Saturday 4 January 2014

Tahun 2014...

Tahun 2014 telah tiba tanpa siapapun mampu menghalangnya. Begitulah tabiat masa dan umur manusia yang bergerak setiap detik tanpa ada yang dapat menahannya. Umur kita semua semakin singkat. Mungkin esok, lusa atau minggu hadapan masa kita di dunia yang fana ini sampai ke penghujungnya. Dan di ketika itu pasti, sudah pasti banyak sesalan di dalam diri kerana terlepas sudah peluang untuk beramal dan mempersiap bekalan untuk hari akhirat yang tiada penghujungnya. Ya, rugi pasti rugi kita semua. Kecuali mereka yang jalan hidupnya dipenuhi dengan amal dan ketundukan kepada Allah SWT. 

Tahun 2014 ini adalah peluang untuk kita sekali lagi. Bagi sesetengah orang yang umurnya sudah puluhan tahun di muka bumi, telah diberi peluang berulang-ulang untuk membuktikan kehambaan. Peluang demi peluang juga tersia dan berlalu begitu sahaja. Betapa banyaknya sesalan dan rasa kehampaan kelak. Yang terlebih rugi adalah mereka yang beramal dengan amal yang songsang dan membuat onar pula. Ya, jika kita hendak tahu samada amal kita betul atau songsang, tiada lain melainkan kita rujuk kepada petunjuk Allah SWT dan RasulNYA. Ya, ini sahaja jalan keselamatan. 

Tahun 2014 mesti dirancang supaya kita ada sasaran dan matlamat selama nafas masih turun dan naik. Sasaran yang jelas akan memudahkan perancangan dan tindakan. Sasaran yang terlalu umum dan samar, tidak akan membantu sesiapapun. Kita ini telah diberi bekalan dan modal untuk beramal, cuma kita yang telah memilih, secara sedar atau tidak, untuk tidak memanfaatkannya. Dan masa pun berlalu meninggalkan kita. Ya, apakah kita sudah menetapkan sasaran untuk 2014 ini? Jika belum, eloklah kita mula merancang dan meletakkan sasaran-sasaran kita.

Tahun 2014 mesti kita penuhi dengan amal yang sebaiknya. Masa kita semakin suntuk dan peluang ini mungkin tidak akan datang lagi. Ya, hanya Allah SWT sahaja yang tahu kesudahan kita. Ya Rabb, berilah kekuatan dan kesungguhan kepadaku.

Tahun 2014 ini pasti berbeza!





No comments:

Post a Comment