Sunday 19 September 2010

Bunuh diri??



Sejak beberapa ketika ini, semakin banyak kes-kes bunuh diri di kalangan umat Islam berlaku. Dalam sehari dua ini, telah ada dua kes di Malaysia yang disebut oleh akhbar-akhbar utama negara. Kita pun masih ingat lagi kes dua orang yang mati tertembak atau ditembak baru-baru ini. Polis menyatakan ia kes bunuh dan bunuh diri. Seolahnya bunuh diri ini jalan pintas untuk menghilangkan kesengsaraan. Seolah agama tidak ada halangan untuk tindakan seumpama ini. Teringat terus kita kepada aksi "hara-kiri" di jepun, yang merupakan aksi terhormat dan disanjung oleh masyarakat. Masyarakat Islam tidak pernah mengenal tindakan bunuh diri sebagai mulia, apalagi dibenarkan.

Apakah hak kita untuk mengambil nyawa yang Allah SWT berikan kepada kita? Kita tiada hak walau sekelumit pun. Semua yang kita punyai adalah pinjaman semata dan akan dikembalikan kepada empunyanya. Apakah ideologi daripada sumber luar Islam telah meresap masuk ke dalam jiwa umat ini sehingga merasakan aksi bunuh diri ini perkara yang kecil atau dimaafkan oleh Allah SWT? Kita merasa amat pelik dan risau dengan trend yang semakin menjadi-jadi ini. Apakah selepas ini bunuh diri menjadi suatu yang biasa dan tidak lagi menjadi kepelikan kepada masyarakat Islam. Nau'zubiLlahu min zalik.

Satu perkara yang menjadi pemerhatian ahli psikologi adalah suatu amalan yang dikeji itu mula menular apabila ada yang memulakannya. Ini bermakna dahulu, membunuh diri ini bukan satu jalan keluar atau opsyen yang dipertimbangkan, kerana ia perlakuan atau tindakan yang tidak pernah terfikir boleh dan patut dilakukan. Tetapi, apabila semakin ramai di kalangan umat Islam yang telah melakukannnya, maka ia mula menjadi salah satu pilihan atau opsyen bagi mereka yang bermasalah ini. Inilah kerisauan kita. Bunuh diri menjadi opsyen yang dipertimbangkan. Ya Allah, selamatkanlah kami daripada musibah ini.


Satu penjelasan atas perlakuan ini adalah kerana lemahnya keimanan kepada wujudnya hari akhirat dan pembalasan/penghukuman di sana. Seolahnya mereka yang membunuh diri ini merasakan inilah titik akhir kehidupan, dan mereka akan lepas bebas daripada segala derita. Malang, derita akan bertambah, bukan semakin berkurang. Di mata manusia, mereka ini insan hina, di sisi Tuhan, azab yang besar menati kerana mengundang kemurkaan. Ya Allah, selamatkanlah kami.

Kesalahan membunuh diri merupakah satu kesalahan yang terlalu besar. Orang yang membunuh dirinya akan diazab di akhirat kelak sebagaimana dia membunuh dirinya di dunia sepertimana dijelaskan oleh Nabi S.A.W.

Abu Hurairah R.A. meriwayakan dari Nabi S.A.W. Maksudnya:

“Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)


Daripada Thabit bin Dhohak R.A. (ثابت بن الضحاك), sabda Nabi S.A.W.: Maksudnya:

“Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Jundub bin Abdillah R.A. (جندب بن عبد الله), katanya Nabi S.A.W. bersabda: Maksudnya:

“Dahulu dikalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah S.W.T.: “Tergesa-gesa hambaku kepadaKu (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Memang mengerikan. Jadikanlah ini peringatan, dan marilah kita semua berdoa agar umat ini diselamatkan daripada musibah ini. Amin

Ahad - 19 Sept.2010
1.10pm - Mplr -Fr

No comments:

Post a Comment