Tuesday 22 July 2014

Hari 24

Manusia ini dapat melihat dunia melalui dua cara. Pertama dengan mata, dan kedua dengan hati. Kedua2 pancaindera ini memerlukan cahaya untuk boleh melihat. Mata yang sihat dan cantik tidak mampu untuk membolehkan manusia, tanpa adanya cahaya yang menerangi kawasan itu. Jadi, kita dapat melihat kerana ada cahaya di samping punyai mata yang elok dan sihat. Cahaya yang menimpa objek dan dipantulkan semula ke mata kita membolehkan kita dapat menyaksi pemandangan di hadapan kita. Begitu juga dengan hati, ia hanya mampu "melihat" apabila ada cahaya iman dan hidayah daripada Allah SWT. Cahaya iman yang menerangi hatinya dan persekitaran itu akan membolehkan hati seseorang itu celik dan tidak buta. Di dalam banyak keadaan buta hati jauh lebih berbahaya berbanding buta mata yang zahir ini. Antara dapat melihat yang zahir dan melihat secara batin, pastinya penglihatan yang jelas tentang hakikat sebenar dunia akan terserlah. Dunia ini sementara tidak kekal. Dunia juga menjanjikan bahagia, sedang semua kebahagiaan itu sifatnya sementara.

Antara celik mata dan celik hati, pastinya celik hati lebih kritikal. Alangkah baiknya jika kita dapat gabungkan antara celik mata dan celik hati ini. Di bulan Ramadhan ini terbuka peluang yang besar untuk kita mengasah penglihatan hati kita. Dengan zikruLlah, sedekah, solat dan ibadah lain, hati kita dapat mengumpul sinar dan menjadi bersinar. Ia menangkap cahaya, dan ia juga mampu menterjemah cahaya tadi kepada kebaikan dan rahmat kepada makhluk lain. Tanpa cahaya iman dan hidayah daripadaNYA, kita akan tersesat dan tersasar jauh daripada landasan hidup yang hakiki. Semakin jauh tersasar, semakin gelaplah suasana. Dan apabila semakin gelap suasana, mana mungkin hendak diketahui jalan kembali kepadaNYA. Ya, kita ini hanya mampu bergerak ke arah keselamatan dengan cahaya yang menerangi jalan. Tiada manusia yang mampu mengawal cahaya ini, melainkan hanya Allah SWT - Yang Maha Besar dan Yang Maha Menghukum. 

Kita semua mahukan kebahagiaan dan keseronokan hidup di muka bumi ini. Rahsianya atau jawapannya bukan terletak di luar sana, di tangan2 para motivator dan tidak juga pada yang zahir. Jawapannya ada di dalam hati, seketul daging yang bernama Qalbu.

Allahua'lam.

Thursday 17 July 2014

Hari 19: Kemanusiaan yang hilang!

Semua yang berlaku di dalam kehidupan adalah merupakan Qada dan Qadar Allah SWT. Tiada sesuatu yang berlaku tanpa kehendak dan keizinanNYA. Sebagai makhluk yang bernama manusia, Allah SWT telah anugerahkan dua taklif atau tanggungjawab kepada kita semua: iaitu menjadi hambaNYA dan menjadi khalifahNYA di muka bumi. Kita diberi juga kudrat dan iradat, walaupun dengan segala keterbatasan, untuk kita mampu membuktikan ketundukan dan mentadbir bumi ini sebagaimana yang dikehendaki olehNYA.

Antara perkara yang mendasar di dalam ajaran Islam adalah penzahiran akhlak yang mulia pada sesama manusia khususnya dan alam ini amnya. Jika muslim berakhlak, ia menjadi agen untuk membuktikan bahawa Islam itu agama indah lagi baik. Islam tidak mengajar umatnya melainkan menjadi yang terbaik. Begitulah sebaliknya, apabila seseorang muslim atau segolongan orang Islam tidak berakhlak, ia secara tidak langsung membawa imej serta konotasi yang buruk terhadap agama. Apakah ini bukan satu kezaliman kepada Islam itu sendiri? Pastinya. Oleh itu setiap kita yang mengaku beriman dengan ALlah dan RasulNYA, hendaklah berusaha mencerminkan kemuliaan dan keindahan akhlak Islam itu sendiri. Ini supaya kita jadi pembantu agama dan bukan peruntuhnya.

