Friday 24 October 2014

Luahan rasa di hari jumaat.

Saya merasa dengan penuh kesedaran bahawa seseorang hanya patut bersuara apabila ia telah punya kefahaman dan landasan ilmu yang matang. Pengalaman yang dikutip semasa membesar sebagai seorang penuntut ilmu sewajarnya membantu untuk mendewasakan kita di dalam menetapkan pandangan serta bersikap kepada peristiwa. Silap luahan dan langkah kita bukan sahaja boleh mencacatkan citra diri kita tetapi terlebih malang dapat mengundang fitnah yang berantai kepada ummah yang tercinta ini. Kesan silap percaturan ini tidak akan dapat diukurkan lebar dan dalamnya. Hanya di akhirat nanti mungkin kita dapat menyaksikan akibat perbuatan tangan dan mulut kita. Ya, semua tindakan kita, baik yang kecil apalagi yang besar, akan ada impak serta bekasnya. Lagaknya seperti sang pemaku yang memaku di wajah yang licin, pasti akan meninggalkan parut yang dapat dikenal.

Asas ilmu dan adab ini wajar menjadi garis panduan sebelum kita berani untuk melontarkan pandangan. Sekali kita menghiris rasa dan hati saudara kita, tak pasti berapa lama dan modal untuk mengubatnya. Kita perlu ambil tanggungjawab sebagai rakan dan warga yang bertata-susila. Tidak kita meluka dengan sengaja, dan tidak pula kita mencerca sebagai matlamat di dalam berbicara. Niat yang baik akan menzahirkan amal dan gerak yang serupa. Walaupun tidak dinafikan masih lagi boleh disalah-tafsir niat kita, itu bukan lagi di dalam kawalan manusiawi yang kita empunya. Kita berniat sebaik mungkin dan beramal setepat mungkin dengan kehendak syarak dan saranan sunnah. Kita tidak mampu mengawal atau menentukan natijahnya, hanya mampu merancang dan beramal seadanya. Kita ini makhluk yang terlalu lemah. Semuanya kita gantungkan kepada Allah Rabbul Jalil.KepadaNYA lah kita berserah - untuk hidup dan mati kita.


Tuesday 21 October 2014

Wahai pemuda..belajarlah adab!

Pada hakikatnya kita semua ini terhutang budi kepada generasi awal. Generasi awal yang mendahului kita telah mengorak jejak dan meninggalkan legasi serta khazanah ilmu yang tidak terkira luas dan dalamnya. Ya, menjadi satu kewajipan untuk kita beradab kepada mereka yang telah lama meninggalkan alam yang fana ini. Dan, pastinya untuk kita semua menjadikan mereka teladan di dalam berinteraksi dengan ilmu dan tradisi keilmuan. Ini satu perkara pokok yang tiada sesiapa pun yang masih bernafas pada hari ini wajar nafikan.

Pada masa yang sama lakaran sejarah ini mesti kita tanggapi dengan sikap yang adil. Bukan tujuannya supaya akal kita terbelenggu dan tidak berkembang. Bukan pula untuk kita mengikuti membabi-buta apa yang telah golongan terdahulu tampilkan. Bahkan tujuannya supaya kita menjadikan ilmu dan tradisi ilmu yang telah dibangunkan sebagai batu loncatan untuk meneroka lebih jauh di dalam lautan ilmu. Mustahil untuk kita bermula semula daripada kosong. Khazanah ilmu yang ada patut menguat dan bukan melemah semangat dan keazaman kita semua.

Malangnya hari ini terlalu ramai pemuda yang begitu angkuh dan berani untuk memperlekeh dan memandang kecil tradisi keilmuan yang telah dibina. Keangkuhan ini begitu terasa dengan kata-kata yang sinis dan penolakan yang nyata kepada pandangan dan ijtihad terdahulu. Terkadang kita akan terasa seolahnya ceteknya ilmu barisan ulama terdahulu, terutama apabila membaca ulasan-ulasan 'ilmiah' para pemuda gelojoh dan lupa daratan ini. Bukan salah para pemuda, tetapi salahnya pada pemuka-pemuka yang kononnya pemuka ilmuan dan pemecah kebuntuan ummah. Ya, salahnya pada mereka ini. Ini mungkin kesimpulan yang samar, tetapi siapa lagi nak kita campakkan kesalahan jika bukan kepada mereka ini.

Ilmu ini punya tradisi dan "nyawa"nya sendiri. Ia tidak boleh dipaksa untuk segera besar dan dewasa. Pembinaan ilmu dan ahlinya mesti melalui proses yang sewajarnya. Jika tidak yang lahir adalah para pemuda yang punya rasa mereka orang berilmu sedangkan pada sudut adab mereka telah lama gagal.
Malang sungguh umat ini. Mereka mahu menbina dengan menghancurkan diri mereka sendiri.

