Friday 23 August 2013

Zaman fitnah dan pendustaan..

Hampir setiap detik kita dihadapkan dengan pelbagai bentuk maklumat baru dan "fakta" tentang apa yang berlaku di sekitar kita. Penceritaan "fakta" ini pula terkadang begitu sarat dengan maklumat dan kronologi peristiwa, didokong pula dengan ulasan yang separa ilmiah, menyebabkan hampir mustahil untuk kita pastikan kesahihannya. Ditambah pula serangan maklumat ini tidak berhenti dan muncul di dalam pelbagai jenis media - yang primitif atau baku, dan yang dikatakan media sosial. Berita dan cerita yang datang memaksakan kita untuk menerimanya. Ya - memaksa, walau kita tidak mahu tahu. 

Pada hakikatnya, kita tidak ada pilihan. Sebagai umat Muhammad SAW, menjadi kewajipan untuk kita mengambil tahu dan prihatin dengan nasib saudara seagama dan seiman dengan kita. Ya, jalan mudah adalah untuk tidak ambil tahu, dan hanya tumpukan kepada manfaat diri sendiri. Permasalahannya, sikap ini telah ditempelak oleh Rasul SAW sendiri. Bukan daripada golongan aku, mereka yang tidak mengambil tahu urusan dan hal-ehwal orang Islam lagi beriman - antara lain mafhumnya. Kita mesti ambil tahu dan ambil berat. Ini kerana lambat lain onar dan musibah akan teruji ke atas kita pula. Mesti kita jaga hal ehwal dan nasib saudara seagama seiman kita, di mana pun mereka. Inilah perintah RasulNYA.

Apabila kita ingin ambil tahu dan ambil berat, mestilah kita merujuk kepada sumber berita dan cerita yang sahih lagi dipercayai. Terkadang apabila kita tersalah tanggap kerana maklumat dan berita yang tidak tepat lagi seleweng, menyebabkan penderitaan dan kekesalan yang tiada hujungya. Maka, mesti kita semua berhati-hati di dalam mendapatkan maklumat supaya kita sentiasa adil dan tepat di dalam tindakan. Dunia hari ini adalah dunia yang penuh dengan fitnah dan manusia yang menmanfaatkan pendustaan untuk mendapatkan habuan duniawi. Ya, kita mesti mampu untuk menapis yang benar daripada yang onar. Kita mesti bijak, mesti berfikir dan mesti punya kematangan di dalam menetapkan pendirian.

Fitnah adalah ibarat hujan di akhir zaman ini. Ada kala ia lebat, ada kala ia renyai-renyai sepanjang hari. Namun, ia terus turun dan menimpa umat manusia. Payung kita adalah iman dan taqwa. Kita jadikan perintah Allah SWT dan Rasul SAW sebagai payung dan penapis untuk menapis semua berita dan cerita. Sifat si periwayat juga kita utamakan kerana ia medium penyaliran maklumat yang mesti telus, tulus dan lurus. Pasti kita lebih utamanya sumber daripada orang beriman daripada orang yang musyrik lagi engkar. Ini sudah pasti. Namun, kita jangan lupa untuk memanfaatkan pengalaman, sejarah dan nota-nota panduan daripada generasi terdahulu. Si penipu memang sentiasa ada. Kita yang mesti peka dan jangan sesekali alpa. 

Allah SWT menyatakan di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 - untuk kita sentiasa berhati-hati dengan berita dan cerita daripada mereka yang fasiq. Diwajibkan kita menyiasat dan menyelidik kesahihan semua yang tersampai, agar kita tidak menzalimi dan menyesal tidak sudah. 

Ya, dunia fitnah dan dusta ini memerlukan kita sentiasa menggantung harap kepada Allah SWT agar kita sentiasa diberi petunjuk jalan kebenaran dan hakikat sesuatu perkara. 

Ya Allah, Ya Alla, Ya Allah - bantulah kami. Tetapkanlah di atas pemahaman dan amal yang selalu berjalan di atas laluan kebenaran dan keredhoanMU.

9.46am
USM N Tebal


No comments:

Post a Comment