Semalam telah tersebar video yang menzahirkan pelampauan adab seorang muslim. Ini dilakukan terhadap seorang warga emas yang tidak beragama Islam. Terasa malu melihat dan mendengar apa yang dibuat serta yang diucap. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya - kata pepatah melayu. Alangkah baiknya jika perkara yang kecil ini dapat diselesaikan secara berakhlak. Tidak susah untuk berlaku baik dan tenang. Yang menggetarkan jiwa adalah usaha untuk menzahirkan kemarahan dan mengucapkan perkataan-perkataan yang kesat lagi mengaibkan. Apapun, yang berlaku telah berlaku. Kita yang menyaksikan insiden itu, melalui pelbagai medium perhubungan hari ini, janganlah cepat menuding jari dan tidak berakhlak pula. Sabarlah dan cuba memahami apa yang berlaku. Dan, jadikan ia pengajaran.

Semalam juga menyaksikan pembantaian rejim haram Israel kepada umat Islam di Gaza. Kini, kanak-kanak pun dibunuh secara sengaja dan penuh sedar. Tidak ada keperluan untuk memberi alasan tidak sengaja atau mereka menjadi mangsa keadaan. Kisah pembunuhan 4 kanak2 di pantai Gaza semalam ada bukti nyata kemanusiaan telah hilang erti dan manusia tidak lagi ada secebis rasa kemanusiaannya, hatta kepada anak2 kecil. Musibah apakah yang menimpa umat manusia akhir zaman ini. Berbunuhan dan tidak merasakan bersalah langsung apabila melakukannya. Manusia telah hilang kemanusiaan. Maka tidak pelik apabila anak2 pun dibunuh. Manusia ini telah berubah menjadi haiwan.

Allah...Allah...Allah...Ya Rabb. Berilah perlindungan kepada anak2 kami Ya Rabb.

Wednesday 16 July 2014

Hari 18: 4 Sifat Ahli Jannah!

Semalam aku berbicara tentang 4 sifat ahli syurga. Ini bermaksud sifat yang ditampilkan di dunia ini, yang menatijahkan mereka layak untuk memasuki syurga Allah SWT. Atau dengan erti kata lain, mereka bersifat sedemikian sehingga layaklah mereka dijemput oleh Allah SWT empunya syurga untuk menjadi ahlinya. Menarik bukan jika kita tahu sifat2 ini dan dapat menjadi ia acuan bagaimana perilaku kita dizahirkan. Pastinya kita semua cuba berusaha mempraktikkannya supaya yang di langit akan memandang tinggi apa jua yang kita lakukan.

Seingat aku, kita semua terlalu biasa diperingatkan dengan 4 sifat orang munafik. Sifat-sifat ini ada dinyatakan di dalam hadis Ar-Rasul SAW. Jika berjanji, ia mungkir. Jika diberi amanah, ia khianat. Jika berkata, ia dusta dan jika bertengkar, ia melampaui batas. Sekiranya kita ada keempat-empat sifat ini, maka kita ini munafik hakiki. Jika ada satu atau dua atau tiga, kita ini menghampiri sifat2 orang munafiq. Balasan orang munafiq ini lebih berat daripada orang yang jelas kafir. 

Empat sifat ahli syurga adalah:

1. Mereka ini golongan yang suka kembali kepada Allah SWT
2. Mereka adalah golongan yang sentiasa menjaga amanah Allah SWT.
3. Mereka adalah golongan yang takut kepada ALlah SWT &
4. Mereka adalah golongan yang datang dengan hati yang suka untuk bertaubat.

Inilah 4 sifat-sifat manusia yang bakal mendiami syurga Allah SWT. Apabila mereka terlanjur melanggar perintah Allah SWT, mereka tidak jemu dan serik dan kembali kepada Allah SWT. Kembali kepada perkara yang dapat menyelamatkan mereka, di dunia dan di akhirat.

Golongan bakal ahli syurga ini juga adalah mereka yang sentiasa berusaha untuk menjaga amanah yang ditaklifkan ALlah SWT di atas bahu mereka. Mereka berusaha sedaya upaya agar tiada amanah yang dipersiakan. Ini memungkinkan mereka kembali kepada Allah SWT dengan hati yang sejahtera.

