Friday 4 February 2011

Kuliah Online MASAF(11): Generasi muda dan perubahan

Di dalam sejarah dunia, perubahan adalah faktor yang tetap dan sentiasa berlaku. Perubahan yang terkadang membawa kepada kebaikan dan keuntungan, namun ada juga perubahan yang semakin merosakkan suasana sedia ada. Proses perubahan adalah salah satu kitar kehidupan yang akan terus berjalan. Ini samada di peringkat individu sehinggalah peringkat masyarakat, negara dan dunia umumnya. Perubahan juga adalah sisi hidup bagi semua perkara, hidup atau tidak hidup. Setiap perubahan boleh berlaku secara natural atau ia boleh juga diarahkan. Di sinilah peranan manusia untuk menilai dan memastikan bahawa perubahan akan terarah, dan semakin memurnikan keadaan, dan bukan sebaliknya.

Sekiranya kita melihat kedudukan kita sebagai muslim, mukmin, maka kita menginsafi dua peranan yang kita sedang pikul, dan memerlukan perbuktian. Satu sebagai hamba Allah SWT dan satu lagi sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Dua peranan ini adalah untuk melaksanakan tugas beribadah kepada Allah SWT dalam konteks pembuktian kita adalah hamba Allah SWT, dan satu lagi untuk membangun serta memelihara alam dalam konteks kita sebagai khalifah (wakil) Allah SWT - mentadbir bumi ini. Semuanya sudah pasti di dalam kerangka ibadah kepada Allah SWT. Tugas ini bukan mudah dan memerlukan sumber kekuatan yang berterusan. Pastinya kerangka ibadah ini mestilah dalam kerangka Islam dan kerangkan iman kepada ALlah SWT.

Muhammad Asad di dalam bukunya "Islam at the crossroads" telah menyatakan bahawa Islam adalah agama atau anutan yang tidak membebankan kepada umatnya, melainkan apa yang mampu dilaksanakan oleh manusia jua. Kerangka kehidupan di muka bumi ini hanyalah Islam. Bagi orang yang beriman dan tunduk kepada Allah SWT, tiadalah kerangka lain yang mampu untuk membawa manfaat dan kemakmuran kepada umat manusia melainkan kerangka Islam. Semuanya dinilai dan ditimbang di dalam kerangka Iman/Islam. Ini yang akan membawa kita sentiasa dekat kepada Allah SWT, dan kejayaan hakiki.

Sistem kehidupan ini pelbagai, dan selagi manusia masih memilih sistem atau kerangka selain Islam, maka yang akan hadir bukannya kejayaan, tapi kemudaratan dan kemusnahan. Malangnya kemudaratan ini tidak akan sahaja berakhir di dunia, malah sampai ke akhirat. Oleh itu sebarang perubahan mestilah ada sandarannya. Samada di peringkat individu atau negara, sebaiknya adalah sandaran/kerangka perubahan berlandaskan batas2 Islam. Jika tidak perubahan akan hanya semakin menyesakkan. Oleh kerana perubahan adalah tabie, adalah sewajarnya kaedah perubahan juga yang berdasarkan tabiat alam.

Pendokong utama gerakan perubahan adalah generasi muda. Sejarah naik dan turun semua tamadun banyak memberikan contoh bagaimana generasi muda memegang kunci kejayaan bagi perubahan ini. Dalam era moden ini, kita telah menyaksikan kejayaan generasi muda di Indonesia untuk menjatuhkan kuasa pimpinan yang korup pada beberapa tahun yang lepas. Kini, kita sedang menyaksikan kuasa dan impak generasi muda kepada revolusi politik dan pastinya revolusi sosial di Tunisia dan Mesir. Inilah kitar perubahan yang tidak boleh lagi ditolak atau disekat lagi. Ia seperti empangan besar yang telah pecah, dan siapa yang menghalang pasti akan musnah. Inilah generasi muda yang sebenarnya menjadi kunci perubahan dan peralihan kuasa kepimpinan, insyAllah. Di dalam Al-Quran kita melihat kisah perubahan yang dibawa oleh Ghulam atau pemuda - iaitu di dalam Surah Al-Buruj. Inilah rakaman kisah perjuangan dan pengorbanan iman seorang pemuda yang berilmu dan berani, yang akhirnya membawa sinar iman kepada satu ummah. Satu nyawa untuk bawa iman kepada satu ummah. Satu gantian yang amat tinggi nilainya.

Generasi muda adalah generasi pengganti dan penerus yang mesti terus mempersiapkan diri untuk menggalas tugas murni ini. Sekiranya kita ingin melihat kejayaan atau apakah kemungkinan masa hadapan bagi sesuatu umat, maka lihatlah generasi mudanya. Dua nikmat yang sering manusia persiakan adalah nikmat kesihatan dan masa lapang (sebagaimana sabda Nabi SAW), dan golongan muda umumnya mempunyai dua nikmat ini. Golongan muda mestilah mengambil segala tindakan yang perlu untuk memastikan mereka mampu untuk menyumbang kepada perubahan umat. Pemuda sebagai sumber penyelesaian umat dan bukannya punca masalah di dalam umat. Sejarah perjuangan Islam daripada zaman Nabi SAW menunjukkan bahawa risalah Rasul didokong oleh ramai golongan orang muda. Yang sungguh beriman dan tinggi semangat untuk memperjuangkannya. Pada bahu generasi muda terpikul tanggungjawab untuk meneruskan proses membawa umat kepada kebaikan yang hakiki, dan mengeluarkannya daripada kemelut yang sedang melanda.

Islam adalah satu sistem kehidupan yang meletakkan manusia pada kedudukan yang sewajarnya. Islam juga memastikan kerangka kehidupan yang seimbang antara keperluan dunia dan matlamat untuk kehidupan akhirat. Golongan muda adalah golongan yang paling perlu untuk mendokong Islam. Walaubagaimanapun hendaklah diinsafi, hebat atau tidak nya Islam bukan dengan jumlah pengikutnya. Manusia yang memerlukan risalah Islam, bukan sebaliknya. Generasi muda adalah generasi yang perlu bersama dengan proses tarbiyyah dan pendidikan yang berterusan. Dengan setiap perubahan, ada corak dan dugaan yang pelbagai, maka generasi muda perlu diperkuatkan dengan ilmu, kefahaman serta kekentalan ruh, minda dan fizikal.

Generasi muda adalah kunci kepada semua perubahan. Jika hendakkan perubahan, maka usahakanlah Islah atau pembaikian ke atas generasi muda.

Allahua'lam

Rue De La Vieille Intendance - Mplr.

No comments:

Post a Comment