Tuesday 14 May 2013

Kesibukan yang terisi makna!

Kita semua memang mampu untuk menyibukkan diri kita dengan kerja buat dan tuntutan hidup yang tidak pernah akan habis. Masa yang dianugerah oleh Allah SWT sering terasa amat singkat dan kita tertanya bilakah kita akan dapat kerehatan yang hakiki daripada semua taklif yang mendatang ini. Daripada pagi sehingga lewat malam, malah sesetengah kita sehingga ke awal pagi, masih bergelumang dengan tugas dan perlaksanaan amanah yang tidak putus. Terkadang kita terlena kerana keletihan dan kita terlelap kerana kepenatan yang tidak tertahan lagi. Beruntunglah kita apabila kesibukan kita itu di atas landasan amal yang betul dan mampu menyelamatkan kita di akhirat nanti. Amat rugilah kita pula apabila semua penat jerih itu akan jadi takungan amal yang sia-sia dek kerana ia semua semata atas tuntutan dan runtunan nafsu semata. Ya, penat yang tidak pernah sudah. Kelak disambung pula pula oleh penyesalan yang tiada penawarnya. Rugilah kita. Rugi yang teramat sangat.

Maka, apabila kita beramal dan bergerak di dalam hidup ini, pastikan ia kerana tujuan dan matlamat yang tulus lagi selamat. Niat yang tertancap semata-mata kerana mendambakan kasih dan redho Ilahi. Tujuan yang sebenarnya untuk keselamatan akhirat kelak. Ya, inilah manusia yang beruntung. Manusia yang bekerja sekuat semampu kudrat yang dianugerah Ilahi supaya kelak ia selamat di kala ramai manusia akan kecundang dan menjadi bahan bakar api neraka Allah SWT. Kala kita sedang melalui kehidupan ini, marilah kita sering memeriksa tujuan dan langkah yang diambil. Bukankah jiwa halus dan naluri jiwa dapat merasa apabila keangkuhan dan kesombongan sedang meraja? Bukankah perasaaan akan bergoncang apabila nafsu bermaharajalela dan kita melanggar batas-batasNYA? Bukankah kita tahu dan maklum betapa amal kita sedang menongkah arus fitrah serta sedang mengundang murkaNYA? Ya, kita semua sedar dan peka, namun nikmat duniawi mealpakan kita. Nikmat dan seronok di depan mata, mengabur pandangan yang tulus lagi mulia. Kita tewas disaksikan oleh makhluk ciptaanNYA, dan kelak makhluk yang sama akan menjadi saksi semua amal kita. Malangnya kita!

Kita akan masuk dan keluar daripada satu kesibukan kepada kesibukan yang lain. Inilah tanda kita masih hidup. Ada orang yang hidupnya dikawal oleh kerja dan tanggungan. Ia bergerak seolah robot-robot dan sistem automasi yang telah diprogramkan. Tiada penilaian dan siasat terhadap apa yang dikerjakannya. Ia seolah tuli, buta dan bisu terhadap hakikat kehidupan dan amanah yang hakiki.

Wahai hamba, kembalilah kepada fitrahmu! kembalilah untuk hidup di dalam aturan Iman dan aturan keamanan lagi sejahtera. Laluan ini telah ditunjukkan oleh Rasul SAW dan telah dirakam di dalam kitab yang mulia - Al Quran Al Karim. Marilah kita hidup dengan membawa makna dan memberi makna. Kita bergerak atas niat dan tujuan yang satu - semoga semuanya akan menjadi saksi kepada sifat dan rasa kehambaan dan semuanya akan menjadi dalil supaya kita dapat mencium haruman dan merasa kelazatan syurga Allah Azzawa Jalla. 

Ya..saya doakan kita semua akan selamat.

10.41am USM - Selasa

No comments:

Post a Comment