Tuesday 1 February 2011

Sumbu perjuangan

Semua insan mahukan keamanan. Hanya dengan keamanan dalam hidup akan memungkinkan kebahagiaan yang sebenar. Apabila keamanan yang diidamkan diambil dan dinafikan maka tidak ada jalan lain melainkan keamanan perlu diambil kembali. Tetapi tidak semua yang sanggup membuat pengorbanan di atas keamanan yang mahu diambil semula. Ada insan yang telah lama mengambil sikap menerima seadanya dan lebih rela untuk hidup dalam kehinaan.

Bagaimana dengan kita? Apakah hidup kita mulia atau sebaliknya?

Kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir adalah manifestasi naratif penghinaan kehidupan oleh pemerintah yang telah lama lupa hak rakyat dan tanggungjawab pemimpin. Akhirnya penghinaan dan penindasan selama ini tidak lagi tertanggung, maka kebangkitan rakyat ini adalah perkara yang tabi'ie.

Perjuangan hidup adalah usaha untuk memastikan maruah dan harga diri terpelihara. Inilah peranan pemimpin. Mereka wujud untuk membela rakyat, bukan rakyat menjadi hamba.

Inilah titik perubahan yang akan terus berjalan. Apabila sampai ketikanya tiada siapa yang dapat menghalang. Jadikanlah semangat dan kesungguhan para pejuang di Tunisia dan Mesir sebagai sumbu penyala perjuangan di dalam diri kita. Lebih baik mati mulia dari hidup terus terhina. Lebih baik berputih tulang dari berputih mata.

No comments:

Post a Comment