Monday 29 July 2013

10 malam terakhir...

Alhamdulillah hari ini kita semua sudah melangkah masuk ke 10 terakhir bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Rata-rata dapat merasakan betapa cepatnya detik-detik bulan ini berlalu, dan kini suasana Syawal pula sedang menggamit dengan semakin nyata. Jika kita berjalan ke pusat-pusat membeli-belah, malah di kantor-kantor pun, boleh didengar lagu-lagu raya dikumandangkan. Ya, hari raya semakin hampir. Ini juga tanda jelas bahawa Ramadhan sudah ke penghujungnya. 

  • Apakah kita telah berjaya di dalam usaha giat kita untuk melaksana ibadah sebanyak mungkin?
  • Apakah kita sudah dapat menjadi hamba yang terlebih baik daripada dahulunya? 
  • Apakah kita tergolong di dalam golongan yang beruntung dengan hadirnya Ramadhan kali ini?
  • Apakah ada beza antara amal ibadah kita pada tahun ini berbanding dengan tahun yang berlalu?
  • Apakah kita telah merancang bentuk dan rupa pesta ibadah di malam-malam akhir Ramadhan ini?
  • Apakah kita mengambil peluang atau sekadar menghitung hari sahaja - menanti tamatnya Ramadhan?


Ya - begitu banyak soalan, sedangkan jawapannya hanya kita yang tahu. Ya, Allah SWT juga tahu. Para malaikat Allah SWt juga mencatat amal zahir kita. Amal batin kita sedang diperhatikan Allah SWT. Semua tidak terlepas daripada pemerhatian.

Ya, pagi ini hari ke-20 kita semua berpuasa. Sewajarnya kita merancang apa amal minima yang mesti kita laksanakan. Mesti dan tidak boleh tidak, mesti kita rancang dan laksanakan.

Pada amal kita yang sedikit inilah kita mengharapkan keselamatan di akhirat sana. Pada amal yang sedikit inilah kita mengharapkan menjadi sebab untuk kita mendapat rahmat Allah SWT. Kita tiada pilihan melainkan untuk tunduk dan patuh kepadaNYA. Pilihan selain ini akan hanya membawa duka nestapa yang tidak akan padam selamanya.

Malam Al-Qadr pasti akan hadir pada salah satu malam-malam Ramadhan ini. Yang terkuat dalilnya, adalah pada malam-malam ganjil 10 malam terakhir. 

Marilah kita semua beramal. Jika tidak pastilah kita ini orang yang rugi. Rugi yang tidak dapat digalang ganti. Rugi kerana peluang hadir sedang kita masih leka dan asyik memuaskan kehendak nafsu di dalam diri.

Ya Allah! Ya Rabb..berilah aku peluang untuk beramal dan bertemu dengan malam Al-Qadr. Berilah kekuatan dan pilihlah aku Ya Allah......

9.34am
USMNT. 

No comments:

Post a Comment