Saturday, 11 September 2010

Patung itu terus berdiri...

Apabila kita berjalan-jalan di bumi Perancis ini, kita akan dapat melihat banyak dibina atau dibuat patung-patung manusia -tanpa berpakaian, ataupun berpakaian separuh. Ini bukan sahaja dapat dilihat di Perancis, tapi di kebanyakan negara-negara di bumi Eropah ini. Ini adalah satu budaya atau lambang ketamadunan yang mereka syiarkan. Lambang yang memberi seribu macam erti dan makna. Kesempurnaan jasad manusia mesti boleh dipamerkan. Atau semestinya dipamerkan.

Patung-patung lelaki, wanita dan kanak-kanak di dalam pelbagai aksi ini mengingatkan kita semua bahawa di bumi Eropah ini, yang utama adalah kemahuan manusiawi. Kehendak ini mengatasi segalanya. Bahawa manusia itu bertamadun bila ia lepas bebas daripada segala ikatan. Sepertilah patung wanita tanpa pakaian atau lelaki tegap, yang menghias air pancutan di tengah bandar. Ia melambangkan kebebasan manusia untuk mengikut apa yang ia mahukan. Dan, ia mahu kebebasan ini disaksikan oleh semua. Oleh sebab itu, ia berada di tengah pekan atau bandar besar, bukan diletakkan di ceruk desa atau lorong yang sunyi. Ia satu pelambangan yang menggerunkan.


Patung-patung ini melambangkan kecantikan jasad yang tidak dipunyai oleh ramai manusia. Ia tanda aras rupa fizikal yang atau setidak-tidaknya pun, rupa paras yang boleh dipamerkan. Yang lebih penting manusia akan melihatnya; semalam, hari ini dan seterusnya, selagi ada dunia. Selagi ia mampu berdiri. Patung-patung ini menjadi penunggu setia air pancutan itu. Patung-patung ini menjadi penghuni setia pekan/bandar yang sesak ini. Ia terus dengan aksi asalnya, apapun yang berlaku di sekelilingnya. Ia tidak pernah leka.

Namun, kesan usia dan alam tetap terkesan padanya. Lumut-lumut di kaki, tompok-tompok kelupasan di badan dan letusan-letusan najis burung, tetap menimpanya. Ya, patung ini memang satu ketika dahulu dikagumi manusia, namun hari ini ia terus mengharapkan ehsan daripada manusia keliling kelalang untuk membersihkan tahi burung di hidung dan dahinya. Ia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Inilah tamsilan yang baik untuk kita semua. Dunia, walaupun sukar untuk digapai, apabila sudah di dalam tangan, akan terlalu mudah dihancurkan dengan kepayahan yang sedikit. Nikmat kaya terus hilang, dengan gigi yang sakit. Nikmat masa terus hilang dengan masalah yang tidak pernah lekang. Itulah hakikat manusia. Apabila dunia yang kita cari, kita akan semakin lusuh dan luntur. Namun, apabila akhirat yang dikejar, kita semakin hampir kepada kebahagiaan yang tiada tepinya.

Eid Mubarak kepada saudara semua. Kulu Aamin Wa antum Bi Khoir.


Sepinya sunyi

Ketika sunyi ini menjelma lagi

Aku tercari-cari apa jawapannya

Kepada sepi yang begitu mencengkam

Dan ruang yang terasa menyempit

Ketika fikiran melayang jauh

Kepada kenangan manis pahit hayat

Gelak ketawa, sedih hiba

Dalam ujian dunia yang tidak pernah alpa

Ketika teringat senyum manismu

Dan masamnya jebik kemarahanmu

Aku menjadi teramat rindu

Kepada segala tingkah laku itu

Ya, sepi dan sunyi duniaku kini

Baru aku sedar pentingnya mereka

Mengisi ruang-ruang lompong dalam hidup

Dalam lelah-lelah nafas yang semakin singkat

Wahai sayangku

Bilakah kita dapat bertemu?

Menghilang rindu, memupuk kasih

Supaya sepinya sunyi tidakkan kunjung datang lagi...

