Friday 28 June 2013

Apa fokus hidup kita?

Kehidupan yang kita lalui ini akan menjadi asas kepada pengakhiran yang baik atau yang penuh dengan kesengsaraan. Kita mampu memilih kemungkinan pengakhiran ini dengan kudrat dan nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita hari ini. Sekiranya kita usaha dan manfaatkan ia untuk kebaikan, nescaya begitu jugalah natijahnya kelak - kebaikan. Jika kita persiakan ia, malah kita belanjakan ia untuk maksiat dan keingkaran, maka natijahnya nanti akan jauh daripada kebaikan dan keamanan. Syurga dan neraka itu benar! Hari akhirat dan hari pembalasan itu juga benar. Maka, terpulanglah kepada kita untuk menggunakan apa yang Allah SWT telah sediakan untuk persediaan kehidupan di akhirat kelak. 

Satu perkara yang amat penting untuk kita pertimbangkan adalah berkenaan "Apakah fokus utama di dalam hidup kita?" Fokus atau tumpuan ini menjadi kritikal kerana banyaknya pilihan dan tarikan yang wujud di depan mata kita. Jika kita tidak nampak akhirat yang berada nun di belakang sana, maka kita akan mudah terkeliru dan tidak keruan jadinya. Jika yang kita utamakan adalah apa yang ada di hadapan mata dan tidak mengendahkan nasib kita di hujung nyawa, maka pastinya kita akan jadi tidak menentu. Nafsu yang menjadi batu penentu akan membawa kita jauh daripada hakikat kejadian makhluk dan pasti menyebabkan kita terlalai di dalam mengemban amanah sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Fokus hidup yang benar dan bersungguh akan membolehkan kita membuat pilihan dengan tepat. Kita hanya akan memilih dan mengambil langkah pada apa yang dapat menyampaikan kita kepada fokus dan tujuan asal kita. Ini hakikat kehidupan yang terlalu mudah dan jelas untuk kita terkeliru.

Jika sebagai contoh, kita mahu bermusafir ke suatu tempat yang kita tahu arahnya dan lokasinya. Dan ditakdirkan kita pula tiada kenderaan yang khusus, terpaksa mencari jalan sendiri untuk ke sana, maka kita akan menjadi seorang yang amat fokus. Kita mungkin akan menumpang kenderaan yang lalu lalang, yang mungkin datang dalam pelbagai saiz dan kemampuan. Ya, kita akan menumpang untuk bergerak semakin hampir dengan destinasi kita. Kita tidak akan menaiki kenderaan yang membawa kita semakin jauh kerana ia akan melambatkan kita tiba ke destinasi. Kita akan menjadi seorang yang kerap berfikir dan memilih kaedah dan jalan yang terbaik. Kita mahu terus fokus kepada matlamat, dan enggan membenarkan diri terlalai dan berbuat sesuatu yang tiada kaitan dengan fokus kita. Ya, ini hakikat yang amat mudah difahami. Ia berlaku sering di dalam hidup ini. Fokus! Fokus! Fokus!

Sebagai hamba Allah SWT, fokus hidup kita adalah untuk memenuhi perintah dan menjauhi larangan Allah SWT. Kita amat fokus di dalam memastikan kita akan dapat selamat di akhirat kelak dengan bekalan amal yang telah kita laksanakan semampu mungkin. Kita berusaha supaya hidup ini dilalui dengan penuh amal yang membawa makna di akhirat. Ya, kita fokus supaya nanti kita akan selamat. Ini fokus hidup yang terpuji. Hidupnya di dunia, tetapi hati dan jiwanya terus menghadap ke akhirat yang pasti menjelma. 

Apakah fokus hidup kita? Fikir-fikirkanlah..

9.10am Jumaat 28 Jun 2013

Tuesday 25 June 2013

Dengarlah anak muda!