Mereka juga adalah manusia yang sentiasa takut kepada azab dan balasan yang dijanjikan ALlah SWT untuk mereka yang murka. Ketakutan mereka tidak melahirkan sifat pengecut, tetapi melahirkan keberanian untuk melaksanakan apa yang diperintah olehNYA, dan tidak gentar menempa murka makhluk keranaNYA. Takut yang sepadan dengan ketaqwaan.

Dan mereka juga adalah manusia yang tidak jemu untuk bertaubat kepada ALlah SWT. Sifat manusiawi tidak memungkin mereka maksum. Tetapi atas sebab sifat manusiawi jugalah mereka akur akan kelemahan dan sentiasa bertaubat di atas apa yang terkhilaf.

Inilah 4 sifat ahli syurga. Hari ini, apakah sifat2 ini ada pada kita? Jika telah ada dan sebati. Alhamdulillah. Jika tiada atau tidak sempurna lagi, maka janganlah risau. Nescaya masa masih ada untuk kita perbaiki segalanya. Mulakan dengan niat dan azam. Semaikan amal dan jangan lupa untuk bermunajat kepadaNYA.

Amin Ya Rabb...Amin...

Monday 14 July 2014

Hari 16: Puasa dan Perang

Puasa juga adalah satu bentuk peperangan. Ia peperangan dalaman dan luaran, tetapi hanya berorbit sekitar diri kita sendiri. Secara dalaman, kita berperang dengan nafsu yang telah terbiasa dengan perbuatan-perbuatan yang dimurkai Allah SWT. Jika tidak pun, nafsu telah dibiasakan dengan perbuatan sia-sia yang boleh menghumban kita ke jurang neraka ALlah SWT. Ini peperangan dalaman yang tidak pernah berhenti sejak kita mengenal perkara baik dan tidak baik. Kita berperang dengan kehendak nafsu yang mahukan yang selesa dan lazat, walaupun hal selesa dan lazat ini membawa kita keluar daripada batas ketaatan dan ketundukan seorang hamba Allah SWT. Ya, dengan berpuasa, kita menutup kunci utama masuknya sumber kekuatan nafsu, iaitu melalui makanan yang masuk melalui mulut dan tembolok kita. Puasa adalah sinonim dengan peperangan dalaman. Setahun sekali, kita ambil diperintah untuk lakukan peperangan ini selama sebulan. Dilakukan ia dengan menuruti peraturan dan ketetapan yang ditunjukkan oleh Rasul SAW.

Puasa juga menuntut kita untuk berperang secara luaran. Bukan untuk mengangkat senjata, tetapi untuk berlatih dan bertahan di dalam melontarkan buah-buah peluru lisan dan gerakan anggota fizikal yang boleh membawa kecederaan  serta kesakitan kepada orang lain. Ya. Ini juga satu bentuk peperangan. Ia menuntut kepada kesabaran dan tetap di dalam kesabaran. Mereka yang berjaya menahan daripada membalas, walaupun mampu dan berupaya, adalah jenis manusia yang berjaya di dalam peperangan ini. Kebiasaannya peperangan menuntut kita menggunakan anggota fizikal. Kali ini, peperangan di dalam bulan puasa, dalam konteks individu, adalah kekuatan kita untuk TIDAK menggunakan pancaindera untuk mendatang kemudaratan kepada orang lain. Ini suatu tugas yang bukan mudah dan sering hamba Allah SWT gagal untuk berkekalan di atasnya. Puasa ini jelas-jelas satu peperangan yang berterusan dan kita harap dapat memperkuatkan kita untuk 11 bulan yang mendatang. Kita mesti berlatih menjadi pejuang yang cekal dan sentiasa ingat kepada pelajaran ketika menang dan tewas di bulan Ramadhan. Kita jangan mengulang silap yang sama. Nafsu yang berjaya dikawal selama kurang lebih sebulan berpuasa ini, mesti terus dikendali dengan iman dan batasan wahyu Allah SWT. Kita boleh melakukannya.

