Thursday 30 December 2010

Buatlah pilihan yang terbaik!

Kehidupan ini sentiasa menampilkan pilihan dan ruang untuk kita membuat keputusan. Manusia dianugerahkan aqal dan hati untuk menimbang serta membuat pilihan terbaik. Allah SWT menyatakan di dalam surah As-Syams bahawa diilhamkan manusia jalan kebaikan dan jalan keburukan, maka beruntunglah mereka yang membersihkan dirinya, dan rugilah mereka yang mengotorkannya. Ya, pilihan di tangan kita. Walaupun apapun keputusan kita sebenarnya tidak akan dapat bebas daripada kudrat dan ketentuan Allah SWT. Keadilan Allah SWT memberikan kita semua yang diperlukan untuk menyelamatkan diri atau sebaliknya. Apa pilihan kita?

Terdapat satu pihak yang mengatakan manusia yang menentukan semua keadaan dan nasib dalam hidup. Tuhan tiada peranan. Akibatnya golongan ini tersasar, dan akhirnya melupakan Tuhan. Mana tidaknya, apabila sudah dirasa Tuhan tidak berkuasa atau berperanan di dalam hala tuju dan nasib diri, maka Tuhan dan rasa bertuhan tiada makna lagi. Di satu pihak, wujud pula yang merasakan semua gerak-laku dan nasib manusia adalah takdir dan ketentuan Tuhan. Manusia tiada peranan langsung. Apabila mereka berbuat maksiat, maka diwar-warkan betapa ini ketentuan Tuhan. Apabila mereka melakukan maksiat dan pelanggaran, mereka menyalahkan Tuhan. Diri mereka tiada kuasa dan peranan, semua telah ditetapkan Tuhan. Manusia tiada upaya untuk membuat apa-apa pilihan. Akhirnya golongan ini menjadi golongan yang mandul dan tiada kehendak kepada kehidupan, lantas tidak melihat apa-apa erti dan tujuan untuk berusaha di dalam hidup ini. Apa guna lagi, jika semua gerak adalah asbab Tuhan. Yang mana satu sebenarnya hakikat hidup ini?

Benar, Allah SWT menetapkan takdir kepada semua makhlukNYA. Takdir baik atau buruk. Rezekinya, mati-hidupnya. Benar, Allah SWT berkuasa terhadap segala sesuatu. Tiada yang terlepas daripada pengetahuanNYA. Tiada yang tidak memerlukan Allah SWT untuk terus hidup di muka bumi ini. Namun, Allah SWT menyatakan bahawa manusia diberi aqal dan petunjuk berupa ilmu dan panduan agar dapat melalui kehidupan ini sebaiknya. Diberi ikhtiar kepada manusia untuk membuat pilihan dengan apa yang ia kecap dan apa yang ia inginkan. Bila dipilih kebaikan, maka insyAllah terbukalah jalan ke syurga. Apabila dipilih keburukan, maka akan terbukalah jalan ke nerakaNYA.

Jalan kehidupan adalah jalan keyakinan bahawa hidup ini bernaung di bawah rahmat Allah SWT. Jalan kehidupan adalah medan beramal, dan membuat pilihan kepada apa yang dihadapkan kepada kita. Jalan baik dan buruk terbentang kepada kita. Dengan ilmu, aqal dan iman kepada Allah SWT, kita membuat pilihan kita. Apapun, tiada siapa yang tahu hakikat takdir di sisi Allah SWT. Semuanya rahsia Allah SWT. Apabila kita memohon hidayah dan petunjuk, nescaya Allah SWT akan berikan atau sempurnakan. Apabila telah diberi hidayah dan petunjuk, tetapi masih memilih jalan maksiat, maka itulah pilihan kita sendiri. Tidak Allah SWT berlaku zalim kepada hambaNYA.

Jalan kehidupan yang adil adalah sentiasa mengimani bahawa Allah SWT yang berkuasa kepada kehidupan kita ini. Dan pada masa yang sama mengimani bahawa telah Allah SWT turunkan petunjuk, pedoman, jalan dan bukti-bukti pada alam dan diri manusia itu sendiri agar menginsafi hakikat kehidupan ini yang sebenarnya, iaitu untuk beribadah kepadaNYA. Melalui jalan ikhtiar, kita pilihlah jalan kebaikan atau jalan keburukan.

Marilah kita merenung firman Allah SWT yang berikut. Surah As-Syams, ayat 7 – 14

7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya);

8. serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; -

9. Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

10. dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

11. (ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasulnya) Dengan sebab perbuatan derhaka mereka Yang melampaui batas;

12. ketika orang Yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta Yang menjadi mukjizat),

13. maka berkatalah Rasul Allah (Nabi soleh) kepada mereka: " (janganlah kamu ganggu) unta betina dari Allah itu, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)!"

14. (setelah Nabi soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka Dengan azab Yang membinasakan serta ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).

15. dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) Yang demikian, (kerana itu adalah balasan Yang adil).

Dihukum manusia apabila diberi hidayah lantas mereka menafikannya. Tiada dipersalahkan manusia apabila seruan iman tidak sampai kepada mereka.

Allahua’lam

Wed, Rue De La Vielle Intendance


No comments:

Post a Comment