Ada beberapa perkara yang ingin sangat aku pesankan kepada generasi muda hari ini. Tidak lain kerana pada bahu kalianlah kelak akan terpikul amanah untuk meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran dan memimpin gerombolan mereka yang ingin memenangkan risalah Allah SWT. Ya, kepada generasi mudalah ingin aku berbicara. Tujuanku hanya satu iaitu agar kalian akan dapat mengambil ibrah atau pengajaran daripada mereka yang telah berumur sepertiku dan juga agar kalian tidak mengulang kesilapan dan kealpaan kami selama ini. Ya, kepada golongan muda dengarlah dan hayatilah apa yang ingin aku sampaikan.

Umur kalian dan fasa kehidupan yang kalian sedang lalui adalah tempoh yang amat penting dan kritikal di dalam menentukan nasib umat di masa hadapan. Sekiranya ada golongan lain yang dapat memikul beban ini, pastilah kepada mereka akan ku hadapkan pesanan-pesanan ini. Tiada orang lain melainkan andalah harapan umat. Ya, harapan umat yang semakin tersepit dengan serangan musuh bersumber daripada luar, juga yang datang daripada serpihan dalaman yang lupa akan diri mereka. Ya, umur kalian ini amat berharga, maka semua pihak sedang berebut-rebut mendapatkan perhatian kalian. Siapa yang dapat menakluk jiwa dan aqal generasi muda ini, maka merekalah yang akan menang di masa hadapan. Ini pertarungan yang sengit, yang mana kalian semualah yang sedang menjadi rebutan.

Apabila kita beriman dengan Allah SWT, ada tuntutan yang mesti digalas dan dilaksana sebaik mungkin. Usaha dan kejayaan melaksanakan tugas ini akan menatijah ganjaran yang amat hebat di alam akhirat nanti. Kenikmatan yang tidak pernah terfikir di aqal dan terbayang di hati. Kenikmatan yang hanya selayaknya diberi kepada mereka yang telah membuktikan keimanan mereka di kala ujian dan godaan berlegar di sekitar mereka. Ya, kepada golongan muda, ada dua perkara yang besar. Pertama, amanah yang perlu digalas dan dilaksana, dan kedua, godaan dan cabaran yang begitu hebat. Aku doakan kalian akan berjaya dan akhirnya kita sama-sama dapat berbual mengenainya di syurga kelak. Amin. InsyAllah.

Di dalam Surah Yusof, ayat 108, kita diperingatkan bahawa keimanan, ketaqwaan dan perjuangan mestilah dilandas di atas hujah yang jelas. Ini bermakna kalian mesti memastikan kefahaman dan hujah mendasari semua tindakan dan keputusan. Kita mengajak manusia kepada kebenaran yang terangnya seperti mentari di tengahari. Kalian mesti sentiasa rakus kepada ilmu dan pengesahan ilmu. Tidak mudah puas hati dan terlalu mudah menerima pandangan tanpa benar-benar melakukan proses tahkik atau pengesahan. Sikap bertindak dengan hujah dan rasional ini akan menyelamatkan kalian daripada mudah tersasar dan dipengaruhi oleh nafsu yang begitu bijak mengajak kalian untuk melakukan onar. Ambillah masa untuk mendalami ilmu pada setiap waktu terluang. Ilmu ini terlalu luas dan lebar sehingga penggaliannya tidak akan berakhir.

Ayat 208, Surah Al-Baqarah pula ingin aku mohon agar menjadi tasawur dalam kehidupan kalian yang insyAllah masih panjang lagi. Tasawur atau neraca hidup di atas landasan Islam ini amat penting kerana ia akan mengesani semua tindakan dan gerak amal kalian. Islam ini sifatnya sempurna dan merangkumi semua juzuk kehidupan manusia. Jangan ada mana-mana sudut kehidupan kalian yang dirujuk kepada selain Islam. Mencari selain yang diperintahkan Allah SWT adalah satu usaha bertentangan dengan fitrah. Apabila amal kalian bertentangan dengan fitrah, ia pasti mengundang musibah. Ini suatu hakikat yang benar dan telah dibuktikan sepanjang sejarah tamadun manusia. Fitrah dan sunnah alam ini sentiasa bersama dengan tasawur Islam. Mencari selainnya adalah bukti betapa kita bongkak dan tidak gerun dengan apa jua ancaman azab dan neraka yang menanti si pendosa. Ya Rabb, ampunkanlah kami semua.