Ya, di ketika ini saudara-saudari kita di Palestin sedang diserang oleh Rejim haram Israel. Jumlah yang terbunuh semakin bertambah dari hari ke hari. Mangsa kepada kerakusan rejim haram ini tidak mengenal umur dan status kehidupan. Musuh membunuh tanpa rasa belas dan timbang rasa. Inilah masanya yang setiap saat dipersaksikan bertambahnya golongan yang syahid di jalanNYA. Mereka sedang bergembira dengan semaian amal mereka. Tampak ngeri di mata kita, tetapi amat berbahagia di bawah lindungan rahmatNYA. Istimewa sunggguh saudara kita di Gaza dan di Palestin amnya. Mereka berada di bumi barakah, dan bumi yang sama ini menjadi saksi yang jujur dan benar di atas benarnya iman mereka yang berjuang. Darah yang tertimpa akan menjadi tinta penyataan persaksian. Bumi Palestin adalah saksi hidupnya manusia-manusia yang diberkati Allah SWT. Hidup dan mati mereka adalah di atas jalan Tuhannya.

Ya Allah, bantulah saudara2 kami di Gaza, di Tebing Barat, di Palestin seluruhnya, di Suria, di Mesir, di Iraq, di Myanmar dan di semua tempat yang dihuni mereka. 

Ya Rabb, kepadaMU lah kami berserah.


Tuesday 8 July 2014

Hari 10: Makan dan minum yang halal lagi baik.

"We are what we eat". Memang banyak kebenaran kata-kata ini. Kita amat terkesan dengan apa yang kita makan kerana ia adalah sumber tenaga untuk kita melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Menjadi satu kewajipan untuk kita semua memastikan makanan yang masuk ke perut kita adalah makanan yang halal lagi baik. InsyALlah makanan jenis ini apabila dimakan pada kadar yang berpatutan, akan menjadi sumber tenaga untuk amal-amal yang baik dan diredhoi Allah SWT juga. Sumber makanan yang haram dan tidak baik akan menjadi punca dan pendorong kepada pelanggaran hukum Allah SWT. Mungkin ada juga keadaan, makanan itu jenis yang halal tetapi diperoleh ia dengan cara yang haram, maka jadilah ia halal pada sifatnya, tetapi haram pada memakannya. Makanan sejenis ini pun akan membawa kita ke lembah kemaksiatan.
Ketika kita di dalam bulan Ramadhan, kita mendapat peluang untuk mengawal gesaan dan nafsu untuk makan dan terus makan. Kita dihalang untuk makan dan minum pada siang hari, walaupun makanan yang halal lagi baik. Kita disuruh untuk menahan nafsu zahir dan batin demi untuk mendapatkan ibadah puasa yang terbaik. Tiada peluang untuk menipu atau menyeleweng kerana yang menilai adalah Allah SWT yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Makan dan minum tidak lagi menguasai jadual hidup kita. Malah, kini ibadah dan urusan berkaitan yang mengawal jadual aktiviti harian kita. Alhamdulillah. Bab makan dan minum ketika di siang hari. Maka, janganlah kita tewas pula di waktu malamnya. Pengawalan ke atas dorongan untuk memuaskan nafsu ini mesti kita teruskan, demi untuk memastikan kitalah yang mengawal nafsu, bukan sebaliknya. 

Alhamdulillah apa jua yang Allah SWT perintahkan adalah baik untuk kita, samada perintah jenis suruhan atau larangan. Begitu juga pada apa yang dibawa oleh Rasul SAW. Semuanya baik, samada kita faham hikmahnya atau tidak. Inilah ciri aqidah yang jelas dan sahih. Alhamdulillah, sekiranya kita memahami hikmah-hikmah perintah dan larangan, ia lebih baik. Apapun, ketaatan dan ketundukan tetap kita teruskan. 

InsyAllah setiap amal yang dicontohkan oleh Rasul SAW dan para sahabatnya adalah yang terbaik untuk kita contohi. Mereka nyalaan petunjuk yang akan membawa kejayaan kepada kita semua, di dunia dan akhirat kelak. Amin Ya Rabb.

