Wednesday 14 August 2013

Bulan-bulan seperti Ramadhan!

Hari ini telah masuk hari yg ke-7 bulan syawal. Penangan latihan dan ibadah semasa Ramadhan terasa semakin luntur. Keghairahan beramal dan ketekunan mencari ruang dan peluang untuk ibadah pun terasa semakin hilang. Pupus seirama dengan hembusan bayu di terik mentari. Ya, Ramadhan bukan lama pun berlalu. Syawal pun masih hangat lagi. Tetapi tarbiah dan latihan Ramadhan terasa sudah semakin mengecut dan mengecil. Ya, resam dan tingkah lama seakan diulang semula, tanpa ada yang dapat menghalang.

Pokonya adalah pada hati manusia dan kerja buat hati ini. Didikan Ramadhan adalah didikan pada hati agar sentiasa peka dan sensitif dengan setiap detik kehidupan yang dianugerahkan. Setiap saat adalah peluang untuk berubah. Dan pada setiap saatlah manusia memilih nasih dan juga menempa tempat tinggalnya di akhirat nanti. Ketika Ramadhan, kita semua amat peka dengan hukum hakam Allah SWT. Kita terasa bersalah dan terasa juga bebannya kesilapan yang berlaku. Rasa sesalan dan tidak mahu mengulang dosa2 yg terjadi. Ya, kita segera bertaubat. Kerana apa? Kerana beradanya kita di dalam Ramadhan. Apatah lagi kita pula sedang berpuasa, sedang beribadat. 

Bukankah hidup ini ibadat? Bukankah pada setiap saat dan ketika kita diperhati dan dinilai oleh Allah SWT? Bukankah kita sedang diperhati dan dinilai oleh dua malaikat di kiri dan kanan kita? Bukankah alam dan hidupan ini semua menjadi saksi kepada perlakuan kita?

Alangkah tenangnya hidup apabila perjalanannya selari dengan kehendak Ilahi? Alangkah manisnya pengalaman apabila semuanya digarap sebagai takdir daripadaNYA? Alangkah sejahtera hidup apabila ketentuan Allah SWT adalah lebih utama daripada keputusan kita? Alangkahnya indah kehidupan ini apabila kita ini menjadi hamba yang hakiki kepadaNYA.

Ramadhan telah berlalu dengan seribu satu macam amalan dan perbuatan. Kita kini di bulan Syawal yang tidak kurang barakahnya. Marilah kita jadikan semua bulan seperti Ramadhan. Apabila kita ikhlas dan tiada tujuan selain daripadaNYA!

Marilah bulan2 Ramadhan.

12.48
USM NT

No comments:

Post a Comment