Allahu Rabbi.

Manusia hari ini.

Hari ini ramai orang yang tampak bijak dan serba tahu. Terkadang kita jadi hairan dan takjub dengan betapa luas serta hebatnya pandangan serta luahan fikir yang ditulis di laman maya. Kita rasa bertambah hairan kerana seolahnya barisan alim ulama terdahulu tampak kecil pada mereka. Kitab-kitab turath tampak tidak bererti buat golongan ini. Ya, mereka pemecah kebuntuan umat. Merekalah, katanya, suara dan gerak yang akan membangunkan umat daripada lena. Ya, mereka lah suara penggoncang tradisi yang akan mengeluarkan umat daripada belenggu kelesuan dan kekeliruan. Ya, itulah agaknya rasa mereka. Jika salah pun, itulah yang ditampilkan mereka. Malang sungguh umat ini.

Kehebatan hari tidak akan ada tanpa barisan manusia yang tidak pernah jemu mewakafkan diri dan kehidupan mereka untuk kelangsungan ilmu. Kitab demi kitab ditulis. Ilmu yang benar digali dan dicari, lantas diwacana dan dihujah-balas. Lalu, yang manis-manis, yang baik-baik, yang bersih lagi bermanfaat ditulis di dalam ratusan malahan ribuan kitab-kitab yang masih ada hingga ke hari ini. Ya, merekalah manusia-manusia yang telah membina tapak ilmu kepada semua penuntut, pengajar dan pengamal ilmu. Jasa mereka tidak terbalas oleh manusia. Hanya Tuhan sahaja yang akan membalasnya.

Manusia hari ini terlalu sedikit ilmu yang dihasilkannya. Ilmu yang membina jiwa, bukan sekadar membina menara dan prasarana. Ilmu menjadikan manusia ini manusia telah diungkapkan ratusan tahun lamanya oleh barisan ulama dan ahli ilmu yang tidak pernah apa-apa balasan melainkan balasan syurga. Manusia hari ini ramai yang telah lupa adab dan lebih parah lagi mereka cepat merasa ajaib lagi takjub dengan sejemput yang telah mereka ada. Ya, manusia hari ini tidak merasa jengkel atau bersalah ketika kata-katanya menghina ulama dan para alim sebelumnya. Manusia hari ini merasa hebat sedang mereka tidak ada apa2. Manusia dahulu merasa mereka kosong tidak berbuat apa-apa, sedang amalnya hidup sehingga ratusan dasawarsa. 

Di dalam menanggapi pandangan ulama dan pemikir terdahulu, biarlah kita dahulu kan dengan adab dan pertimbangan. Mereka berpandangan dengan zaman mereka. Salah di dalam memanfaatkan pandangan mereka adalah salah kita, bukan mereka. Lembaran ilmu peninggalan ulama terdahulu adalah hadiah berharga buat kita semua. 

Rasa hormat akan menghidupkan jiwa manusia. Rasa diri hebat dan melihat yang lain hina akan mematikan dan menjadikan jiwa seolah bangkai yang pasti membusuk lagi mencemar dunia.

Hormati tradisi keilmuan dan belajarlah utk merendah diri. Tidak rugi melainkan untung belaka.

Allahua'lam

Tuesday 14 October 2014

Kita memerlukan keberanian untuk maju ke hadapan. Sejarah kemanusiaan dan ketamadunan amat sarat dengan kisah manusia yang berani. Menongkah arus dan menolak tepi halangan untuk maju ke hadapan. Ada yang bersikap sedemikian kerana terpaksa. Tetapi tidak kurang juga yang berani kerana inilah pilihan atau jalan hidup yang hendak ditegakkan. Keberanian jalan seiring dengan penegak kebenaran untuk manusia, apalagi kebenaran yang dituntut Tuhan. Manusia pejuang adalah manusia yang berani untuk meletakkan diri di jalan kepayahan dan kesusahan. Matlamat yang suci di hadapan sana menuntut para penegak dan pejuang yang berani. Berani adalah santapan harian yang mesti dimuntahkan untuk kebaikan manusiawi. Ya. Semua pejuang yang tulus mesti berani. Berani ada harganya. Terkadang luka dan pedih. Terkadang nyawa pula menjadi galang ganti. 

Tunjukkan keberanianmu wahai pejuang. Jika engkau pengecut, maka berakhirlah nasib sesuatu bangsa itu. Islam membenci para penakut dan pengecut. Islam adalah rumah si pemberani. Asal sahaja yang ditegakkan adalah seruan Tuhan, tidak takut melainkan Tuhan juga.