Hari 7: Kisah Adam dan Hawa

Bapa manusia, iaitu Nabi Adam AS dicipta oleh Allah SWT dan diberi tinggal di syurgaNYA. Diciptakan pula Hawa untuk menjadi peneman di taman yang abadi serta serba indah itu. Dan, kita semua pernah mendengar kisah Adam AS dan Hawa diturunkan ke bumi kerana pelanggaran memakan buah daripada pohon larangan Allah SWT. Di dalam banyak nikmat yang antaranya berupa pohon buah-buahan yang pelbagai serta segala bentuk nikmat, Allah SWT menetapkan ada satu pohon yang buahnya diharamkan untuk dimakan oleh Adam AS dan Hawa. Rupa-rupanya pada arahan Allah SWT ini terkandung begitu banyak hikmah untuk kita.

Adalah menjadi salah satu ibrah, bahawa di dalam kehidupan ini, perkara yang halal adalah jauh lebih banyak daripada yang haram. Dan di dalam yang halal itu pun, wujud larangan untuk memakan secara berlebih-lebihan. Yang halal apabila berlebihan boleh menjadi haram pada memakannya, bukan pada sifat buah tersebut. Ada pandangan menyatakan bahawa buah khuldi adalah nama yang diberikan oleh Iblis kepada buah pohon ini. Pada hakikatnya buah ini tidaklah haram dalam erti kata bahaya untuk dimakan. Kebiasaannya larangan haram pada makanan ini banyak pada daging berbanding buah-buahan. Lantas, ada pandangan bahawa yang dilarang adalah memakannya, bukan pada bahayanya buah tersebut. Iblis menjanjikan kehidupan abadi dengan memakan buah khuldi, sedangkan pada hakikatnya Allah SWT menjanjikan kehidupan abadi dengan tidak memakannya. Inilah sifat Iblis dan syaitan di dalam kehidupan. Mereka akan tampilkan perkara yang menyongsang kepada apa jua yang dijanjikan Allah SWT. Sama seperti dajjal yang akan membawa sifat yang sama kepada manusia di akhir zaman ini.

Ibrah kedua adalah perintah pertama kepada manusia oleh Allah SWT adalah di dalam bentuk larangan kepada manusia. Larangan yang berkait dengan anggota mulut iaitu memakan sesuatu. Inilah perkara utama yang perlu dijaga oleh manusia – mulut – ibu kepada nafsu atau lubang atas. Melalui mulut dan apa yang dimasukkan ke dalam mulut, pelbagai jenis amal perbuatan akan terhasil. Menjadi wajib untuk kita memerhatikan apa yang masuk melalui mulut kerana kesannya amat besar. Begitu juga, perhatikan apa yang keluar daripada mulut kerana kesannya juga tidak kurang besar. Nafsu menjadi kuat atau lemah dengan apa yang masuk melalui mulut – lubang atas.

Selepas Nabi Adam AS dan Hawa diturunkan ke bumi, mereka terpisah selama beberapa tahun. Ada sesetengah ulama menyatakan mereka terpisah selama 40 tahun. Dalam rayauan Adam AS dan Hawa, Allah SWT tetapkan mereka bertemu di Jabal Rahmah. Setelah pertemuan ini timbul rasa kasih Adam AS kepada Hawa. Lantas, datang pula perintah kedua daripada Allah SWT yang menetapkan Adam AS mesti menunai mabit di Mudzalifah dan Tawaf sebelum bersama dengan Hawa. Larangan kedua ini adalah untuk memperingatkan Adam AS untuk memperbanyakkan zikir kepadaNYA, dan menyekat perbuatan yang melibatkan anggota kedua, iaitu kemaluan – lubang bawah. Setengah ulama menggelar lubang bawah ini sebagai bapa nafsu. Ia mempunyai pengaruh yang besar kepada manusia. Namun, ia dapat dikekang apabila ibu nafsu (mulut) kita kekang dan sibukkan dengan zikruLlah. Kuncinya terletak pada kawalan kepada mulut kita. Atas sebab ini, para hujjaj ketika di dalam ihram untuk tawaf dan lain-lain, tidak boleh melakukan hubungan suami-isteri untuk memperingati larangan kedua kepada Adam AS dan Hawa. Bagi yang tidak menunaikan haji, Allah SWT anugerahkan bulan Ramadan. Ketika kita berpuasa selama sebulan ini, kita dapat kekang kehendak nafsu untuk makan, dan dapat pula mengekang kehendak nafsu untuk bersama isteri. Ini jugalah sebab mereka yang masih bujang dan tidak mampu untuk berkahwin disuruh untuk memperbanyakkan puasa sunat. Dengan berpuasa sunat, nafsu makan akan dikekang, dan ia juga secara langsung dapat mengekang nafsu-nafsu yang lain.