Wahai anak muda, cukuplah dua ayat ini kubekalkan untuk kalian jadikan batu asas perjuangan di dalam hidup ini. Ya, di dalam Al-Quran ada ribuan lagi mutiara hikmah yang boleh kalian hirup. Hiruplah mutiara hikmah ini dengan rakus dan penuh ghairah. InsyALlah aku dan kalian akan benar-benar hidup dan tidak mati dalam keadaan kita jauh daripada rahmat dan redho Allah SWT.


Wahai anak muda, dengarlah luahan hatiku ini!

Monday 24 June 2013

Coretan tentang kehambaan.

Telah sampai masanya untuk kita semua insaf bahawa yang berkuasa dan memiliki alam jagat ini adalah Allah SWT yang Maha Agung dan Maha Berkuasa. Yang lain adalah maklukNYA yang sentiasa tunduk patuh kepada aturan dan kehendakNYA tanpa mampu untuk menolak atau memilih selainnya. Kita berada di dalam qada dan qadar Allah SWT. Tiada yang terlepas daripada pengetahuanNYA daripada perkara sekecil-kecilnya sehinggalah perkara yang sebesar-besarnya. Kita terletak di bawah takluk dan ehsan Allah SWT. Kita ini makhluk yang kecil lagi hina. Kita tiada apa-apa melainkan apa yang Allah SWT takdirkan untuk kita. Apa yang ada pada kita hanyalah pinjaman dan selayaknya diambil bila-bila masa sahaja. Tiada mampu kita menolaknya samada dipercepatkan atau dilewatkan. Apabila sudah tiba ketentuan Allah SWT, ia akan terlaksana. Kita mesti insaf hakikat ini. Lebih daripada itu, kita mengimani dan hidup di atas keyakinan ini. Cumanya, sementelahan di dunia, Allah SWT memberikan kita nikmat dan keupayaan serta ikhtiar untuk memilih jalan kehidupan kita. Jalan kehidupan yang sebenarnya sentiasa berada di dalam qada dan qadarnya. Kita diberi pilihan untuk memilih jalan Taqwa atau sebaliknya. Terbuka kepada kita peluang beramal dan kesempatan bermaksiat. Ya, kita diuji sedemikian bukan sia-sia. Kita diletakkan di dalam situasi untuk memilih untuk melihat siapakah yang lebih mencintai Rabnya. Inilah ujian bagi manusia di muka bumi yang fana ini. Di dalam umur kehidupan yang teramat singkat ini, kita akan rebut dan pastikan kita dapat gunakan ia untuk pelaburan akhirat dan, insyAllah, kelak akan mendapat laba atau keuntungan yang berlipat-kali ganda di akhirat sana. Ya, inilah cita-cita dan pengharapan kita, agar kita semua akan gigih, kukuh dan cekal dalam membuktikan kehambaan kepadaNYA.

Ya Allah..Ya Rabb...Ya Ilahi...Ya Malik...Ampunkanlah kami ini...

9.48am Isnin 24 Sept 2013

Saturday 22 June 2013

Amal Jamie lagi...

Di dalam gerak kerja dakwah, mestilah ada dokongan dan sokongan struktur jamaah atau organisasi. Sifat dakwah ini secara tabienya mesti bersama jamaah, bukan secara individu. Ya, perlaksanaan sesuatu amal boleh jadi disempurnakan secara peribadi, tetapi keputusan untuk membuat amal tersebut adalah natijah daripada keputusan jamie. Bekerja secara jamie atau amal jamie adalah satu sunnah yang ditunjukkan oleh para Rasul sejak zaman berzaman. Sedangkan di dalam perkara-perkara yang kecil sifatnya pun memerlukan bantuan secara jamaah, mustahil untuk diterima aqal untuk kerja menegakkan Islam dan risalah Tauhid dibuat secara seorang diri. Ini jauh daripada sunnah yang ditunjukkan Rasul SAW dan para sahabat. 