1.29pm, LIRMM – Montpellier

Khamis – hari akhir Ramadhan 2010

Bila aku boleh membaca..

Di dunia asing ini

Barulah aku dapat menginsafi

Ketika aku mula belajar membaca

Ketika aku mula pandai mengenal

Di papan iklan

Di dada majalah

Di paparan televisyen

Di nota-nota pendek

Aku terus membaca

Apa yang sebenarnya terlalu biasa

Bagi mereka

Tetapi amat mengujakan bagi aku

Ku cari yang sering muncul

Ku buka makna yang dikandung

Oh, itu maknanya

Oh, itu maksudnya

Di bumi asing ini

Barulah aku dapat mengingati

Ketika aku mula mengenal huruf

Ketika aku mula menulis nombor

Menariknya ilmu ini

Sedikit yang tahu

Tapi terbuka medan ilmu

Terus terang benderang apa yang kelam

Sekarang ia memberi erti

Sedang dulu aku tidak ambil peduli

Inilah kuasa ilmu yang hakiki

Mengeluarkan jahil meninggikan abdi

1.38pm – LIRMM – Montpellier

Hari akhir Ramadhan – esok raya 2010

Sunday, 5 September 2010

Detik Hembusan Terakhir...


Bersama meningkatnya umur, maka semakin kuranglah peluang dan ruang untuk menambah aset amal kebaikan, untuk akhirat nanti. Semakin dekat saat kematian yang telah ditetapkan oleh pencipta semua makhluk. Ya, umur yang meningkat ini tidak berlalu begitu sahaja, tetapi sarat dengan tanda dan petunjuk. Ia menzahirkan sifatnya pada jasmani, rohani dan juga minda makhluk bernama manusia ini. Ia tidak pernah lekang untuk mengingatkan manusia, tapi acapkali tanda-tanda itu tidak membawa apa-apa makna.

Meningkatnya usia bermakna amal mesti dipilih dan disaring. Amal mana yang paling besar ganjarannya, amal mana pula perlu dikesampingkan. Umur yang lanjut menandakan perlunya perubahan ke jalan kebaikan dan ketundukan. Perlunya istiqamah untuk berkekalan di atas jalan perjuangan menyelamatkan diri, keluarga dan ummat di akhirat nanti. Tiada ruang lagi untuk yang sia-sia, kerana tanda-tanda umur semakin ketara. Kena cepat, kiamat kecil sudah dekat.

Bila rajin merenung kepada tanda di sekitar kita, maka kita akan lebih peka kepada ujian dan cabaran yang melingkari kita. Sunnah apabila semakin lama semakin berumur ini, bukan hanya kita sahaja. Tapi memang alam ini sifatnya sedemikian. Umur ini perkara yang tidak dapat dihalang dan dikekang. Kita tetap akan sampai di penghujung umur, samada kita redho atau tidak, samada kita bersedia atau tidak. Umur mesti sampai ke titik akhirnya.

Yang perlu kita risaukan adalah apa persediaan kita untuk titik akhir umur ini. Saat hembusan nafas akhir itu akan datang jua. Bagaimana persediaan kita agaknya? Ini perjuangan nafsi-nafsi. Ini perjuangan peribadi. Tidak dapat kita tolong, kecuali diri kita sahaja. Ya, tolonglah diri kita sendiri. Help yourself. Kita perlu tolong diri kita, kerana tiada cara lain lagi yang ada. Dan, pertolongan ini mesti di dunia. Di akhirat nanti, pintu peluang telah terkatup rapat.

Ya, detik umur ini akan berjalan dengan pantas. Marilah kita mencari bekal untuk bertemu dengan pencipta kita. Bekal yang akan membawa selamat, bukan bekal maksiat yang akan membawa bencana.

Friday, 3 September 2010

Akal yang merdeka...


