Friday 20 December 2013

Nafsu yang ada!

Manusia dikatakan ada 4 jenis nafsu. Unsur nafsu ini menjadi kemestian di dalam diri kita untuk memastikan kelangsungan kehidupan. Tanpa nafsu, kita akan menjadi seperti malaikat yang hidup tanpa nafsu. Apabila terlalu mengikut nafsu, kita akan hancur sifat kemanusiaan dan berlagak seperti binatang semata. Ya, nafsu itu perlu tetapi mesti dikendali BUKAN  mengendali.

Nafsu yang terendah sifatnya adalah nafsu ammarah. Ini nafsu yang bermaharajalela tanpa kawalan. Berbuat maksiat adalah kebanggaan. Mempamerkan maksiat adalah tujuan. Ya, nafsu ammarah tidak akan membawa manusia ke syurga Tuhan, tetapi setiap langkah menempah tempat di nerakaNYA. Nafsu ammarah ini dicela oleh Allah SWT kerana jauhnya ia daripada ketaatan, dan kuatnya salutan keengkaran padanya.

Nafsu yang sedikit kurang celanya adalah nafsu lawwamah. Ini adalah nafsu yang tercela. Ini kisahnya seorang hamba yang bergelumang dengan maksiat, dan sentiasa merasa sesalan apabila berbuat maksiat. Hamba ini tahu dosa itu tercela dan dimurkaiNYA. Justeru ia akan mencela diri apabila berlaku pelanggaran kepada perintahNYA. Nafsu yang mencela diri adalah peribadi yang berdosa, tetapi sedang mengorak langkah untuk mengubah keadaan.

Nafsu ketiga adalah nafsu mulhimah. Atau nafsu yang terdorong atau empunya ilham untuk berbuat taat dan kebaikan. Ia lebih berat kepada ketaatan dan tunduk kepada kehendakNYA. Ia masih berdosa namun daerah taat dan taqwa lebih kerap ia kunjungi berbanding keengkaran.

Nafsu yang terpuji adalah Nafsu Mutmainnah, iaitu nafsu yang tenang. Nafsu yang diredhoi oleh Allah SWT dan membawa empunyanya ke syurgaNYA. Jika kita membaca surah Al-Fajar, maka akan kita temui pujian RAB kepada hamba yang empunya nafsu yang tenang ini. Ia redho dan diredhoiNYA.

Apapun nafsu tidak berpisah dengan perlakuan kita seharian. Di mana pun kita, nafsu akan bersama kita - mendorong dan didorong. Kita dekatkan diri kepada sumber pencipta dan insyAllah selamatlah kita. Semakin jauh kita daripadaNYA, maka semakin kuatlah sang nafsu untuk bermaharajalela. Maka, berjaga-jagalah kita.


No comments:

Post a Comment