Tuesday 8 July 2014

Hari 7: Kisah Adam dan Hawa

Bapa manusia, iaitu Nabi Adam AS dicipta oleh Allah SWT dan diberi tinggal di syurgaNYA. Diciptakan pula Hawa untuk menjadi peneman di taman yang abadi serta serba indah itu. Dan, kita semua pernah mendengar kisah Adam AS dan Hawa diturunkan ke bumi kerana pelanggaran memakan buah daripada pohon larangan Allah SWT. Di dalam banyak nikmat yang antaranya berupa pohon buah-buahan yang pelbagai serta segala bentuk nikmat, Allah SWT menetapkan ada satu pohon yang buahnya diharamkan untuk dimakan oleh Adam AS dan Hawa. Rupa-rupanya pada arahan Allah SWT ini terkandung begitu banyak hikmah untuk kita.

Adalah menjadi salah satu ibrah, bahawa di dalam kehidupan ini, perkara yang halal adalah jauh lebih banyak daripada yang haram. Dan di dalam yang halal itu pun, wujud larangan untuk memakan secara berlebih-lebihan. Yang halal apabila berlebihan boleh menjadi haram pada memakannya, bukan pada sifat buah tersebut. Ada pandangan menyatakan bahawa buah khuldi adalah nama yang diberikan oleh Iblis kepada buah pohon ini. Pada hakikatnya buah ini tidaklah haram dalam erti kata bahaya untuk dimakan. Kebiasaannya larangan haram pada makanan ini banyak pada daging berbanding buah-buahan. Lantas, ada pandangan bahawa yang dilarang adalah memakannya, bukan pada bahayanya buah tersebut. Iblis menjanjikan kehidupan abadi dengan memakan buah khuldi, sedangkan pada hakikatnya Allah SWT menjanjikan kehidupan abadi dengan tidak memakannya. Inilah sifat Iblis dan syaitan di dalam kehidupan. Mereka akan tampilkan perkara yang menyongsang kepada apa jua yang dijanjikan Allah SWT. Sama seperti dajjal yang akan membawa sifat yang sama kepada manusia di akhir zaman ini.

Ibrah kedua adalah perintah pertama kepada manusia oleh Allah SWT adalah di dalam bentuk larangan kepada manusia. Larangan yang berkait dengan anggota mulut iaitu memakan sesuatu. Inilah perkara utama yang perlu dijaga oleh manusia – mulut – ibu kepada nafsu atau lubang atas. Melalui mulut dan apa yang dimasukkan ke dalam mulut, pelbagai jenis amal perbuatan akan terhasil. Menjadi wajib untuk kita memerhatikan apa yang masuk melalui mulut kerana kesannya amat besar. Begitu juga, perhatikan apa yang keluar daripada mulut kerana kesannya juga tidak kurang besar. Nafsu menjadi kuat atau lemah dengan apa yang masuk melalui mulut – lubang atas.

Selepas Nabi Adam AS dan Hawa diturunkan ke bumi, mereka terpisah selama beberapa tahun. Ada sesetengah ulama menyatakan mereka terpisah selama 40 tahun. Dalam rayauan Adam AS dan Hawa, Allah SWT tetapkan mereka bertemu di Jabal Rahmah. Setelah pertemuan ini timbul rasa kasih Adam AS kepada Hawa. Lantas, datang pula perintah kedua daripada Allah SWT yang menetapkan Adam AS mesti menunai mabit di Mudzalifah dan Tawaf sebelum bersama dengan Hawa. Larangan kedua ini adalah untuk memperingatkan Adam AS untuk memperbanyakkan zikir kepadaNYA, dan menyekat perbuatan yang melibatkan anggota kedua, iaitu kemaluan – lubang bawah. Setengah ulama menggelar lubang bawah ini sebagai bapa nafsu. Ia mempunyai pengaruh yang besar kepada manusia. Namun, ia dapat dikekang apabila ibu nafsu (mulut) kita kekang dan sibukkan dengan zikruLlah. Kuncinya terletak pada kawalan kepada mulut kita. Atas sebab ini, para hujjaj ketika di dalam ihram untuk tawaf dan lain-lain, tidak boleh melakukan hubungan suami-isteri untuk memperingati larangan kedua kepada Adam AS dan Hawa. Bagi yang tidak menunaikan haji, Allah SWT anugerahkan bulan Ramadan. Ketika kita berpuasa selama sebulan ini, kita dapat kekang kehendak nafsu untuk makan, dan dapat pula mengekang kehendak nafsu untuk bersama isteri. Ini jugalah sebab mereka yang masih bujang dan tidak mampu untuk berkahwin disuruh untuk memperbanyakkan puasa sunat. Dengan berpuasa sunat, nafsu makan akan dikekang, dan ia juga secara langsung dapat mengekang nafsu-nafsu yang lain.