Ibrah ketiga adalah bahawa wajib kita melatih diri untuk mengawal nafsu dan tidak mengikut kehendaknya supaya kita selamat ketika di mahsyar nanti. Dalam konteks kehidupan ini, supaya nanti kita tidak mengikut kehendak nafsu ketika nazak atau ajal hampir tiba. Apabila manusia terbiasa dengan mengikut kehendak nafsu walaupun halal, maka pasti semakin susah untuk menolaknya dalam keadaan terdesak. Kita terlalu biasa untuk memuaskan kehendak nafsu maka kelak kebiasaan ini akan mencengkam jiwa kita. Pada hari ini juga, kita banyak beramal tetapi beramal di dalam nafsu dan keselesaan yang disukai oleh nafsu. Menjadi kebiasaan untuk kita mencari keselesaan sebelum mahu beramal. Akhirnya, nafsu masih mempengaruhi kita. Jika kita menilai semula kisah Bilal Bin Rabah, ketika disiksa oleh Tuannya. Bilal RA ditimpa dengan batu besar di padang pasir yang panas, namun mulutnya tidak putus berzikir – Ahad! Ahad! Ahad!. Zikir yang lazat sehingga melupakan kesakitan dan ketidakselesaan. Hari ini kita berzikir, dan kebiasaannya akan berhenti berzikir kerana keadaan panas atau tidak selesa. Ertinya, zikir kita belum lazat dan ia tidak dapat memisahkan kita daripada kehendak nafsu. Ada ulama dahulu yang berzikir di dalam liang lahat. Apakah seronok berzikir di dalam keadaan yang sempit, panas dan gelap ini? Pastinya tidak. Tetapi, mereka mahu belajar hakikat zikir yang lazat. Menarik bukan amalan manusia untuk mencapai erti lazat dan nikmat didalam zikir. Apabila ibu nafsu dapat kita kawal dan jaga, insyAllah bapa nafsu pun akan terkekang. Tentera-tentera nafsu yang lain juga akan ikut tunduk.

Ibrah keempat adalah pentingnya kita faham kesan lubang atas dan lubang bawah kepada nasib seorang hamba Allah SWT. Di dunia ini pun, jika kita menjaga kedua pancaindera ini, kita akan selamat. Apatah lagi di akhirat kelak. Kisah Nabi Adam AS dan Hawa adalah kisah melawan nafsu dan memastikan tindakan kita adalah atas perintah Allah SWT, walaupun nafsu tidak suka. Terkadang kita beramal dalam keadaan tidak bersemangat. Inilah keadaan yang payah. Tujuan akhirnya adalah mampunyai sikap bahawa kita beramal atas tujuan menunaikan perintah Allah SWT dan perintah Ar-Rasul SAW. Dan kita akan terus beramal, walaupun kita tidak bersemangat. Beramal di atas semangat akan merosakkan ibadah kita. Kisah Nabi Adam AS dan Hawa sifat dan perlakuan manusiawi yang akan berulang-ulang sehingga ke akhir zaman. Pada skala makro (masyarakat) dan mikro (individu), kitaran hidup ini akan terus diulang-ulang. Kita mesti melatih diri untuk mengawal nafsu. Kita biasakan nafsu dengan kesusahan dan kepayahan, sambil kita sentiasa memastikan kita beramal atas ketaatan, bukan kerana amalan itu tidak menggugah kehendak nafsu serta tidak memayahkan. Nafsu ini mesti dibiasakan dengan penolakan. Takut kelak kita akan tewas dalam permintaannya untuk maksiat dan keingkaran kepadaNYA.


