untuk ke Gaza, Palestin. Ini bukan kali pertama usaha dibuat untuk memecahkan tembok kepungan ke Gaza. Dalam beberapa bulan lepas, kapal Flotilla, Mavi Marmara, untuk ke Gaza telah diserang oleh komando Israel di perairan antarabangsa, di dalam usaha yang sama. Seluruh dunia telah sedar akan kejamnya kepungan terhadap Gaza. Kini konvoi darat telah bermula. Marilah kita berdoa semoga mereka semua selamat sampai ke Gaza. Konvoi ini simbolik kepada mandul-nya dunia kerana membiarkan Gaza dikepung, dan sejumlah besar penduduknya tersiksa secara beramai-ramai. Jika dunia hanya membiarkan sahaja, biarlah konvoi ini yang akan menghantar apa yang diperlukan oleh Gaza dan penduduknya.


Peluang masih terbuka untuk membantu rakyat Palestin. Mereka kini berterusan di bawah cengkaman dan kepungan rejim Israel. Marilah kita menyumbang sedaya mampu kita. Jika bukan kita, siapa lagi? Dan jika bukan sekarang, bila lagi?

Viva, Viva Palestina! Hidup, Hidup Palestin!

20 Sept. 2010
1.29am
Mplr - Fr.

No comments:

Post a Comment