Namun tidak semua orang mampu untuk sabar dan berterusan di dalam susuan jamaah atau gerabak dakwah berorganisasi ini. Ada dua perkara yang mesti kita pegang jika ingin terus berada di dalam susuan jamaah. Pertama, seorang ahli jamaah mesti merelakan diri untuk disusun di dalam saf jamaah dakwah ini. Kerelaan untuk disusun ini penting kerana pimpinan jamaah lebih arif  akan gerak-kerja yang perlu diambil. Kita mungkin hebat di tempat kerja kita, atau kita mungkin ada kelulusan yang tinggi, yang memungkinkan rasa hormat dan kagum timbul di pandangan orang lain. Namun, apabila kita berada di dalam jamaah, kita mesti merelakan diri kita disusun. Jangan kita merasa hebat dan lebih arif daripada orang lain. Yang kedua adalah sifat untuk patuh dan taat kepada arahan pihak pimpinan. Ini boleh jadi satu perkara untuk sesetengah ahli di dalam jamaah kerana kedudukannya di dalam masyarakat dan di tempat kerjanya mungkin tinggi. Biasanya beliau yang memberi arahan, bukannya beliau yang diarah. Ahli jamaah mesti bersedia untuk menerima dan melaksanakan arahan. Jangan rasa ego dan kagum dengan diri sendiri. Rasa taat mesti dipupuk dan dibaja selalu. 

Di dalam amal jamie terkadang terasa sulit berbanding bekerja secara individu. Kita rasa lebih mudah untuk melaksanakan amal dakwah jika berseorangan berbanding terasa lambat dengan ahli jamaah yang lain. Jika perasaan sedemikian wujud di dalam diri kita, marilah kita renungkan pengajarang daripada Seerah Rasul SAW. Ar-Rasul SAW dan para sahabat amat mementing kerja secara berjamaah. Malah inilah rupabentuk amal dakwah yang jelas di kalangan para sahabat. Jika kita kerja berjamaah, insyAllah, akan dapat pahala Sunnah Rasul dan juga, insyAllah, keberkatang daripada Allah SWT. Manakala, jika kita kerja berseorangan, kita jauh daripada Sunnah Rasul, dan kita juga akan terbeban dengan amanah dakwah yang berat ini. Jadi biarlah susah sedikit bersama jamaah, tapi dapat pahala dan syurga. Pada masa yang sama, kita juga akan menjemput keberkatan di dalam semua amal dakwah kita. Amin.

Ya, amal jamie tuntutan utama di dalam amal dakwah. Jika kita menolak amal dakwah ini, maka akan pincanglah iman kita dan semakin jauhlah kita pengamalan Rasul SAW yang tercinta..



6.43pm Sabtu, 22 Jun 2013

Wednesday 19 June 2013

Kebergantungan kepada PENCIPTA...

Tiada siapa yang dapat memastikan nasib atau rezeki yang akan ia peroleh pada hari ini. Apabila kita melangkah keluar sahaja, pastinya kita telah membuat sedikit perancangan kasar tentang apa yang ingin kita lakukan pada hari ini. Kita punya beberapa sasaran besar yang perlu kita sempurnakan, namun pastinya kita tidak pasti lagi apa laluan yang akan diambil untuk penyempurnaannya. Kita pasrah kepada ketentuan Ilahi dan kita hanya mampu mendoakan agar laluannya akan mudah dan tidak menyesakkan jiwa. Dan alangkah baiknya pula jika kita dapat lebih daripada apa yang kita dambakan. Kita minta sedikit kebaikan, lantas Allah SWT limpahkan dengan lautan kebaikan. Alhamdulillah - ucap hati dan lidah kita. Kita juga mendoakan agar laluan hidup pada hari ini jauh daripada musibah-musibah yang besar. Alhamdulillah cuma yang datang ombak-ombak kecil yang tidak menyulitkan sangat pelayaran kita. Alhamdulillah.

