Sunday 13 March 2011

Hebatkah manusia?


Adakah di dalam hidup ini kita pernah merasa hebat dan berkuasa? Ataupun rasa bijak dan punya kekuatan yang digeruni manusia lain? Setidaknya merasa hebat dan punya kelebihan berbanding ramai orang yang disekeliling kita. Bagi individu yang Allah SWT kurniakan kelebihan intelek, harta, kedudukan dan seumpamanya, tentunya lintasan-lintasan sedemikian sering hadir. Walau sering kita tepis, ia sering datang untuk menggugah rasa diri dan nilai kita sebagai manusia. Ditambah pula dengan pujian daripada manusia-manusia di sekitar. Sememangnya rasa dipuji dan disanjung ini sering terasa menyeronokkan dan mengasyikkan. Sehingga bukan sedikit orang yang terlupa hakikat kejayaan dan nilai pujian yang hakiki.

Sememangnya pujian dan kata-kata sanjungan adalah faktor "feel good" yang semua kita idamkan. Ya, pujian adalah lebih baik daripada kutukan dan sindiran sinis. Dan pujian juga adalah kata-kata baik yang sepatutnya kita ucapkan untuk mendorong satu sama lain agar terus beramal. Tetapi hendaklah yang memuji berkadaran di dalam pujiannya. Yang dipuji pula jangan terasa besar keterlaluan dengan kata-kata tersebut, malah perlu selalu ingat bahawa pujian dan sanjungan adalah lubang2 yang boleh menyebabkan kita lupa kepada sumber semua kejayaan dan empunya sanjungan, iaitu Allah SWT. Justeru, bila dipuji, kita segera kembalikan semuanya kepada Allah SWT. Apabila kita sedar kejayaan adalah anugerah Allah SWT, dan kita tidak melupakan hakikat ini, maka semakin dekatlah kita kepada kejayaan yang hakiki, iaitu mardhatiLlah atau keredhoan Allah SWT. Namun apabila dikutuk atau diberi kata-kata nista, maka cepat2lah kita bersabar, dan ambil iktibar daripada kata2 kutukan tersebut. Mungkin ada benarnya. Seperti kata hukamak, pada kata2 musuh itulah kitalah boleh mendapat pengajaran tentang kelemahan dan kekurangan kita.

Besar atau kecil manusia ini apa ukurannya? Jika diukur kepada sifat fizikal manusia, maka kita adalah makhluk yang terlalu kecil berbanding alam semesta yang luas ini. Hatta, bumi yang menjadi kediaman sementara kita ini pun adalah planet yang terlalu kecil berbanding jutaan bintang-bintang dan galaksi yang menghiasi alam semesta ini. Maka, secara fizikal, manusia ini terlalu kerdil. Tamsilannya seperti sebutir pasir yang pantai yang amat2 luas. Apakah nilai sebutir pasir kepada pantai yang luas? Tidak ada nilainya atau sifar nilai. Jika bandingan sesama ciptaan atau makhluk pun, kita ini terlalu kecil, apalagi berbanding Tuhan atau Allah SWT yang mencipta kita. Maka bagaimanakah mungkin seorang manusia boleh menentang Allah SWT? Bagaimana mungkin seorang manusia lupa dan mengabaikan penciptanya? Bagaimana mungkin seorang manusia terlupa terhadap betapa pemurah dan pengasihnya Allah SWT? Pastinya di mata hati manusia ini telah tertutup dengan lapisan hitam lagi pekat, lantas membutakan dia kepada cahaya hidayah dan kebenaran Tuhan yang terlalu cerah.


Manusia ini terlalu kecil. Kejayaan kita ini pula terlalu kecil berbanding hebat dan agungnya ciptaan Tuhan. Namun, pada sisi manakah manusia boleh menjadi benar2 hebat dan agung? Jawapannya adalah pada sisi keimanan dan kehebatan ruh yang beriman dan tunduk kepada ALlah SWT. Atas sebab inilah insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah telah di kenal di alam langit ketika baginda isra' dan mikraj. Semua malaikat telah tahu dan maklum berkenaan Muhammad yang akan diutuskan. Mereka semua ternanti-nanti saat tersebut. Maka pada sisi iman dan ruh yang tunduk kepada ALlah SWT, manusia menjadi makhluk yang dimuliakan. Mengatasi malaikat dan semua yang lain. Di catat di dalam kitab Seerah bahawa ketika Ar-Rasul SAW mikraj atau naik ke langit ke pertama dan seterusnya, bersama Malaikat Jibril, malaikat penjaga pintu langit akan bertanya kepada malaikat Jibril soalan yang sama, iaitu "Siapakah yang bersama kamu?", maka dijawab malaikat Jibril "Muhammad", dan akan disusul dengan pertanyaan: "Apakah Muhammad telah diutuskan?". Lihatlah, mereka telah maklum, dan bukannya bertanya "Siapa Muhammad?". Inilah bukti bahawa manusia boleh menjadi hebat.

Mahukah kita menjadi mulia dan hebat? Maka, jadilah kita hamba Allah SWT yang sebenar-benarnya. Jadikanlah pencinta Rasul yang paling hebat, atau sekuat mungkin. Apabila Rasul kita cintai sesungguhnya, maka Allah SWT pasti kan kurniakan cintaNYA pula. Amin.

Manusia menjadi hebat kerana berjaya menakluk hawa nafsu dan menepis godaan duniawi, dalam kembara untuk bertemu dengan Sang Pencipta. Inilah hakikatnya.

Allahua'lam


No comments:

Post a Comment