Ibrah ketiga adalah bahawa wajib kita melatih diri untuk mengawal nafsu dan tidak mengikut kehendaknya supaya kita selamat ketika di mahsyar nanti. Dalam konteks kehidupan ini, supaya nanti kita tidak mengikut kehendak nafsu ketika nazak atau ajal hampir tiba. Apabila manusia terbiasa dengan mengikut kehendak nafsu walaupun halal, maka pasti semakin susah untuk menolaknya dalam keadaan terdesak. Kita terlalu biasa untuk memuaskan kehendak nafsu maka kelak kebiasaan ini akan mencengkam jiwa kita. Pada hari ini juga, kita banyak beramal tetapi beramal di dalam nafsu dan keselesaan yang disukai oleh nafsu. Menjadi kebiasaan untuk kita mencari keselesaan sebelum mahu beramal. Akhirnya, nafsu masih mempengaruhi kita. Jika kita menilai semula kisah Bilal Bin Rabah, ketika disiksa oleh Tuannya. Bilal RA ditimpa dengan batu besar di padang pasir yang panas, namun mulutnya tidak putus berzikir – Ahad! Ahad! Ahad!. Zikir yang lazat sehingga melupakan kesakitan dan ketidakselesaan. Hari ini kita berzikir, dan kebiasaannya akan berhenti berzikir kerana keadaan panas atau tidak selesa. Ertinya, zikir kita belum lazat dan ia tidak dapat memisahkan kita daripada kehendak nafsu. Ada ulama dahulu yang berzikir di dalam liang lahat. Apakah seronok berzikir di dalam keadaan yang sempit, panas dan gelap ini? Pastinya tidak. Tetapi, mereka mahu belajar hakikat zikir yang lazat. Menarik bukan amalan manusia untuk mencapai erti lazat dan nikmat didalam zikir. Apabila ibu nafsu dapat kita kawal dan jaga, insyAllah bapa nafsu pun akan terkekang. Tentera-tentera nafsu yang lain juga akan ikut tunduk.

Ibrah keempat adalah pentingnya kita faham kesan lubang atas dan lubang bawah kepada nasib seorang hamba Allah SWT. Di dunia ini pun, jika kita menjaga kedua pancaindera ini, kita akan selamat. Apatah lagi di akhirat kelak. Kisah Nabi Adam AS dan Hawa adalah kisah melawan nafsu dan memastikan tindakan kita adalah atas perintah Allah SWT, walaupun nafsu tidak suka. Terkadang kita beramal dalam keadaan tidak bersemangat. Inilah keadaan yang payah. Tujuan akhirnya adalah mampunyai sikap bahawa kita beramal atas tujuan menunaikan perintah Allah SWT dan perintah Ar-Rasul SAW. Dan kita akan terus beramal, walaupun kita tidak bersemangat. Beramal di atas semangat akan merosakkan ibadah kita. Kisah Nabi Adam AS dan Hawa sifat dan perlakuan manusiawi yang akan berulang-ulang sehingga ke akhir zaman. Pada skala makro (masyarakat) dan mikro (individu), kitaran hidup ini akan terus diulang-ulang. Kita mesti melatih diri untuk mengawal nafsu. Kita biasakan nafsu dengan kesusahan dan kepayahan, sambil kita sentiasa memastikan kita beramal atas ketaatan, bukan kerana amalan itu tidak menggugah kehendak nafsu serta tidak memayahkan. Nafsu ini mesti dibiasakan dengan penolakan. Takut kelak kita akan tewas dalam permintaannya untuk maksiat dan keingkaran kepadaNYA.


Ini adalah sedutan tazkirah pagi yang ku peroleh daripada seorang ustaz yang tampak amat bersahaja dan tawaduk. Alhamdulillah, begitu banyak isi kepada tazkirah ini. Tidak lain tidak bukan, inilah bukti kepada kealiman sang Ustaz dan keikhlasan beliau. Amin. Ya Rabb.


No comments:

Post a Comment