Wednesday 28 January 2009

Kematian yang pasti hadir...

Kehidupan di dunia ini sememangnya tidak kekal. Bukti dan contoh bahawa hidup dunia ini adalah sementara ada di hadapan mata kita setiap hari. Apa juga perkara atau kehidupan yang kita lihat akan bertemu penghujungnya. Jika kita tengok sebatang pokok. Ia bermula dengan tunas yang kecil, kemudian ia membesar, semakin lama semakin kuat. Sampai satu ketika, ia cukup besar untuk menaungi kehidupan makhluk lain pula. Tapi akhirnya ia akan rebah ke bumi setelah diserang penyakit atau ditebang oleh manusia. Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Cuma kita tidak tahu bila dan bagaimana sesuatu itu akan berakhir.

Kita mungkin tidak boleh menentukan bila kita akan mati, tetapi kita mungkin boleh membuat pilihan untuk menentukan bagaimana kita akan mati. Akhirnya perkara ini berada didalam genggaman Allah SWT. Jika kita berazam untuk mati syahid di jalan Allah SWT, maka kehidupan ini mestilah hidup sebagai para syuhada'. Jika kita ingin mati dalam keadaan baik, maka hidup ini mesti dijalani dalam keadaan baik. Dunia tamsilan atau cerminan akhirat.

Kita terus bernafas kerana Allah SWT masih ingin memberi peluang kepada kita untuk membuktikan kehambaan dan cinta kita pada NYA. Bukan sebab kita pandai jaga kesihatan, atau kita tidak menghidap apa-apa penyakit, atau segalan sebab yang bersumber daripada perbuatan dan hasil tangan kita. Kita diberi peluang, lagi dan lagi. Inilah bukti cinta Allah SWT kepada kita semua.

Kematian akan membawa pelbagai kebaikan bagi yang tidak lupa padanya. Namun manusia sifatnya mudah lupa dan mudah juga melupakan. Lupa ini ada gunanya, tetapi jika semua kita lupa, akan mengundang mudarat pada dunia dan akhirat kita. Kita perlu kenal dan cintai kematian sebelum kita boleh benar-benar menghargai kehidupan. Sebelum kita benar-benar mati, kenali makhluk bernama maut ini, supaya kita akan sentiasa memberi makna kepada kehidupan yang sementara ini.

Temujanji kita dengan sang maut telah lama ada. Kematian perlu, kerana ia satu-satunya jambatan untuk ke akhirat. Samada ke syurga atau neraka Allah SWT. Sehebat-hebat manusia di dunia ini belum tentu ia ahli syurga, dan sejahat-jahat manusia ini juga belum tentu ia ahli neraka. Dengan syarat ia tidak mensyirikkan ALlah sampai hujung nyawanya. Kehidupan yang sehari lagi ini adalah peluang yang jangan dipersiakan.

Memang kita maklum tentang hakikat kita semua akan bertemu ajal. Tetapi bagaimana pula dengan persediaan kita? Bersediakah kita untuk bertemu Allah SWT, dengan membawa semua amal ibadah kita selama ini. Marilah kita bersiap sedia, agar perjalanan kita bertemu Allah SWT menjadi lancar dan dipermudahkanNYA.

Indahnya jika kita bertemu Maut dengan lidah kita basah memujinya. Indahnya jika kita bertemu Maut dengan badan yang penat dan lelah dengan usaha menegakkan dakwah Islam di muka bumi ini. Dan indahnya maut sekiranya kita disambut dengan keredhoan dan rahmat Allah SWT di sana.

Persiapkanlah dirimu, Maut sedang mengintaimu!

Allahua'lam
Shang-Ri-La Hotel Putrajaya
4.47pm

No comments:

Post a Comment