Kegiatan seorang insan memang tidak lari daripada melakukan pertimbangan. Ini bererti membuat keputusan yang terbaik untuk keadaan dan faktor pendorong ketika itu. Kekuatan akal di dalam menilai fakta dan faktor yang wujud amat penting untuk memastikan keputusan itulah yang paling hikmah. Pastinya dengan bekalan ilmu, pengalaman dan kematangan, keputusan terbaik adalah sesuatu yang tidak mustahil.

Ini banyak bergantung kepada kekuatan akal yang kita punyai. Akal diguna untuk memikir dan menimbang. Jika akal sejahtera, maka kita telah punyai penimbang yang boleh diguna-pakai. Jika akal tidak sejahtera, keputusan bukan jalan keluar, takut terbelit lagi jawabnya. Oleh itu akal tidak patut kita abaikan. Seperti anggota lain dalam tubuh manusia ini. Akal yang mantap dan sejahtera, perlu dipupuk dan dilatih. Jika tidak dilatih untuk berfikir, bagaimana ia boleh beraksi ketika khidmatnya diperlukan.

Akal ada makanannya, iaitu ilmu dan pengalaman. Dua anasir ini menjadi unsur penting di dalam penetapan keputusan. Dilatih akal ini dengan selalu berfikir. Seperti dilatih otot dengan senaman yang berkala. Ini suatu kemestian. Tidak boleh tidak. Bila selalu digunapakai untuk berfikir, maka akal akan semakin tajam. Apabila berfikir itu dipasangkan dengan kaedah dan teknik yang betul, ia menjadi semakin hebat. Ilmu pengetahun, pengalamanan dan teknik latihan sahaja tidak cukup. Ia perlu bebas dan tidak terikat dengan pagar-pagar minda yang palsu sifatnya. Akal mesti merdeka. Baru ia boleh terbang tinggi.

Akal yang merdeka, bukan bermakna ia lepas bebas daripada ketetapan Ilahi. Batas Ilahi tetap dijaga. Ia cuma akan merdeka atau bebas daripada andaian dan kesimpulan manusiawi yang seringkali perlu digugah. Ia tidak terikat dengan perspektif atau sudut pandang yang kaku lagi jumud. Ia merdeka bebas dalam pencarian jalan keluar. Ia bersedia untuk mencabar status quo kerana Tuhan jadikan akal ini sebagai penimbang, bukan pembuat keputusan. Jadi penimbang perlu tepat dan tidak seleweng ke sudut mana pun. Ia mesti menjulang kebenaran, biar daripada mana datang kebenaran itu.

Akal yang merdeka, apabila diganding dengan keimanan dan ketaqwaan yang mantap, ia akan menjadi tapak asas loncatan ke masa hadapan penuh kejayaan. Apabila akal, hati dan jiwa manusia merdeka daripada rasa dan sifat penghambaan sesama makhluk, barulah kejayaan hakiki semakin menghampirkan diri. Inilah contoh perilaku para sahabat R.A. Akal mereka merdeka, di dalam keghairahan mereka untuk mencari yang terbaik di setiap amal, dan di dalam mencari ruang dan peluang untuk membuktikan ketundukan mereka kepada penciptanya.

Inilah yang tampak ironi-nya sudut pandang akal yang merdeka di dalam Islam. Ia membebaskan manusia daripada rasa terikat dengan manusia, tetapi ia membawa manusia semakin tunduk kepada penciptanya. Ia merdeka untuk tunduk. Bukan merdeka untuk semakin angkuh dan sesat.

Adakah akal anda sudah merdeka?

Surah Ali-Imran (190 – 191)

190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;

191. (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

3 Sept. 2010

Montpellier

Bunga itu...


Bunga itu
Lavender namanya
Cantik rupanya
menghias lorong ini berkawan-kawan

Bunga itu
Lavender namanya
Sekadar hiasan di lorong sunyi ini
Tidak sehebat yang diwar-war orang

Bunga itu
Lavender namanya
Memang bunga tepi jalan di bumi fromage
Menjadi pelik bila dibangga-banggakan

Bunga itu
Lavender namanya
Memang tidak istimewa di sini
Tetapi digilai di sana, bumi asing baginya

Bunga itu
Lavender namanya
Adalah tamsilan kepada kita manusia
Yang biasa tiada istimewa
Yang pelik dikejar-kejar

Manusia dan lavender
nasibnya seolah sama.