Betapa lemah dan bergantungnya kita semua kepada rahmat Allah SWT. Kita tidak dapat menjangka hampir semua perkara. Ya, kita dapat merancang dan meletakkan usaha tetapi hasil gerak laku dan amal kita tidak pernah bersendiri, malah ia tergantung kepada interaksi dengan unsur lain. Interaksi inilah yang kita hampir selalunya berada di luar ufuk kawalan dan ketahuan kita. Kita akur bahawa semuanya disusun oleh Allah SWT. Kebergantungan kita kepada ALlah SWT yang menetapkan dan menentukan keadaan semua perkara mampu menjadikan kita manusia yang tenang dan redho atas apa jua yang menimpa. Kita tidak mudah melatah dan mengucap perkataan berunsur munafik lagi kufur. Kita akur akan betapa Allah SWT punya kuasa dan adil lagi hikmah di dalam ketentuanNYA. Terlalu banyak sebenarnya rahmat Tuhan yang kita peroleh yang memungkinkan kita hidup sehingga ke hari dan detik ini. Ya, kita punya hubungan langsung dan utuh dengan Pencipta.

Tiada suatu saat yang berlalu di dalam hidup ini yang mungkin berdiri sendiri tanpa kudrat dan iradat Allah SWT. Semuanya kita sandarkan kepada qada dan qadar Allah SWT. Namun, kita juga akur akan ruang dan peluang untuk manusia berusaha dan berikhtiar di dalam menentukan hala tuju perjalanan hidupnya. Ini pun tidak terlepas daripada perancangan dan ketentuan Allah Rabbul Jalil. 

Manusia amat lemah dan serba serbi terhalang oleh kelemahan ini. Hanya Allah Rabbul Jalil yang ehsan dan memberik kekuatan kepada kita untuk terus hidup di muka bumi ini. Di dalam ibadah dan di luarnya, kita semua tergantung kepada kasih dan sayang Allah SWT.

Jangan sedetik kita lupakan Allah SWT, kelak sedetik itulah kita akan musnah dalam keabadian..

Ya Allah...Ya Rabb...

Selasa: 9.34am
USM N.Tebal

Thursday 13 June 2013

Mencari keseimbangan!

Hidup ini mesti kita sulam dengan keseimbangan. Jika kita terlalu ghairah dalam sesuatu hal, di sana ada hak atau amal yang akan perlu kita korbankan. Pada batang tubuh manusia ini ada had dan batas yang tidak mungkin dapat dilangkau. Kita semua ada titik hujung yang menetapkan ruang lingkup amal yang kita mampu kerjakan. Masa 24 jam sehari adalah bukti nyata bahawa setiap peluang yang mendatang ada had dan batas yang tetap. Kesempatan yang hadir adalah satu ruang masa yang bersifat sementara dan dinamik. Ia hadir dan akan pergi apabila sampai ketentuannya. Hanya Allah SWT yang dapat mengubah hakikat ini.

Keseimbangan di dalam hidup akan membawa kepada ketenangan yang berpanjangan. Kita bukan perlukan harta yang banyak, tetapi harta yang mencukupi untuk kelangsungan hidup. Kita bukan perlukan ilmu yang melimpah-ruah, tetapi khazanah ilmu yang mampu menyelamatkan kita di dalam kembara di dunia yang fana ini. Kita bukan perlukan kekuatan fizikal yang melampau-lampau, cukup jika kita sihat walafiat dan mampu memikul taklif serta tanggungjawab yang datang bersama amanah. Kita bukan perlukan kedudukan di dalam masyarakat melainkan cukup kita dapat membantu dan menyumbang untuk membina umat. Ya, pastinya ada pengecualian jika kita memang mahu harta yang banyak untuk jadi hartawan yang pemurah. Kita juga mahu jadi ilmuan yang mendidik umat dengan ilmunya. Kita juga mahu jika kekuatan fizikal kita ini lebih daripada kebiasaan kerana kita mahu manfaatkan ia untuk membela golongan yang lemah. Dan, kita juga mahu punya kuasa dan kedudukan di dalam masyarakat kerana tidak mahu ia jatuh ke tangan mereka yang dusta lagi zalim dalam amalnya. Ya, semua kita mesti punya alasan. Yang penting mesti seimbang!