Ini adalah sedutan tazkirah pagi yang ku peroleh daripada seorang ustaz yang tampak amat bersahaja dan tawaduk. Alhamdulillah, begitu banyak isi kepada tazkirah ini. Tidak lain tidak bukan, inilah bukti kepada kealiman sang Ustaz dan keikhlasan beliau. Amin. Ya Rabb.


Thursday 3 July 2014

Hari 3: Ghairah membacanya...

Keghairahan yang jelas ketika Ramadhan ini adalah bersungguhnya manusia muslim untuk membaca Al Quran. Seolah satu perlumbaan untuk dilihat siapa yang dapat menghabiskan pembacaan seluruh Al Quran untuk Ramadhan kali ini. Pastinya sasaran ini tidak salah dan tidak patut diperlecehkan. Ini kerana sekurang-kurangnya budaya pembacaan ini mendekatkan kita dengan Al Quran, dan memastikan banyak masa kita terisi dengan satu ibadah yang disukai oleh Allah SWT. Yang menjadi kegusarannya adalah sejauh mana kita mendapat manfaat ilmu daripada usaha pembacaan tadi. Ilmu tidak terhasil dengan kita mengulang-ulang ungkapan firman Allah SWT semata. Ilmu dan kefahaman lahir daripada merenung dan mencari erti di sebalik makna-makna ayat2 yg dibaca serta didengar itu. Usaha memahamkan pula tidak akan terzahir dengan sebaiknya tanpa rujukan kepada nukilan dan pengertian para ulama serta salafus soleh. Perlu ada sikap merujuk dan membetulkan pandangan supaya ia sejajar dengan para ilmuan, yang telah mewakafkan diri mereka untuk benar2 memahami ayat2 Allah SWT. Perkara ini bukan permainan, tetapi suatu tuntutan yang mesti dilaksana.
Apa kata kita berlumba untuk membaca dan mengerti makna ayat2 yang dibaca? Satu perlumbaan untuk meningkatkan kefahaman. Lantas daripada kefahaman yang tuntas, akan menzahirkan amal serta gerak kerja yang bertepatan dengan suruhanNYA serta tidak terlepas daripada ruh amal seperti yang dipamerkan oleh Ar-Rasul SAW. Kita mempunyai kewajiban untuk mengembangkan budaya mementingkan kefahaman di atas pembacaan, dan bukan sebaliknya. Al Quran sewajarnya dibaca di dalam keadaan muslim mukmin mahu melaksanakannya, dan bukan sekadar mengharap barakah pembacaan. Lebih malang lagi jika memang tiada niat pun untuk diamalkan, melainkan hanya untuk dibaca dan harap-harap diberikan barakah yang besar oleh Allah SWT. Terlalu pelik pula rasanya pemikiran seperti ini. Ia terlalu asing kepada sikap dan perilaku para sahabat R.A yang amat mementingkan pusat perkongsian maklumat.

Semoga kita semua menjadi Ahlul Al Quran yang hakiki. Amin Ya Rabb.

Tuesday 1 July 2014

Hari 2: Salam Ramadhan. Rebutlah peluang!

Pada hari ke-2 Ramadhan, Alhamdulillah dapat bersolat di sebuah masjid di kampung. Suasana berbuka puasa di kampung memang menyeronokan terutama berbuka bersama kaum keluarga yang ramai. Suasana di kampung juga memberi banyak masa terluang untuk membuat pelbagai perkara. Di sebelah paginya aku diamanah untuk menjaga anak2 yang berdua itu. Memang tugas menjaga anak ini tidak semudah yang disangka. Memang Sang Ibu adalah makhluk istimewa yang dijadikan ALlah SWT mampu untuk menguruskan perihal rumahtangga yang melelahkan, terutama apabila melibatkan anak2. Kelelahan yang dilaksanakan dengan kasih sayang dan kerinduan. Tapi sebentar sahaja kerana isteri pun telah selesai dengan urusannya dan kami bersiap untuk pulang ke kampung. Berbuka puasa hari pertama di kampung. 

