Thursday 30 December 2010

Rasa beragama untuk siapa???

Rasa bertuhan ini adalah sifat fitrah lagi tabie bagi seorang manusia. Ya, tidak dinafikan ada manusia yang kini menafikan wujudnya Tuhan. Ia merasakan konsep atau idea Tuhan ini adalah rekaan manusia semata-mata, dan tiada kaitan dengan realiti sebenar kehidupan. Golongan ateis atau yang tidak beragama ini merasakan bahawa mereka yang beragama, iaitu mereka yang yakin adanya satu kuasa yang lebih hebat, yang mentadbir alam dan kehidupan ini, sedang hidup di alam khayalan dan rekaan semata-mata. Golongan Ateis merasakan bahawa yang sebenarnya Tuhan tidak wujud. Ini semua hanyalah khayalan dan fiksyen manusia sebelum ini. Akibatnya, semua agama adalah satu bentuk kekangan dan kepalsuan yang diperangi.

Bagi manusia yang beragama, rasa bertuhan adalah gerak-balas natural kepada hakikat bahawa alam yang sebegini hebat bersama kehidupan yang begitu rencam, pasti ada yang mencipta. Pasti ada pencipta. Semakin direnung dan diselidiki, semakin celaru dan sukar untuk menerima bahawa alam ini seluruhnya ini secara tiba-tiba terbentuk. Gerakan bumi, bulan dan matahari yang tetap di atas orbitnya, terjadi tiba-tiba. Pergiliran musim yang tetap dan mengesani kehidupan manusia pun tiba-tiba. Susunan tubuh manusia dan fungsi organ yang saling membantu dan menguat sesamanya pun adalah ciptaan alam yang tiba-tiba. Kitar pembenihan dan tumbesaran pohon-pohonan pun berlaku secara tiba-tiba. Tiada yang mencipta dan membuatnya. Ia semua terjadi sedemikian bermula dariapda tiada. Berat dan amat sukar untuk diterima aqal manusia, apa lagi hati manusia.

Sekiranya pada hari ini kita meneroka suatu gua, dan berjumpalah kita satu bekas air, atau mungkin secebis pakaian lama, maka pasti kita akan mengatakan ada manusia yang pernah tinggal di gua ini suatu ketika dahulu, dan bekas air serta pakaian ini pasti milik manusia berkenaan. Ini kerana hanya manusia yang mempunyai keupayaan untuk membuat bekas air dan pakaian. Haiwan tiada keupayaan untuk membuat alat-alat sedemikian. Dan dapat pula kemudian kita menilai tahap kepandaian atau kemahiran mereka berdasarkan alat tinggalan atau bukti tersebut. Bukti memberi pengetahuan. Pengetahuan membawa erti dan nilai kepada kehidupan. Adalah menjadi satu tanda penyakit gila apabila ada manusia hari ini yang berani mengatakan semua tinggalan yang dijumpai itu adalah hasilan alam semata, tiada manusia yang membuatnya. Ia terjadi tiba-tiba. Bak kata pepatah arab, tahi unta membuktikan ada unta. Tahi unta tidak muncul tiba-tiba!

Apabila dilihat kepada bukti alam dan pada manusia itu sendiri, adalah terlalu mudah untuk kita mengakui bahawa pasti ada kuasa yang Maha Hebat yang telah menciptakan semua. Kuasa Maha Hebat ini kita kenali sebagai Tuhan atau Ilahi atau Pencipta.

Tetapi hujah-hujah ini pun terkadang ditolak oleh golongan ateis. Ada lagi persoalan yang lebih penting yang dapat perlukan jawapan. Persoalan-persoalan ini adalah:

1. Dari mana kita datang?

2. Apa tujuan kita hidup? &

3. Ke mana hala tuju selepas kematian?

Semua persoalan ini dapat dijawab oleh golongan yang tidak beragama. Tetapi jawapan yang diberi pastinya tidak akan membezakan kita dengan haiwan, tumbuhan dan makhluk lain di dalam kehidupan ini. Kalau ada pun jawapan, ia hanya menjelaskan natijah zahir atau fizikal dan tidak mampu untuk menjelaskan nasib ruh dan jiwa manusia. Makhluk yang beraqal dan mempunyai ruh pastinya tidak akan mendapat kepuasan dengan jawapan yang diberikan.

Persoalan-persoalan inilah yang dijawab dengan sempurna oleh risalah agama. Risalah agama yang bukan direka manusia, tetapi risalah yang datangnya daripada langit serta bersumberkan pencipta yang satu, iaitu ALlah SWT. Risalah beragama yang dijelmakan melalui risalah Nabi Muhammad SAW serta dereta para nabi-nabi dan rasul sebelumnya. Seruannya mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan membuktika kehambaan mereka. Risalah Islam menjawab kesemua persoalan-persoalan di atas. Kita semua datang daripada Allah SWT. Tugas kita adalah untuk beribadah kepadaNYA. Dan, kematian adalah jalan untuk menuju syurga atau nerakaNYA , iaitu kehidupan yang abadi. Kematian hanyalah sekali, dan selepas itu kehidupan yang tiada hujungnya.

Memang mudah risalah ini menjawab persoalan-persoalan berkenaan. Ya, itulah hakikatnya. Kebenaran memang sifatnya jelas dan lurus. Tiada kesamaran padanya.

Baiklah, pada hujungnya manusia mesti membuat pilihan. Samada untuk beragama atau untuk terus hidup tidak percaya kepada wujudnya tuhan pencipta. Hidup beragama menenangkan jiwa dan memberi kesejahteraan kepada kehidupan. Hidup tidak beragama tampak tenang, tetapi sebenarnya kontang dan kosong, kerana jiwa mereka tidak ketahuan akan apa erti hidup dan ke mana mereka akan pergi selepas mati. Hidup mereka tidak berbeza dengan haiwan yang melata. Sebenarnya terlebih baik nasib sebagai haiwan dan tumbuhan. Sekurang-kurangnya haiwan dan tumbuhan memang tidak dibebankan dengan amanah dan tugas beribadah, lantas tidak akan dinilai baik atua buruk nasib mereka. Manusia yang tidak beragama ini, sudahlah di dunia tidak tentu hala, di akhirat nanti pastinya celaka. Malangnya nasib mereka. Ini semua pandangan golongan beragama. Jika ditanya kepada mereka, mereka pun percaya selepas mati – mereka akan menjadi tanah, dan hidup lenyap begitu sahaja. Jadi tidaklah banyak berbeza sebenarnya.

Maka, buatlah pilihan anda!

Renungkanlah firman Allah SWT; Surah Adz-Dzariyat(56):

“dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Firman Allah SWT lagi, di dalam Surah Ali-Imran; ayat 190 dan 191:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;

(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.”

Dan juga firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mulk, ayat 2 hingga 6 :

2. Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);

3. Dia lah Yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit Yang berlapis-lapis; Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan Yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika Engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - Dapatkah Engkau melihat sebarang kecacatan?

4. kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu Dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga Dengan sia-sia).

5. dan Demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit Yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) Dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka Yang menjulang-julang.

6. dan bagi orang-orang Yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Semoga kita tetap teguh menjadi golongan yang beragama – Muslim, Mukmin, Muttaqin. Amin.

Allahua’lam

Wed, Rue De La Vielle Intendance

No comments:

Post a Comment