Sunday 17 April 2011

Adakah dakwah itu akomodatif???


Satu perkara yang perlu kita insafi adalah betapa relung dakwah ini sifatnya dinamik dan tidak tetap. Malah seni dakwah itu sendiri itu pun sifatnya berubah dan tidak jumud. Bagaimana kita menanggapi dakwah dan kaedah perlaksanaannya mestilah sentiasa seiring dengan realiti yang berada di hadapan kita. Kerangka minda yang betul dan adaptif akan memastikan hasilan dakwah mungkin untuk dicapai. Kita hendaklah melihat dakwah dalam konteks halangan dan cabaran hari ini, bukan dalam kekangan ijtihad para mujtahid silam. Dakwah mesti akomodatif bukan restriktif. Ia mesti menyesuai bukan mengekang. Menyesuai dengan kehendak Allah SWT, bukannya dengan nafsu dan selera manusia. Pada ketika ini barulah dakwah lebih relevan pada isi dan wajahnya di mata umat.

Islam adalah agama paksi dan saksi. Islam menjadi paksi terbaik kepada umat manusia semuanya. Tanpa paksi ini, maka umat manusia semuanya akan hancur. Dakwah kita adalah untuk menyedarkan umat bahawa Islam amat diperlukan manusia, bukan Islam yang memerlukan manusia. Seterusnya, Islam juga adalah agama saksi. Islam menjadi saksi samada umat manusia memilih untuk taat atau engkar. Melalui landasan Islam juga, umat manusia boleh menyaksikan keesaan Allah SWT, kebenaran RasulNYA dan keunggulan kitabNYA. Kesaksian yang menuntut pembuktian dan perlaksanaan. Melalui amal dakwah yang bersesuaian, maka umat akan mendapat manfaat sebaiknya. Pelaku dakwah adalah kita semua, bukannya orang lain di luar sana. Kita memikirkan nasib umat, dan beban tugas amal dakwah ini sedang terpikul di pundak kita. Ya, kita ahli dakwah yang dinanti umat.

Kenapa dakwah ini sifatnya tidak tetap? Kenapa pula mesti akomodatif? Persoalan ini menuntut kita melihat kepada sasaran dakwah. Ciri dakwah adalah interaktif dan dua hala. Jika sasaran atau objek dakwah berubah sifatnya, maka rupa paras dakwah yang dijelmakan juga mesti sama berubah. Jika tidak bahasa komunikasi menjadi asing. Yang disampai pasti akan terhalang atau tercemar. Maka, dakwah dan objek dakwah perlu seiring. Sifat tidak tetap dan akomodatif ini tidak bermakna isi dakwah perlu berubah. Ini tidak wajar berlaku. Mesej dan inti dakwah adalah sama – sejak zaman berzaman tidak terputus dengan rantai dakwah Rasul SAW. Tujuan dan isinya tetap sama, yang berubah adalah sarana-nya. Ini hakikat yang mudah tetapi sering menjadi keliru atau punca kekeliruan. Di dalam perkara bukan ibadah khusus, semua bermula dengan harus, bukannya haram.

Dakwah adalah kerja-buat yang tetap terikat kepada syarat yang sama untuk ia menjadi amal yang bernilai di sisiNYA. Keikhlasan dan kelurusan niat menjadi asas utama. Sempadan syarak dan contoh sunnah menjadi batasan. Dakwah adalah kerja-buat manusiawi yang menuntut pengorbanan harta, dan akhirnya nyawa. Logiknya dimula dengan harta, barulah nyawa, kerana jika harta pun susah lagi payah untuk dikorbankan di jalan dakwah, maka bagaimana mungkin nyawa pula menjadi taruhan? Yang pasti amal dakwah di lapangan menuntut pelbagai rupa dan wajah pengorbanan. Semestinya, tiada dakwah tanpa jihad, dan tiada jihad tanpa pengorbanan. Jadi selama ini, ukur dan nilai-lah sejauh mana pengorbanan kita di jalan dakwah ini.

Realiti dakwah hari ini menuntut kita mengenal umat dengan sebenar-benar kenal. Kita adalah umat, dan umat adalah kita. Jika da’i terus berkhayal tentang sasaran dakwah, maka kerja-buatnya akan terus tersasar. Untuk tepat dalam amal dakwahnya, denyut nafas da’i adalah seiring dengan denyut nadi umat. Ya, ketika inilah da’i menepati maksud sebenar seruan kebenaran dan keselamatan.

No comments:

Post a Comment