Friday 30 January 2009

Kesempurnaan yang dikejar...

Kesempurnaan di dalam hidup adalah idaman semua manusia. Mendapat segala yang dihajati adalah perkara yang kita dambakan. Walaupun segala yang kita mahukan itu tidak pasti lagi akan membawa kebaikan kepada kita. Ukuran zahir memang boleh menipu. Yang putih menjadi putih kerana tiada yang hitam padanya. Yang hitam tampak kehitamannya kerana ia gelap tanpa cahaya. Indah yang pastinya relatif.

Ukuran apa yang hendak kita gunakan untuk membeza? ukuran nafsu, ukuran aqal atau ukuran hati? Ukuran nafsu sentiasa membawa kita ke jurang kehancuran, jika tidak di kawal. Ukuran aqal memerlukan ilmu dan pengalaman. Ukuran hati pula akan mungkin jika hati itu bersih dan tidak kotor dengan maksiat dan pelanggaran. Maka ukuran apa lagi yang tinggal?

Bagaimana dengan ukuran Rabbani, atau ukuran Allah SWT? Bagaimana pula dengan ukuran Sunnah atau ukuran Rasul SAW? Ini lebih boleh dipegang dan dipercayai. Sekurangnya ukuran ini sempurna dan membawa keuntungan, di dunia dan di akhirat. Sekurang-kurangnya ukuran ini punya contoh pengamalnya. Ukuran yang tidak reput di makan zaman, dan tidak kering oleh kemarau. Ukuran hakiki lagi teruji.

Ukuran Rabbani ini sumbernya Al-Quran. Ukuran Sunnah sumbernya Rasul SAW. Sayap Rabbani dan Sunnah ini akan membawa kita terbang tinggi di langit. Meninggalkan karat-karat beban dunia yang dulunya merangkul kita. Terbang tinggi di langit keimanan dan ketaqwaan. Terbang menuju pencipta kita, dengan gah dan perkasa.

Namun itu masih tinggal sebagai harapan dan impian. Kita masih hidup di bumi. Kita masih memerlukan segala yang manusia bumi perlukan. Oleh itu segeralah berlari ke pada telaga Rabbani dan Sunnah yang tersedia sekian lama.

InsyAllah menjadi insan kamil mutakammil bukan mustahil. Yang penting sempurnanya kita di 'mata' Allah, bukan di sisi manusia.

Apa lah sempurnanya dunia ini?

Wassalam
Menanti azan dan khutbah Jumaat Al-Mubarak


Sambung lagi:

Pagi tadi sempatlah aku bertemu dengan beberapa pelajarku untuk slot pagi Jumaat. Ku peringatkan mereka tentang hakikat kehidupan ini. Setiap sesuatu ada permulaan dan hujungnya. Setiap kegembiraan tidak akan kekal, begitu juga segala bentuk kesedihan. Ia akan bermula dan ia akan berakhir. Hidup ini begitu juga. Tapi yang bezanya, kita akan hidup semula, dan tiada lagi hujungnya. Hidup yang tiada lagi kenal kematian. Bersediakah kita semua?

Petangnya, aku bertemu dengan rakan sejawat. Kuperingatkan diriku dan mereka akan indahnya syurga dan ngerinya neraka. Ayat 25 - 37, surah Al-Baqarah menjelaskannya. Kisah Nabi Adam A.S yang digoda oleh Syaitan LaknatuLlah dan dikeluarkan daripada syurga. Dunialah tempat ujian dan perjuangan untuk kembali ke syurga semula. InsyAllah minggu hadapan, kami berjanji untuk mentelaah 3 ayat Surah Al-Mulk. Pendinding azab kubur.

Malamnya aku bersama para remaja, anak2. Bertanya tentang kalimah syahadah dan ertinya. Kerapnya kita ucapkan kalimah ini setiap hari, tapi samada kita fahami tuntutannya, satu hal lain. Anak2 tahu perkara ini. Mereka tahu ertinya. Aku telah tahu ertinya, tapi belum pasti aku menunaikan segala tuntutannya. Anda bagaimana?

Kemudian kami semua sama2 menyaksikan kartun "Syukur dan Kufur" - episod akhir, dalam bahasa Indonesia. Interesting.. Kemudian sambung pula dengan kartun "Surga di bawah kaki Ibu" - kisah Al-Qamah. Ini pun berhenti tengah jalan - sambung minggu hadapan. Ini nak pastikan anak2 akan datang minggu hadapan. Seronok buat program ini. Terisi malam jumaatku. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Andainya hari2 ku sedemikian, alangkah manisnya kehidupan ini. Biar berbakti itu menjadi rutin harian kita semua. Apa lagi yang nak buat di dalam hidup ini jika tidak membawa manfaat dan kebaikan? Tak puas lagikah kita memenuhkan kehendak perut dan hawa kita?

Ya Allah hidup dan matikanlah aku di jalan jihad dan perjuangan. Amin...


No comments:

Post a Comment