Di dalam menbina, memupuk dan mengukuh hubungan kita dengan Allah SWT -Rabbul Jalil, pun mesti ada keseimbangan. Jangan terlalu ghairah, takut nanti kelelahan, dan kita jatuh ke lembah maksiat dan keingkaran. Kita berpada dengan yang sedikit, supaya amal itu akan berterusan. Kita bina amal yang hebat dengan dasar amal-amal kecil yang kukuh tertancap mendarah daging pada kehidupan seharian. Kita seimbangkan antara keperluan fizikal, mental dan spiritual. Kita seimbangkan antara kepentingan diri dan masyarakat. Kita seimbangkan antara menggembirakan manusia dan menggembirakan Tuhan.

Ya, marilah kita belajar untuk jadi manusia yang adil lagi seimbang amalnya. Amal ini panjang, jadi nafas kita pun perlu sedemikian.

Allahua'lam

10.44am Khamis 13 Jun 2013

Wednesday 12 June 2013

Menanti bulan-bulan keberkatan...

Masanya sudah semakin hampir untuk menjejakkan kaki ke bumi mulia - bumi Makkah dan Madinah. Alhamdulillah hajat yang disimpan selama ini akan termakbul, insyALlah. Semuanya dengan kehendak dan ketentuanNYA. Menjadi tetamu Allah SWT bukan pilihan kita, tapi pilihanNYA. Apabila dibuka peluang dan kesempatan, hendaklah kita rebut sebaiknya. Peluang yang berharga ini wajar kita sambut dengan tangan terbuka dan hati yang penuh bersyukur. Kita disebut-sebut akan menjadi tetamuNYA. Sampai masa kelak harapan menggunung agar inilah yang didamba menjadi realiti. Mengembara ke BaituLlah, menyaksikan kaabah dan mengimbau kembali bukti tanda kehambaan dan perjuangaan untuk mengesakanNYA. Ini tuntutan agama yang mesti ditanam sejak daripada kecil, agar niat ikhlas menjadi batu galas pembuktian kesungguhan kita untuk beriman kepadaNYA. LabbaikALlahu mala baik, Labbaika la syarii kala kala baik!

Namun bulan-bulan haji akan hanya hadir selepas kita melalui madrasah Ramadhan yang juga semakin mendekat. Madrasah Ramadhan yang kita rindui selepas setahun berlalu. Madrasah Ramadhan yang penuh keberkatan dan keindahan. Jiwa menjadi segar dan subur dengan rehlah Ramadhan. Jiwa terbang ke langit di kala syahdu ibadah memenuhi hati dan perasaan. Ya, bersediakah kita untuk Ramadhan? Bulan yang penuh keberkatan dan yang menjanjikan seribu macam keselamatan. Ya, kita akan bertemu hadiah berharga ini sebelum kita bermusafir menunaikan ibadah haji. Persediaan apa yang kita sediakan untuk menyambut Ramadhan? Jika untuk ibadah haji, kita perlu bermusafir secara fizikal juga spiritual, maka musafir Ramadhan  juga tidak jauh berbeza. Di dalam tamrim atau latihan intensif Ramadhan, kita akan mengikuti sistem pendidikan Ilahi. Melatih fizikal, spiritual dan mental untuk sentiasa menumpu kepada pencarian memenuhi sifat kehambaan. Ya, inilah Ramadhan. Kedatanganmu kami nantikan.

Kini, kita sedang melalui hari-hari di bulan Rejab dan Syaaban. Kita sewajarnya mempersiapkan diri untuk menyambut dua anugerah Tuhan ini. Menanti dan membuat persediaan untuk pesta ibadah yang penuh meriah. Ya, kita tidak mahu peluang dipersia serta kesempatan terlepas begitu sahaja. Marilah kita sama-sama keghairahan untuk semarakkan Ramadhan. Marilah kita mula berbicara tentang bulan barakah ini. Marilah kita sama-sama bermimpi akan keindahahan dan giatnya kita beramal kelak. Wahai Ramadhan, tunggulah aku! Ya Rabb, Ya Allah, pertemukanlah aku dengannya!

Indah sungguh susunan Tuhan. Harapan kita agar semuanya akan kita kecapi dan nikmati. Seandainya bukan menjadi takdir kami untuk menjadi saksi, terimalah amal-amal kami yang telah lalu, dan rahmatilah hamba2MU yang banyak berdosa ini Ya Rabb...Ya Rabb...Ya Allah....


12.37pm
Rabu - 12 Jun 2013