Sunday 1 February 2009

Di mana hujung perjalanan? Mulia atau Hina...

Bila kita merenung kehidupan manusia ini, amat jelas sekali betapa manusia sentiasa mengharapkan kemuliaan dan ketinggian. Sesetengan daripada kita sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapat pujian dan pandangan tinggi daripada manusia lain. Hatta pengorbanan harta, masa dan terkadang maruah boleh sahaja dilakukan asal sahaja pangkat dan kemuliaan manusia diperoleh.

Namun manusia ini nilaiannya cepat betul berubah. Hari ini kita dipandang mulia, esok mungkin kitalah manusia yang paling hina pernah mereka kenali. Rasa kemuliaan dianugerah oleh orang kerana bakti dan budi yang kita curahkan. Bakti dan budi ini mungkin berbentuk sementara, tapi itulah hakikatnya yang mereka mahukan. Perkara yang fana dan akan hancur.

Atas sebab itu, hari ni, sang perompak mulia kerana mereka ada wang. Si pembesar mulia kerana mereka ada pangkat. Si penyanyi mulia kerana suara mereka yang merdu. Si ratu mulia kerana wajah dan tubuh yang menggoda. Tapi semuanya atas sebab yang sementara. Tiada yang kekal. Semuanya akan hancur.

Hak memberi mulia dan hina, hakikatnya pada Allah SWT. Allah SWT boleh menaikkan darjat seseorang dan juga menjatuhkan mereka hina. Di dunia dan juga di akhirat nanti. Kita mulia dan hina sebenarnya anugerah daripada Allah SWT. Yang penting nilaian Allah SWT, bukan makhlukNYA. Tidak penting apa nilaian manusia. Kalau pun kita mulia di sisi manusia, tapi hina di sisi ALlah, kita tetap rugi. Apatah lagi jika kita hina di mata manusia dan di sisi Allah SWT. Malang sungguh kita.

Kalau kita boleh marah dan suka semata-mata kerana Allah SWT. Hebatnya kita. Biasanya kita mudah marah jika orang lain hina diri kita, atau apa yang ada pada kita. Macamana pula kalau orang hina agama kita? Marahkah kita? Terbakar tak jiwa kita? Mahu kah kita pertahankan kemuliaan agama ini?

Yang pasti nya untuk mendapat kemuliaan, marilah kembali kepada Allah SWT. Nescaya kemuliaan dan ketinggian akan datang berlari. Marilah kembali kepada Sunnah Rasul SAW, jika kita ingin mencapai kemuliaan seumpama baginda dan para sahabat RadiAllahuanhum.

Jalan-nya berliku dan dugaannya pelbagai.

Biar kita miskin harta, tapi kaya jiwa

Biar kita kecil hina di mata manusia, tapi Allah kasih dan redho pada kita.

Biar mereka leka nikmati lazatnya dunia, tapi kita mendapat nikmat syurga.

Hidup berjuang, dan terus berjuang!

Wassalam

No comments:

Post a Comment