Sunday 17 April 2011

Manhaj Allah SWT untuk siapa?


Hukum alam adalah sistem ciptaan Allah SWT yang telah lama memungkinkan kitaran alam dan hidupan di atas berjalan dengan sempurna. Manusia sejak zaman berzaman, malah haiwan sekalipun, telah lama menyedari betapa terikatnya survival atau kelangsungan kehidupan di atas hakikat ini. Di dalam apa juga bidang dan relung aktiviti manusia, pemahaman ini mesti dipatuhi kerana tiada ada kekuatan yang boleh menafikan sunnah alam ini. Baik manusia beriman atau tidak dengan pencipta sunnah alam ini, mereka akur dan tunduk kepada hukum alamNYA. Hukum dipatuhi tetapi pembuat hukum diingkari.

Memahami sunnah alam merangkumi aspek fizikal dan tidak fizikal. Yang boleh diukur atau dirasa oleh deria, dan yang tidak dapar diukur dan dirasa. Alam sejahtera sehingga ke hari ini, kerana alam patuh dan tidak pernah lalai kepada manhaj Allah SWT. Manhaj Allah SWT diikuti tanpa alpa. Begitulah kesejahteraan manusia akan menjadi mungkin hanyasaja apabila manhaj Allah SWT menjadi manhaj kehidupan kita. Manhaj atau sistem atau landasan di dalam pelayaran hidup di muka bumi ini. Apabila kita dan alam menepati manhaj Allah SWT, maka pasti destinasinya juga sama, iaitu aman dan sejahtera. Hidup yang sejajar dengan manhaj Allah SWT adalah manhaj yang bertepatan dengan fitrah dan sifat semulajadi manusia. Manhaj Allah SWT adalah Islam yang kita imani. Landasan Islam yang memastikan natijahnya akan menjadi baik.

Allah SWT menjadikan alam ini bukan sekadar untuk memastikan manusia boleh hidup sejahtera, tetapi menjadi sumber ingatan harian dan pedoman bagi manusia yang memakmurkannya. Lihatlah kepada alam yang berada di sekitar kita. Alam yang terbangun daripada sistem-sistem dan unit-unit kehidupan yang pelbagai skala dan pengaruh. Ambillah mana-mana pun contoh hidupan atau kitar hidup makhluk yang ada di hadapan kita, maka pasti kita dapat belajar dan terus diperingatkan. Ingatan dan didikan tentang kematian yang menanti, tentang kehidupan yang tidak pasti, tentang hakikat mula dan hujung makhluk, dan pelbagai lagi. Alam adalah sumber dan petunjuk nasib yang bakal menimpa kita, maka perlulah kita peka dan terus sensitif kepadanya. Yang buta bukanlah mata, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada. Bukalah mata zahir untuk memerhati dan bukalah mata hati untuk menginsafi.

Hidup berlandaskan manhaj Allah SWT adalah kehidupan yang penuh dengan makna dan nilainya. Kehidupan yang penuh dengan barakah dan keselamatan. Siapa yang ingin kan bala bencana dan musibah? Tiada manusia yang siuman akan mahukan nasib sedemikian. Peliknya manusia yang siuman tadi terkadang membuat pilihan yang tidak siuman kerana manhaj Allah SWT bukan pilihannya. Mungkin kerana bala dan musibah terasa asing dan jauh. Tidak terasa betapa besarnya musibah yang menanti – samada di dunia dan akhirat kelak. Sikap ini menjadi pelik jika manusia itu manusia yang katanya beriman kepada Allah SWT. Tidak pelik bagi selainnya. Bagi manusia beriman, manjaj Allah SWT adalah landasannya. Ini kerana ia yakin dan tiada ragu kepada ganjaran baik yang menanti. Beriman tetapi ragu dan tidak beramal membuktikan keingkaran dan penentangan. Maka, apa yang dapat menyelamatkan diri kita semua daripada musibah dan kecelakaan kelak?

Manhaj Allah SWT di dalam kerangka risalah Islam adalah anugerah Allah SWT kepada hambaNYA, melalui jalan Rasul SAW dan kitab Al-Quran Al-Karim. Ia risalah keramat yang tidak wajar dikesampingkan. Semuanya untuk keselamatan dan kesejahteraan manusiawi. Apakah kita merasa wajar untuk menukar intan-berlian dengan kaca, atau menukar emas dengan besi karat yang tiada nilai? Inilah hakikat pilihan yang terbentang di hadapan mata kita seharian. Marilah kita berusaha dan istiqamah di atas manhaj Ilahi yang suci lagi menyucikan ini. Allah SWT manhaj kami.

No comments:

Post a Comment