Montpellier
3 Sept 2010

Marilah bermusafir!



Sememangnya apabila kita berada di luar lingkungan kebiasaan kita barulah kita dapat mengukur sejauh mana kemampuan kita yang sebenar. Persekitaran yang rutin acapkali menjadikan kita kurang peka kepada kekurangan dan kelemahan yang ada. Di dalam persekitaran yang rutin ini, kita faham dan tahu bagaimana untuk menjalani hidup seharian dengan halangan yang paling minimum. Kita menjadi bijak dengan mahir untuk menggunakan persekitaran kita. Tetapi dengan biasanya kita itu, kita menjadi semakin alpa kepada apa yang kurang di dalam diri, dan apa yang amat perlu kita perbaiki. Dan, kalaupun kita memang tahu apa yang lemah dan kurang, tiada gesaan atau dorongan untuk berubah, kerana hidup tetap terus berjalan.

Di sinilah hikmahnya apabila sesekali kita tercampak, atau mencampakkan diri di dalam lingkungan yang asing. Lingkungan yang penuh dengan ketidak-pastian. Di situ, barulah kita tahu atau rasai kelemahan yang ada. Di situ, barulah rasa manisnya alam yang telah kita tinggalkan. Alangkah elok atau indah jika kita dapat kembali sahaja kepada rutin harian kita. Alangkah mudah dan selesa. Tidak perlu kepada kerisauan yang tidak menentu, dan tidak perlu juga untuk bertindak yang luar daripada biasa.

Peluang untuk bermusafir ke tempat yang asing memberi banyak pengajaran dan peringatan kepada kita semua. Di medan yang asing ini, kita tidak ada apa-apa keistimewaan. Kita orang luar, yang tidak tahu budaya dan tidak tahu hendak berinteraksi. Gerak dan peri-laku kita asing di mata mereka. Orang luar yang tidak diundang dan tidak diperlukan di dalam kancah mereka. Di sini kita makhluk yang tidak ada peranan mahupun kedudukan. Pandai-pandailah membawa diri. Ada atau tiada, sama sahaja. Dulu pun, kita tidak pernah ada di dalam hidup mereka.

Jika dahulu hidup kita terasa terisi kerana ramainya sahabat taulan dan rakan sepergaulan. Tugas harian yang tidak pernah selesai menyebabkan kita lupa untuk mengintrospeksi diri. Betul kah kita hidup ini terisi? Ataukah ia rasa terisi kerana kesibukan kita dengan manusia lain? Bukannya dengan diri kita sendiri. Apa yang akan terjadi apabila sahabat handai dan rakan taulan tadi menghilang? Dengan siapa akan kita sibukkan diri kita ini, jika tidak dengan diri kita sendiri?

Apabila kita keseorangan, di tempat asing, barulah kita sedar bahawa selama ini jiwa dan hati ini selalu terabai. Sepatutnya di tempat asing ini, kita tidak pernah sunyi, kerana ada Tuhan yang menjadi tumpuan kita untuk mengadu. Jiwa kita penuh dengan kecintaan dan ketundukan kepadaNYA. Kita nampak keseorangan lagi kesunyian, tetapi jiwa kita penuh dengan kegembiraan dan kekhusyukan keimanan. Di tempat yang asing ini, barulah kita berpeluang untuk berbicara lebih akrab dengan diri. Di sinilah, ada ruang untuk mengenal diri. Siapa aku sebenarnya?

Alhamdulillah, Allah SWT memberi aku peluang ini. Hari-hari berlalu dengan aku lebih banyak diam daripada berkata-kata. Aku lebih banyak berfikir daripada meluncurkan suara. Sunyi membawa diam. Diam membawa fikir. Fikir membawa insaf. Harap-harapnya insaf membawa amal. Amal pula membawa ke syurga. Marilah bermusafir!

Allahua’lam

1.30am – 3 September

Kyriad Hotel – Antigone, Montpellier