Monday 9 February 2009

Bergolaknya kepimpinan..

Sejak dua menjak ini suasana dalam negara terasa huru-hara dan tidak keruan. Mana tidaknya, apabila kebenaran dinafikan dan kepalsuan dinobatkan. Perkara kepalsuan ini tidak mudah untuk diselindung. Yang benar pula tidak semudah itu untuk ditekan. Pasti ada pejuang kebenaran akan muncul, sepastinya ada penegak kepalsuan di dunia ini.

Sebagai marhaein yang melihat lakonan para aktor (dan aktres) pentas politik ini, kita amat sedar dan peka akan siapa benar dan siapa salah. Mereka boleh terus bersandiwara dan berusaha untuk mengelabui mata rakyat, sedang hakikatnya lakonan mereka tampak kaku dan tidak 'real'. Walaupun 'prop' untuk lakonan telah begitu banyak dan sedia untuk digunakan. Itulah buktinya mereka ini manusia-manusia durjana yang akan terbongkar jua kepalsuannya di akhirat nanti.

Mengukur kejayaan kepimpinan bukan boleh dibuat dengan umur manusia, tetapi mesti diukur dengan hayat ummat. Hari ini tampaknya dia gagal, tetapi ummat sebenarnya beruntung yang amat sangat. Khalifah Umar Bin Abd Aziz memerintah kerajaan Islam tidak lebih dua tahun, tetapi kehebatan kepimpinannya disebut orang sehingga ke benua ini dan ke hari ini. Kepimpinan akan dinilai dan dihukum oleh massa. Pelik tapi inilah kebenarannya.

Setiap kita akhirnya akan dinilai berdasarkan amal kita dan sejauh mana amanah yang terbeban di pundak kita laksanakan sebaiknya. Pujian manusia akan menjadi laknat sekiranya kita tidak memimpin berlandaskan ketaqwaan dan keimanan kepada ALlah SWT. Berapa ramai nanti sahabat karib di dunia yang akan mencerca dan memusuhi rakannya di depan Allah dek kerana bersahabat kerana dunia, bukan Allah yang Esa.

Dakwah (Seruan kepada Allah dan Rasul dan Islam) tiada kekuatan tanpa Jamaah. Jamaah tiada haluan tanpa Qiadah (kepimpinan), dan Qiadah tiada makna tanpa Taah (ketaatan) para pengikut. Namun, barang diingat, ketaatan mesti diraih (earn) bukan dituntut (not ask for). Pengikut akan taat sekiranya kepimpinan benar dan tulus. Taat akan lahir sekiranya perjalananan hidup dilandas atas keadilan, kesaksamaan dan kebenaran.

Kehidupan ini akan terus berjalan, menghabiskan sisa-sisa umur dunia yang berbaki. Apapun setiap amal kita akan kita tatapi kembali. Berilah makna kepada kehidupan ini. Tinggalkan bekas-bekas amal di dunia ini, kerana inilah bukti ketundukan dan ketaatan kita kepada Ilahi kelak.

5.53 petang. Isnin

No comments:

Post a Comment