Monday 17 February 2014

Homo Sapiens...

Dah terlalu lama rasanya tidak ditulis apa-apa di laman sesawang ini. Terlalu banyak yang berlaku dan terlalu sempit ruang untuk dicatat kesemua pengalaman itu. Memang kehidupan ini menghidangkan kepada kita seribu satu macam pengalaman yang boleh diambil pengajaran. Kita perlu cuma memanfaatkan sedikit daripada masa kita untuk merenung dan berfikir atas pengalaman hidup yang telah kita lalui. Tafakkur yang sebentar ini jarang sangat merugikan kita. Berfikir dengan sedar supaya dapat digarap serta dijadikan pedoman untuk pilihan tindakan di masa hadapan. Kita sewajarnya memanfaatkan detik-detik peristiwa yang berlalu untuk membetulkan langkah sekiranya telah tersasar. Perlu juga mungkin untuk kita tegaskan dan kuatkan hayunan langkah supaya tidak mudah goyah dan disasarkan. Langkah-langkah kehidupan ini mesti digerakkan dengan kesedaran dan panduan Rabbani. Jika tidak, nafsulah yang menguasai.

Buat beberapa ketika ini aku sangat merasa ghairah untuk membaca buku-buku penulisan beberapa orang penulis terkenal lagi tersohor. Buah fikir mereka tampak menarik dan begitu lazat sekali. Ini semua menjadi makanan minda buat memaksa aku berfikir tentang kehidupan. Berfikir dan terus membanding upaya aku dan orang lain. Hebatnya akal kurniaan Allah SWT ini, manusia2 yang istimewa dapat melihat hebatnya peristiwa yang biasa-biasa bagi kita semua. Ia diolah dengan nilai dan buah fikir yang menjelmakan seribu pengajaran buat kita semua. Peristiwa yang biasa-biasa menjadi luar biasa dengan sentuhan tinta mereka. Si penulis yang menukar sudut pandang kita terhadap peristiwa dan seolah memaksakan rasa sanubari mereka ke benak kita. Ya, mereka sang pemaksa yang tidak jemu memaksakan sudut pandang mereka. Khususnya kepada insan marhaen seperti kita yang miskin nilai dan payah melihat indahnya kurniaNYA.

Terkadang aku berkhayal, mampukah aku menjadi seperti mereka, sang pemaksa budiman.?Daripada fikir ia membuahkan tekad, dan membulatkan azam. Dan apabila telah dibulatkan azam, ia akan tercurah kepada amal yang zahir lagi nyata. Ini lah yang semakin kontang hari ini, iaitu amal zahir yang lahir daripada buah fikir yang ranum. Acap kali yang terlihat adalah amal zahir yang kontang nilai dan pertimbangan. Proses fikir selalu datang terkemudian. Dan, sering juga diring dengan sesalan atas ketelanjuran. Amal yang lahir tanpa fikir akan selalu berakhir dengan sesal. Hukumnya mudah sahaja. Amal baik tidak berlaku tiba-tiba. Ia mesti disengajakan dengan niat yang terang di awalnya. Betul, ini semua anugerahNYA. Namun, manusia mesti menanam azam dan insyAllah ia akan meluruskan amal kerja buat. Oh, payahnya untuk kita berubah. Berubah kepada apa? Berubah kepada makhluk yang akan bertindak apapun setelah ia menilai dan ada diberi nilai fikir di atas keputusannya. 

Kita ini Homo Sapiens atau orang yang matang/bijak atau "wise man". Orang yang sedemikian wajarnya mempamerkan bukti kebenaran gelaran ini di dalam setiap tindakannnya.




No comments:

Post a Comment