Friday 17 May 2013

Mulianya guru...

Seorang guru akan sentiasa berada di dalam rahmat dan redho Allah SWT selagi mana ia ikhlas dan berusaha semampunya untuk menjadikan manusia itu terpelajar dan tahu nilai kemanusiaan. Seorang guru memang akan mengharungi pelbagai ujian dan cubaan di dalam pekerjaan yang mulia ini. Mendidik manusia supaya ia bermanfaat, dan terlebih penting guru mendidik agar pelajaranya kelak menjadi seorang manusia yang penuh sifat kemanusiaannya. Ini bukan kerja mudah. Apatah lagi untuk memaksakan satu cara fikir dan cara hidup berilmu ini bukannya senang. Telah menjadi kecenderungan seorang manusia itu untuk bermalas-malasan di dalam bab menuntut ilmu. Ia lebih rasa bermanfaat untuk digunakan waktu yang ada pada perkara yang menyeronokkan syahwat dan menyenangkan nafsu. Ia tidak mahu bersusah payah memerah otak untuk memahamkan isi pelajaran. Ya, di sinilah peranan guru untuk mendidik anak muridnya dengan penuh hikmah. Menjadi manusia dengan kemanusiaannya hanya boleh berjaya dengan guru, modul dan suasana yang menyubur. 

Seorang guru adalah lilin yang membakar diri untuk menerangi sekelilingnya. Apabila seorang manusia itu berjaya, pasti telah ada insan bergelar guru yang akan mendapat pahala melimpah-ruah. Kejayaan di dalam hidup pasti dulunya digerakkan oleh insan guru. Pasti pula telah disuburkan melalui didikan dan hemah guru yang tidak pernah jemu membimbing. Ya, semua kita pernah berguru untuk sampai di tahap kita hari ini. Seorang Profesor yang hebat di hari ini telah atau sedang terhutang budi dengan guru tadika di kampungnya serta guru-guru di sekolah rendah dan menengah. Semua pasti telah bermula dengan susuk guru. Ya, aku berterima kasih kepada semua guru yang pernah mendidikku. Aku kini sedar betapa sayangnya guru kepada kami semua. 

Hari ini aku juga seorang guru - mendidik anak-anak murid ku. Semoga sejahteralah para pelajar ku kerana inilah bekalan hari esokku.

Terima kasih.

16.34, USM Pulau Pinang

Anda yakin?

Semua tindakan akan menjadi sia-sia apabila tidak wujud keyakinan. Yang dimaksudkan adalah keyakinan bahawa usaha dan tindakan yang diambil pasti membawa kepada kejayaan yang diidamkan. Ini telah dibuktikan tanpa gagal di dalam sejarah tamadun manusia. Setiap perubahan mesti bermula dengan keinginan dalaman dan pastinya mesti diteruskan dengan keyakinan yang mendalam bahawa kejayaan akan menjelma. Terkadang kita menyaksikan manusia yang dibekalkan dengan seribu macam bantuan dan sokongan, tetapi mereka masih akhirnya gagal. Bukan kerana tidak cukup bantuan atau sokongan, tetapi tandus rasa yakin dan harap pada kejayaan. Pada masa yang lain, kita juga menjadi saksi manusia yang tampak papa dan kurang kekuatan hartabenda, namun terbukti akhirnya menempa kecemerlangan yang tidak terhingga, dek kerana ia sentiasa yakin dan cekal dalam mendapatkan hasilnya. 

Di dalam lembaran tinta sejarah perjuangan Rasul dan para sahabat, tahap yakin mereka amat tinggi. Teguhnya iman mereka kepada Rabb, dan patuhnya mereka kepada Rasul, menjadikan semua halangan dan dugaan kecil di mata mereka. Apabila kaki melangkah ke medan jihad, di dalam hati, perasaan dan minda mereka, kejayaan telah ditempa. Natijah jihad adalah kejayaan iaitu samada mereka menang menewaskan musuh mereka, atau mereka berjaya mengecap nikmat syahid di jalanNYA. Kedua-duanya adalah kemenangan yang telah pasti. Pada musuh yang di hadapan, para sahabat ajmain amat yakin pula, samada musuh akan ditimpa azab di tangan mereka atau ditimpakan azab oleh yang Maha Esa. Inilah keyakinan yang dibajai oleh iman dan tawakkal kepada Ilahi. Mereka yakin bahawa kejayaan telah digenggam sebaik kaki melangkah ke medan jihad. Ini bukti keyakinan yang benar. Keyakinan yang menatijahkan kemenangan. Keyakinan yang tidak melahirkan kesombongan malah semakin menyedarkan insan. 

Setiap amal mesti dimulakan dengan keyakinan dan rasa positif kepada keberhasilan. Ini akan membentuk set minda yang betul. Setiap halangan akan dihadapi dengan kesabaran dan ketenangan. Setiap kerumitan adalah rencah-ratus kehidupan yang akan memaniskan kejayaan. Ya, amal yang ikhlas dan tulus tujuannya amat penting. Justeru, si pelaku amal perlu tancapkan rasa yakin yang teguh bahawa inilah amal-amal dan kerja buat yang akan membawanya semakin dekat dengan kejayaan. Rasa risau dan gusar tidak lagi menyekat gerak, tetapi menjadi satu mekanisma suap balik kepada pembaikian tindakan. Ya, si pelaku perlu memulakan langkah perubahan dengan mengubah corak fikir dan rasa nurani supaya keyakinan dan kesungguhan tidak goyah lagi. Kita bermula dengan pengakhiran, maka insyAllah tindakan kita pun akan terarah lagi tertumpu. Ini satu hakikat hidup yang penting.

