Friday 20 December 2013

Apakah kita akan kecewa lagi?

Hari Jumaat tiba lagi. Masa bergerak begitu pantas dan umur kita pun semakin berkurang. Berkurangnya peluang dan ruang untuk kita beramal untuk negeri abadi. Daerah zahir yang kita diami sekarang terkadang sering melalaikan kita daripada tugas hakiki. Kita terleka dan terlalu asyik dengan kenikmatan dan habuan dunia yang sifatnya amat sementara lagi transien. Kita kecapi dan ia berlalu dengan begitu pantas. Seolah tiada apa yang kita peroleh. Inilah hakikat dunia. Seperti air laut. Semakin diminum, semakin haus dan memeritkan. Namun, kita terus juga mengejarnya.

Begitu ramai yang membaca Surah Al-Kahfi sejak semalam lagi. Fadhilat dan ganjaran besar yang dijanjikan mendorong ramai untuk membacanya saban minggu. Ya, benar. Surah Al-Kahfi punya ganjaran yang hebat. Tapi, apakah kita memahami intipati Surah ini? Memahami dengan erti-kata untuk melaksanakannya di dalam hidup. Surah yang berkisar tentang dugaan dan cubaan fitnah yang pelbagai yang melanda umat Islam hari ini. Fitnah harta, fitnah ilmu, fitnah kedudukan dan contoh-contoh yang realisitik lagi mendekat kepada jiwa kita. Di akhir zaman ini, fitnah seperti hujan. Jika kita tidak basah pun, tempias hujan fitnah ini pasti terkena kepada kita. Maka payung apakah yang kita ada untuk melindung diri daripada hujan fitnah ini? Tidak lain tidak bukan, payung iman dan taqwa kepada ALlah SWT. Marilah kita benar-benar mentelaah dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Kahfi ini, dan tidak hanya berpada atau berpuas-hati dengan dapat membacanya saban minggu. Kita bukan burung kakak-tua. Kita manusia yang dikurniakan aqal, hati dan pancaindera. Berinteraksi lah dengan Surah Al-Kahfi ini, jangan persiakannya.

Di dalam hidup ini terlalu banyak kekecewaan yang dilontarkan kepada kita. Kita kecewa kerana merasakan kita lebih berhak kepada yang lebih baik. Kita merasa apa yang kita telah laksanakan berhak diganjari dengan lebih saksama. Kita kecewa kerana orang lain tidak bertindak seperti yang kita mahukan. Kita kecewa kerana harapan kita dimusnahkan oleh orang lain tanpa pertimbangan yang wajar. Kita kecewa kerana terasa sumbangan dan kudrat kita tidak diberi nilail. Ya, memang pada hakikatnya kita kecewa kerana kita berbuat untuk manusia. Bukan untuk yang Esa. Maka, padanlah dengan apa yang kita rasa. Berbuat untuk manusia, tapi mengharap ganjaran daripada yang Esa. Berbuat untuk yang Esa, insyAllah manusia pun akan berbuat ehsan kepada kita. InsyALlah. Ini benar!

Hari jumaat ini akan pergi lagi. Panjang umur kita akan berjumpa hari jumaat sekali lagi. Apakah kita akan berubah? apakah kita semakin mendekat kepadaNYA? Apakah kita akan kecewa lagi?




No comments:

Post a Comment