Monday 13 October 2014

Medan medan...

Memang berbeza dunia bercakap atau menulis berbanding dunia beramal dan bekerja. Mereka yang indah-indah bait kata-katanya belum tentu lagi seindah itu di dalam nyata. Medan amal yang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit teramat sering menjadi medan saringan mereka yang benar atau mereka yang berlagak benar. Terkadang medan kata ini menjadi hujah ampuh untuk mengalas kemalasan sang daie. Apabila Sang Daie telah terhinggap penyakit malas dan alpa, maka alasan usaha kata dan cakap seperti sudah lebih daripada cukup untuk menyelamatkan diri masing-masing. Ya, tidak pasti mengapa akhirnya medan amal juga yang menjadi penapis dan pembuktian sebenar. Iman ini bukan dengan angan-angan dan ungkapan-ungkapan indah semata. Sejak di awal Islam lagi, iman ini dibuktikan dengan kerahan tenaga, titisan peluh dan aliran darah. Ia tidak terhenti dengan ikrar, janji dan sumpah. Ia bermula dengan ikrar, janji dan sumpah. Ia menuntut pembuktan. Dan pada pembuktian inilah kita akan diasingkan. Yang benar dan yang palsu.


Tuesday 7 October 2014

Umur oh umur...

Kehidupan ini adalah anugerah yang sering kita persiakan. Sememangnya kita tidak lagi boleh menyalahkan orang lain kerana mengambil masa dan ruang yang ada pada kita. Ini kerana kebanyakan daripada masa iaitu umur ini berada di dalam pengawalan kita. Ya, pengawalan dan keberhasilan yang terikat dengan keinginan yang lahir di ketika dan saat tersebut. Umur tidak akan pernah bertambah walau sesaat. Ia datang dan berlalu pada ketika yang telah ditentukan. Pada gabungan pelbagai unsur dan keadaan yang ada, kita perlu membuat keputusan samada mahu melakukan amal kebaikan, membiarkan ia kosong tanpa terisi atau memenuhkannya dengan amal yang bertentangan dengan apa yang Tuhan tetapkan serta perintahkan.

Semua tersimpul di tangan kita. Ya, walau masih sebenarnya di dalam apa yang Allah SWT telah bekalkan buat kita semua. Kita ambil keputusan dan kita laksanakan. Kelak, semua keputusan yang membuahkan amal itu akan menentukan nasib kita di akhirat kelak. Ada orang yang hanya melihat hasilan dan kelazatan di dunia tanpa memikirkan apa yang menantinya selepas melalui gerbang kematian. Di alam barzakh, ketika kita menanti saat akhir pun, kita pastikan akan merasa nasib akhir kita kelak. Ketika di dunia akan ditampilkan cerminan nasib di akhirat, apalagi selepas melalui fasa ajal maut. Kita pasti akan menyesali. Tidak banyak pun, pasti akan menyesal sedikit kerana kita telah persiakan peluang yang mendatang.

Apabila kita merenung amal yang kita sangka sebagai kebaikan pun kita akan merasa risau kerana kita telah dapat melihat kelompongan atau kecacatannya begitu melata. Kita merasa amal baik itu tidak sebaik yang dihasratkan. Malah, kita pula mula gerun kerana risaukan amal itu akan menjadi kebalikannya, iaitu amal jahat atau amal maksiat, yang membawa si pelakunya ke neraka Allah SWT. Ya, kita risau pada amal baik. Bagaimana pula dengan amal yang kosong dan masa yang terluang tanpa terisi. Apa pula nilaiannya? Bagaimana pula kita hendak menanggapi amal kerja buat kita yang nyata lagi jelas membawa atau mengundang murka ALlah SWT. Di mana hendak kita dapatkan ubat penawar kepada azab yang bakal menanti? Apa jalan keselamatan yang ada untuk kita lagi? Masa dan umur buat beramal semakin sempit. Anugerah fizikal juga semakin lesu. Jadi, apa agaknya nasib kita di sana? Kepada Allah SWT sahaja kita mampu berserah dan berharap agar kita kini diampunkan. Ya, mengharap ampun sedang kini kita masih berpeluang untuk memanfaat nikmat yang ada. Sebaiknya kita segera insaf dan terus beramal. Hidup ini terlalu singkat untuk kita persiakan.

Ya Allah bantulah kami semua. Kami sedar amal kami terlalu sedikit untuk menimbal-balik dosa2 yang telah kami lakukan. Ya Allah, ampunkanlah kami....