Friday 17 May 2013

Anda yakin?

Semua tindakan akan menjadi sia-sia apabila tidak wujud keyakinan. Yang dimaksudkan adalah keyakinan bahawa usaha dan tindakan yang diambil pasti membawa kepada kejayaan yang diidamkan. Ini telah dibuktikan tanpa gagal di dalam sejarah tamadun manusia. Setiap perubahan mesti bermula dengan keinginan dalaman dan pastinya mesti diteruskan dengan keyakinan yang mendalam bahawa kejayaan akan menjelma. Terkadang kita menyaksikan manusia yang dibekalkan dengan seribu macam bantuan dan sokongan, tetapi mereka masih akhirnya gagal. Bukan kerana tidak cukup bantuan atau sokongan, tetapi tandus rasa yakin dan harap pada kejayaan. Pada masa yang lain, kita juga menjadi saksi manusia yang tampak papa dan kurang kekuatan hartabenda, namun terbukti akhirnya menempa kecemerlangan yang tidak terhingga, dek kerana ia sentiasa yakin dan cekal dalam mendapatkan hasilnya. 

Di dalam lembaran tinta sejarah perjuangan Rasul dan para sahabat, tahap yakin mereka amat tinggi. Teguhnya iman mereka kepada Rabb, dan patuhnya mereka kepada Rasul, menjadikan semua halangan dan dugaan kecil di mata mereka. Apabila kaki melangkah ke medan jihad, di dalam hati, perasaan dan minda mereka, kejayaan telah ditempa. Natijah jihad adalah kejayaan iaitu samada mereka menang menewaskan musuh mereka, atau mereka berjaya mengecap nikmat syahid di jalanNYA. Kedua-duanya adalah kemenangan yang telah pasti. Pada musuh yang di hadapan, para sahabat ajmain amat yakin pula, samada musuh akan ditimpa azab di tangan mereka atau ditimpakan azab oleh yang Maha Esa. Inilah keyakinan yang dibajai oleh iman dan tawakkal kepada Ilahi. Mereka yakin bahawa kejayaan telah digenggam sebaik kaki melangkah ke medan jihad. Ini bukti keyakinan yang benar. Keyakinan yang menatijahkan kemenangan. Keyakinan yang tidak melahirkan kesombongan malah semakin menyedarkan insan. 

Setiap amal mesti dimulakan dengan keyakinan dan rasa positif kepada keberhasilan. Ini akan membentuk set minda yang betul. Setiap halangan akan dihadapi dengan kesabaran dan ketenangan. Setiap kerumitan adalah rencah-ratus kehidupan yang akan memaniskan kejayaan. Ya, amal yang ikhlas dan tulus tujuannya amat penting. Justeru, si pelaku amal perlu tancapkan rasa yakin yang teguh bahawa inilah amal-amal dan kerja buat yang akan membawanya semakin dekat dengan kejayaan. Rasa risau dan gusar tidak lagi menyekat gerak, tetapi menjadi satu mekanisma suap balik kepada pembaikian tindakan. Ya, si pelaku perlu memulakan langkah perubahan dengan mengubah corak fikir dan rasa nurani supaya keyakinan dan kesungguhan tidak goyah lagi. Kita bermula dengan pengakhiran, maka insyAllah tindakan kita pun akan terarah lagi tertumpu. Ini satu hakikat hidup yang penting.

Apabila beriman anak Adam kepada Pencipta, maka ia menatijahkan rasa positif lagi optimis tentang masa hadapan. Ia tidak lagi bergantung harap kepada kudrat dirinya sahaja, tetapi kini dapat bergantung kepada kudrat Tuhan yang mencipta alam jagat ini. Ini satu hakikat hidup yang amat memotivasikan kita untuk menggapai kejayaan. Apabila kita ditolong oleh Tuhan, apa lagi yang kita risaukan?

Pernahkah anda lihat sebiji telur ditetaskan oleh selain anak ayam di dalam telur itu? Si ibu ayam sekadar membantu untuk menyegerakan proses. Jika ia mematuk dan memecahkan telur itu, pasti si anak ayam akan mati. Makanya apabila sampai masa, anak ayam itu yang akan memecahkan kulit telur untuk keluar. Ya, tamsilannya adalah bahawa apapun jenis kejayaan, ia mesti bermula daripada dalam diri kita, dan nescaya faktor luaran akan membantu. Sebarang bentuk paksaan luaran semata hanya menjanjikan kegagalan. Ya, inilah hakikat kehidupan yang perlu kita insafi. 

Setiap kerja buat mesti dimulakan dan diiringi dengan keyakinan kepada kejayaan. InsyALlah, inilah sifat mukmin sejati!

12.40 am Nibong Tebal

No comments:

Post a Comment