Apabila beriman anak Adam kepada Pencipta, maka ia menatijahkan rasa positif lagi optimis tentang masa hadapan. Ia tidak lagi bergantung harap kepada kudrat dirinya sahaja, tetapi kini dapat bergantung kepada kudrat Tuhan yang mencipta alam jagat ini. Ini satu hakikat hidup yang amat memotivasikan kita untuk menggapai kejayaan. Apabila kita ditolong oleh Tuhan, apa lagi yang kita risaukan?

Pernahkah anda lihat sebiji telur ditetaskan oleh selain anak ayam di dalam telur itu? Si ibu ayam sekadar membantu untuk menyegerakan proses. Jika ia mematuk dan memecahkan telur itu, pasti si anak ayam akan mati. Makanya apabila sampai masa, anak ayam itu yang akan memecahkan kulit telur untuk keluar. Ya, tamsilannya adalah bahawa apapun jenis kejayaan, ia mesti bermula daripada dalam diri kita, dan nescaya faktor luaran akan membantu. Sebarang bentuk paksaan luaran semata hanya menjanjikan kegagalan. Ya, inilah hakikat kehidupan yang perlu kita insafi. 

Setiap kerja buat mesti dimulakan dan diiringi dengan keyakinan kepada kejayaan. InsyALlah, inilah sifat mukmin sejati!

12.40 am Nibong Tebal

Tuesday 14 May 2013

Kesibukan yang terisi makna!

Kita semua memang mampu untuk menyibukkan diri kita dengan kerja buat dan tuntutan hidup yang tidak pernah akan habis. Masa yang dianugerah oleh Allah SWT sering terasa amat singkat dan kita tertanya bilakah kita akan dapat kerehatan yang hakiki daripada semua taklif yang mendatang ini. Daripada pagi sehingga lewat malam, malah sesetengah kita sehingga ke awal pagi, masih bergelumang dengan tugas dan perlaksanaan amanah yang tidak putus. Terkadang kita terlena kerana keletihan dan kita terlelap kerana kepenatan yang tidak tertahan lagi. Beruntunglah kita apabila kesibukan kita itu di atas landasan amal yang betul dan mampu menyelamatkan kita di akhirat nanti. Amat rugilah kita pula apabila semua penat jerih itu akan jadi takungan amal yang sia-sia dek kerana ia semua semata atas tuntutan dan runtunan nafsu semata. Ya, penat yang tidak pernah sudah. Kelak disambung pula pula oleh penyesalan yang tiada penawarnya. Rugilah kita. Rugi yang teramat sangat.

Maka, apabila kita beramal dan bergerak di dalam hidup ini, pastikan ia kerana tujuan dan matlamat yang tulus lagi selamat. Niat yang tertancap semata-mata kerana mendambakan kasih dan redho Ilahi. Tujuan yang sebenarnya untuk keselamatan akhirat kelak. Ya, inilah manusia yang beruntung. Manusia yang bekerja sekuat semampu kudrat yang dianugerah Ilahi supaya kelak ia selamat di kala ramai manusia akan kecundang dan menjadi bahan bakar api neraka Allah SWT. Kala kita sedang melalui kehidupan ini, marilah kita sering memeriksa tujuan dan langkah yang diambil. Bukankah jiwa halus dan naluri jiwa dapat merasa apabila keangkuhan dan kesombongan sedang meraja? Bukankah perasaaan akan bergoncang apabila nafsu bermaharajalela dan kita melanggar batas-batasNYA? Bukankah kita tahu dan maklum betapa amal kita sedang menongkah arus fitrah serta sedang mengundang murkaNYA? Ya, kita semua sedar dan peka, namun nikmat duniawi mealpakan kita. Nikmat dan seronok di depan mata, mengabur pandangan yang tulus lagi mulia. Kita tewas disaksikan oleh makhluk ciptaanNYA, dan kelak makhluk yang sama akan menjadi saksi semua amal kita. Malangnya kita!

Kita akan masuk dan keluar daripada satu kesibukan kepada kesibukan yang lain. Inilah tanda kita masih hidup. Ada orang yang hidupnya dikawal oleh kerja dan tanggungan. Ia bergerak seolah robot-robot dan sistem automasi yang telah diprogramkan. Tiada penilaian dan siasat terhadap apa yang dikerjakannya. Ia seolah tuli, buta dan bisu terhadap hakikat kehidupan dan amanah yang hakiki.

Wahai hamba, kembalilah kepada fitrahmu! kembalilah untuk hidup di dalam aturan Iman dan aturan keamanan lagi sejahtera. Laluan ini telah ditunjukkan oleh Rasul SAW dan telah dirakam di dalam kitab yang mulia - Al Quran Al Karim. Marilah kita hidup dengan membawa makna dan memberi makna. Kita bergerak atas niat dan tujuan yang satu - semoga semuanya akan menjadi saksi kepada sifat dan rasa kehambaan dan semuanya akan menjadi dalil supaya kita dapat mencium haruman dan merasa kelazatan syurga Allah Azzawa Jalla. 

Ya..saya doakan kita semua akan selamat.

10.41am USM - Selasa