Aku sedar bahawa setiap orang ada matlamat yang berbeza. Terkadang ia tampak sama, tetapi sebenarnya amat berbeza. Apapun cita-cita dan keinginan kita, hendaklah kita pastikan ia sentiasa berada di dalam batas-batas yang diizinkan oleh ALlah SWT. Kenikmatan sementara janganlah sampai membutakan mata dan hati kita daripada hakikat perintah dan laranganNYA. Semua yang dilarang oleh ALlah SWT itulah yang terbaik buat kita, di dunia dan di akhirat. Ladang dunia ini cuma dapat disemai dan diusahakan sebagaimana yang diperintah Allah SWT. Bulan Ramadhan pun menetapkan kaedah dan wasilah terbaik untuk mendapat hasil yang terbaik. Semua amal ada percontohannya. Kita tidak perlu terlalu kreatif di dalam daerah ini. Malah, tidak sepatutnya kita bersikap kreatif dan inovatif dalam hal berkait ibadah, terutama yang fardhu, termasuk juga yang sunat. Templat atau acuan amal terbaik telah dipertonton dan ditampilkan tanpa sembunyi. Jika kita ingin yang terbaik daripada Ramadhan, tidak ada pilihan lain, melainkan mengambil dan mengulang guna acuan yang sama, sedekat dan setepat mungkin.

Namun pasti, acuan itu pada zahirnya. Pada batin dan penghayatannya, kita perlu usahakan sendiri. Tentang bagaimana untuk melahirkan khusyuk dan menetapkan fokus. Tentang perihal yang ghaib, memang langsung terus di perhati dan dinilai ALlah SWT. Kita ini insan yang dimuliakan apabila kita dipertemu dengan Ramadhan. Apatah lagi, kita akur dan amat sedar akan hinanya dan betapa bergelumangnya kita dengan dosa dan pelanggaran. Yang berdosa masih juga dijemput. Kasihnya Allah SWT kepada kita semua.

Salam Ramadhan. Rebutlah peluang!

Hari 1: Rebutlah Ramadhan ini!

Pada malam 1 ini kami diberi ingat bahawa Ramadhan ini adalah bulan yang istimewa. Di dalamnya kita berpuasa kerana melaksanakan perintah Allah SWT seperti yang difirman olehNYA di dalam ayat 183, Surah Al-Baqarah. Jadinya, puasa ini pun istimewa. Ia perintah langsung daripada Allah SWT dengan janji ganjaran yang amat hebat. Amal ketika Ramadhan pun tidak boleh diganti di bulan lain. Apabila terlepas, maka kita akan rugi selamanya. Memang secara hukumnya, puasa yang tidak terlaksana boleh diganti dengan puasa dan juga fidyah, tetapi daripada sudut fadhilatnya, kita tidak menjumpai ganti yang seumpamanya. Ia kekal tidak sama. Maka, Ramadhan ini mesti direbut di ketika ini, bukan ditangguh ke waktu dan kelapangan yang lain. Ramadhan adalah peluang untuk kembali kepada Allah SWT. 

Hari pertama juga adalah hari untuk menanam niat dan azam. Ramadhan yang bagaimankah kali ini? adakah Ramadhan ini akan berbeza ataukah ia menjadi salah satu peluang dan kesempatan yang tersia? Kitalah yang akan menjadi pemilih kepada penghujung ini. Allah SWT telah memberi izin kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan dan ini adalah satu anugerah yang hebat. Tidak kurang manusia yang ajalnya tiba sebelum masuk Ramadhan. Tinggal beberapa jam lagi sebelum Ramadhan, maka nyawa mereka diambil. Mereka tidak ditakdirkan untuk bertemu Ramadhan. Kita pula bagaimana? Apakah setelah terpilih untuk menjadi tetamu bulan berkah ini akan kita persiakan ia sahaja? Malanglah jika ini yang menjadi sikap kita. Pembuktian sikap adalah dengan penzahiran amal. Zahirkan kesyukuran kita dengan melakukan taat dan patuh kepada apa yang disukaiNYA dan bukan sebaliknya. 

Pada kesempatan ini, waktu pertukaran amal yang memberi kesan serta pengaruh yang tidak sedikit kepada ruh, minda dan jasad, hendaklah kita mempunyai sikap - biar amal itu sedikit, tetapi berterusan. Jangan terlalu ghairah, sehingga membawa lelah. Lelah yang membuat kita rugi dan mezahirkan penyesalan yang tidak akan ada penyudah.

Rebutlah Ramadhan ini!