Wednesday 24 July 2013

Ramadhan oh Ramadhan...

Pada saat tulisan ini kucatat, bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini telah masuk ke malam yang ke 15. Diam tak diam, telah berlalu 14 hari umat Islam menunaikan ibadah puasa fardhu ini. Alhamdulillah aku pun telah berusaha semampu mungkin untuk memanfaatkan detik-detik umur yang diberikanNYA. Ya, aku patut mampu buat lebih lagi. Namun, apakan daya, yang termampu itulah yang aku persembahkan. Jika dikenang-kenang, seribu penyesalan akan menghampiri. Ya, aku patut mampu buat jauh lebih baik. Ya, sewajarnya begitulah. Bagaimana dengan kalian? Dapatkah yang terbaik di dalam semua amal? Harapnya begitulah.

Di Syria ketika ini saudara-saudaraku sedang mempertaruhkan nyawa mempertahankan maruah diri, keluarga dan umat. Musuh di dalam selimut ini telah keluar menunjukkan dirinya. Ia memang tidak kenal Tuhan yang sebenar. Nafsu telah menjadi Tuhan mereka. Anak kecil lagi mungil disembelih tanpa ada rasa ehsan dan kemanusiaan. Mereka menjadi lebih hina dan kejam daripada binatang. Apakah di sana wujud sebarang alasan yang rasional dan munasabah untuk jihad dan penentangan tidak ditegakkan? Apakah umat masih ada rasa malu dan harga diri untuk membela watan umat ini? Apakah kita yang berada di bumi Malaysia ini terasa betapa saudara kita di bumi Syam yang penuh barakah ini dahaga dan menantikan bantuan kita? Oh ibu, ayah, abang, kakak, adik dan anak2ku..maafkanlah aku kerana tidak mampu berbuat apa-apa, selain berdoa...

Di Palestin, kesengsaraan adalah makanan harian. Di Gaza, detik-detik bahagia tercipta di celah-celah perit jerih hidup yang dipaksakan ke atas mereka. Saudara kita di Palestin adalah wakil kita untuk membela masjidil Aqsa dan tanah sekitarnya. Sejak lebih 50 tahun dahulu, umat Islam Palestin telah melalui ribuan kesengsaraan dan kepayahan. Generasi telah pergi dan telah bangkit yang baharu pula, nasib mereka masih tidak berubah. Tidak berubah pada zahirnya, tetapi syukur kerana telah segar semangat perjuangan yang baru. Yang merentap dan meruntun kegerunan di hati para Zionis yang terlaknat. Kita di bumi Malaysia masih tidak terlepas dalam membantu mereka. Apakah hari ini kau ada makanan untuk disantap? Apakah hari ini anak yang berpergian ke sekolah telah selamat kembali? Apakah anak yang perlukan pembedahan itu selamat sampai di bilik pembedahan dan bukannya mati di check-point2 yang dipaksakan keatas mereka? Apakah ayah yang pergi akan kembali di petangnya? Oh ibu, ayah, abang, kakak, adik dan anak2ku..maafkanlah aku kerana tidak mampu berbuat apa-apa, selain berdoa...

Di Mesir, Myanmar, Mindanao, Iraq dan tanah2 umat Islam, banyaknya darah yang sedang ditumpah...

Bulan Ramadhan ini akan menjadi saksi kepada peranan dan sumbangan yang kita semua berikan. Kita berpuasa dan mampu berbuka dengan penuh selera. Sedang, ada saudara kita bersahur dan berbuka dengan perut yang kosong serta dahaga yang tidak pernah hilang. 

Semoga Allah SWT menjadikan madrasah Ramadhan ini titik berubah untuk umat Islam semuanya. Lantas, semua yang tertindas akan terbela oleh umat yang sudah sedar dan jauh daripada alpa!

Ya Allah..berilah kekuatan, kesungguhan dan kecekalan kepada kami semua. Amin Ya Rabb...
Amin Ya Rabb..Amin Ya Rabb.



No comments:

Post a Comment