Tuesday 10 February 2009

Biarpun sebiji kurma...

Rupa-rupanya kelak di padang mahsyar, ketika kita semua sibuk menghitung amal kebaikan dan pahala yang kita telah kumpul, pahala sebiji kurma akan menjadi amat berharga. Matawang di 'sana' nanti adalah matawang pahala, yang telah kita kumpul ketika hidup seketika di dunia ini.

Hari ini bersedekah dengan sebiji kurma bukan amalan terhormat, malah manusia akan memandang kita dengan pandangan sinis lagi menghinakan. Ada ke sedekah sebiji kurma? teruknya orang ni. Begitulah agaknya terjemahan daripada pandangan mata mereka.

Di saat pahala kita dihitung, semua amal kebaikan akan tampak bernilai dan berharga, biar manusia menilainya picisan belaka. Sebiji kurma lah perumpamaan yang diberi. Aku yakin di zaman Rasulullah SAW lagi, sebiji kurma ini melambangkan nilai yang kecil dan hampir tidak berharga. Tapi inilah nilaian amal kebaikan sekecil sebiji kurma. Berharga sekali.

Berapa biji 'kurma kebaikan' dan amal yang mampu kita lakukan di saat dan waktu ini? Berapa banyakkah luang masa dan lebihan rezeki yang terkumpul percuma? Sedang bekal pahala kita masih sedikit berbanding dosa dan pelanggaran kita. Kita harapkan syurga, tapi amalnya tak sepertinya.

Pahala adalah satu-satunya matawang yang boleh digunakan untuk menebus dosa-dosa kita. Pahala yang boleh datang daripada pelbagai saluran dan jalan ketika kita hidup di muka bumi ini. Seperti mana kita perlu berusaha dan bekerja untuk mendapat matawang dunia, iaitu wang ringgit buat membeli keperluan harian kita, begitulah sepatutnya pemahaman kita tentang pahala. Kita perlu berusaha dan bekerja untuk mendapatkannya.

Marilah kita sedekahkan 'kurma-kurma' kebaikan ini, walaupun sebiji semata. InsyAllah ia akan menyelamatkan kita di sana. Amin

Jangan pandang rendah pada amal kebaikan, biar sekecil manapun!

Allahua'lam

9.49pm - Selasa (
Usrah cancel)

No comments:

Post a Comment