Saturday 26 February 2011

Qalbu yang terurus...

Potensi-potensi yang ada pada makhluk bernama manusia ini sememangnya hanya menanti saat dan suasana yang sesuai untuk diledakkan. Ledakan yang telah terbukti boleh memakmur, malah di sudut yang lain boleh menghancurkan dunia ini. Adilnya Allah SWT memberikan amanah sebagai pengganti (khalifah) Allah SWT di mukabumi dan hamba Allah SWT, sepanjang hayat yang pendek di mukabumi ini, adalah dengan perbekalan potensi-potensi yang amat hebat.

Apakah potensi-pontensi tersebut? Yang jelas potensi itu adalah potensi fizikal, potensi aqal dan potensi qalbu. Semua potensi ini penting, tetapi ada yang terlebih penting, dek kerana peranannya. Potensi Qalbu adalah yang paling utama untuk diuruskan dan dipelihara (dan dipulihara) sebaiknya. Ini kerana Qalbu adalah raja kepada anggota tubuh yang lain. Tentera tubuh ini tidak akan sesekali engkar kepada kehendak Qalbu. Ini atas dasar sifat tabie bukan pilihan. Qalbu jugalah yang akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat nanti – samada ia sejahtera atau tidak. Allah SWT menyatakan di dalam Surah As-Syua’ara, ayat 89.

"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang mengadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)”

Bukankah perilaku zahir ini amat terkesan dengan kesihatan qalbu kita? Ada harinya, badan kita sihat, ilmu kita pun semakin mantap, tetapi rasa hati kita amat gundah dan bercelaru. Air yang manis terasa tawar. Bumi yang luas terasa sempit. Rezeki yang melimpah terasa sedikit. Ini natijah daripada qalbu yang tidak sejahtera. Atau Qalbu yang marid atau sakit. Apabila qalbu sakit, maka potensi-potensi lain pun akan terkesan. Badan yang sihat lagi sasa dan ilmu yang banyak akhirnya terpakai pada amal yang mungkar. Malanglah empunya qalbu ini.

Qalbu kita adakah telah terurus? Sihat atau sakit? Sejahtera atau tidak? Nyaman atau menyesakkan?

Tidak ada jalan lain untuk mensejahterakan qalbu kita, melainkan jalan Alllah SWT, jalan Rasul SAW, jalan Al-Quran dan As-Sunnah. Jalan-jalan selainnya hanya fatamorgana yang memperdayakan. Kita mengimpikan sejahtera, tetapi bala yang tiba. Jalan zikruLlah adalah jalan tabiat harian yang akan menjaga qalbu kita. Jalan Sunnah adalah penampilan hakiki dalam kehidupan manusia yang menjadi qudwah/contoh terbaik. Bukankah Allah SWT telah menyatakan di dalam Surah Ali-Imran, ayat 31:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Cubalah sehari jika anda tidak percaya atau ragui jawapan ini. Cubalah seminggu. Cubalah sebulan. Dan sekiranya qalbu anda terasa berubah (dan pastinya ia akan berubah), maka teruskan mencuba sehingga akhir hayat anda!

Pada hakikatnya agama dan risalah iman ini bukan untuk dicuba-cuba. Ia mesti dihayati dengan yakin. Barulah ia menatijahkan hasil. Apabila kita yakin sesuatu akan berjaya, maka kejayaan semakin menjadi nyata. Begitulah sebaliknya. Apa juga amal atau kerja yang kita lakukan. Mesti ada keyakinan dan sifat optimis. Dan, selayaknya kita yakin dan optimis dengan jawapan Allah SWT dan Rasul SAW ini. Kita hendak yakin dengan apa lagi?

Marilah kita uruskan qalbu kita sebaiknya. Kita bahagia atau derita terikat dengannya.

Allahua’lam

No comments:

Post a Comment