Sunday 27 February 2011

Kita mesti OPTIMIS!

Cabaran utama kita pada hari ini ialah untuk memastikan masa dan peluang yang kita ada pada hari ini dimanfaatkan sebaiknya. Yang pasti, semua nikmat dan peluang mempunyai jangka hayat yang tertentu. Sampai masa, ia akan berlalu. Pada apa juga yang kita ada hari ini, semuanya akan luput. Baik perkara-perkara kecil, apalagi perkara-perkara besar. Malangnya, kita sedar dan amat peka kepada nikmat dan peluang yang besar, tetapi nikmat dan peluang yang kecil jarang kita sedari kwujudannya. Padahal, urusan dan anugerah yang dianggap kecil inilah yang akan menyala permulaan banyak kesulitan dan masalah kehidupan.


Apapun, kehidupan ini tidak akan lari daripada masalah dan kesulitan. Malah dengan permasalahan dan kesulitan, kita mendapat dorongan untuk terus memperbaiki dan berusaha untuk mencapai tahap atau keadaan lebih baik. Maka, apa juga masalah, pada sudut yang positif, adalah anugerah untuk dorongan kebaikan. Dan di dalam perjalanan hidup ini, kita melakukan banyak usaha dan ikhtiar, merancang dan berwaspada, agar kita tidak ditimpa musibah. Hidup tanpa musibah dan masalah adalah baik dan sejahtera, tetapi sekiranya hadir masalah dan musibah, maka terbukalah jalan untuk kita ikhtiarkan gerak laku kehidupan yang lebih baik.


Asas yang utama adalah selamanya kita jangan putus-asa atau putus-harap. Putus-asa menjadikan manusia hilang keinginan dan keazaman untuk terus hidup dan berusaha. Putus-asa adalah racun yang merosakkan hidup manusia. Apabila putus-asa, manusia hilang rasa untuk hidup. Malah terkadang dirasa kematian adalah lebih baik, walaupun sebenarnya ia sendiri tidak pasti apa yang menantinya di alam kematian nanti. Putus-asa perlu diputuskan atau dibuang daripada kamus hidup kita. Merasa sedih bukan putus-asa. Merasa sedih atas musibah malah sepatutnya mendorong kita untuk terus berusaha dan membawa perubahan lebih baik.


Mengapa kita putus harap kepada kehidupan?


Kemungkinannya adalah kerana kita merasakan segala peluang dan kesempatan telah terlepas daripada genggaman kita. Kudrat, kekuatan dan modal yang ada pula terasa terlalu daif dan tidak mantap. Pada sudut ilmu dan pengetahuan, terasa kita masih kosong dan jahil. Pada sudut fizikal, terasa kita telah terlalu tua untuk menanggung semua cabaran yang ada, apalagi cabaran yang besar di hadapan. Lantas, semua kekangan ini mematikan hati dan keazaman kita. Putus harap kita pada semuanya. Benarkah ini hakikat keadaan kita?


Apa peluang kita masih ada?


Ya, sedarlah, bahawa selagi kita masih bernyawa dan nafas masih menghela, peluang masih terbuka. Kita garap apa yang ada. Para ahli hikmah berkata, jika tidak dapat semua, jangan ditinggal pula semuanya. Ambil kesempatan yang ada. Untuk membuat perubahan yang besar, ia mesti dimulakan dengan tindakan dan perubahan yang kecil. Perubahan mendorong perubahan. Kejayaan menatijahkan kejayaan. Peluang sebenarnya sentiasa terbuka di hadapan kita. Apa yang perlu adalah kesediaan kita untuk menerima atau merebutnya. Jika boleh diumpamakan, kesempatan dan peluang ini adalah seperti pancaran siaran radio yang sentiasa ada, cuma kita mesti memastikan antenna kita dapat disejajarkan dengan frekuensi peluang dan kesempatan itu. Buatlah persediaan yang sewajarnya, dan manfaatkan antena anda untuk mendapatkan saluran "peluang dan kesempatan" itu. Rezeki datang apabila syaratnya telah kita penuhi.



Apa titik tolaknya?


Titik tolak utama adalah rasa yakin dan berbaik sangka dengan pencipta, iaitu Allah SWT. Qalbu atau hati ini mesti yakin kepada besarnya rahmat dan anugerah ALlah SWT. Biarlah setua mana, atau selemah mana, atau sejahil mana kita rasakan, rahmat dan bantuan ALlah SWT sentiasa ada. Yakinlah, dan terus berusaha. BantuanNYA masih ada untuk kita. Amin. InsyALlah.




No comments:

Post a Comment