Ada beberapa perkara yang ingin
sangat aku pesankan kepada generasi muda hari ini. Tidak lain kerana pada bahu
kalianlah kelak akan terpikul amanah untuk meneruskan perjuangan menegakkan
kebenaran dan memimpin gerombolan mereka yang ingin memenangkan risalah Allah
SWT. Ya, kepada generasi mudalah ingin aku berbicara. Tujuanku hanya satu iaitu
agar kalian akan dapat mengambil ibrah atau pengajaran daripada mereka yang
telah berumur sepertiku dan juga agar kalian tidak mengulang kesilapan dan
kealpaan kami selama ini. Ya, kepada golongan muda dengarlah dan hayatilah apa
yang ingin aku sampaikan.
Umur kalian dan fasa kehidupan
yang kalian sedang lalui adalah tempoh yang amat penting dan kritikal di dalam
menentukan nasib umat di masa hadapan. Sekiranya ada golongan lain yang dapat
memikul beban ini, pastilah kepada mereka akan ku hadapkan pesanan-pesanan ini.
Tiada orang lain melainkan andalah harapan umat. Ya, harapan umat yang semakin
tersepit dengan serangan musuh bersumber daripada luar, juga yang datang
daripada serpihan dalaman yang lupa akan diri mereka. Ya, umur kalian ini amat
berharga, maka semua pihak sedang berebut-rebut mendapatkan perhatian kalian.
Siapa yang dapat menakluk jiwa dan aqal generasi muda ini, maka merekalah yang akan
menang di masa hadapan. Ini pertarungan yang sengit, yang mana kalian semualah
yang sedang menjadi rebutan.
Apabila kita beriman dengan Allah
SWT, ada tuntutan yang mesti digalas dan dilaksana sebaik mungkin. Usaha dan
kejayaan melaksanakan tugas ini akan menatijah ganjaran yang amat hebat di alam
akhirat nanti. Kenikmatan yang tidak pernah terfikir di aqal dan terbayang di
hati. Kenikmatan yang hanya selayaknya diberi kepada mereka yang telah
membuktikan keimanan mereka di kala ujian dan godaan berlegar di sekitar mereka.
Ya, kepada golongan muda, ada dua perkara yang besar. Pertama, amanah yang
perlu digalas dan dilaksana, dan kedua, godaan dan cabaran yang begitu hebat.
Aku doakan kalian akan berjaya dan akhirnya kita sama-sama dapat berbual
mengenainya di syurga kelak. Amin. InsyAllah.
Di dalam Surah Yusof, ayat 108,
kita diperingatkan bahawa keimanan, ketaqwaan dan perjuangan mestilah dilandas
di atas hujah yang jelas. Ini bermakna kalian mesti memastikan kefahaman dan
hujah mendasari semua tindakan dan keputusan. Kita mengajak manusia kepada
kebenaran yang terangnya seperti mentari di tengahari. Kalian mesti sentiasa
rakus kepada ilmu dan pengesahan ilmu. Tidak mudah puas hati dan terlalu mudah
menerima pandangan tanpa benar-benar melakukan proses tahkik atau pengesahan.
Sikap bertindak dengan hujah dan rasional ini akan menyelamatkan kalian
daripada mudah tersasar dan dipengaruhi oleh nafsu yang begitu bijak mengajak
kalian untuk melakukan onar. Ambillah masa untuk mendalami ilmu pada setiap
waktu terluang. Ilmu ini terlalu luas dan lebar sehingga penggaliannya tidak
akan berakhir.
Ayat 208, Surah Al-Baqarah pula
ingin aku mohon agar menjadi tasawur dalam kehidupan kalian yang insyAllah
masih panjang lagi. Tasawur atau neraca hidup di atas landasan Islam ini amat
penting kerana ia akan mengesani semua tindakan dan gerak amal kalian. Islam
ini sifatnya sempurna dan merangkumi semua juzuk kehidupan manusia. Jangan ada mana-mana
sudut kehidupan kalian yang dirujuk kepada selain Islam. Mencari selain yang
diperintahkan Allah SWT adalah satu usaha bertentangan dengan fitrah. Apabila
amal kalian bertentangan dengan fitrah, ia pasti mengundang musibah. Ini suatu
hakikat yang benar dan telah dibuktikan sepanjang sejarah tamadun manusia.
Fitrah dan sunnah alam ini sentiasa bersama dengan tasawur Islam. Mencari
selainnya adalah bukti betapa kita bongkak dan tidak gerun dengan apa jua
ancaman azab dan neraka yang menanti si pendosa. Ya Rabb, ampunkanlah kami
semua.
Wahai anak muda, cukuplah dua
ayat ini kubekalkan untuk kalian jadikan batu asas perjuangan di dalam hidup
ini. Ya, di dalam Al-Quran ada ribuan lagi mutiara hikmah yang boleh kalian
hirup. Hiruplah mutiara hikmah ini dengan rakus dan penuh ghairah. InsyALlah
aku dan kalian akan benar-benar hidup dan tidak mati dalam keadaan kita jauh
daripada rahmat dan redho Allah SWT.
Wahai anak muda, dengarlah luahan
hatiku ini!
No comments:
Post a Comment